KMM: Pelopor Gerakan Kiri Melayu

230

Apabila orang bercakap tentang kiri. Selalunya golongan kiri akan dikaitkan dengan faham sosialisme dan komunisme. Antara tokoh yang sering dijadikan rujukan bagi ideologi-ideologi tersebut ialah Karl Marx, Engels dan Lenin. Namun dalam konteks gerakan politik kiri Melayu maka fahaman kiri ala barat itu tidak menjadi ciri penting. Rustam A. Sani dalam kajiannya menyebutkan;

“Dalam hal ini, sikap berhati-hati perlu diamalkan ketika bercakap tentang konsep seperti ‘golongan kiri Melayu’ supaya aspek ideologi pada konsep berkenaan tidak perlu ditekankan”

Sifat golongan kiri Melayu berdasarkan rumusan Rustam lebih terdorong kepada dua ciri utama, iaitu;

  1. Para pemimpin kumpulan ini tidak direkrut daripada golongan aristokrat tradisional
  2. Komitmen kuat untuk nasionalisme jenis pan-Indonesia – atau kemudiannya (selepas kemerdekaan) idea keadilan sosial merentasi kaum.

Kedua-dua ciri tersebut memperlihatkan timbulnya kesedaran kebangsaan dalam kalangan rakyat biasa. Berbeza dengan golongan kanan yang lebih dipelopori oleh golongan yang berdarah Raja dan bangsawan. Golongan kiri ini muncul dengan banyak mengambil inspirasi daripada buku-buku Indonesia.  

Pertubuhan politik berhaluan kiri yang pertama di Tanah Melayu ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM). Istilah ‘Kesatuan Melayu’ dalam nama KMM ini diinspirasikan daripada tulisan Tan Malaka, seorang tokoh Partai Komunis Indonesia (PKI);

“Satoe poesat persatoean antara seloeroh bangsa Indonesia jakni Indonesia kita, Semenadjoeng dan Philipina –… Satu perkoempulan orang-orang Indonesia jang bersama ‘Kesatoen Melajoe’ dan mesti kita perhatikan dengan segala perhatian jang sepenoeh-penoehnya..”.

Tan Malaka menggunakan istilah kesatuan Melayu yang merangkumi kepulauan Melayu nusantara yang pernah bersatu sejak zaman Srivijaya lagi. Konsep inilah yang telah digunakan oleh pejuang-pejuang radikal Melayu untuk memerdekakan tanah air ini dari tangan penjajah.

Pengasas KMM ialah Ibrahim Haji Yaacob, seorang pelajar Sultan Idris Training College (SITC) Tanjong Malim. Pertubuhan ini ditubuhkan pada April 1938 dalam satu mesyuarat yang diadakan di rumah Hassan Manan. Antara tokoh-tokoh yang terlibat dalam mengasaskan KMM ialah Mustapha Hussain dan Ishak Hj Muhammad.

Menurut Ibrahim Hj Yaakob, perkataan ‘muda’ dalam KMM bukan bermaksud belia tetapi muda dari sudut idea dan porgresif dan bercanggah dengan nasionalisme sempit pimpinan golongan feudal. Penubuhan KMM dikatakan mengikut model Jong Jawa dan Jong Sumatera yang wujud terlebih dahulu di Indonesia.

Mustapha Hussain berpendapat nama Kesatuan Melayu Muda dipilih kerana ahlii KMM ingin mencontohi pergerakan Turki Muda (Young Turks). Gerakan Turki Muda amat berpengaruh di Indonesia dan Malaysia. Malah Sukarno juga menjadikan Turki sebagai model dan Mustafa Kamal sebagai Idola. Di Tanah Melayu, pengaruh Turki dapat dikesan melalui akhbar-akhbar Melayu sejak 1920-an.

Matlamat Ibrahim Haji Yaacob menubuhkan KMM adalah untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu melalui penyatuan dengan Indonesia. Yang dinamakan sebagai Indonesia Raya. Jelas beliau;

“…bahawa KMM adalah pelopor perjuangan nasional di Malaya secara beroroganisasi yang pertama menentang penjajah Inggeris dengan dasar non corporation menuntut Malaya Merdeka, atas kesedaran nasional yang luasa bertjuan mahu memersatukan Malaya kepada satu ikatan Indonesia Raya, agar seluruh bangsa Melayu (Malay-races) menjadi satu bangsa yang besar di Asia Tenggara.”

Penyatuan kepulauan Melayu dibawah satu nama bangsa Melayu adalah menjadi asas perjuangan KMM. Pengekalan kedaulatan dan kebebasan Tanah Melayu daripada belenggu penjajah adalah perkara yang mesti dipertahankan bagi melindungi hak dan kepentingan orang Melayu. Ini kerana pihak British sendiri gagal menjamin kepentingan orang Melayu. KMM juga mengajak orang Melayu agar tidak bergantung dengan pembesar dan golongan bangsawan.

Menurut Ahmad Boestamam yang juga menjadi ahli KMM. KMM mempunyai keahlian di setiap negeri di Tanah Melayu. Termasuk sedikit dalam kalangan golongan feudal yang mempunyai hubungan rapat dengan Ibrahim Haji Yaacob.

Menurutnya lagi, KMM mempunyai keunikan tersendiri apabila menjadi satu-satunya organisasi dengan mempunyai unit risikan sendiri, termasuk dalam kalangan wanita. Sehingga pihak British terkesan dengan aktiviti risikan itu lalu terpaksa keluar dari Tanah Melayu ketika Jepun datang menjajah.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, seorang pemimpin KMM iaitu Mustapha Hussain mendakwa KMM telah banyak menyelamatkan nyawa orang-orang Melayu. Antara yang disebutkan;

  1. Tidak membunuh askar Melayu secara beramai-ramai seperti yang diputuskan oleh General Staff Jepun.
  2. Tidak menahan askar Melayu sepanjang pendudukan Jepun dan dibantu untuk mendapatkan kemerdekaan.
  3. Menguruskan makanan dan wang kepada anak isteri askar-askar yang ketakutan dan kelaparan.

Namun KMM hanya dapat bertahan dari tahun 1938 hingga 1941. Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh KMM dalam usahanya untuk mencapai kemerdekaan. Ada beberapa sebab mengapa KMM tidak dapat bertahan lama. Antaranya ialah KMM bukan sahaja tidak mendapat sokongan pembesar, tetapi juga rakyat biasa. 

Rakyat pada waktu itu secara umumnya masih takut untuk terjun ke medan politik. Mereka lebih mematuhi pemimpin tradisional, seperti penghulu-penghulu yang menguasai sesuatu kawasan. Lebih-lebih lagi KMM telah mengambil sikap bermusuh dengan mereka.

RUJUKAN

  1. Mohamed Salleh Lamry. Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. 2009
  2. Rustam A. Sani. Asal Usul Golongan Kiri Melayu, diterjemah oleh Amin Ahmad. SIRD, Petaling Jaya. 2011
  3. Roslan Saadon. Gagasan Nasionalisme Melayu Raya. Karisma Publications, Shah Alam. 2009

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.