Templar atau Knights Templar (nama rasminya Poor Fellow-Soldiers of Christ and the Temple of Solomon) telah ditubuhkan oleh seorang tentera berbangsa Perancis, Hugues de Payens pada 1118. Setelah pakatan Tentera Salib Eropah berjaya menawan Jerusalem dari pemerintahan umat Islam pada 1099, maka berbondong-bondong masyarakat Kristian di Eropah ingin melakukan ‘haji’ melawat Tanah Suci Jerusalem.

Namun, rombongan haji yang menempuh perjalanan yang jauh itu telah menyebabkan mereka sering menjadi sasaran mudah para perompak dan penyamun di jalanan. Habis harta benda yang mereka bawa dalam perjalanan dirampas, malah pada satu tahap mereka juga telah dibunuh oleh penjenayah keji itu.

Atas faktor itulah maka sebuah pasukan ketenteraan elit ditubuhkan bagi menjaga rombongan haji ke Jerusalem ini sepanjang perjalanan mereka – itulah Knights Templar. Pada awal-awal penubuhan pasukan ini, ia mendapat banyak kritikan dari pelbagai agamawan Kristian yang mendakwa pasukan ini bertindak ingin mengaut keuntungan semata-mata.

Namun pada 1129, Templar mendapat sokongan daripada Bernard of Clairvanx, seorang agamawan Perancis yang sangat berpengaruh. Sepuluh tahun kemudian, ketua Gereja Katolik pada ketika itu, Pope Innocent II telah mengeluarkan satu perintah Papal Bull yang menyatakan sokongan gereja terhadap fungsi Knights Templar.

Dalam perintah itu dinyatakan pelbagai keistimewaan Templar. Antaranya pengecualian pembayaran cukai, dibenarkan untuk membina markas di mana-mana kawasan monarki Kristian dan tidak tertakluk di bawah mana-mana kerajaan. Sejak dari itu, kesetiaan Templar hanya untuk Pope sahaja, tidak berpihak kepada mana-mana monarki di Eropah.

Reputasi Templars

Penubuhan Templar telah mengubah pandangan spektikal masyarakat Eropah terhadap tentera. Sebelum kehadiran Templar, masyarakat melihat tentera sebagai golongan samseng yang suka menindas rakyat serta sering kali melakukan peras ugut. Namun situasi ini berubah dengan wujudnya Templar yang dianggotai oleh alim-alim agama. Ahli-ahli Templar mempunyai peraturan-peraturan yang sama seperti biarawan atau paderi. Mereka tidak boleh berkahwin, tidak dibenarkan menyentuh perempuan hatta ibu sendiri, minum arak serta pelbagai syarat ketat yang dikenakan.

Templars dihormati kerana ketaatan mereka kepada ajaran Kristian

Ahli Templar juga dikehendaki mengangkat sumpah supaya menjalani kehidupan yang zuhud, miskin dan setia hanya kepada Pope. Mereka juga dilarang memakai kasut yang mempunyai muncung dihadapan, sebagai simbolik kezuhudan mereka. Atas sebab itu tentera Templar dilihat sebagai benteng Kristian dan mereka juga sering dipanggil sebagai Tentera Jesus.

Templar sangat mahir berperang serta merupakan pakar strategi yang hebat. Kesemua ahli Templar dilatih dengan tahap kemahiran yang tinggi. Mereka juga terkenal kerana sifat keberanian yang luar biasa. Hal ini dapat dilihat melalui prinsip perang mereka, dimana Templar diharamkan untuk berundur di medan perang kecuali bilangan mereka sangat sedikit jika dibandingkan dengan pihak musuh. Antara kejayaan ulung mereka adalah berjaya menewaskan panglima agung umat Islam, Salahuddin Al Ayyubi dalam Pertempuran Montgisard.

Tentera Miskin Yang Sangat Kaya

Walaupun kebanyakan ahli Templar merupakan ahli-ahli yang miskin dan juga telah bersumpah menjalani kehidupan miskin, namun secara kolektifnya mereka merupakan sebuah organisasi yang sangat kaya. Lebih kaya berbanding kerajaan monarki Eropah pada ketika itu. Hal ini berikutan mereka dikecualikan daripada membayar bayar cukai serta keuntungan urusan perbankan melalui misi keselamatan rombongan haji.

Templar juga mendapat sumber kewangan daripada derma orang ramai yang menganggap ia sebagai kerja Tuhan. Bukan itu sahaja, Alfonso I (Pemerintah Aragon) telah mengurniakan 1/3 daripada wilayahnya kepada Templar. Kayanya mereka sehingga mampu untuk membeli pulau Cyprus serta memberikan pinjaman kepada para raja.

Kejatuhan Templar                                                                                                      

Setelah Salahuddin (semoga Allah memberkatinya) berjaya membebaskan kembali Jerusalem pada 1187, itu menandakan permulaan bagi pengakhiran Templar. Kekalahan demi kekalahan yang dialami dalam siri Perang Salib menyebabkan Templar terpaksa bertukar markas. Kemuncaknya, Kejatuhan Acre pada 1291 pada Kesultanan Mamluk telah membersihkan Timur Tengah daripada jejak-jejak Templar.

Pada 1303, Templar yang telah diusir dari dunia Islam itu telah menubuhkan markas operasinya di Paris yang ketika itu diperintah oleh Raja Philip IV Si Adil. Ketika itu, baginda raja mempunyai hutang yang sangat banyak dengan Templar lebih-lebih lagi pembiyaan kewangan yang besar ketika perang Perancis dengan Inggeris.

Philip IV

Mengetahui bahawa baginda tersepit dalam hutang yang banyak , ditambah pula kantung kerajaan semakin menguncup akibat perang, maka Philip IV menyasarkan Templar sebagai sasaran utama. Keterdesakan Philip IV amat jelas apabila pada tahun-tahun sebelumnya iaitu pada 1292, baginda telah menangkap sekumpulan pedagang Itali yang kaya raya lalu merampas harta benda mereka. Baginda juga memaksa agar mereka semua membeli barang keluaran Perancis.

Philip IV sedar akan kekayaan luar biasa Templar yang disimpan di markas yang terletak di ibu kota Paris. Maka baginda telah merancang satu plot untuk menjatuhkan organisasi ketenteraan tersebut. Hubungan Templar-Perancis pada masa itu sememangnya dingin sejak Templar enggan meminjamkan wang kepada kerajaan Perancis akibat tunggakan hutang yang begitu banyak.

Kematian Pope Boniface VIII dalam tahanan Raja Philip IV telah menandakan krisis yang kian meruncing antara raja dan gereja. Boniface VIII sememangnya dikenali sebagai tokoh yang sangat kuat mempertahankan Templars.

Kenyataan beliau banyak mengguris hati keluarga diraja Philip IV di mana akhirnya beliau mati dalam tahanan kerajaan. Khabar angin bertiup kencang mengatakan kematian Pope merupakan komplot terancang Philip IV bagi menaikkan Pope yang lebih berpihak kepadanya, iaitu Clement V (bekas Bishop Perancis).

Plot Penganiyaan Bermula

Rancangan untuk menghapuskan Templar telah lama berjalan antara Raja Philip IV dan Pope Clement V. Pada 1307, Clement V yang berada di Paris menghantar surat kepada Jacques de Molay (Grand Master Templar yang terakhir) agar menyuruh dia bermesyuarat dengannya perihal misi ketenteraan Templar untuk melancarkan Perang Salib yang baru. Tanpa syak wasangka, De Molay patuh dengan arahan tersebut dan terus bersiap ke Paris dengan rombongan yang terdiri daripada 60 Templar. Sesampainya rombongan Templar di Paris, kesemua mereka telah ditangkap dan disoal siasat.

Clement V telah melakukan pembohongan dengan menyatakan bahawa kehadiran De Molay adalah untuk membantu siasatan akan dakwaan Templar telah menjadi sesat dan jauh tersimpang dari agama. Bermula dari itulah penyeksaan dan segala macam bentuk kezaliman telah dikenakan ke atas Templar atas titah Philip IV. Baginda telah melakukan soal siasat yang diiringi dengan tekanan fizikal yang hebat ke atas Templar – antaranya lansung tidak diberi makan, kekurangan tidur, soal siasat tanpa henti dan satu bentuk mesin hukuman yang dipanggil strappado (menyebabkan bahu seseorang patah).

Knights Templar dituduh telah melakukan ritual-ritual menyembah syaitan. Mereka juga didakwa telah melakukan zina, meludahi palang salib, meliwat sesama ahli dan mengungkapkan kata-kata kufur ke atas Jesus. Oleh kerana tidak tahan dengan soal siasat yang penuh seksa, maka hampir semua Templar telah membuat pengakuan ke atas dakwaan tersebut, termasuklah Grand Master mereka sendiri, De Molay. Dengan pengakuan kontroversi tersebut, maka Pope Clement V bersama-sama dengan Philip IV telah membubarkan Knights Templar secara rasmi pada 1312.

Awalnya, De Molay telah membuat pengakuan terhadap segala dakwaan yang telah dilemparkan ke atasnya. Namun, apabila tiba giliran Pope melalui delegasinya untuk melaksanakan perbicaraan mahkamah, De Molay menarik balik pengakuan dengan mengatakan dia telah dipaksa membuat pengakuan melalui seksaan yang sangat teruk. Keadaan yang menyusul selepas itu menyaksikan wujudnya perkelahian dan kenyataan yang tidak konsisten dari ahli Templar.

Gambaran pelukis menunjukkan saat De Molay menjalani hukuman

Dalam situasi yang rumit sedemikian, Philip IV memberi kata akhir dengan menjatuhkan hukuman bakar hidup-hidup ke atas De Molay dan beberapa pemimpin kanan Templar. Habis cerita! Maka pada tanggal 18 Mac 1314, De Molay bersama pengikutnya telah dihukum mati dengan cara tersebut.

Di saat kematiannya, De Molay telah melakukan kutukan sumpahan ke atas Philip IV dan Pope Clement V di atas ketidakadilan mereka dalam memberikan hukuman. Dia juga menegaskan semua tuduhan adalah palsu.

Tidak sampai setahun dari peristiwa tersebut, kedua-dua aktor yang menzalimi Templars telah mati, seolah-olah sumpahan De Molay adalah benar belaka. Maka berakhirlah riwayat Knights Templar di tangan seorang raja yang tamakkan harta.

Namun, terdapat spekulasi terbaru yang timbul hasil daripada penemuan manuskrip bertajuk Chinon Parchment yang bertarikh Ogos 1308. Manuskrip itu menyatakan De Molay sebenarnya sudah diberi pengampunan oleh pihak Gereja Katolik pada awalnya. Namun, keputusan Philip IV yang melaksanakan hukuman bunuh ke atas De Molay dipercayai dilakukan di luar rangka perundangan.

Pope Clement V juga menerima pelbagai cemuhan dan kritikan dari agamawan seluruh Eropah yang percaya bahawa pembubaran Templar merupakan satu konspirasi terancang pihak diraja Perancis. Yang pasti, Philip IV ingin merampas semua kekayaan luar biasa Templars dengan cara menghapuskan organisasi mereka.

RUJUKAN:

The Templars: rahsia perintah besar Knights Templar. Retrieved from https://ms.performancegunworks.com/676-the-templars-the-secrets-of-the-great-order-of-the-kn.html

Jacques de Molay GRAND MASTER OF KNIGHTS TEMPLAR. https://www.britannica.com

Barber, Malcom (April 20, 2000). The Knights Templar Who were they? And why do we care? Retrieved from https://slate.com/news-and-politics/2006/04/who-were-the-knights-templar.html

Knights Templar. https://www.history.com/topics/middle-ages/the-knights-templar

Why the Knights Templar Gave False Confessions of Depravity. https://www.history.com/news/knights-templar-downfall-confessions-torture

History of the Knights Templar. https://www.history.com/news/who-were-the-knights-templar-2


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Kemunduran Akibat Pemikiran Terjajah, Yang Mengukuhnya Sombong, Yang Meruntuhnya Ilmu Haikal Hazwan, pemuda yang mempunyai minat mendalam terhadap pengetahuan sejarah dan politik tanah air mahupun antarabangsa. Cita-citanya mahu melihat generasi sezaman dengannya bangga akan kejayaan leluhur. Percaya bahawa ilmu serta niat yang ikhlas sahaja dapat memajukan bangsa dan membina sebuah tamadun yang berdaulat.

Comments are closed.