Sebuah penjara dijual pada harga 1.5 dollar Amerika kepada seorang remaja lelaki berusia 16 tahun. Kedengaran pelik dan lucu, bukan? Namun, itulah yang berlaku pada tanggal 11 Mei 1943 di bandar Harvard, Nebraska, Amerika Syarikat.

Insiden ini bermula apabila pada suatu hari, Robert Pinckney, anak kepada seorang doktor tempatan yang bernama Dr. C.E. Pinckney, keluar meronda di bandar untuk mencari sebidang tanah bagi digunakan sebagai kebun ‘victory’ (victory garden).

Victory garden merujuk kepada tanaman sayuran, buah-buahan ataupun herba yang ditanam di kediaman peribadi dan di taman-taman awam bagi tujuan menambah bekalan makanan awam semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Ketika beliau sedang ralit mencari, Robert menyedari bahawa majlis perbandaran secara tidak sengaja memasukkan sebuah bangunan penjara ke dalam senarai hartanah untuk dijual. Umpama orang tak mengantuk tetapi disorongkan juga bantal, Robert memaklumkan kesilapan tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab. Malangnya, budi baik remaja itu dibalas dengan buruk apabila beliau ditertawakan oleh pegawai-pegawai majlis perbandaran.

Bertindak-balas terhadap sikap mereka yang tak boleh bawa berbincang itu, Robert pun mengambil keputusan membeli penjara tersebut dengan harga $1.50, harga yang termaktub pada senarai berkenaan. Pembeliannya itu diperakui di sisi undang-undang dan Robert diserahkan surat pemilikan. Namun, majlis perbandaran Harvard masih terus enggan mengakui kesilapan mereka dan enggan juga mematuhi keputusan tersebut. Mereka dengan tidak malunya memasukkan lagi banduan ke dalam dua bilik penjara yang terdapat di dalam bangunan itu.

Mangga yang dipasang oleh Robert habis dihancurkan. Remaja yang datang untuk mempertahankan haknya dihalau. Tidak boleh tidak, Robert terpaksa mengambil keputusan untuk mengupah seorang peguam bagi menguruskan kes ini dan menyaman pihak majlis perbandaran atas kesalahan menceroboh dan merosakkan pemilikan peribadi.

Dengan bantuan Peguan Mattson, surat perintah dihantar kepada majlis perbandaran – mengarahkan mereka agar menyerahkan penjara itu kepada Robert dalam masa tujuh hari atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Maka, majlis perbandaran pun akur dengan arahan tersebut dan bersetuju untuk membayar sewa kepada Robert. Namun, perangai mereka masih tidak berubah apabila dengan muka tembok meminta Robert agar berbuat itu dan ini pada lot berkenaan. Mujur, tuntutan-tuntutan tidak masuk akal dari pihak penyewa itu sememangnya tidak perlu dipatuhi oleh penyewa.

Pada asalnya, Robert berhasrat untuk menjual semula lot tersebut kepada majlis perbandaran pada harga tertentu. Namun malang, walaupun usianya itu membenarkan beliau untuk membeli hartanah, usianya yang muda itu tidak membolehkannya menjual lot berkenaan. Maka, beliau memutuskan untuk mengadakan kontrak dengan majlis perbandaran di mana beliau berjanji untuk menyerahkan lot berkenaan kepada mereka apabila usianya menginjak 21 tahun, sekiranya majlis perbandaran bersetuju untuk terus membayar sewa sebanyak $40 sepanjang tempoh itu.

Namun kerana tidak mahu kejadian memalukan itu terus mendapat liputan media, majlis perbandaran enggan melakukan sebarang tindakan lanjut berkenaan lot penjara berkenaan.

Seiring pergerakan waktu, beberapa pihak cuba menawarkan sebut harga kepada Robert Pinckney dengan tujuan untuk membeli hartanah itu. Namun atas cadangan dan bantuan seorang kelasi dari Los Angeles, lot berkenaan dilelong di Los Angeles sebagai bon perang dengan harga $10 000 yang kemudiannya diperuntukkan sebagai dana bagi membina kapal perang U.S.S. Long Angeles.

Kepelikan kisah ini ditambahkan lagi dengan identiti si pembeli lot berkenaan, iaitu Charlie McCarthy si patung boneka milik Edgar Bergen. Pembelian tersebut dilakukan hanya kira-kira dua bulan sahaja sejak lot itu dibeli oleh Robert – iaitu pada tanggal 31 Julai 1943.

Setelah liputan media berkenaan insiden ini sudah mula perlahan dan senyap, Charlie McCarthy memulangkan lot penjara itu kepada majlis perbandaran. Sirih pulang ke gagang. Bangunan penjara pulang ke pangkuan majlis perbandaran.Walau betapa memalukan dan melucukan sekalipun kejadian ini, terdapat beberapa hikmah yang terkandung di sebaliknya.

Bergen bersama bonekanya, Charlie McCarthy

Menerusi kejadian ini, bon perang sebanyak $10 000 yang terhasil menerusi lelongan lot penjara tersebut membolehkan sebuah kapal tentera dibina. Tambahan lagi, media-media yang membuat liputan berkenaan penjara ini membuatkan nama bandar Harvard dikenali di seluruh negara. Harvard juga buta-buta boleh berbangga kerana memiliki sebuah penjara kecil yang bernilai $10 000 pada tahun 1943, suatu status yang tidak dimiliki oleh bandar-bandar kecil lain.

Sehingga ke hari ini, bangunan tersebut masih berdiri di tempat yang sama untuk terus menghidupkan memori yang lucu itu. Penjara ini boleh dikunjungi di alamat 151-185 W Oak St, Harvard, NE.

RUJUKAN:

Delana. (27 Januari 2019). This Tiny Jail in Nebraska Has The Most Bizarre History You’ve Ever Heard. Nebraska. Only In Your State.
https://www.onlyinyourstate.com/nebraska/tiny-jail-bizarre-history-ne/

Vatracy. (n.d.). Harvard Jail House. Atlas Obscura.
https://www.atlasobscura.com/places/harvard-jail-house

Geocaching.
https://www.geocaching.com/geocache/GCVBPC_lock-em-up?guid=962ace73-841b-4869-8050-90cb34a108b3


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.