Kita Nak Berperang Dengan Siapa?

1,923

“Kita nak berperang dengan siapa?”

Persoalan di atas sering diajukan oleh sesetengah warga Malaysia terutama apabila ada perolehan penting yang melibatkan aset ATM. Terus terang saya katakan, soalan ini sangat naif. Soalan-soalan dan kenyataan seperti:

“Buat apa beli senjata canggih, kita bukannya nak berperang pun! Baik guna wang rakyat tu untuk bina sekolah, rumah, hospital!”

“Kita nak berperang dengan siapa? Siapa musuh kita? Kita negara aman, bukan? Buatlah hubungan diplomatik. Berundinglah.”

“Beli senjata perang canggih tapi tak guna pun, kita bukan ada musuh, bukan nak berperang pun.”

Persoalan yang saya paparkan di atas merupakan sekelumit psyche masyarakat kita. Bermula daripada strata paling bawah sehinggalah dalam kalangan pemimpin yang memandang enteng pertahanan nasional.

Jadi, kita nak berperang dengan siapa?

Kita tidak mahu tercetusnya konflik atau pecah perang dengan sesiapa pun.

Namun, tujuan pertahanan negara adalah untuk mempersiapkan tanah air daripada ancaman perang yang boleh muncul pada bila-bila masa, yang boleh tercetus tanpa kita sangka, yang boleh meledak dan merebak bagaikan api yang liar membakar.

Saya berikan perumpamaan yang mudah bagi menggambarkan siapa musuh kita dan mengapa perlunya persiapan untuk mempertahankan negara kita.

Anda punya rumah, bukan? Anggap rumah anda itu sebagai negara anda untuk seketika.

Anda membina rumah anda dengan sejumlah wang bagi mengisinya dengan perabot dan hiasan dalaman serta melengkapinya dengan storan yang penuh dengan bekalan makanan supaya ia selesa untuk didiami. Anda juga membuat pengubahsuaian pada rumah anda seperti menambah bilik tidur dan menjadikan dapur terbuka yang lengkap dengan kelengkapan memasak. Kemudian, di laman belakang pula ada sebidang tanah kecil yang membolehkan anda menanam sayuran dan buah-buahan. Tidak lupa anak-anak anda juga disediakan dengan bilik tidur setiap seorang.

Anda anggap isi di dalam rumah dan keluarga anda itu sebagai lambang aset negara. Jiran sebelah rumah anda adalah saya, juga mempunyai rumah dengan isi dalaman dan luaran yang hampir serupa. Namun, perbezaan rumah anda dengan rumah saya ialah saya mempunyai beberapa keupayaan untuk mencegah rintang yang bertujuan untuk mempertahankan diri, sedangkan rumah anda adalah sebaliknya.

Walaupun tidak berpagar, rumah saya dilengkapi lampu limpah yang teraktif apabila sensor mengesan pergerakan, kamera litar tertutup dengan imej inframerah dan pandangan malam yang memantau keadaan sekeliling rumah saya. Seterusnya, ditambah dengan sensor penggera yang terintegrasi dengan pintu dan tingkap rumah. Kemudian, dilengkapi dengan ayat pendinding yang dibaca sekeliling rumah setelah masuk berpindah.

Bagaimana dengan rumah anda?

Rumah anda hanya ada pintu dan selak biasa, tingkap tidak bergril, tiada penggera atau kamera litar tertutup, bahkan anda sendiri tidak pernah mengadakan bacaan doa atau pendinding ghaib. Pada satu petang yang nyaman dengan angin sepoi-sepoi bahasa, kita sama-sama duduk berbicara. Anda mempersoalkan kenapa saya perlu memasang sistem keselamatan sebegitu rupa, sedangkan setelah puluhan tahun tinggal di taman perumahan tersebut tidak pernah terjadi insiden rompakan atau kecurian, lalu saya membalas dengan jawapan, “Sediakan payung sebelum hujan.”

Hal ini demikian kerana kita tidak tahu bila akan terjadi perkara sedemikian dan apabila ia berlaku sekurang-kurangnya kita telah bersedia dan mampu untuk melawan jika pencegahan tidak memadai.

Ketika perbualan itu, saya sudah pun mendapatkan lesen senjata. Kini, saya memiliki senapang patah walhal rumah anda masih lagi tidak bergril, namun kemewahan rumah anda semakin bertambah dan kekayaan anda melimpah-ruah.

Maka, pada satu hari sekumpulan penyamun masuk ke taman perumahan dengan niat ingin melakukan rompakan, perogolan dan samun ke atas rumah-rumah yang ada secara terang-terangan. Mereka datang dengan senjata tajam, lalu terlihat rumah anda yang mudah dimasuki. Mereka menyerbu serta mula mengancam anda dan keluarga anda. Sedangkan di rumah saya, mereka masih cuba-cuba untuk masuk tetapi gagal.

Ketika saya melihat dari jendela rumah, anda sedang ketakutan. Keluarga anda sedang diancam dan harta benda anda sedang dirompak. Lampu limpah dan kamera litar tertutup merakam segala tindak-tanduk penyamun tersebut.

Anda ingat senapang patah yang saya ada tadi?

Dua orang perompak yang cuba memecah masuk rumah saya maut akibat bedilan peluru penabur, lantas saya keluar membantu anda dan menembak mati seorang lagi penyamun sebelum yang lain melarikan diri.

Situasi di atas hanya sekadar analogi bagi memudahkan lagi pemahaman masyarakat awam berkenaan peri penting keselamatan dan pertahanan nasional.

Cuba anda ubah analogi rumah tadi sebagai negara, harta benda di dalam rumah sebagai kekayaan sumber negara dan keluarga sebagai rakyat. Sementara senapang patah, tingkap bergril, kamera litar tertutup dan lampu limpah sebagai tentera atau senjata pertahanan. Perompak pula sebagai musuh yang kita tidak tahu bila dan dari mana ia akan muncul untuk membuat onar, manakala anda sebagai pemimpin negara yang menentukan hala tuju keselamatan rumah atau negara anda tadi.

Musuh negara sebelum ini adalah sangat jelas, yakni ancaman pengganas komunis (PKM) dan PARAKU yang berterusan sehingga hujung era 80-an. Maka, cara mencegah dan menentangnya adalah berbeza, iaitu dengan pertempuran gerila yang memerlukan keupayaan dan kecekapan sumber manusia serta inteligensia yang padu.

Setelah tamat era pemberontakan, pasukan keselamatan negara memfokuskan pada peningkatan kekuatan tempur konvensional.

Kenapa kekuatan dan kelengkapan konvensional?

Hal ini demikian kerana kita pernah terlibat dalam pergeseran antara negara yang melibatkan angkatan tentera dengan angkatan tentera atau negara dengan Negara. Contohnya, konfrontasi selain kekuatan tentera ketika era pemberontakan banyak tertumpu kepada kaedah lawan pemberontak dan anti gerila. Walaupun konfrontasi Indonesia-Malaysia tidak melibatkan atur gerak aset militer skala besar, tetapi ia cukup memberikan pengajaran bahawa angkatan tentera yang besar dan dikepalai seorang pemimpin gila mampu menggugat kedaulatan negara kita.

Keadaan seperti konfrontasi tidak akan berlaku sekiranya negara-negara serantau dan berjiran dengan kita mempunyai kerajaan dan kepimpinan yang siuman serta stabil, namun kita semua perlu sedar bahawa kita tidak tinggal dalam dunia utopia, iaitu semua perkara boleh dibawa ke meja rundingan. Mungkin negara Malaysia akan sedaya upaya menyelesaikan permasalahan dan konflik di meja rundingan tetapi ia tidaklah memberikan lesen untuk kita mengabaikan pertahanan nasional dan keupayaan militer sebagai bargaining power.

Ya, sekarang kita tidak bermusuh dengan sesiapa, tidak seperti pada era konfrontasi atau pemberontakan, tetapi kebarangkalian wujudnya konflik itu ada. Lihat sahaja bagaimana keadaan di Laut China Selatan yang kini sangat volatile. Lihat sahaja pertelingkahan dan perebutan kawasan perairan di gugusan kepulauan Spratly.

Lihat juga bagaimana percaturan kuasa-kuasa besar di rantau sebelah sini yang cuba meluaskan pengaruh mereka bagi menarik negara tertentu memihak kepada mereka. Perkara ini bakal mencetuskan ketegangan diplomatik dan militer.

Hal ini merupakan ancaman-ancaman dan musuh-musuh yang hakiki. Selain musuh hakiki, terdapat musuh yang tersirat seperti ketidaktentuan ekonomi, geopolitik serta permainan kuasa pengaruh oleh kuasa-kuasa besar, ancaman keganasan dan fanatik politik serta agama, ancaman bencana alam dan penyusupan ideologi anarkis yang cuba mewujudkan ketidakstabilan dalam kalangan masyarakat.

Kita bukanlah ingin setanding kuasa besar, tetapi sekurang-kurangnya mempunyai kuasa tawar-menawar, tidak pun sekurang-kurangnya mampu mengacukan penumbuk sulung yang benar-benar menyakitkan atau (a bloody nose) menyebabkan mana-mana pihak berfikir dua kali untuk menganggu-gugat negara kita. Ia juga diselangi dengan kemahiran berdiplomasi dan menggunakan pendekatan berbincang serta meletakkan jalan perang sebagai jalan terakhir.  Bersahabat dengan semua orang dan berbaik dengan semua kuasa besar – Menjadikan negara kita sepertimana kes baru-baru ini dengan Korea Utara, secara tiba-tiba semua pihak berdiri di belakang kita.

Pasukan keselamatan negara juga merupakan tulang belakang utama yang akan diatur gerak untuk membantu rakyat apabila menghadapi bencana alam atau ketika mempunyai keperluan untuk menggerakkan aset dan keupayaan logistik dalam operasi berkaitan kemanusiaan. Contohnya seperti yang pernah dibuktikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sewaktu bencana banjir besar yang berlaku di Pantai Timur Semenanjung satu masa dahulu.

Di sinilah betapa pentingnya pasukan keselamatan negara sewaktu aman terserlah. Apabila ada pihak-pihak politik yang mempertikai pasukan keselamatan negara memohon perolehan aset baharu dan kemudiannya diperlekeh oleh ahli politik yang menghasut masyarakat bahawa aset yang diperoleh itu merupakan pembaziran dan tidak diperlukan, maka bencana sedemikian telah berjaya menutup mulut lancang orang-orang sebegini.

Helikopter yang pada asalnya dikatakan oleh sesetengah pihak politik sebagai bukan satu keperluan, kini menjadi aset penting dalam menyediakan garisan logistik kepada penduduk yang terperangkap dalam banjir, menjadi penghubung nyawa dengan membawa keluar pesakit dari kawasan pedalaman ke hospital di bandar dan turut membantu menyelamatkan penduduk yang terkandas untuk dibawa ke tempat selamat.

Military operation other than war inilah core business atau teras khidmat yang ditumpukan oleh pasukan keselamatan negara sekarang dalam membantu rakyat dan warganegara dalam situasi bencana alam. Mungkin pihak politik pada masa ini masih tidak dapat memahami sebab perlunya kepada pasukan keselamatan, sebab kita masih memerlukan angkatan tentera dan sebab mereka memohon kepada pemerintah untuk mendapatkan aset baharu yang lebih berkemampuan.

Seteruk-teruk kepimpinan politik yang ada sekarang, baik dalam pihak pemerintah mahupun yang menjadi pembangkang, kita tidak ketandusan pakar dan penggubal dasar geostrategi dan geopolitik serta diplomat hebat yang sangat tahu tentang percaturan dalam berdiplomasi dan membuat tindakan.

Pertahanan nasional penting sekiranya ketiadaan angkatan tentera atau mereka tidak mempunyai kelengkapan canggih yang mampu menggentarkan musuh atau mana-mana pihak angkara murka yang cuba membuat onar, bagaimanakah anda dan saya dapat tidur dengan nyenyak diranjang?

Bagaimana dan siapa pula yang akan melindungi harta benda anda? Siapa yang akan memastikan sekolah, hospital, rumah, kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik tidak dirampas dan dimusnahkan angkara murka?

Contoh pertahanan nasional adalah seperti menyediakan peti besi untuk barang kemas anda atau mempersiapkan pintu dan tingkap rumah anda dengan gril dan penggera atau anda mendapatkan lesen senjata untuk melindungi diri, keluarga serta rumah anda daripada dirompak orang yang tidak dikenali sebagaimana kereta anda yang dilengkapi penggera canggih dan kamera papan pemuka (dashcam) untuk sebarang kemungkinan yang tidak dijangka. Sebagaimana rumah anda juga dilengkapi dengan penggera kebakaran dan alat pemadam api sebagai langkah bersiap siaga atau sebagaimana anda membersihkan laman agar tiada semak samun yang bakal mengundang ular atau serangga berbisa yang akan menyerang anak-anak anda.

Begitulah juga halnya dengan negara. Setiap daripadanya ada angkatan bersenjata yang diterajui oleh orang-orang patriotik. Mereka sanggup meninggalkan keluarga dan mengutamakan negara – Bukan kerajaan atau parti tetapi mengutamakan negara, raja, agama, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undangnya serta segala isi negeri yang turut merangkumi keluarga mereka dan kita semua agar terus dapat menikmati kemakmuran, kebebasan dan kesenangan yang kita ada sekarang.

Harga keamanan adalah sangat mahal. Ia mesti dijaga dan dipertahankan oleh kita semua tidak kira apa latar belakang, keturunan dan agama, asal usul atau fahaman politik – Pertahanan nasional melangkaui politik kepartian. Itu yang hakiki dan pasti. Oleh itu, apabila ada dalam kalangan kita datang bertanyakan, “Apa tujuan kita berbelanja untuk pertahanan negara, kita nak berperang dengan siapa?” – Jawabkan kepada mereka – “Dengan sesiapa sahaja yang cuba untuk melakukan angkara murka ke atas negara ini.”

Jadi, jangan semberono mempersoalkan dengan siapa kita mahu berperang, sedangkan ia ialah fardu kifayah bagi setiap daripada kita untuk memastikan kedaulatan negara ini kekal tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak dari dalam dan luar negara. Sejauh Gugusan Semarang Peninjau hingga Golok, dari Pulau Perak ke Lahad Datu, di samudera raya, angkasa raya dan di setiap pelosok tanah air, pasukan keselamatan kita merupakan nadi negara ini yang terus berdenyut bagi memastikan kita semua terus hidup dalam kemakmuran dan kesejahteraan.

Semoga Allah terus memberkati Malaysia dan terus-menerus memayungi negara kita dengan lembayung rahmat serta melindungi negara ini daripada segala angkara murka yang semahunya inginkan kerosakan ke atas tanah air ini.

Anda sedang membaca sebahagian daripada bab buku Malaysia Military Power II yang dalam proses cetakan. Anda boleh buat pra-tempah bagi buku ini sebelum 7 hari bulan ini pada nombor www.wasap.my/60195812791.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.