Kisah Saintis Gila Yang Menelan Bakteria Ulser Perut

522

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Sekiranya kita menyebut ulser, perkara pertama yang kita akan terfikir ialah masalah ulser mulut. Ya, penyakit/masalah yang paling menjengkelkan dan menyakitkan hati buat penulis. Memang akan terganggu selera makanan kerana asyik menahan perit di mulut. Walaupun ubat tahan sakit ulser mulut ini wujud, ia hanyalah bersifat sementara. Mulut tu tetap akan sakit selagi ia berlubang.

Itu ulser mulut. Kalau kita sebut ulser perut, maknanya ia adalah masalah perut berlubang lah kan? Bayangkan, perut yang mempunyai asid kuat dan juga enzim yang mampu menghancurkan daging terliat ini, berlubang. Tak ke berbahaya benda tu? Selama ini perut kita masih selamat kerana sel epitelial di perut kita bercambah lebih pantas daripada kadar ia mati dirosak asid. Jadi, bayangkan kalau lapisan ini rosak akibat ulser perut. Sudah pasti asid dan enzim boleh merobek lapisan nipis ini dan seterusnya merosakkan organ di luar.

Namun, apabila kita membicarakan punca ulser perut pada tahun abad ke-20, teori popular pada zaman tersebut ialah keterlebihan asid dalam perut dan juga stress. Secara teorinya, asid yang terlebih banyak ini akan menghakis lapisan epitelial perut dengan pantas dan seterusnya menyebabkan berlakunya ulser perut. Ulser perut pada waktu itu tiada rawatan yang konklusif dengan kadar kematian yang tinggi. Antara contoh rawatan yang digunapakai, misalnya pada sekitar tahun 1880-an ialah memotong sebahagian perut bawah (tempat ulser perut) dan disambung kembali kepada usus.

Perkara ini berubah apabila Barry Marshall dan Robin Warren, pelajar perubatan dan ahli patologi di Royal Perth Hospital mula mengkaji akan perkaitan bakteria dengan gastritis pada tahun 1981. Mereka kemudiannya membangunkan teori bakteria H. pylori yang menyebabkan ulser perut dan cuba untuk membiakkan bakteria ini demi kajian mendatang.

Tak lama selepas mereka menerbitkan kajian mereka tentang ini, teori mereka telah dibakul sampahkan oleh para saintis dan doktor. Kajian mereka ini juga telah ditolak oleh Gastroenterological Society of Australia dan dianggap sebagai berkualiti rendah. Walaupun selepas itu kajian mereka diterima oleh The Lancet, antara lama journal biologi terkemuka, mereka masih tak terlepas daripada skeptisisme ahli sains.

Marshall tahu bahawa kajiannya betul, dan mahu menunjukkan pada ahli sains bahawa beliau betul. Hal ini juga disebabkan beliau melihat ramai pesakit ulser perut di hospital dan beliau tahu rawatan penyakit ini ialah antibiotik, tapi tak mampu berbuat apa apa kerana mereka bukan pesakitnya. Oleh itu, beliau kemudiannya tekad menelan kultur H. pylori yang diperolehi daripada isi perut pesakitnya.

Tiga hari selepas itu, beliau mengalami pening kepala dan masalah mulut berbau. Pada hari kelima, beliau mengalami simptom muntah dan kepenatan. Selepas masuk hari ke- 10, beliau mendapati isi perutnya mula naik radang dan gastritis. Maka, benarlah kajian yang dibuat oleh mereka berdua. Masuk hari ke-14, beliau mula mengambil antibiotik untuk merawat penyakit ulser perutnya.

Tindakan berani mati Marshall ini akhirnya membuahkan hasil. Sebuah perkaitan di antara bakteria H. pylori dan ulser perut dapat dibuktikan. Mereka kemudiannya menulis kajian mereka dan diterbitkan pada tahun 1985 oleh The Medical Journal of Australia. Pun begitu, ahli gastroenterologi masih lagi sangsi dengan kajian ini.

Hanya selepas pengetahuan ini dibawa ke Amerika Syarikat barulah penyelidikan menyeluruh tentang perkaitan ini dibuat dengan pantas. Pada tahun 2005, disebabkan jasa mereka dalam mengenal pasti punca ulser perut oleh H. pylori, Marshall dan Warren dianugerahi Anugerah Nobel dalam bidang Fisiologi.

RUJUKAN:

Barry, Marshall (2005). “Autobiography”. Nobel Foundation. Archived from the original on 18 February 2007. Retrieved 28 January2007.

Marshall BJ, Warren JR (June 1983). “Unidentified curved bacilli on gastric epithelium in active chronic gastritis”. The Lancet321 (8336): 1273–5. doi:10.1016/S0140-6736(83)92719-8. PMID 6134060.

“The Doctor Who Drank Infectious Broth, Gave Himself an Ulcer, and Solved a Medical Mystery – DiscoverMagazine.com”. Discover Magazine.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.