Tular di media sosial isu berkenaan lokasi tempat Nilai 3 di Negeri Sembilan yang diwar-warkan secara sindiran dan gurauan termasuk dalam daerah negeri Selangor sehingga menimbulkan kekeliruan awam dan fail siasatan polis dibuka terhadap individu yang menyebarkan kekeliruan tersebut. Penulis rasa tidak perlulah dijelaskan dengan lebih lanjut berkenaan mengapa dakwaan palsu tersebut ditimbulkan kerana warganet-warganet lebih tahu berkenaan isu tersebut.

Ditambah pula baru-baru ini, tular di media sosial tentang kesilapan yang tidak disengajakan oleh seorang Pembantu Penerbit satu rancangan televisyen siaran langsung yang memaparkan kenyataan Seremban terletak di Selangor. Pihak JAKIM telah tampil memohon maaf berkenaan perkara yang tidak disengajakan tersebut dalam rancangan terbitan mereka itu. Walau bagaimanapun, kedua-dua isu tular tersebut bukan sahaja menjadi buah mulut orang ramai, tetapi juga menjadi satu topik sindiran dan jenaka khususnya dalam kalangan rakyat kedua-dua buah negeri tersebut.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Bukan perkara itu yang hendak penulis ulas. Apa yang hendak penulis bincangkan dalam artikel ringkas ini ialah tahukah anda bahawa daerah Klang pada suatu masa dahulu merupakan sebahagian daripada rantau atau luak Negeri Sembilan? Sepertimana yang kita ketahui, pada masa kini Semenanjung Malaysia terdiri daripada 11 buah negeri yang mempunyai sempadan tetap negeri masing-masing. Tidak seperti zaman dahulu, pesempadanan negeri berubah-ubah disebabkan perluasan empayar kerajaan dan penguasaan kuasa luar.

Sebelum itu, penulis akan cerita sikit serba ringkas berkenaan sejarah Klang. Klang adalah salah satu kawasan terawal didiami di Selangor berdasarkan penemuan arkeologi dan rekod kerajaan-kerajaan silam. Penemuan beberapa artifak purba seperti gendang gangsa, loceng gangsa dan alatan besi bersoket di beberapa kawasan di Klang seperti di Sungai Klang, Bukit Kuda dan Bukit Badak telah membuktikan penempatan awal manusia telah wujud di Klang sejak Zaman Logam lagi (2,500 tahun lalu). Penulisan rekod kerajaan Majapahit dalam Nagarakrtagama mereka juga menyebut nama tempat Klang dan Sungai Ujong termasuk dalam wilayah penguasaan mereka pada abad ke-14. Nama Klang juga ada dalam catatan China berkenaan tempat-tempat lawatan Laksamana Cheng Ho pada abad ke-15 ketika beliau melawat Tanah Melayu.

Selain amat dikenali sebagai pusat perdagangan kerana adanya Sungai Klang yang menjadi nadi laluan utama para pedagang, Klang juga amat dikenali dengan sumber bumi bijih timahnya. Oleh sebab itulah, Klang merupakan salah satu wilayah penting ketika zaman perkembangan empayar kerajaan Kesultanan Melaka sehingga Sultan Melaka telah melantik Tun Perak menjadi Penghulu Klang sebagai wakil Sultan Melaka.

Selepas Kota Melaka ditakluk oleh Portugis dan Kesultanan Johor mewarisi pemerintahan Kesultanan Melaka, Kesultanan Johor tetap menghantar wakil pentadbirnya ke Klang dengan gelaran Dato’ Engku Klang. Menurut seorang pengkaji sejarah Eropah, R. J Wilkinson, Dato’ Engku Klang merupakan salah seorang putera kepada seorang Sultan Johor yang berkahwin dengan Puteri Mayang Selida iaitu cucu kepada Batin Bercanggai Besi, seorang Pembesar Sungai Ujong. Sejak itu, Klang ditadbir oleh keturunan Dato’ Engku Klang. Waris-waris keturunan daripada kakanda dan adinda Dato’ Engku Klang yang menjadi pembesar-pembesar Sungai Ujong, Jelebu dan Johol.

Klang mula dihuni oleh ramai masyarakat Minang dan Bugis yang berhijrah dan bercampur dengan penduduk Klang tempatan. Disebabkan permintaan daripada masyarakat Minang di Klang ketika itu yang mahukan seorang ketua dalam kalangan mereka, Kerajaan Pagaruyung dari Alam Minangkabau Sumatera telah menghantar seorang wakil mereka yang bergelar Dato’ Tujuh Lekek Dato’ Bendahara Kuning Lima Kaum.

Ketibaan Dato’ Bendahara Kuning tersebut beserta orang-orangnya dari Alam Minangkabau seperti Tanah Datar, Kuantan, Kampar dan Batu Bara telah disambut baik dan besar-besaran oleh Dato’ Engku Pinang Tunggal iaitu Dato’ Engku Klang yang pertama ketika itu. Mereka berdua telah sama-sama bersetuju untuk mentadbir Klang secara bersama mengikut sempadan pemerintahan yang telah dipersetujui bersama iaitu Dato’ Engku Klang mentadbir kawasan Klang Darat dan Dato’ Bendahara Kuning mentadbir kawasan Klang Pantai.

Perkara tersebut dilambangkan dengan sepasang alat kebesaran iaitu Merak Mas yang setiap satunya dipegang oleh mereka berdua dan waris keturunan mereka berdua sehinggalah ke hari ini. Sejak itu, Klang telah menjadi salah satu luak atau negeri di bawah pengaruh masyarakat Minangkabau di Tanah Melayu yang dikenali sebagai Negeri Yang Sembilan.

Untuk makluman, “negeri” Klang yang asal bukanlah sepertimana pesempadanan daerah Klang pada masa kini, tetapi keluasan wilayahnya jauh lebih besar. Menurut temubual penulis melalui WhatsApp dan Facebook dengan seorang Pengkaji Sejarah Selangor yang juga pewaris keturunan Dato’ Bendahara Kuning, Cikgu Faisal bin Dato’ Surani, wilayah Klang yang asal merupakan rantau Minangkabau paling besar di Tanah Melayu. Klang pada asalnya termasuk juga Langat (daerah Kuala Langat) dan (daerah) Sepang pada masa kini. Itu kawasannya di selatan atau sepanjang pesisir Selat Melaka di selatan.

Begitu juga keluasan rantau Negeri Sembilan pada asalnya bukanlah sepertimana pesempadanan negeri tersebut pada masa kini, tapi lebih besar, merangkumi Klang (kini salah satu daerah Negeri Selangor), Naning (kini sebahagian daripada Negeri Melaka) dan Segamat (kini sebahagian besarnya dalam Negeri Johor). Jika kita merujuk sumber pengkaji-pengkaji sejarah Eropah, terdapat beberapa maklumat yang agak berbeza antara satu sama lain berkenaan sembilan luak atau daerah asal yang membentuk Negeri Sembilan hasil kajian ilmiah mereka.

Sebagai contoh, T. J. Newbold menyatakan sembilan luak asal tersebut ialah Naning, Sungai Ujong, Klang, Segamat, Johol, Jelebu, Rembau, Jelai dan Ulu Pahang. Martin Lister juga menyatakan senarai yang sama kecuali luak terakhir itu bukan Ulu Pahang, tapi Pasir Besar. R. J. Wilkinson menyatakan senarai yang sama dengan Martin Lister, kecuali bukan luak Johol, tapi Inas. Sementara R. O. Winstedt dan Nathan pula menyatakan senarai yang sama dengan Newbold, kecuali bukan luak Johol, tapi Pasir Besar.

Walau bagaimanapun, dalam semua senarai luak yang mereka nyatakan, Klang adalah antara luak yang dipersetujui oleh mereka semua sebagai salah satu luak asal yang membentuk Negeri Sembilan. Nama Negeri Sembilan dicatatkan secara rasmi buat kali pertama dalam perjanjian bertarikh 11 November 1759 yang ditandatangani oleh Gabenor Belanda di Melaka ketika itu, Daeng Kemboja dari Linggi, Raja Tua dari Klang dan ketua-ketua dari Rembau dan “Negerinya yang Sembilan.”

Bilangan daerah atau luak ini berubah dari masa ke masa, ada daerah yang disatukan, ada pula tempat yang dijadikan daerah baru tersendiri. Pada tahun 1898, wujud 13 daerah, kemudian pada tahun 1934, berubah menjadi 12 daerah. Jika kita merujuk pada peta Negeri Sembilan pada masa kini, cuma terdapat tujuh daerah pentadbiran moden sahaja iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau, Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin. Dari segi pentadbiran adat pula, terbahagi kepada 14 luak adat iaitu Seri Menanti, Tampin, Sungai Ujong, Jelebu, Johol, Rembau, Ulu Muar, Jempol, Terachi, Gunung Pasir, Inas, Gemenceh, Ayer Kuning dan Linggi.

Pentadbir setiap luak digelar Undang atau Penghulu, dan terdapat empat orang Undang luak yang bertanggungjawab memilih dan menabalkan individu yang bakal mewarisi takhta Yang Dipertuan Besar iaitu Undang Sungai Ujong, Undang Rembau, Undang Johol dan Undang Jelebu.

Berbalik kepada kisah Klang, selain masyarakat Minang, Selangor juga didiami oleh ramai masyarakat Bugis yang berhijrah terutamanya di Kuala Selangor. Dato’ Engku Klang yang mentadbir wilayah Klang kemudiannya melantik Arung Pasarai yang berketurunan Bugis sebagai Yamtuan Selangor sekitar awal abad ke-18. Walau bagaimanapun, pentadbiran Arung Pasarai hanya terbatas di Kuala Selangor sahaja. Setelah kemangkatan Arung Pasarai, adindanya, Raja Sitti menggantikan tempatnya.

Selepas kemangkatan Raja Sitti, pihak Bugis dari Kesultanan Johor-Riau-Lingga menghantar Raja Lumu, putera kepada Daeng Chelak iaitu Yamtuan Muda Riau kedua sebagai pengganti kedudukan Raja Sitti. Pada tahun 1766, Raja Lumu ditabalkan oleh Sultan Perak ketika itu iaitu Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak ke-16, menjadi Sultan Selangor pertama dengan gelaran Sultan Salehuddin dan dikurniakan peralatan nobat dan cap mohor diraja.

Pertabalan baginda turut diperakukan oleh Dato’ Engku Klang beserta Dato’-Dato’ Besar Empat Suku (empat orang pemerintah tradisional Klang – Dato’ Kaya Klang (Dato’ Bendahara Kuning), Dato’ Jeram, Dato’ Penggawa dan Dato’ Aru) yang ketika itu merupakan suatu kemestian mengikut adat istiadat diraja Melayu Selangor dalam sebarang pertabalan atau kemangkatan Yamtuan Selangor atau Sultan Selangor. Sejak itu, Selangor terpisah daripada jajahan takluk Kesultanan Johor dan menjadi sebuah negeri beraja yang berdaulat.

Berbalik semula kepada kisah Negeri Sembilan, sembilan luak atau daerah asal yang dibincangkan tadi berubah dan semakin mengecil dengan Klang menjadi sebahagian daripada negeri Selangor, Naning dikuasai oleh Belanda dan menjadi sebahagian daripada negeri Melaka yang mereka takluki ketika itu, sebahagian Segamat menjadi daerah Negeri Johor, sementara sebahagian Ulu Pahang menjadi sebahagian daripada negeri Pahang.

Sekitar tahun 1878-1880, berlaku suatu perjanjian penentuan pesempadanan negeri antara Selangor dengan luak Sungai Ujong yang ditandatangani oleh Sultan Abdul Samad, Dato’ Kelana Undang Sungai Ujong dan Residen British di Selangor. Dalam persetujuan bertulis tersebut, kedua-dua belah pihak telah bersetuju saling bertukar beberapa kawasan masing-masing iaitu Lukut diserahkan kepada jajahan Sungai Ujong (Negeri Sembilan), sementara kawasan Semenyih dan Beranang diserahkan kepada pemerintahan Selangor. Sempadan antara kedua-dua buah negeri tersebut kekal sehingga kini.

Ketika pemerintahan Sultan Muhammad Shah iaitu Sultan Selangor ketiga, Klang diserahkan di bawah pentadbiran putera baginda, Raja Sulaiman. Selepas kemangkatan Raja Sulaiman, pentadbiran Klang diserahkan pula kepada Raja Abdullah, seorang kerabat diraja Bugis Riau. Hal tersebut telah menyebabkan ketidakpuasan hati Raja Mahadi iaitu putera kepada Raja Sulaiman, lalu mencetuskan perang saudara di Klang untuk merebut hak pentadbiran Klang, selama beberapa tahun ketika zaman pemerintahan Sultan Selangor keempat iaitu Sultan Abdul Samad.

Pada tahun 1875, Klang dijadikan ibu kota bagi negeri Selangor sehingga tahun 1880, apabila status tersebut berpindah ke Kuala Lumpur, dan kemudiannya berpindah ke daerah baharu Shah Alam apabila Kuala Lumpur dijadikan sebagai wilayah persekutuan pada tahun 1974. Status Klang sebagai Bandar Diraja Negeri Selangor bermula pada zaman pemerintahan Sultan Selangor kelima iaitu Sultan Alauddin Sulaiman Shah apabila baginda berpindah bersemayam ke Klang dari Jugra setelah mendirikan istana rasmi kediaman baginda iaitu Istana Mahkota Puri pada tahun 1903 yang kini merupakan tapak Istana Alam Shah.

Pada masa kini, Klang masih ditadbir secara adat oleh waris keturunan Dato’ Bendahara Kuning (gelarannya Dato’ Kaya Klang yang dianugerahkan oleh kerajaan Johor Lama kerana berpangkat Bendahara) secara turun temurun yang dikenali sebagai Orang Besar Daerah Klang, sementara waris keturunan Dato’ Engku Klang pula kini mentadbir daerah Hulu Langat secara bergenerasi dengan gelaran Orang Besar Daerah Hulu Langat.

Setiap pemegang jawatan turun temurun Orang Kaya Klang mempunyai panggilan adat mereka tersendiri seperti Dato’ Bendahara Kuning Lima Kaum adalah panggilan adat Orang Kaya Klang yang pertama, Dato’ Bendahara Kuning Agor ialah panggilan adat Orang Kaya Klang yang kedua, dan seterusnya sehingga ke hari ini, selaras dengan budaya adat Minangkabau. Panggilan adat penuh bagi jawatan Orang Kaya Klang pada masa kini ialah Dato’ Bendahara Kuning Klang Orang Kaya Klang Maha Bijaya Klang.

Dari segi sejarahnya, Dato’ Kaya Klang dan Dato’ Engku Klang masing-masing mempunyai orang-orang besar mereka sendiri yang terdiri daripada Tok Batin, Penghulu-Penghulu Adat serta Lembaga Adat. Mengikut adat, Orang-Orang Besar inilah yang akan memilih dan melantik Dato’ Kaya Klang dan Dato’ Engku Klang sekiranya berlaku kekosongan.

Selepas pengasasan Kesultanan Selangor, adat ini diteruskan dengan penambahan peranan Sultan Selangor mengesahkan setiap perlantikan tersebut melalui suatu Istiadat Menjunjung Duli. Akibat Perang Saudara Klang, ramai Penghulu Adat telah meninggal dunia atau lari meninggalkan Selangor akibat kalah perang. Ditambah lagi campurtangan pihak British dalam hal ehwal pentadbiran istana telah menyebabkan istiadat perlantikan tersebut dilupakan.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Kita dapat melihat warisan Klang sebagai salah satu bekas rantau masyarakat Minang di Tanah Melayu pada banyak nama tempat di Klang pada masa kni yang mempunyai persamaan dengan nama-nama tempat di tanah asal masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat dan Negeri Sembilan seperti Jalan Rembau (kini Jalan Tengku Kelana, di mana tempat asal kediaman Tun Perak ketika menjadi Penghulu Klang), Kampung Kuantan (tempat kediaman Rumah Gadang Dato’ Bendahara Kuning), Pengkalan Kampar, Andalas, Bukit Tinggi, Solok dan Lintang.

PESANAN: Mohon rakyat Malaysia sekalian, patuhilah S.O.P ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh dikuatkuasakan di seluruh negera ini. Duduk sahaja di rumah sekiranya tiada urusan penting dan jangan sesekali rentas daerah atau negeri anda. Jangan buat sempadan daerah atau negeri anda sendiri. Sama-samalah kita berdoa dan berusaha untuk memutuskan rantaian penyebaran wabak yang semakin menakutkan ini.

RUJUKAN:

– Buyong Adil, Sejarah Selangor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, & Kementerian Pelajaran Malaysia, 1981.

– Rosiswandy Mohd. Salleh, Sejarah Pengamalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan, Muzium Adat Jelebu, Negeri Sembilan.

– Zuliskandar Ramli & Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman, “Petempatan Masyarakat Zaman Logam di Selangor Berdasarkan Data Arkeologi,” Sari – International Journal of The Malay World and Civilization, 28 (1), 2010, 41-55.

– Khoo Kay Kim, “Klang District and Town: History and Historical Sources,” Kekal Abadi, 8 (2), Jun 1989, 1-16.

– Faisal Surani, “Pemerintahan Sebelum Kesultanan Selangor,” Utusan Malaysia, 19 Disember 2015.

– “Sejarah Negeri Selangor,” Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor, dalam Portal Rasmi Kerajaan Negeri Selangor, dirujuk pada Mei 2021.

– Temubual penulis secara peribadi melalui mesej WhatsApp dan Facebook dengan Penyelidik Sejarah Selangor yang juga pewaris Dato’ Bendahara Kuning Klang, Cikgu Faisal bin Dato’ Surani pada bulan Mei 2021.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.