Episod Taun di zaman Umar Ibn Khattab bermula di sebuah desa yang terpencil bernama Amwas. Amwas adalah satu kota kecil di antara Jerusalem dan Ramlah namun sebuah wabak yang lahir dari kawasan ini telah meragut nyawa hampir 20, 000 nyawa orang Islam.

Taun Amwas muncul adalah hasil daripada pertarungan panjang di antara Umat Islam dan Byzantine yang menyebabkan kematian askar Byzantine yang besar. Kematian mereka pada jumlah yang banyak menyebabkan bekalan air bersih di kota tersebut telah tercemar.

Selama hampir 10 tahun dunia Islam dipimpin oleh Umar, sejarah ini telah menjadi saksi akan tragedi hitam yang sangat dahsyat. Penularan dan penyebaran taun adalah sangat aktif dan drastik sehingga menjangkiti masyarakat di wilayah sekitarnya. Wabak ini terus berpanjangan sehingga merebak ke Syam sehingga menyebabkan Syam merupakan antara kawasan yang terjejas teruk disebabkan Taun.

Muhammad As-Sallabi menukilkan bahawa pada tahun 17 Hijrah, Umar telah berhasrat untuk mengunjungi Syam buat kali keduanya. Hasrat beliau dituruti para sahabat yang lain sehingga beliau bersama beberapa orang sahabat daripada kalangan Muhajirin dan Ansar telah melakukan perjalanan sehingga sampai di suatu penempatan bernama Sargh yang terletak di antara Hijaz dan Syam.

Disinilah Umar telah bertemu dengan seorang pemimpin kabilah dan memberitakan kepada Umar akan keadaan tanah Syam yang dijangkiti penyakit Taun. Namun, riwayat Abdullah Ibnu Abbas menjelaskan bahawa tatkala itu, Umar sebenarnya dikunjungi terlebih dahulu oleh  Abu Ubaidah al-Jarrah yang merupakan gabenor Syam yang dilantiknya.

Abu Ubaidah menceritakan kepada Umar akan Taun yang melanda di negeri Syam lalu Umar memanggil para sahabat untuk bermusyawaroh akan situasi yang dihadapi. Para sahabat ketika itu mula berbeza pandangan dengan hujah masing-masing.

Sebahagian menyatakan bahawa mereka setuju untuk bersama Umar meneruskan perjalanan kerana perjalanan ini kerana Allah serta hanyasanya perjalanan ini dengan pengharapan akan redha-Nya.

Manakala sebahagian lagi berbeza pandangan dengan menyuruh Umar untuk pulang dengan menyatakan bahawa ianya suatu penyakit yang harus dihindari. Di tengah perbahasan itu akhirnya Umar mengambil keputusan.

Pulang!

Ya, pulang. Di masa itu Umar berkata di khalayak ramai, “ Aku akan membawa tungganganku untuk pulang, pulanglah bersamaku.” Abu Ubaidah bin Al-Jarrah membalas: “Apakah ini bererti engkau lari daripada takdir Allah?”

Umar lantas menjawab meskipun tidak suka berselisih dengan Abu Ubaidah kerana sangat menghormatinya: “Harapnya bukan engkau yang bertanya wahai Abu Ubaidah. Ya, kita menghindari dari takdir Allah kepada takdir Allah yang lainnya”.

Umar menyambung, “bagaimana menurut dirimu jika untamu  turun di suatu lembah yang yang subur dan satu lagi tandus serta gersang. Adakah engkau mengembalanya pada tempat yang subur itu bukan bererti engkau mengembalanya kerana takdir Allah? Begitu pula sebaliknya, bukankah engkau mengembalanya kerana takdir Allah juga?”

Tatkala itu, pendapatnya disokong oleh Abdurrahman B Auf lalu beliau menyebutkan bahawa baginda saw pernah bersabda yang bermaksud:

“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Umar seraya memuji Allah lantas bergerak untuk meninggalkan kawasan tersebut. Sesungguhnya wabak ini telah menyebabkan banyak korban termasuklah para sahabat sendiri termasuklah Abu Ubaidah b Jarrah, Muaz b Jabal, Harith b Hisyam, Suhail b Amr dan Uthbah b Suhayl.

Tindakan Umar secara drastik membatalkan perjalanan beliau menuju Syam adalah suatu pelajaran sejarah dalam menghadapi situasi tatkala wabak sedang bermaharajalela. Sungguh mendedahkan diri kepada wabak penyakit bukanlah satu tindakan yang bijak kerana yang berakal dan berfungsi otaknya sudah pasti akan menghindari perkara yang boleh membawa kepada kemudharatan dan kebinasaan.

Kata Muhammad As-Sallabi bahawa jika seseorang di dalam kawasan yang beredar wabak di situ dan dia dijangkiti. Maka janganlah dia keluar kerana perbuatannya hanya akan menyebabkan penyakit tersebar.

Meskipun demikian, rakyat Malaysia seolah masih buta, apakah buta hati atau buta sejarah sedang di negara kita wabak Corona sudah mulai meragut nyawa. Adakah layak bernama manusia sekiranya masih tidak dapat berfikir?

A.R. KASA
Mahasiswa Jabatan Sejarah Dan Tamadun Islam,
Universiti Malaya,
Mac 2020.

RUJUKAN:

Muhammad Ali As-Sallabi, Umat Ibn Khattab: His Life and His Times. Trans. by Nasiruddin Khattab.

Solidaritas.my – covid-19-dan-wabak-taun-di-zaman-umar-iktibar-dan-tauladan

Harakah – islam-dan-bala-wabak-penyakit/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya. "Cinta kepada Tamadun diiringi kebenaran Sejarah."

Comments are closed.