Di samping iklim dan persekitarannya yang unik, Iceland turut tersohor dengan kekayaan sejarah khususnya berkaitan Viking yang pada hari ini jejak tinggalannya masih terpelihara dengan baik sama ada pada sudut bahasa mahupun budaya.

Antara bahagian paling menarik dalam sejarah negara tersebut tentulah berkaitan kisah penerokaannya oleh masyarakat Norse yang dikreditkan kepada seorang Viking bernama Hrafna-Flóki Vilgerðarson. Nama beliau pada hari ini diabadikan sebagai salah satu watak dalam sebuah siri televisyen tersohor, berjudul Vikings.

Berminat nak dapatkan kad raya Patriots dan sampul raya? Beli di: t.ly/D0J9

Bangsa Viking baik yang berasal dari Norway, Sweden, dan Denmark sememangnya terkenal dengan kemahiran perlayaran mereka. Bagi sebilangan Viking, semangat untuk meneroka daratan-daratan baru banyak didorong oleh kemiskinan dan kekurangan tanah untuk bercucuk tanam.

Bagi sebilangan yang lain pula, penerokaan tanah baru dianggap sebagai suatu cara untuk lari dari cukai, undang-undang, dan penumpahan da.rah. Ada juga yang dahagakan kemasyhuran, justeru memilih untuk berlayar jauh demi menempa nama. Hrafna-Flóki Vilgerðarson adalah salah seorang daripada mereka.

Di saat pengemuka-pengemuka Viking di Sweden berlayar ke timur menuju Slav dan Byzantine, Viking-Viking di Norway pula meredahi lautan luas di barat demi mencari pulau-pulau baru untuk dihuni.

Kepulauan British merupakan salah sebuah tempat terawal yang disa.sarkan oleh Viking. Mereka tiba di sana buat kali pertama pada tahun 793 Masehi dan semenjak itu, pengaruh mereka di pantai British semakin teguh. Bagaimanapun, kepulauan tersebut sudah pun berpenghuni justeru kehadiran Viking di sana menerima ten.tangan. Sebahagiannya pula berasimilasi dengan penduduk tempatan.

Lukisan Oscar Wergeland (1909) menggambarkan konvoi yang meneroka Iceland

Sebagai daratan yang kaya dengan sumber alam, Kepulauan Faroe dengan pantas dibanjiri pendatang Viking. Oleh kerana itu, timbul keperluan untuk mencari daratan baru.

Kepulauan Shetland yang sedikit jauh dari pulau-pulau British yang lain menjadi sa.saran berikutnya. Ia dijadikan sebagai pangkalan untuk meneruskan perlayaran-perlayaran selanjutnya ke barat. Viking kemudian meneroka Kepulauan Faroe yang berjarak 670 kilometer dari Norway.

PENEMUAN ICELAND SECARA TIDAK SENGAJA OLEH NADDOÐR DAN GARÐAR

Iceland terletak kira-kira 420 kilometer arah barat dari Kepulauan Faroe. Penerokaan Iceland selalunya dikaitkan dengan Hrafna-Flóki Vilgerðarson memandangkan beliau merupakan Viking pertama yang mendirikan komuniti di sana.

Bagaimanapun, beliau bukanlah Viking pertama yang menjumpainya. Kredit tersebut diberikan kepada Naddod (Naddoðr), salah seorang penghuni awal Kepulauan Faroe yang berasal dari Norway. Cuma, beliau menjumpai Iceland secara tidak sengaja ketika berlayar dari Norway menuju Kepulauan Faroe.

Dalam perjalanan, beliau tersesat dan terkeluar daripada haluan asal lalu tiba di pantai Iceland. Beliau cuba meninjau keadaan sekeliling untuk mencari kelibat manusia, namun tidak menjumpai seorang pun. Sebelum sambung berangkat ke timur dan menuju ke Kepulauan Faroe yang menjadi destinasi asalnya, Naddod sempat menamakan tanah tempat beliau terdampar sebagai Snæland (Snowland).

Laluan yang diambil oleh ketiga-tiga peneroka awal Iceland

Individu berikutnya yang tiba di Iceland juga sampai ke sana secara tidak sengaja. Nama beliau ialah Garðar Svavarsson, seorang warga Denmark yang beristerikan wanita dari Hebrides, Scotland. Pada tahun 860 Masehi, beliau berlayar ke Hebrides untuk menuntut hartanya di sana.

Dalam perjalanan, badai ribut menghen.tam kapalnya justeru membuatkan beliau tersa.sar jauh dari haluan dan tiba di Iceland. Memandangkan Iceland merupakan lokasi yang belum diketahui dalam kalangan masyarakat Norse, maka Garðar pun cuba mengelilinginya.

Setelah memastikan yang ia merupakan sebuah pulau, beliau pun berlabuh di pantai utara Iceland dan mendirikan sebuah rumah lalu menetap di sana sepanjang musim sejuk. Pada hari ini, tempat tersebut dikenali sebagai Húsavík dan dipelihara sebagai tempat bersejarah.

Sekembalinya ke pangkuan keluarga, Garðar cuba berkongsi cerita perihal tanah baru yang dijumpainya itu – beliau menamakannya sebagai Garðarshólmi, bersempena namanya sendiri. Namun masih, tiada Viking yang cuba berlayar ke sana kecuali Hrafna-Flóki Vilgerðarson.

PERLAYARAN FLÓKI KE ICELAND

Sebaik sahaja mendengar berita tentang Iceland, Flóki langsung sahaja menanam hasrat untuk membina kehidupan baru di sana. Dengan ditemani oleh isterinya, Gró dan lima orang anaknya (dua perempuan; Oddleifur dan  Þjóðgerður, serta tiga orang lelaki; Herjólfr, Faxi, dan Thorolf), Flóki pun memberangkatkan kapal panjangnya dari Norway Barat menuju Kepulauan Shetland, dan dari sana menuju Iceland.

Kisah pengembaraannya yang tercantum dalam Saga Landnámabók bagaimanapun menceritakan betapa perjalanan beliau dari Shetland dimulai oleh satu kema.langan. Anak perempuannya ma.ti le.mas di sana. Namun, beliau tetap cekal meneruskan perjalanan sehingga tiba di Kepulauan Faroe.

Ketika berada di sana, anak perempuannya yang lain mendirikan rumah tangga. Usai mengisi semula bekalan dan membeli tiga ekor gagak, Flóki berangkat bagi mencari Iceland. Penggunaan gagak untuk mencari daratan sememangnya merupakan kaedah lazim yang diamalkan oleh masyarakat Norse.

Sebaik berada di kawasan yang dirasakan hampir dengan daratan, mereka akan melepaskan gagak. Jika gagak tersebut terbang ke satu haluan tanpa pulang, maka ia dilihat sebagai petanda yang ia sampai ke daratan yang dicari. Haluan itu pun kemudiannya diikuti oleh si pelayar.

Gagak amat penting bagi Viking mencari daratan baru


Setelah berlayar lebih jauh, Flóki melepaskan gagak terakhirnya. Gagak tersebut terbang terus ke barat tanpa kembali lagi sekali gus menandakan destinasi yang dicari Flóki sudah berada hampir. Tebing pertama yang mereka jumpai kini dikenali dengan nama Reykjavik, ibu negara Iceland.
Bagi Flóki, gagak pertama yang dilepaskannya hanya kembali ke Kepulauan Faroe. Hal ini menandakan bahawa daratan yang mereka cari masih lagi jauh. Setelah berlayar untuk beberapa tempoh, beliau melepaskan burung kedua. Ia sempat terbang buat seketika sebelum kembali ke tiang utama kapal.

Mereka berlabuh di barat laut pulau, di tempat yang kini dikenai sebagai Westfjord (Vestfirðir). Flóki sendiri meluangkan musim sejuk beliau di Vatnsfjörður yang didirikan di sebuah teluk bernama Breiðafjörður.

Musim panas mereka di Iceland berlangsung baik memandangkan banyak ikan dapat ditangkap. Namun, keadaan sebaliknya berlaku di musim sejuk. Untuk meninjau kawasan yang lebih strategik, Flóki mendaki puncak tertinggi dan dari sana ia melihat sebuah tebing besar yang dipenuhi tompokan salji – justeru meraihkannya nama Ísland, atau Ice Land.

Sejurus musim bunga tiba, Flóki pun pulang ke Norway dan menceritakan tentang keadaan Iceland kepada masyarakatnya. Bagi dirinya sendiri, rupa bumi Iceland tidak sesuai untuk dihuni. Namun, pendapat beliau tidaklah dikongsi oleh kesemua anak kapalnya. Ada juga yang berpuas hati dengan Iceland.

Pertapakan Viking di Iceland merintis penerokaan tanah-tanah baru di barat seperti Greenland dan Newfoundland

Dengan pantas, berita tentang Iceland tersebar. Ekspedisi baru dirancangkan, kali ini diketuai oleh Ingólfr Arnarson yang bermatlamat meneroka Iceland sepenuhnya. Beliau bertanggungjawab mendirikan petempatan di sebuah teluk pada 874 Masehi, di mana petempatan ini kemudian berkembang menjadi Reykjavik.

Bagi Flóki, walaupun mulanya beliau kecewa dengan Iceland kerana menganggap bumi itu tandus dan tidak sesuai untuk dihuni, beliau tetap juga kembali ke sana untuk meluangkan sisa hayat bersama isterinya. Ternyata, Iceland tidaklah tandus seperti yang disangkanya.

Berminat nak dapatkan kad raya Patriots dan sampul raya? Beli di: t.ly/D0J9

Komuniti Norse di sana berkembang dari semasa ke semasa, sehingga ia menjadi pangkalan untuk melanjutkan perlayaran lebih jauh ke barat seperti Greenland (diteroka pada 985 M) dan Newfounland(diteroka pada 1001 M).

TERJEMAHAN
Aleksa Vučković. (17 Julai 2020). Settlement of Iceland: Viking Hrafna-Flóki’s Real Journey. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.