Kitab-Kitab Yang Diharamkan: Apa Alasan Mahkamah?

0
1886
views
  1. Buku Putera Gunung Tahan oleh Pak Sako (Ishak Hj Mohamad) adalah buku pertama yang diharamkan bawah rejim penjajah British atas alasan menyindir dan menentang pegawai British yang menduduki dan mentadbir Tanah Melayu pada ketika itu. Novel ini telah ditulis pada tahun sebelum Malaysia mengalami kemerdekaan iaitu pada tahun 1937.
  2. 30-09-1971 P.U. (A) 331 adalah Tarikh Warta Perintah Larangan pertama yang dikeluarkan kepada buku Mao Tse-Tung Yang Agong Ada-Lah Gilang Gemilang selepas Malaysia diisytiharkan merdeka pada 1957. Sehingga kini (28 Disember 2017), jumlah buku yang dikeluarkan perintah larangan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah sebanyak 1691 buah.1
  3. Terbaharu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku pemimpin DAP Datuk Zaid Ibrahim dan aktivis sosial Benz Ali. Pengharaman Assalamualaikum: Observations on the Islamisation of Malaysia karya bekas menteri itu diwartakan pada 19 Disember lalu. Sama juga dengan buku Antithesis Benz Ali yang diwartakan pada tarikh yang sama setelah ditandatangan Menteri Dalam Negeri pada 4 Disember lalu.2
  4. Antara kes-kes pengharaman buku yang selalu kita dengar tentulah buku-buku tulisan Faisal Tehrani. Nama sebenar Faisal Tehrani ialah Mohd Faizal Musa penerima Anugerah Seni Negara pada 2006, kini bertugas sebagai Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Faisal Tehrani adalah satu-satunya sasterawan marginal yang melawan untuk ‘membebaskan’ karya-karyanya melalui tindakan mahkamah, mencabar perintah larangan tersebut.
  5. Sampai sekarang, sudah tujuh (7) buku tulisan beliau sudah diharamkan sejak 2013 iaitu (mengikut turutan):
  6. Perempuan Nan Bercinta, Terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad, Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), (Tarikh Warta: 22-04-2014 P.U.(A)     111)
  7. Ingin Jadi Nasrallah, Terbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd., Percetakan Maju Jaya Sdn. Bhd.        (Tarikh Warta: 01-04-2015 P.U.(A) 67)
  8. Tiga Kali Seminggu, Terbtan Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd., Percetakan Maju Jaya Sdn. Bhd. (Tarikh Warta: 01-04-2015 P.U.(A) 67)
  9. Karbala, Terbitan Abeerdeen Books World, Cetak Jitu Sdn. Bhd., (Tarikh Warta:       01-04-2015 P.U.(A) 67)
  10. Sebongkah Batu Di Kuala Berang, Terbitan PTS Litera Utama Sdn. Bhd. Percetakan Zafar Sdn. Bhd. (Tarikh Warta: 01-04-2015 P.U.(A) 67)
  11. Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan, Terbitan Unit Buku Harakah, Percetakan Maju Jaya     (Tarikh Warta: 22-04-2016 P.U.(A) 108)
  12. AKU___, MAKA AKU ADA! Terbitan Dubook Press Sdn Bhd, Percetakan             Mutalib Uthman, (Tarikh Warta: 28-09-2017 P.U.(A) 279)
  13. Sepanjang pemerhatian, terdapat beberapa kes Malaysia yang dilaporkan berkaitan dengan pengharaman buku ini. Antaranya adalah buku Kehuruharaan Sayap-Kiri Yang Mentah Dalam Pergerakan Komunis; buku Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism, oleh Sisters in Islam (SIS) yang diharamkan pada 31 Julai 2008 yang kemudiannya ditarik balik perintah tersebut selepas memenangi kes di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 2010; buku Allah, Kebebasan & Cinta oleh Irshad Manji dan selebihnya adalah empat (4) buku Faisal Tehrani iaitu Sebongkah Batu Di Kuala Berang, Karbala, Tiga Kali Seminggu dan Ingin Jadi Nasrallah macam yang disebutkan.
  14. Kehuruharaan Sayap- Kiri Yang Mentah Dalam Pergerakan Komunis oleh Lenin terbitan Biro Penerbitan Penerangan Moscow, Bahasa: Cina, Tarikh Warta: 17-08-1972 P.U. (a) 248. Kes ini dilaporkan dalam Chong Chong Wah v Sivasubramaniam [1974] 1 MLJ 38 berkenaan dengan rampasan buku yang diharamkan ini kerana dikatakan akan mewujudkan ketidaktenteraman awam.
  15. Buku Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism oleh SIS adalah buku setebal 215 halaman, yang diterbit pada Oktober 2005, mengandungi himpunan esei oleh aktivis dan intelektual antarabangsa.3 Buku ini disunting oleh ahli sosiologi, Profesor Norani Othman dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).4 Kes ini adalah kes pertama di Malaysia yang mencabar pengharamannya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Kes ini dilaporkan dalam SIS Forum (Malaysia) v Dato Seri Syed Hamid Albar bin Syed Jaafar Albar [2009]4 dan Dato’ Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar (Menteri Dalam Negeri) v. SIS Forum (Malaysia) [2012] 6 MLJ 3405 . Dalam kes ini, buku ini dikatakan (setelah KDN mendapat nasihat JAKIM):

“[m]enyentuh kesucian Islam, mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah dengan Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah serta bertentangan dengan fatwa atau pednapat Jumhur Ulama dan menimbulkan keraguan dan kegelisahan awam.”

  1. Buku Allah, Kebebasan & Cinta oleh Irshad Manji Terbitan ZI Publications Sdn. Bhd. Cetakan Nexis Print Solution Enterprise (Tarikh Warta: 29-05-2012 P.U. (A) 162). Buku ini dikatakan berkenaan dengan penyebaran Islam yang liberal. Perintah larangan ini dicabar di mahkamah dan dilaporkan dalam ZI Publications Sdn Bhd & Anor v. Kerajaan Negeri Selangor; Kerajaan Malaysia & Anor (Intervener) [2015] 8 CLJ 621. Dalam kes ini, buku ini didakwa:

“[d]isyaki melakukan kesalahan di bawah s. 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah   (Selangor) 1995 iaitu (1) Mana-mana orang yang:-

(a) mencetak, menyiarkan, menerbitkan, merakamkan atau menyebarkan dengan apa-apa cara apa-apa buku atau dokumen atau apa-apa bentuk lain rakaman yang mengandungi apa-apa jua yang bertentangan dengan Hukum Syara’; atau

(b) ada dalam miliknya apa-apa buku, dokumen atau bentuk lain rakaman sedemikian untuk dijual atau bagi maksud untuk disebarkan dengan apa-apa cara lain,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mahkamah boleh memerintahkan supaya mana-mana buku, dokumen atau bentuk lain rakaman yang disebut dalam subseksyen (1) dilucuthakkan dan dimusnahkan walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan berkaitan dengan buku, dokumen atau bentuk lain rakaman itu.”

  1. Buku-buku Faisal Tehrani pula, macam yang dilaporkan dalam Mohd Faizal Bin Musa v Minister of Home Affairs [2016] 1 LNS 1366, didakwa seperti berikut:

“iv) [P]emohon kagum dan berkeinginan menjadi seperti Hassan Nashrullah iaitu pemimpin Hizbullah, gerakan Syiah di Lubnan. Kekaguman terhadap tokoh syiah ini jelas menampakkan kepercayaan Pemohon terhadap Syiah;

v) [P]emohon juga memburuk-burukkan khalifah kedua Bani Umaiyyah iaitu Yazid anak Saidini Mu’awiyah bin Abu Sufyan dengan mengatakan Yazid adalah golongan fasik dan menyamakan seperti Zionis dan Hitler. Ungkapan “kita tidak boleh mengamalkan politik kotor ala Muawiyah dan Yazid” jelas menghina sahabat Rasulullah dan adalah merupakan ungkapan yang sering digunakan oleh penganut Mazhab Syiah;

vi) Isi kandungan 4 Buku tersebut memuatkan ayat provokasi “wajib kita tebus kembali” untuk membangkitkan rasa marah terhadap Saidina Abu Bakar RA dan para                     sahabat beliau (dalam peristiwa rampasan Tanah Fadak) dan provokasi sebegini     dikhuatiri akan mewujudkan perbalahan antara golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan  golongan Syiah seperti yang berlaku di Syria sekarang;

vii) Dalam hal ini, saya telah dinasihatkan oleh pakar-pakar daripada JAKIM dan sesungguhnya percaya bahawa memandangkan Negara ini mengamalkan ajaran Islam berdasarkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah ini dikhuatiri boleh mencetuskan ancaman keselamatan di kalangan ummah seperti yang berlaku di sebahagian Negara Arab sekarang;

viii) Secara keseluruhannya, 4 Buku tersebut banyak mengandungi idea-idea yang mempropagandakan pegangan Syiah dan dikhuatiri akan menimbulkan kemarahan umat       Islam di Malaysia. Pemikiran sebegini boleh membawa kepada kecelaruan antara umat    Islam dan seterusnya mencetuskan suasana tidak tenteram di kalangan ummah sehingga       boleh membawa kepada perpecahan umat Islam yang mana akan memprejudiskan ketenteraman awam sekiranya ia dibiarkan berleluasa;

ix) Tindakan saya mewartakan dan 4 Buku tersebut sebagai buku yang dilarang pencetakan dan pencetaknya selaras dengan bidang kuasa yang diberikan kepada saya untuk mengelakkan kekeliruan orang awam secara khususnya umat Islam di Negara ini dengan karya-karya yang cenderung ke arah ajaran Syiah yang ditulis oleh Pemohon dalam 4 Buku tersebut.

x) Oleh itu, suatu keputusan dan tindakan segera harus dilaksanakan bagi menyekat 4 Buku tersebut daripada, antara lainnya, terus dicetak, diterbit dan/atau dipasarkan kepada umum di Negara ini.” (hlm. 10-11)

ALASAN PENGHARAMAN

  1. Kalau dibaca kes dan melihat dakwaan-dakwaan yang dibuat, sekurang-kurangnya ada tiga (3) isu atau asas pengharaman iaitu; (1) buku-buku tersebut bertentangan dengan “tunjang utama Islam (terjemahan kasar kepada “basic precepts of Islam”) lalu (2) menggugat keamanan awam dan (3) isu bidang kuasa pihak berkuasa (secara teknikal dan substantif).
  2. Isu “basic precepts of Islam” ini diambil kira dalam kes SIS, ZI Publication dan Faisal Tehrani. Dalam Zi Publication sebab tuntutan ini berkaitan dengan isu perlembagaan sebab disebut bawah Senarai II Jadual ke-9 Perlembagaan pasal bidangkuasa Negeri. Jadi, dalam Dalam kes ini, mahkamah mengambil definisi dalam kes pasal pengharaman penyebaran ajaran Ayah Pin iaitu Sulaiman Takrib v. Kerajaan Negeri Terengganu; Kerajaan Malaysia (Intervener) & Other Cases [2009] 2 CLJ 54 oleh Abdul Hamid Mohamed CJ bahawa:

“Isu “basic precepts of islam” ini termasuklah undang-undang atau syariah. Perlembagaan guna terma Undang-Undang Islam (kalau Melayunya Hukum Syariah). Di peringkat Persekutuan dengan Negeri, dua terma ini dipakai secara bertukar-tukar.”

Waqaf Saham

Kalau ikut konteks, “basic precepts of Islam” ini berdasarkan Ariffin Zakaria CJ dalam kes Fathul Bari Mat Jahya & Anor v. Majlis Agama Islam Negeri Sembilan & Ors [2012] 4 CLJ 717 adalah aqidah, akhlak dan syariah. Jadi sebab itu Negeri ada bidangkuasa gubal undang-undang pasal undang-undang Islam ini tertakluk kepada Senarai II Jadual 9 Perlembagaan. Maka bila ada bidangkuasa, Negeri ada kuasa buat sekatan macam pengharaman buku ini ikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri masing-masing. Isu bidang kuasa (Isu 3) ini dalam kes Zi Publication dicabar sebab dikatakan bertentangan dengan fasal kebebasan Artikel 10 dalam Perlembagaan yang mengatakan hanya Parlimen sahaja boleh menyekat hak ini dan bukannya Dewan Perundangan Negeri Selangor. Kes ini lebih kepada isu pentafsiran “siapa sebenarnya ada bidang kuasa dalam Perlembagaan untuk sekat hak dan kebebasan?”.

  1. Isu yang paling menarik adalah isu 2 iaitu tentang menggugat keamanan. Dalam Perlembagaan, apa-apa undang-undang boleh dibuat untuk menyekat hak dan kebebasan dengan syarat hak tersebut antaranya menggugat ketenteram awam atau keselamatan awam bawah Artikel 10(2) yang gunakan terma “public order”. Isu ini dalam kes SIS, mahkamah berpendapat bukti kepada ketenteraman awam tergugat itu perlu dibuktikan sebab buku-buku SIS ini dah berada di pasaran secara terbuka selama dua tahun. Abdul Wahab Patail HMR putuskan:

“Jika tiada keterangan yang menunjukkan bahawa terdapat kemudaratan kepada ketenteraman awam dikemukakan, kesimpulannya mestilah bahawa tiada kemudaratan berlaku pada ketenteraman awam. Jika dalam tempoh dua tahun buku itu berada dalam peredaran, dan tiada kemudaratan berlaku terhadap ketenteraman awam, maka ia boleh dikatakan bahawa buku itu mungkin tidak akan memudaratkan ketenteraman awam. Untuk berpuas hati bahawa buku itu akan memudaratkan ketenteraman awam walau pun pada hakikatnya tiada kemudaratan pada ketenteraman awam berlaku dalam tempoh dua tahun buku itu berada dalam peredaran, adalah keterlaluan dan melampau serta tidak logik sehingga ia terangkum dalam maksud ketidakmunasabahan Wednesbury dan tidak rasional.”

 

  1. Asas inilah yang cuba dipakai oleh Faisal Tehrani tentang buku-buku beliau sebab sudah lebih 6 tahun buku-bukunya dipasarkan. Tambahan ada yang diterbitkan oleh majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam kes ini, Hakim Hanifah Fakhrullah berdasarkan kes Darma Suria bin Risman Saleh v. Menteri Dalam Negeri, Malaysia & Ors [2010] 3 MLJ 307 memutuskan bahawa terma “prejudicial to public order” dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 ini tak semestinya perlu dibuktikan secara zahir dan jelas. Maksudnya, masyarakat awam tak perlu dibuktikan sasau, gelisah, resah dan sebagainya apabila membaca karya-karya yang diharamkan ini. Terma ini juga cukup untuk merangkumi potensi yang membawa kepada keadaan ketidaktenteraman awam yang boleh menjejaskan tempo kehidupan masyarakat (hlm. 313). Berdasarkan alasan ini, cukup untuk menjustifikasikan perintah larangan yang dikeluarkan terhadap Faisal Tehrani.
  2. Jadi kenapa berbeza keputusan kes SIS dan Faisal Tehrani? Dalam kes SIS, hujahan tentang potensi ini tidak wujud/dibangkitkan dalam persoalan kes SIS berlawanan dengan kes Faisal Tehrani apabila hakim dalam keputusannya menyebut tentang isu ini. Keduanya (persepsi sahaja), buku SIS adalah buku ilmiah manakala buku-buku Faisal adalah fiksyen yang memberikan pemberat kepada buku SIS yang kelihatan lebih jelas dan objektif untuk akademia kerana buku tersebut adalah himpunan esei dan kritikan berbanding buku fiksyen Faisal. Kedudukan kandungan buku ini waima kecil bezanya, namun ada nilai objektifnya di sisi undang-undang.

MUHASABAH

  1. Memang jika dilihat, adalah tugas mahkamah perlu membaca dan mentafsir peruntukan undang-undang yang ada. Mahkamah tidak boleh tinggalkan peruntukan tersebut kerana doktrin pengasingan kuasa (waima tidak secara tegar) tidak membenarkan mahkamah untuk membuat keputusan yang dilihat sebagai menggubal undang-undang. Tugas atau kuasa ini adalah milik Parlimen sebagai badan legislatif negara. Tapi dalam beberapa keadaan, ruang tetap ada untuk mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk memastikan keadilan dapat dicapai terutamanya dalam perkembangan nilai intelektual masyarakat dan hak pembaca untuk menyaring sendiri pemikiran bahan bacaan yang dibaca mereka.
  2. Demi mencapai perubahan ini, bukan sekadar pemerintah perlu faham fungsi sesebuah buku ditulis untuk memandaikan masyarakat, penulis juga bertanggungjawab menulis bahan bacaan bermutu yang meningkatkan intelek awam (baca: selalunya isu-isu yang dikira tabu dan bertentangan itulah yang memacu manusia mula mempersoal dan berfikir) lalu melawan dan mencabar pengharamannya di mahkamah dan pembaca haruslah mulai daripada sekarang bertanggungjawab memilih buku-buku terbaik untuk pembangunan akalnya dan menegahkan haknya untuk mendapat akses kepada buku-buku yang buat mereka berfikir.
  3. Pengharaman ini seperti kata Faisal, adalah gejala pengongkongan yang agam. Ia bukan sahaja kekangan untuk pengarang berkarya & menawarkan solusi. Tetapi juga adalah usaha pembaca dinafikan hak memilih yang alternatif.
  4. Dalam dunia abad 21 ini, pengharaman buku ini semacam tak mengikut jalur realiti zaman internet dan media sosial. Buku adalah untuk dibaca dan dikaji. Perbezaan pendapat adalah untuk dikongsi dan didebatkan. Ilmu adalah untuk semua. Pengharaman hanya membawa kita lebih terkebelakang untuk bangun sebagai satu tamadun yang kaya dengan budaya keilmuan.

 

TRIVIA:

  1. Kebanyakan buku-buku yang diharamkan menyentuh/bertemakan isu agama, kepercayaan, ideologi dan dogma-dogma tertentu.
  2. Selain karya-karya sastera, buku-buku yang diharamkan adalah buku-buku ilmiah.
  3. Berapa ramaikah yang sudah membaca karya-karya Faisal Tehrani atau buku-buku yang diharamkan oleh KDN?

 

NOTA KAKI

[1] Senarai penerbitan haram di lawan web rasmi Kementerian Dalam Negeri : http://epq.kdn.gov.my/e-pq/index.php?mod=public

 

2 ‘Buku Zaid Ibrahim, Benz Ali diharamkan’, Laman Berita The Malay Mail Online, (28 Disember 2017), http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/buku-zaid-ibrahim-benz-ali-diharamkan#umGiiTjKXbM2sump.97 > diakses pada (28 Disember 2017).

 

3 Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-mahkamah/2013/03/14/mahkamah-persekutuan-benarkan-buku-terbitan-sisters-in-islam/#b2v51Id8euAPdrdt.99

 

4 Utusan Malaysia – Larangan buku tidak munasabah – mahkamah (28 Julai 2012), Laman Web Rasmi Sister in Islam, http://www.sistersinislam.org.my/news.php?item.1093.27 >diakses pada (28 Disember 017).

 

5 Satu aplikasi Semakan Kehakiman No. R3-25-347-2008 kepada perintah tersebut

 

6 Kes yang dirayu oleh KDN ke Mahkamah Rayuan.

 

BIBLIOGRAFI

Jeniri Amir, ‘Pengharaman Buku Islam: Antara Kawalan Dengan Kebebasan’, Laman Web Yayasan Pembangunan Buku Negara, Yayasan Pembangunan Buku Negara, 13 Disember 2016,  http://ypbn.my/ms/blog/2016/12/pengharaman-buku-islam-antara-kawalan-dengan-kebebasan/ >diakses pada (28 Disember 2017).