Kiyai Salleh – Mimpi Ngeri Bintang Tiga

8,866

Selepas Jepun menyerah kalah pada akhir Perang Dunia Kedua (WWII), keadaan ini menyaksikan kewujudan vakum kuasa di Tanah Melayu yang menyaksikan pengganas komunis keluar dari hutan dan memerintah negara selama 14 hari. Tindakan kejam K0mun!s seperti membunuh penduduk awam, merosakkan kemudahan awam dan membakar rumah penduduk menimbulkan kemarahan penduduk sekaligus mendorong kepada tindak balas. Salah satu daripada figura yang melawan ancaman mereka ini ialah Kiai Haji Mohd Salleh Abdul Karim.

Kiai Haji Salleh dilahirkan pada tahun 1916 di Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar. Semasa mudanya, beliau banyak menimba pengetahuan dengan beberapa orang guru termasuk seorang guru di kampung isterinya iaitu Kayu Ara Pasong, Pontian. Antara guru beliau ialah Haji Hussein, Haji Alias dan Haji Adam Samsu di Kampung Raja, Pagoh dan Haji Abdul Fadhil Abu Bakar Banten, seorang ulama yang turut mengajarkan beliau Wirid Khaujakan.

Sebut pasal ini, ada satu anekdot menarik yang dikongsikan oleh penulis biografi ‘Penghulu, Panglima, Kiyai Salleh Abd Karim’, Siti Patonah Muashot, 77. Pada satu ketika, isteri beliau iaitu Hajah Basariah Abdul Latif menuntut cerai dengannya kerana sudah tidak tahan dengan sikap suaminya yang terlalu mengikut darah muda. Pada mulanya, hasrat isterinya mahu dituruti oleh Kiai Haji Salleh. Bagaimanapun, pada satu malam, beliau bermimpi berjumpa seorang ulama yang menasihatinya agar membatalkan hasratnya itu dan turut mengajarkannya beberapa ayat suci al-Quran sebagai panduan hidup, salah satunya semasa melawan ancaman Bintang Tiga.

Selepas melarikan diri dari Singapura selepas WWII tercetus, Kiai Haji Salleh memilih membina kehidupan baru di Parit Gantung, Batu Pahat termasuk menjalankan perniagaan penukaran barang. Tetapi semua itu berubah selepas Jepun menyerah kalah pada akhir perang. K0MUN!S yang keluar dari hutan mula bermaharajalela sekaligus mengancam kehidupan orang awam khususnya di Batu Pahat. Dan ini termasuklah membunuh mana-mana individu yang disyaki bersubahat dengan Jepun dan golongan ulama dengan kemuncaknya pada Ogos dan September 1945. Menurut Ahli Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Johor, Dr Md Akbal Abdullah, tindakan Bintang Tiga ini bertujuan melemahkan kedudukan orang Melayu sekitar Batu Pahat dan Muar sekaligus membolehkan mereka mempengaruhi orang Melayu menerima fahaman komunisme dan Marxisme.

Enggan membiarkan situasi itu berterusan, Penghulu Mukim Empat, Kari Md Saat atau Penghulu Kari cuba mengumpul kekuatan penduduk untuk menyerang balas tetapi gagal. Keadaan ini menyebabkan penduduk kampung mencadangkan nama Kiai Haji Salleh untuk mengetuai penentangan berikutan ketinggian ilmu agama dan ilmu kebatinannya. Selepas dilantik, beliau mengumpul sukarelawan pahlawan tetapi hanya 38 orang sahaja yang tampil berikutan masih ada yang sangsi dengan kewibawaannya. Kesemua 38 orang ini dikumpulkan di rumahnya dan mereka mengadakan persiapan termasuk persiapan berbentuk rohani.

Menurut waris salah seorang anggota Selempang Merah iaitu Mohd Radhi Jamhari, 33, arwah bapanya yang juga bekas imam Masjid Tongkang Pechah, Allahyarham Jamhari Mohd Said merupakan antara pengikut Kiai Haji Salleh. Allahyarham Jamhari turut menceritakan antara amalan anggota Selempang Merah sebelum turun bertarung ialah sentiasa berzikir, berpuasa, sentiasa menjaga solat, bacaan Surah Yaasin dan pelbagai ayat suci al-Quran sebagai amalan sepanjang masa. Kiai Haji Salleh turut menetapkan beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi mereka sebelum mahu bertempur. Persediaan mereka turut dibantu oleh Hajah Basariah yang turut dikenali dengan sisi kewarakannya dan mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi termasuk menyediakan selempang merah untuk pengikut suaminya.

Serangan pertama Selempang Merah berlaku di Kangkar Senangar, Parit Sulong. Komunis yang bersenjatakan senjata api cuba menembak mereka tetapi gagal. Ini kerana tembakan mereka banyak dihala ke atas kerana menyangka Kiai Haji Salleh dan pengikutnya gergasi bersaiz pokok kelapa. Situasi tersebut dimanfaatkan mereka dan satu persatu K0mun!s m4ti dengan parang yang seakan-akan terbang memburu mangsanya.

Menurut Dr Mohd Akbal, pihak K0mun!s menceritakan mereka melihat tentera Selempang Merah bak gergasi yang datang dengan kekuatan ribuan orang padahal kekuatan sebenar mereka tidak lebih daripada 100 orang. Kejayaan Kumpulan Selempang Merah tersebar ke seluruh Batu Pahat dan Muar sekaligus menguatkan keyakinan orang Melayu terhadap kepemimpinan beliau menentang K0mun!s. Selepas itu, lebih banyak serangan dilancarkan di Bukit Naning dan Air Hitam, Muar serta Semerah dan Parit Ju, Batu Pahat.

Usaha mereka memerangi ancaman Bintang Tiga ini turut diselangi usaha perdamaian dari Kiai Haji Salleh bagi membolehkan keamanan kembali dicapai. Tetapi komunis yang ketakutan dan berkeinginan membalas dendam membalas dengan menyerang rumah-rumah orang Melayu dan memb*n*h beberapa penghulu. Hilang sabar dengan kerenah mereka, Kiai Haji Salleh merancang menyerang kubu kuat Bintang Tiga di pusat bandar Batu Pahat iaitu Bandar Penggaram. Kumpulan yang berpangkalan di Bagan ini kemudiannya disertai oleh ratusan orang Melayu dari Batu Pahat dan Muar.

Tatkala mereka bersiap sedia hendak menuju ke Bandar Penggaram, Pegawai Daerah Batu Pahat ketika itu, Dato Onn Jaafar tiba di situ dan memujuk mereka membatalkan hasratnya itu. Ini berikutan hasil pertemuannya dengan masyarakat Cina di situ sebelum bertemu dengan Kiai Haji Salleh, mereka bimbang jika kumpulan Selempang Merah tiba di Penggaram, bandar tersebut akan menjadi padang jarak padang tekukur dan ramai akan m4t! berikutan ketinggian ilmu kebatinan yang dimiliki anggota Selempang Merah. Tambah Siti Patonah, Dato Onn juga punya sebab sama iaitu menyelamatkan keluarganya daripada menjadi mangsa kekejaman Bintang Tiga sekiranya dapat memujuk Selempang Merah membatalkan serangan.

Selepas serangan ke atas Bandar Penggaram dibatalkan, Kiai Haji Salleh menyertai Dato Onn menghadiri mesyuarat bersama penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua masyarakat Cina dan ketua Bintang Tiga di Dewan Perniagaan Cina di Jalan Rahmat. Hasil mesyuarat menyaksikan semua pihak bersetuju menghentikan semua bentuk provokasi dan serangan.

Sejak itu, Batu Pahat dan Muar kembali aman seperti sediakala. Sebagai menghargai jasa Kiai Haji Salleh, Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar menitahkan beliau dan Dato Onn mengadap baginda di Istana Besar Johor Bahru pada 26 Disember 1945. Baginda berkenan menganugerahkan gelaran Panglima kepada Kiai Haji Salleh dan menitahkannya mengambilalih jawatan Penghulu Empat menggantikan Penghulu Kari yang meninggal dunia pada Julai 1945.

Selain menjadi tokoh yang bertanggungjawab mengembalikan keamanan Muar dan Batu Pahat, Kiai Haji Salleh juga merupakan antara tokoh Johor yang bangkit menentang gagasan Malayan Union menerusi kerjasamanya dengan Dato Onn. Dengan statusnya sebagai seorang ulama, tidak hairanlah beliau juga amat menitikberatkan soal pendidikan terutama dalam kalangan orang Melayu. Menerusi hasil derma orang ramai, beberapa sekolah dapat didirikan termasuk Sekolah Seri Laksana, Sekolah Seri Chomel dan Sekolah Seri Cantik. Sekolah-sekolah ini masih wujud hingga hari ini walaupun selepas diambilalih oleh pihak kerajaan.

Pada tahun 1955, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan gelaran Pingat Ibrahim Sultan (PIS) kepada Kiai Haji Salleh pada September tahun berkenaan. Empat tahun kemudian atau lebih tepat 21 April 1959, beliau kembali ke rahmatullah pada usia 43 tahun selepas diserang penyakit radang paru-paru di Hospital Besar Johor Bahru.

SUMBER

1. Noh, Mohamed Farid. (2016). Selempang Merah bangkitkan semangat lawan komunis. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/node/141989

2. Noh, Mohamed Farid. (2016). Amukan Panglima Salleh lenyapkan kekejaman komunis. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/node/142279

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.