Kita semua tahu apa impak Perjanjian Pangkor dan perlantikan J.W.W Birch sebagai residen British pertama di Tanah Melayu. Ia menandakan bermulanya campur tangan secara terus oleh pihak British dalam urusan pentadbiran negeri-negeri Melayu. Dan kita juga tahu akibat dasar-dasar yang bersifat penindasan yang diperkenalkan Birch, ia membangkitkan kemarahan ramai sehingga membawa kepada pembunuhan Birch di Pasir Salak dan mencetuskan Perang Perak. Selepas peristiwa tersebut, ramai dihukum mati kerana terlibat dengan pembunuhan Birch termasuk Dato Maharajalela, Dato Sagor dan Seputum. Sultan Abdullah dan beberapa pembesar Melayu lain dibuang negeri ke Pulau Seychelles sementara Sultan Ismail dibuang negeri ke Johor dan diletakkan di bawah penjagaan pemerintah Johor, Maharaja Abu Bakar. Justeru, apa yang dilakukan Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar Perak semasa dalam buangan di Seychelles?

DIBUANG NEGERI

Pada pagi 21 Julai 1877, baginda bersama beberapa pembesar Melayu lain berangkat dari sebuah penjara di Singapura untuk menaiki kapal stim Cotherstone yang diketuai oleh Kapten Blanche. Rombongan ini diiringi oleh sembilan pegawai polis diketuai Inspektor R. Strugnell. Stugnell turut berperanan sebagai penterjemah untuk rombongan. Selepas berlayar selama sebulan, Cotherstone akhirnya tiba di Mahe pada 31 Ogos 1877. Selain Sultan Abdullah, pembesar Perak yang turut dibuang negeri ialah Orang Besar Larut, Ngah Ibrahim, Dato Laksamana Mohamed Amin dan Dato Syahbandar Kadek bin Mohamed. Rombongan ini turut disertai oleh kaum keluarga dan orang suruhan mereka semasa dalam buangan di Seychelles.

Tidak banyak rekod yang mencatatkan kehidupan Sultan Abdullah dan pengikut baginda semasa di Seychelles dan berapa ramai yang berada di sana. Ada sesetengah berpandangan selepas tiba di Mahe, mereka menetap di Union Vale, Mahe di sebuah rumah besar yang mempunyai kawasan luas sebelum dihantar ke Pulau Felicite bersebelahan kawasan La Digue. Menurut cerita penduduk tempatan, Sultan Abdullah dan pengikutnya menetap di kawasan-kawasan yang berlainan di Mahe iaitu Bel Etang, Rochon, Port Victoria, Union Vale dan Ma Constance di Anse Etoile, sebuah rumah agam besar yang pernah didiami oleh lanun terkenal, Jean-Francois Hodoul.

Mengikut catatan penulis William McAteer dalam bukunya, Hard Times in Paradise, hanya Ngah Ibrahim dan Dato Laksamana saja yang dihantar ke Pulau Felicite oleh Charles Salmon, Ketua Pesuruhjaya Awam atas alasan keselamatan. Salmon turut merekrut dua lagi penterjemah dari Mauritius untuk mereka. Dua tahun selepas itu, berikutan kekurangan air dan rawatan perubatan, kedua-duanya dibenarkan berpindah ke Mahe oleh pengganti Salmon, Kapten Arthur Havelock. Bagaimanapun, tiada rekod yang mencatatkan berapa ramai ahli keluarga, orang suruhan dan kakitangan keselamatan di Pulau Felicite.

KEHIDUPAN SULTAN ABDULLAH

Berkenaan Sultan Abdullah pula, ada satu anekdot menarik berkenaan ketua polis yang mengiringi rombongan mereka, Strugnell. Strugnell sebelum ini digantung oleh pihak berkuasa di Perak kerana berlaku kejam terhadap tahanan-tahanan Melayu. Namun pada saat akhir, beliau direkrut sebagai pengawal peribadi dan penterjemah Sultan Abdullah semasa baginda berada dalam buangan di Seychelles. Semasa di Seychelles, Strugnell memujuk Salmon merampas keris baginda dan meletakkan ia di bawah kawalan polis. Mungkin ramai beranggapan tindakan beliau ini menyebabkan Sultan Abdullah murka kerana baginda dibenarkan menyimpan pedang yang dikurniakan oleh Ratu Victoria. Bagaimanapun situasi tersebut tidak berlaku dan baginda tidak menyimpan dendam dengan Strugnell. Buktinya, mereka berdua banyak terlibat dalam pelbagai aktiviti sukan bersama-sama termasuk kriket.

Semasa dalam buangan, baginda menunjukkan minat mendalam pada sukan, mengumpul tongkat berkualiti dan melibatkan diri dalam aktiviti pertanian. Sultan Abdullah memperkenalkan banyak buah-buahan dari Tanah Melayu termasuk pisang dan manggis. Pisang yang diperkenalkan baginda menjadi sumber makanan penting kepada penduduk tempatan semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Sebagai ahli sukan, selain kriket, baginda turut melibatkan diri dalam pertandingan layang-layang dan sukan bola sepak. Sultan Abdullah amat disukai kelompok elit di situ di mana baginda bermain bersama mereka di Kelab Kriket Victoria. Selain bermain kriket, baginda turut meluangkan masa bersama anak-anak kapal perang British yang berlabuh di Seychelles. Atas sebab inilah, ramai menyokong usaha pembebasan Sultan Abdullah di mana salah satu petisyen baginda ditandatangani oleh pentadbir baru Seychelles, Thomas Risely Griffith. Selain Griffith, kelompok kenamaan di Mauritius turut menyokong usaha pembebasan baginda.

PERIHAL TERANG BULAN & NEGARAKU

Semasa di Seychelles, baginda dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu empat putera dan tiga puteri. Putera-putera Sultan Abdullah dihantar bersekolah di Sekolah Kerajaan Lelaki di Victoria sementara puteri-puteri baginda dihantar ke Sekolah St. Paul juga di Victoria. Salah seorang puteri baginda, Raja Hadyah belajar bermain piano semasa di Mahe dan dikenali sebagai pemain piano yang hebat. Baginda suka memainkan lagu La Rosalie diiringi oleh kekandanya, Raja Chulan yang boleh bermain biola di mana baginda belajar dan memainkan lagu tersebut di Mahe. Menurut Raja Hadyah, sebuah kumpulan muzik Perancis selalu mengadakan persembahan mingguan di khalayak dan mempersembah La Rosalie di kediaman tepi laut ayahanda baginda, Sultan Abdullah. Kenyataan Raja Hadyah ini merujuk kepada kediaman baginda di Union Vale, Mahe.

Selepas selesai lawatannya ke Seychelles, Raja Chulan memperkenalkan irama lagu tersebut kepada kekanda baginda merangkap putera sulung Sultan Abdullah, Raja Mansur. Raja Mansur kemudiannya menulis lirik baru menggunakan irama La Rosalie. Lagu inil yang dikarang oleh baginda ini sebenarnya lagu negeri Perak iaitu Terang Bulan. Dan ianya dimainkan buat kali pertama apabila Sultan Abdullah melawat London yang ditemani oleh Raja Mansur di mana baginda bertindak sebagai setiausaha ayahandanya. Lagu Terang Bulan ini menjadi asas kepada lagu rasmi negara yang kita kenali hari ini, Negaraku. Pada tahun 1960-an, duta Perancis ke Kuala Lumpur, Monsieur Pierre Anthonioz menunjukkan minat pada lagu kebangsaan kita. Pada tahun 1964, beliau berjaya mendapatkan salinan lagu tersebut dan dihantar kepada Gabenor Seychelles. Lagu Negaraku kerap dimainkan di radio dan dikenali oleh generasi lama mengandungi irama La Rosalie.

KEMBALI

14 tahun selepas duduk dalam buangan di Seychelles, Sultan Abdullah menulis satu surat kepada sahabatnya, Sir Henniker Heaton yang pada ketika itu berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Parti Konservatif di Canterbury. Dalam surat tersebut, baginda menceritakan kematian isteri baginda dan hakikat akan situasi baginda sebagai orang buangan yang jauh dari negeri kelahirannya. Isteri Sultan Abdullah, Che Rashia atau Puteri Rashia menurut penduduk tempatan meninggal dunia pada 29 Mac 1891 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Mont Fleuri. Antara tahun 1887 hingga 1893, empat orang buangan Perak meninggal dunia di Mahe. Enam tahun selepas itu, barulah baginda dibenarkan kembali semula ke Semenanjung Tanah Melayu. Untuk beberapa tahun selepas itu, Sultan Abdullah menetap di Singapura dan Pulau Pinang. Pada tahun 1922, baginda dibenarkan kembali ke Kuala Kangsar dan mangkat pada 22 Disember 1922. Jenazah Sultan Abdullah dimakamkan di Bukit Chandan dan baginda diberi gelaran Marhum Habibullah.

KISAH SEBENAR PEMBABITAN BAGINDA

Sebelum dan semasa dalam buangan di Seychelles dan tempohnya di Singapura serta Pulau Pinang, Sultan Abdullah menegaskan bahawa baginda tidak bersalah dan tidak terlibat sama sekali dengan pembunuhan Birch di Pasir Salak. Buktinya, dalam satu surat baginda kepada Setiausaha Koloni Negeri-Negeri Selat, John Douglas pada tahun 1876, baginda menyatakan beberapa fakta berikut:

1. Baginda menafikan mengadakan pertemuan dengan pembesar-pembesar Perak atau menerima kehadiran mereka di atas kapal baginda di Durian Sebatang. Malah beberapa hari sebelum peristiwa tersebut berlaku, Sultan Abdullah mahu mengadakan pertemuan dengan Birch di Kota Setia untuk membincangkan isu kutipan cukai dan bayaran tahunan yang diterima pembesar-pembesar sebagai pampasan. Kerajaan Britain mendakwa baginda mengadakan pertemuan dengan pembesar-pembesar Perak di Durian Sebatang, permulaan kepada peristiwa berdarah itu. Namun, baginda menafikan pertemuan tersebut berlaku kerana apabila melalui Durian Sebatang, arus kawasan tersebut agak kuat menyebabkan sukar baginda untuk berlabuh atau bertemu dengan pembesar-pembesar seperti yang didakwa. Sultan Abdullah turut menegaskan selepas baginda bertolak ke Kota Setia dan menuju ke Batak Rabit, baginda tidak pernah mengedarkan surat memberi arahan kepada pembunuhan Birch.

2. Baginda turut menafikan menghantar Nakhoda Ketek atau mana-mana pembesar ke Pulau Pinang untuk membeli senjata api dan peluru dan juga tarikh pembelian senjata seperti yang didakwa.

3. Sultan Abdullah turut menafikan mengadakan pertemuan dengan pembesar-pembesar Perak di Batak Rabit untuk membincangkan isu pembunuhan Birch pada Ogos 1875. Malah dalam pertemuan tersebut yang berlangsung pada Ogos atau Julai sebelum itu, baginda sebenarnya mahu membincangkan persiapan menerima kehadiran Gabenor Negeri-Negeri Selat bersama Dato Laksamana, Dato Syahbandar dan Raja Mahkota. Jika pihak British mengatakan pertemuan diadakan pada Jun 1875, pertemuan tersebut tidak wujud kerana salah seorang daripada anakanda baginda gering di Batak Rabit.

4. Sultan Abdullah turut menegaskan baginda tidak pernah mengeluarkan surat arahan membunuh Birch kepada Dato Maharajalela dan memberitahu bahawasanya surat tersebut dipalsukan menggunakan cap mohor palsu yang dimiliki oleh Haji Mohammed Syed, di mana cap tersebut dibuat di Singapura dan dimiliki oleh individu tersebut. Selepas waran tangkap dikeluarkan, beliau berjaya melarikan diri ke dalam hutan.

5. Baginda menafikan mengadakan pertemuan di Durian Sebatang pada Oktober 1875 dan menafikan akan membekalkan senjata api dan bekalan kepada Dato Sagor, Dato Maharajalela dan Dayang Murawweh untuk membantu mereka membunuh Birch.

6. Birch dibunuh tanpa pengetahuan dan kebenaran baginda.

7. Selepas Birch dilantik sebagai residen, beliau tidak bersefahaman dengan Dato Maharajalela. Dari situ, baginda menghentikan sebarang komunikasi dengan beliau dan menafikan menghantar Along Nor atau Wan Husain untuk memberitahu Dato Maharajalela bahawa mereka sedia membantu dengan senjata api dengan bekalan.

8. Baginda menafikan menghantar bekalan beras kepada Dato Maharajalela dan tidak tahu menahu rancangan beliau menyerang Birch.

9. Sultan Abdullah turut menafikan baginda menggunakan senjata api yang diberi Britain untuk membantu Dato Maharajalela melawan pegawai British dan membunuh residen dari Batak Rabit ke Durian Sebatang. Sebaliknya, baginda mengarahkan pengikut baginda bergerak dari Batak Rabit ke Bandar Baru untuk membantu pihak Britain.

10. Sebagai bukti baginda tidak bersubahat dengan pembunuh-pembunuh Birch, selepas mendapat tahu lokasi persembunyian Dato Sagor, baginda mengarahkan Dato Syahbandar menahannya dan dihantar ke Bandar Baru. Sultan Abdullah turut menafikan baginda memberi nasihat kepada pembesar-pembesar Perak yang terlibat agar bersembunyi dalam hutan atau menerima kehadiran mereka dan melindungi mereka.

Kerajaan Britain mengetahui bahawa baginda, Sultan Ismail dan beberapa pembesar lain tidak bersalah dan tiada kena-mengena dengan peristiwa pembunuhan Birch. Malah, kenyataan baginda sebenarnya mendapat sokongan Ketua Hakim Negeri-Negeri Selat, Sir Peter Benson Maxwell yang menyifatkan tiada bukti yang menyokong dakwaan pihak pendakwaraya yang mengaitkan baginda dengan pembunuhan Birch. Namun, kenyataan Maxwell tidak dilayan oleh London dan hukuman baginda dikekalkan. Bagi Pejabat Koloni, sebarang bentuk penentangan perlu dihapuskan sama ada ianya benar atau tidak kerana ini bakal menjejaskan usaha campur tangan mereka di negeri-negeri Melayu terutama Perak.

Sebenarnya, pembunuh Birch secara tidak langsung ialah Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke. Clarke individu bertanggungjawab merencana Perjanjian Pangkor dan memulakan dasar campur tangan secara langsung ke negeri-negeri Melayu. Clarke yang bakal bersara pada tahun 1878, pasti tidak mahu aduan berkenaan Birch mencalarkan reputasinya sebagai pentadbir koloni yang berjaya. Clarke dan penggantinya, Sir William Jervois tidak mengendahkan surat-surat Sultan Abdullah berkenaan kebiadaban Birch, dan itu sebenarnya membawa kepada kematian Birch di Pasir Salak. Dan untuk tahun-tahun berikutnya selepas pembunuhan Birch dan Perang Perak, individu-individu yang bertanggungjawab mencetuskan onar ini masih enggan bertanggungjawab akan kesilapan mereka walaupun mendapat teguran keras dari London dan Pejabat Koloni sendiri.

SUMBER

  1. Durup, Julien. (2010). Seychelles Weekly. The Innocent Sultan of Perak in Seychelles. http://www.seychellesweekly.com/July%2011,%202010/top2_sultan.html
  2. Pasukan Editor Sembang Kuala. (2010). Sultan Abdullah’s reply to the charges by the Colonial Office in Singapore, 1876. https://sembangkuala.wordpress.com/2010/07/06/sultan-abdullahs-reply-to-the-charges-by-colonial-office-singapore-16-september-1876/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.