Kod Rahsia Di Balik Kedudukan Kepala Kain Mengikut Pemakai

2,215

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Baru-baru ini tular ciapan seorang pengguna Twitter memaparkan tangkap layar dari sebuah drama tempatan yang menunjukkan seorang pelakon memakai kain pelikat dengan cara yang agak luar biasa. Justeru reaksi yang ditampilkan oleh wargamaya kebanyakannya mentertawakan perbuatan pelakon tersebut dan menyifatkan pemakaian kain pelikat sedemikian merupakan suatu cara pakai yang salah.

Sebenarnya dari satu sudut yang lain, tatacara pemakaian bahagian Kepala Kain di hadapan bukanlah suatu yang salah mahupun lucu, tetapi mempunyai perlambangan yang tersendiri dari sudut adat resam Melayu.

Kebiasaannya kita melihat pada sehelai kain samping atau sarung baik dari jenis kain songket,kain tenun,kain pelikat atau kain batik,terdapat suatu bahagian yang mempunyai corak yang sedikit berbeza dari keseluruhan corak kain tersebut. Bahagian inilah yang disebut sebagai Kepala Kain.

Kedudukan kepala kain ini memberikan isyarat tertentu kepada pemakainya.

Cara Pertama: Kepala Kain dipakai pada bahagian hadapan.

Pemakaian Kepala Kain di bahagian hadapan membawa maksud pemakainya merupakan seorang teruna ataupun anak dara yang masih belum mendirikan rumah tangga Sebagaimana disebutkan dalam ungkapan berkenaan tatacara pemakaiannya oleh Tengku Nasyaruddin Effendy;

“Kalau kepala sebelah muka
Duduk menuju atas pangkuan.
Boleh dipakai anak dara
Bagai penyimak bujang datang.
Bagai pendinding aib malu.”

Kebiasaannya pemakai akan memakai kain dalam tertib ini untuk memberi isyarat bahawa dirinya masih belum menjadi milik orang dan sedia disunting.

Cara Kedua: Kepala Kain dipakai pada bahagian belakang

Kedudukan Kepala Kain pada posisi belakang memberi isyarat bahawa pemakai tersebut merupakan seorang wanita yang telahpun berkahwin,justeru pemakainya tidak harus diganggu.

Namun begitu terdapat juga sebilangan orang-orang tua terdahulu memakaikan bahagian kepala kain di belakang kepada anak dara mereka bertujuan untuk mengelirukan status pemakai supaya tidak diganggu orang,khususnya selepas zaman kemasukan penjajah British ke Tanah Melayu.

Begitu juga dengan pemakaian Kepala Kain di bahagian belakang bagi lelaki,juga membawa pengertian yang sama.

Kadangkala,pemakaian Kepala Kain di bahagian belakang juga merupakan sebahagian tatacara adat istiadat atau protokol sesebuah Negeri atau majlis bagi memperlihatkan keseragaman pemakaian,tanpa mengira status perkahwinan si pemakainya.

Cara Ketiga: Kepala Kain dipakai pada sisi kiri atau kanan, dibelit ke belakang atau ke hadapan

Kedudukan Kepala Kain lelaki dan perempuan yang sudah berkahwin selain diletakkan di bahagian belakang, namun ada juga cara pemakaian yang lain. Kadangkala kepala kain juga diletak di sisi kiri dan dibawa belit ke belakang bagi perempuan, manakala bagi lelaki juga sama kaedahnya, hanya sahaja ia diletak pada sisi sebelah kanan.

Sebagaimana ungkapan Tengku Nasyaruddin Effendy yang menyebutkan tentang aturan memakai;

“Kalau betina memakai kain
Kepala terletak di samping kiri,
Atau membelit ke belakang.
Belit sampai ke kedudukan “

Kepala Kain terletak di kiri membelit ke belakang, menandakan pemakainya seorang Perempuan yang sudah berumahtangga.

Kepala Kain terletak di kanan dibelit ke belakang menandakan pemakainya seorang lelaki yang sudah berumahtangga.

Namun bagi seorang Janda atau Balu bahagian Kepala Kain dibelit dari belakang membawa ke hadapan dan diletakkan menyentuh sisi kiri si pemakai.

Kepala Kain dibelit dari belakang membawa ke depan sisi kiri si pemakai mengisyaratkan pemakainya seorang Balu atau Janda

Bagi seorang duda pula Kepala Kain dibelit dari belakang badan membawa ke hadapan dan menyentuh sisi kanan si pemakai.

Kepala Kain dibelit dari belakang membawa ke hadapan sisi kanan si pemakai membawa maksud pemakainya seorang Duda

Demikianlah halusnya peradaban Melayu sehinggakan kedudukan Kepala Kain sahajapun mampu memberikan isyarat tentang status si pemakai tanpa menjatuhkan air mukanya untuk memperihalkan dirinya di khalayak ramai.

Dan tertib pemakaian ini sekadar adat harian pada suatu masa dahulu yang tidaklah lagi diamalkan maka tidaklah ia menjadi suatu kemestian yang mesti diikut lagi zaman sekarang.Namun tidak rugi untuk mempelajarinya.

Sekian catatan saya yang dinukil semula dari pembacaan dan pengkajian guru-guru saya dan pengkaji-pengkaji yang lain.Salah dan silap harap diperbetulkan.

RUJUKAN:

  1. Tengku Nasyaruddin Effendy (Tenas Effendy), Ungkapan Tradisional Melayu Riau,Penerbit Dewan Bahasa Dan Pustaka.
  2. Dr Johan Iskandar, Kedudukan Kepala Kain Mengikut Adat Untuk Perempuan. https://www.alammelayu.my/blog/22/kedudukan-kepala-kain-mengikut-adat-untuk-perempuan/
  1. Cikgu Eszeree Rimie ,melalui penceritaan beliau dalam video pendek berkenaan tatacara bersamping oleh Walkabout Asia https://www.facebook.com/walkaboutasia/videos/244001790020539/
  2. Profesor Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin, Adab Memakai Kain Batik Lambang Peribadi Pemakai. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/04/571748/adab-memakai-kain-batik-lambang-peribadi-pemakai
Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.