Gelagat wakil-wakil rakyat sewaktu persidangan parlimen kadangkala membuat kita terhibur. Bertekak, bergaduh, yang sini kutuk sana, yang sana bahan sini. Perkara ini bukanlah baharu, telatah ahli parlimen yang kadang-kadang menghiburkan hati ni sebenarnya dah ada sejak dulu lagi.

Pilihanraya Umum 1969 mencatatkan sejarah baru buat Parti PAS. Buat kali pertama, PAS berjaya memenangi sebuah kerusi parlimen di Parlimen Parit. Kerusi ini disandang oleh Hashim Gera.

Hashim Gera terkenal sebagai pemantun yang hebat. Beliau seringkali mendendangkan bait-bait pantun di dalam siri-siri ceramah pilihanraya. Pada 23 Februari 1971, Tunku Abdul Rahman mengadakan sebuah majlis keraian di Parlimen.

Di dalam majlis itu, Tunku mencabar Hashim Gera untuk menari. Hashim Gera pun menyahut cabaran Tunku tersebut. Walaupun sebagai ahli PAS, Hashim Gera berpendapat tiada salahnya untuk menari.

Tetapi, gambar menari beliau mula tersebar oleh media massa dan mula diketahui oleh pihak tertinggi PAS. Pihak Jawatankuasa Disiplin PAS mengadakan mesyuarat mengenai hal ini. Hashim Gera juga turut dipanggil untuk menjelaskan perbuatan beliau.

Gambar Hashim Gera yang tersebar di akhbar

Hashim Gera menjelaskan bahawa joget adalah tarian yang bersih. Dia tidak berjoget dengan mana-mana perempuan yang ada dan joget bersendirian. Akan tetapi, keputusan Jawatankuasa Disiplin PAS menyaksikan bahawa Hashim Gera digantung sebagai ahli PAS.

Berang dengan keputusan tersebut, Hashim Gera membuat serangkap pantun yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Melayu.

Naik rakit di dalam paya
Patah galah di air dalam;
Menari joget hobi saya
Tidak haram di sisi Islam

Menurut Pemangku Presiden PAS pada ketika itu, Dato Asri Muda, beliau menjelaskan bahawa Hashim Gera hanya digantung sementara waktu sahaja bagi memulihkan imej PAS yang sedikit tercalar dengan tindakan beliau. Umum mengetahui bahawa PAS merupakan sebuah parti yang berpaksikan agama Islam. Jadi, tindakan Hashim Gera sedikit sebanyak mencalarkan imej PAS yang terkenal dengan membawa imej Islam.

Pada 16 Mac 1971, PAS menarik semula penggantungan Hashim Gera sebagai ahlinya. Tapi, tidak lama selepas itu, pada 16 Mei 1972, Hashim Gera dipecat terus dari keahlian PAS kerana hobi beliau yang suka berjoget.

Sekali lagi berang dengan tindakan itu, Hashim Gera sekali lagi menulis beberapa bait pantun untuk menyindir tindakan PAS tersebut.

Pagi-pagi turun ke telaga,
Ramai bercampur teruna dara;
Hashim Gera empunya cerita,
Sebab berjoget Pas mendera

Berebut-rebut pula tali timba,
Dalam pandangan seperti berlaga;
Kalau betul demikian ada,
Perjuangan kebangsaan PAS berpura-pura

Sayang Che Man pergi memukat,
Cincin intan pakai di jari;
Ahli Parlimen bukan malaikat,
Apa salah dia menari?

Walaupun dipecat, Hashim Gera sangat aktif di dalam Parlimen sekitar 1972 sebagai ahli bebas. Antaranya, beliau pernah membahaskan mengenai dakwaan kakitangan Hospital Ipoh menyiarkan filem lucah di Rumah Sakit Batuk Kering.

Pada 1974, Hashim Gera dan dua bekas Ahli Parlimen dari Gerakan, Mustaffa Hussein dari Seberang Tengah dan Ang Ho Honn menubuhkan parti Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA). Parti ini terlibat di dalam 3 pilihanraya sehingga tahun 1982 sebelum dibubarkan sepenuhnya.

Hashim Gera dikenang sebagai pemimpin yang serba boleh. Pernah pada suatu hari, Hashim pernah membahaskan sebuah usul berbentuk pantun selama setengah jam sehingga mengelirukan Tun Musa Hitam yang pada ketika itu menyandang jawatan Menteri Pendidikan.

Telatah-telatah wakil rakyat ini sememangnya mencuitkan hati kita. Mungkin selepas ini, kita boleh melihat Jelutong atau Jargon berjoget di Parlimen?


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Comments are closed.