Apabila berbicara berkenaan dengan bahasa melayu, ramai daripada kita yang rasa terlalu rendah diri kerana ada pendapat yang mengatakan, sumber daripada Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan bahawa bahasa melayu hanya ada 4 perkataan asli iaitu besi, padi, babi dan ubi. Benarkah begitu?

Menurut lama web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu Laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu bertarikh 6 April 2010,

“Ada pendapat mengatakan kata padi, besi, babi, dan ubi merupakan kata asli bahasa Melayu, walau bagaimanapun tiada bukti kukuh tentang kesahihan pendapat tersebut. Untuk membantu saudara menyelesaikan tugasan kuliah saudara, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (Bab 1: Sejarah Ringkas Bahasa Melayu) penulis: Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa dan Abdul Hamid Mahmood.

Saudara juga boleh merujuk buku Susur Galur Bahasa Melayu Edisi Kedua, penulis: Asmah Haji Omar. Saudara juga digalakkan membuat rujukan di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka atau mana-mana perpustakaan/pusat sumber untuk tujuan tersebut.” Begitulah jawapan daripada Dewan Bahasa Pustaka tentang mitos bahasa melayi hanya ada empat perkataan sahaja, dan kajian linguistik melayu masih dijalankan dari masa ke masa.

Menurut Noriah (1999), terdapat 157 perkataan asli bahasa melayu. Hasil kajian beliau ini telah membidas pendapat yang bahasa asli melayu hanya ada 4 patah perkataan sahaja. Namun begitu, saya sangat tertarik dengan kajian-kajian pakar etnologi dan linguistik dunia terutamanya kajian yang dijalankan kepada bahasa-bahasa Austronesia. Ramai pengkaji-pengkaji di Bidang Etnologi dan Antropologi sangat tertarik dengan bahasa-bahasa Austronesia ini kerana ia merupakan keluarga bahasa yang terbesar di dunia, dari segi kawasan geografi (meliputi 60% ukur lilit bumi di kawasan khatulistiwa) mahupun jumlah bahasa (lebih 1,200 bahasa menurut Gordon, 2005).

Daripada keluarga bahasa ini, Belwood bersama sekumpulan pengkaji (1995) menyatakan bahasa Bangsa Austronesia (Malayan Brown) ini bermula dari Taiwan, menyebar ke Kepulauan Asia Tenggara dan pantai New Guinea, sebelum menyebar dengan luas ke Madagaskar (Afrika), Mikronesia, Hawaii, Rapa Nui (Easter Island) dan New Zealand. Teori Belwood ini menunjukkan salah satu daripada migrasi manusia terbesar di dunia dan lebih menarik kerana ia berlaku sebelum wujudnya teknologi pelayaran moden. Mungkin juga teknologi pelayaran pada zaman tersebut (lebih 3,000 tahun dahulu) lebih canggih daripada pelayaran moden, siapakan tahu?

Teori ini menyokong teori “Out of Taiwan” yang dicanang-canangkan oleh ramai pengkaji barat. Namun begitu, terdapat segelintir ahli genetik mempersoalkan teori ini dan berpegang pada bukti-bukti genetik, yang mana pusat migrasi manusia bermula daripada Kepulauan Asia Tenggara sekitar 13,000-17,000 tahun dahulu. Nenek moyang kita ini (dari Kepulauan Melayu) menyebar ke arah Utara (Taiwan) dan bergerak ke New Guinea dan seterusnya ke Lautan Pasifik (Oppenheimer dan Richards, 2001)

Kajian-kajian pengkaji terkemuka di bidang Etnografi, Linguistik, Antropologi, Genetik dan sebagainya mendokong bahawa kita ini daripada satu jurai keturunan yang sama, bermula daripada Kepulauan Asia Tenggara. Dari sini, teori Out of Sundaland diperkenalkan oleh Oppenheimer (2001).

Apakah pula kognat? Kognat ialah perkataan yang berasal daripada bahasa latin iaitu cognatus yang bermaksud ‘Pertalian Darah”. Kognat ialah perkataan-perkataan yang hampir sama bunyi dan maksudnya serta mempunyai asal etimologi yang sama. Maknanya, perkataan-perkataan yang berasal daripada satu bahasa proto yang sama. Dalam kajian Blust, Gray dan Jordan (2000), Greenhill dan Gray (2005), maka satu projek pangkalan data bahasa-bahasa Austronesia telahpun diwujudkan pada tahun tersebut. Projek Pangkalan data tersebut dipanggil “Blust’s Austronesian Comparative Dictionary Project”.

Pada dasarnya, projek tersebut mengandungi 231 bahasa Austronesia berikutan dapatan kajian Blust dari tahun 1986 lagi di University of Hawaii. Namun, dengan kerjasama Gray (et al, 2000), projek database elektronik diperkenalkan dan ditambahkan lagi dengan pelbagai perkataan-perkataan dan bahasa-bahasa Austronesia, sehingga wujud banyak perkataan-perkataan proto, yang menjadi teori kepadda perkataan-perkataan induk bahasa melayu moden dan semua bahasa Austronesia yang lain. Pembaca semua boleh melayari http://language.psy.auckland.ac.nz/austronesian/ bagi mendapatkan database tersebut.

Pangkalan data ini menunjukkan betapa kayanya bahasa kita yang terasli dan tidak dipengaruhi oleh Bahasa-bahasa lain seperti Sanskrit, Arab, Parsi dan bahasa-bahasa kolonial yang datang menjajah tanah kita. Sumber pangkalan data ini diambil daripada 3 sumber utama iaitu daripada dapatan kajian lapangan Robert Blust, John Lynch dan Malcom Ross. Selain itu, sumber lain termasuklah projek POLLEX (Polynesian lexicon project) susunan Biggs dan Clark (2000), Koleksi Mikronesia (Bender et al, 2003), Bahasa-bahasa Taiwan (Ferrell, 1969,1982), Kepulauan Batanes (1987), Kepulauan Moluka (Taber, 1993), Kepulauan Solomon (Tryon dan Hackman, 1983), Vanuatu (Crowley, 2006) dan Filipina (Reid, 1971). Terdapat banyak lagi pengkaji-pengkaji yang menyumbangkan kepada dapatan pengkalan data ini, dan boleh dilihat di laman yang dinyatakan di atas.

Sehingga kini, pangkalan data ini akan dikemaskini dari masa ke masa bergantung kepada pencapaian pengkaji-pengkaji daripada University of Auckland dan University of Hawaii. Robert Blust dan Stephen Trussel pula membangunkan satu laman web mudah untuk bahasa-bahasa Austronesia iaitu http://www.trussel2.com/acd/ dan semua orang boleh melihat kesungguhan mereka mengumpulkan dan mencari hipotesis bahasa ter asli kita, termasuklah induk kepada bahasa melayu.

Melalui projek Austronesia ini, dapatlah kita simpulkan bahawa bahasa melayu bukan hanya ada 4 perkataan asal, mahupun 157 perkataan asal.

Perkataan-perkataan asal itu terdapat beribu-ribu perkataan yang membentuk lebih 1,200 bahasa di seluruh dunia Austronesia. Terdapat lebih 6000 perkataan proto bagi Bahasa Proto-Melayu-Polinesia-Barat (PWMP) dan lebih 3000 perkataan Proto-Melayu-Polynesia (PMP) yang dikumpulkan oleh Blust dari tahun 1977 sehinggalah sekarang. PWMP dan PMP ialah induk terus kepada bahasa kita hari ini, bebas daripada pengaruh bahasa luar.

Masihkah kita menyangka yang bahasa melayu itu asalnya hanya 4 perkataan sahaja??

Rujukan:

1) Blust, Greenhill and Gray (2008),The Austronesian Basic Vocabulary Database: From Bioinformatics to Lexomics, Evol Bioinform Online. 2008; 4: page 271–283.
2) http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=babi&d=10 (hasil carian dalam website Dewan Bahasa dan Pustaka).
3) http://language.psy.auckland.ac.nz/austronesian/
4) http://www.trussel2.com/acd/
5) www.vocabulary.com/dictionary/cognate
6) Noriah, Mohamed (1999), Sejarah Sosiolinguistik Bahasa Melayu Lama, Penerbit Universiti Sains Malaysia


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.