Kitab Paling Tua Di Alam Melayu

1,780

Mengikut pemerhatian saya, kitab tertua yang dikarang di Alam Melayu yang dapat dikesan setakat ini ialah kitab yang diberi judul Durbodhaloka.

Durbodhaloka yang bermaksud ‘Pencahayaan Titik-titik yang Sukar Difahami’ adalah sebuah karya agama Buddha peringkat tinggi yang dihasilkan oleh seorang sami besar bangsa Melayu yang bernama Dharmakirti atas perintah Maharaja Srivijaya.

Durbodhaloka diperkirakan ditulis pada penghujung abad ke-10. Dalam mukadimah kitab ini, Dharmakirti menulis seperti berikut:-

“Aku (Dharmakirti) telah mengarang (karya ini) yang diberi tajuk Durbodhaloka (Pencahayaan Titik-titik yang Sukar Difahami). Jika dalam usaha mengarang buku ini, aku telah menulis sesuatu yang tidak wajar, semoga Tuhan yang bijaksana mengampuni aku… Samapta (telah selesai) Durbodhaloka ini, dikarang di pura (kota) Srivijaya di Suvarnadvipa (pulau emas) pada hari ke-11 bulan pertama Phalguna…”

Dharmakirti merupakan seorang sami besar berbangsa Melayu yang berkhidmat sebagai penasihat agama yang utama kepada Maharaja Srivijaya. Beliau memiliki ramai anak murid dari serata dunia.

Antara anak muridnya yang termasyhur ialah Atisha yang kemudian menjadi sami besar di Tibet. Atisha telah datang ke Alam Melayu dan berguru dengan Dharmakirti. Beliau kemudiannya telah membawa kitab Durbodhaloka ke Tibet lalu diterjemahkan ke dalam bahasa Tibet.

Setakat ini, hanya Durbodhaloka kitab warisan Srivijaya dan Alam Melayu pra Islam yang masih ada. Namun sebenarnya aktiviti penulisan kitab telah aktif di Srivijaya sejak abad ke-7 Masihi memandangkan kota-kota Srivijaya menjadi pusat pengajian agama Buddha yang terulung di dunia di samping Nalanda.

Namun kitab-kitab Buddha yang banyak dihasilkan di Srivijaya masih belum ditemui.
Srivijaya sebagai pusat pengajian Buddha yang terulung di dunia dibuktikan dari catatan seorang sami besar dari China yang bernama Yijing. Beliau datang untuk menuntut ilmu di Srivijaya ( Palembang dan Jambi) sekitar tahun 671 Masihi. Yijing menulis :-

“Di dalam kota Srivijaya, terdapat lebih seribu orang sami Buddha yang menumpukan fikiran mereka terhadap pengajian dan kerja-kerja murni. …. Jika seorang sami China ingin ke barat (Nalanda) untuk memahami dan membaca (teks asal Buddha) di sana, dia adalah lebih bijak jika dia menghabiskan masa setahun ataupun dua tahun di Srivijaya dan mengamalkan peraturan yang betul di situ.”

Terdapat juga bukti bahawa Dharmakirti itu sebenarnya berpusat di Kedah Tua. Hal ini saya terangkan dengan lebih terperinci dalam buku saya yang akan datang.

Gambar: Candi Muara Jambi yang pernah berfungsi sebagai pusat pengajian atau Universiti Buddha sejak abad ke-7 Masihi. Di sini ribuan sami-sami dari serata dunia pernah menuntut ilmu pengajian Buddha dari guru-guru mereka yang berbangsa Melayu.

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.