Kita Nak Guna Tionghoa Atau Cina?

0
689
views

Den tertarik dengan penggunaan istilah “Tionghoa” dalam laporan NST ini. Sebab penggunaan Tionghoa untuk merujuk kepada Cina bukan amalan biasa Malaysia, tapi biasa diamalkan di Indonesia. Negara China pun diorang panggil “Tiongkok”.

Mungkin niat baik editor (atau cadangan dari Samantha sendiri, den tak tau), takut istilah “Chinese” menimbulkan kekeliruan maksud “orang lahir China”, lagi-lagi di zaman Malaysia Baharu yang menitikberatkan “political correctness”. Tapi tak juga, adakah kita rasa keliru dengan “American of German descent”, “Obama, a U.S. President of Kenyan descent”, atau “Malaysian Malay of Javanese descent”? Tak kan.

Mungkin ada yang pernah dengar bahawa istilah “Cina” mempunyai konotasi negatif di Indonesia disebabkan ia ditetapkan oleh rejim Suharto yang mengamalkan dasar mendiskriminasi kaum Cina. Tapi dalam konteks Malaysia, istilah Cina tak ada unsur negatif pun.

Istilah Cina sebenarnya berasal dari istilah Sanskrit “Cina” yang digunakan oleh orang India, yang kemudiannya diguna oleh orang Arab (Sin), orang Jepun (Shina), orang Perancis (Chine) dan orang Inggeris (China). Dalam Sulalatus Salatin pun guna istilah Cina.

“Cina” merujuk kepada Dinasti Cin (atau “Qin” dalam Mandarin moden) yang telah membina empayar orang Cina yang pertama pada tahun 221 Sebelum Masihi (sebelum itu di tanah China terdapat beberapa “kingdom” yang kecil, Cin yang menyatupadukan semua dan mewujudkan satu common identity). Setiap kali bertukar dinasti, nama “orang Cin” pun bertukar: Dinasti Han panggil “orang Han”, Dinasti Tang panggil “orang Tang”, Dinasti Song panggil “orang Song”.

Tapi disebabkan Dinasti Han (202 SM hingga 196 Masihi) adalah dinasti paling kuat dan merupakan zaman keemasan orang Cina yang pertama, maka secara “default” orang Cina menamakan diri sebagai “orang Han” (汉人). Di China sekarang pun masih guna pakai klasifikasi “orang Han”, “orang Hui”, “orang Mongol”, “orang Uyghur” dan sebagainya.

Waqaf Saham

Tapi bagi orang Cina yang duduk di sebelah wilayah-wilayah selatan China iaitu Fujian (Hokkien, Teochew, Foochow), Guangdong dan Guangxi (Kantonis), Hainan dan juga orang Hakka, mereka guna istilah “orang Tang” atau “Tangren” (唐人). Sebab pada Dinasti Tang (tahun 618-907), orang-orang Cina Selatan ni mula berdagang dan berlayar ke luar China, jadi bila ditanyakan mana asal mereka, mereka pun membahasakan diri sebagai “orang dari Tang”.

Nama Kampung Cina di Kota Bharu ialah “Tangren-po” (唐人坡), Petaling Street pula namanya ialah “Tangren-jie” (唐人街). Sebutan “Tangren” ni berbeza ikut dialek. Kalau orang Hokkien sebut “Tng Lang”, orang Hakka sebut “Tong Ngin”, orang Kantonis sebut “Tong Yan”. Yang orang duk sebut “Tongsan” (唐山) tu istilah orang Kantonis bagi tanah besar China, merujuk kepada Dinasti Tang.

Manakala istilah “Tionghoa” (atau “Zhonghua”/”Chunghua” dalam Bahasa Mandarin) sebenarnya merupakan istilah yang agak moden. Ia dicipta oleh pemikir nasionalis bernama Liang Chi Chao (1873-1929). Idea Liang adalah untuk menyatupadukan semua kaum-kaum Han, Manchu, Hui, Mongol dan Tibet jadi satu bangsa baru bernama “Chunghua” (中华). Jadi selepas keruntuhan Dinasti Qing pada tahun 1911, Republik China atau “Chunghua Minkuo” didirikan. Selepas komunis menguasai China pada 1949, mereka menamakan negara baharu sebagai Republik Rakyat China atau “Zhonghua Renmin Gongheguo”.

Perkataan Chunghua ini mula dipakai oleh Cina di Tanah Melayu yang berhaluan nasionalis China. Sebab sebelum 1946, majoriti orang Cina di Tanah Melayu masih menganggap diri tu rakyat China yang mencari rezeki di Tanah Melayu. Jadi mereka anggap diri sebahagian daripada negara-bangsa Chunghua tersebut. Sekolah-sekolah Cina (kubu gerakan nasionalis China) mula pakai nama Chunghua misalnya sekolah pendahulu kepada “SMK Chong Hwa” dan “SMK Tiong Hua”. “Tionghoa” ni sebutan “Chunghua” dalam dialek Hokkien.

Jadi jangan rasa was-was nak pakai Cina atau Tionghoa, mana-mana pun boleh. Kalau ikutkan den lagi suka “Cina” sebab ia lebih neutral. Perkataan “tiong” dalam “Tionghoa” bermaksud “tengah” jadi ia mempunyai konotasi “Sino-centrism” yang melihat orang Cina sebagai “center of the world” (“Tiongkok” atau “Zhongguo” sebenarnya bermaksud “middle state” atau “middle kingdom”).

Disebabkan “Tionghoa” ni sebutan Hokkien, ia agak janggal dalam masyarakat Cina Malaysia sebab Hokkien bukan absolute majority seperti di Indonesia atau Singapura. Den yang berdarah Kantonis-Hakka memang tak setuju lah kalau nak pakai “Tionghoa”. Tapi kalau pakai “Zhonghua” atau “Chonghwa” lagilah pelik, elok kekalkan isitilah “Cina” saja.

Itu pandangan den lah. Kalau korang tanya Cina lain mungkin diorang tak kisah pun kot. Kan sekarang semua dah mengaku diri Bangsa Malaysia kan. Kan?