Kisah Sahabat Rasulullah S.A.W Yang Mempunyai Wajah Yang Hodoh

634

Seringkali kita mendengar pelbagai kisah mengenai sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai karakter yang berbeza. Umar al-Khattab digambarkan sebagai seorang lelaki yang tegas dan berani, Abu Bakar R.A  pula dikenali sebagai seorang yang setia dan lembut, Uthman Affan terkenal kerana sifat pemurahnya yang melebihi mana-mana makhluk lain dan Abu Hurairah pula digelar sebagai ‘Bapa Kucing’ kerana sifat penyayangnya terhadap haiwan tersebut.

Tetapi kisah mengenai sahabat Rasulullah SAW yang digambarkan sebagai seorang lelaki yang sangat hodoh ini sering tidak diketahui ramai. Julaybib merupakan seorang lelaki Ansar yang tinggal di Madinah. Namanya berasal daripada perkataan ‘Jalbab’ yang bermaksud tubuh badan yang kecil. Beliau merupakan seorang lelaki yang sangat miskin dan cacat. Tubuh badannya kecil dan bongkok. Dan yang paling menyedihkan, Julaybib langsung tidak pernah mengenali ahli keluarganya sendiri, termasuklah ibu bapanya. Pada zaman Arab dahulu, puak dan keluarga merupakan segala-galanya. Mereka yang hidup tanpa mengenali puak dan keluarga mereka akan hidup bersendirian tanpa sebarang perlindungan.

Disebabkan keadaan dirinya yang kecil dan hodoh, Julaybib sering mendampingi kaum wanita. Ini adalah kerana kaum lelaki seringkali bertindak kasar dan kejam terhadapnya. Sifat kaum wanita yang secara lazimnya lebih lembut dan sensitif menjadikan Julaybib berasa lebih selamat untuk mendampingi mereka.

Rasulullah SAW merupakan seorang yang sangat sensitif terhadap perasaan individu sekelilingnya. Pada suatu hari, Rasulullah SAW berkunjung ke sebuah rumah keluarga Ansar di Madinah. Keluarga tersebut dikenali ramai kerana mereka mempunyai seorang anak perempuan yang sangat cantik dan solehah. Dikatakan bahawa tiada mana-mana wanita lain di Madinah yang mampu menandingi kecantikan anak perempuan mereka.Tuan rumah tersebut memberikan layanan yang sangat baik terhadap Rasulullah SAW dan menjemput baginda ke dalam rumahnya dengan tangan yang terbuka.

Rasulullah SAW kemudiannya berkata kepada lelaki tersebut, “Aku ingin mengahwinkan anak perempuanmu.” Lelaki itu sangat gembira apabila mendengar berita tersebut dan berkata, “Wahai Rasul Allah! Berita ini akan menjadi penyejuk mata buat keluarga kami!”

Nabi Muhammad SAW kemudiannya berkata, “Aku tidak menginginkan anak perempuanmu buat diriku sendiri. Aku ingin mengahwinkannya dengan Julaybib.”

Raut wajah lelaki tersebut terus berubah dan beliau sangat terkejut. Bagi tidak melukakan hati Rasulullah SAW, lelaki tersebut meminta kebenaran untuk berbincang bersama isterinya mengenai perkara tersebut.

Apabila berita tersebut sampai ke telinga isterinya, isterinya sangat gembira pada awalnya kerana beliau menyangka bahawa Rasulullah SAW ingin melamar anak perempuannya buat dirinya sendiri. Namun begitu, setelah beliau mengetahui bahawa Rasulullah SAW ingin menjodohkan anak perempuannya dengan Julaybib, beliau menjadi sangat marah dan menjerit, “Julaybib? Demi nyawa Allah kita tidak akan mengahwinkan anak kita dengannya!”

Ketika lelaki tersebut sedang berada di dalam perjalanan untuk menuju ke Rasulullah SAW, anak perempuannya bertanya kepada ibubapanya mengenai perkara yang dibincangkan mereka. Setelah ibunya mengkhabarkan berita mengenai cadangan Rasulullah SAW untuk menjodohkannya dengan Julaybib, wanita tersebut berkata pada ibunya, “Adakah ibu mahu menolak cadangan yang dikemukakan oleh utusan Allah? Hantarlah daku kepadanya, sesungguhnya dia tidak akan membawa kerosakan kepadaku.”

Selepas Rasulullah SAW mendengar keputusan wanita tersebut, Rasulullah SAW berdoa kepada Allah SWT, “Ya Allah, limpahkanlah kebaikan untuknya, hindarkanlah hidupnya dari kesusahan dan kesengsaraan.”

Julaybib dan isterinya melayari bahtera rumahtangga mereka dengan penuh bahagia. Mereka berdua berlaku sangat baik terhadap satu sama lain dan saling menghormati.

Namun begitu, Julaybib telah mengambil keputusan untuk menyertai Rasulullah SAW di dalam sebuah ekspedisi dan di dalam perjalanan mereka, mereka telah diserang oleh sekumpulan musyrikin. Apabila pertempuran tersebut berakhir, Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat-sahabat baginda, “Adakah kamu kehilangan sesiapa?” Sahabat-sahabat Rasulullah memberikan nama-nama ahli keluarga serta sahabat terdekat mereka.

Rasulullah SAW kemudiannya berkata, “Sesungguhnya aku kehilangan Julaybib. Carikan beliau untukku.” Disebabkan Julaybib tidak mempunyai keluarga dan sahabat rapat, kehilangannya tidak disedari oleh orang ramai.

Setelah selesai mencari, mereka telah temui mayat Julaybib yang terbaring di tanah. Dan terdapat juga tujuh mayat kaum musyrikin yang mengelilingi tubuh badan Julaybib, menandakan bahawa Julaybib telah membunuh mereka sebelum beliau sendiri telah terbunuh sewaktu pertarungan tersebut.

Rasulullah SAW berdiri di hadapan tubuh badan Julaybib dan berkata, “Julaybib telah membunuh tujuh musyrikin dan beliau pula terbunuh? Sesungguhnya lelaki ini merupakan sebahagian daripada diriku dan aku juga merupakan sebahagian daripada dirinya. ”Rasulullah menyebut ayat ini sebanyak tiga kali.

Rasulullah SAW mengangkat tubuh badan Julaybib di dalam pangkuan baginda dan baginda sendiri menggali serta mengkuburkan lelaki mulia itu.

Di saat manusia lain menghina dan menyisihkan Julaybib, Rasulullah SAW telah menunjukkan kasih sayang dan ihsan kepada beliau. Buat pertama kali di dalam kehidupannya, Rasulullah SAW menjadi individu pertama yang menunjukkan rasa hormat serta ihsan kepada Julaybib. Dan di saat Julaybib hilang harapan akan ada wanita yang akan mencintainya dan melayannya dengan rasa hormat dan baik,

Allah SWT pertemukan beliau dengan isterinya yang cantik serta berakhlak mulia. Sehingga kini, masih tiada rekod mahupun hadith yang mencatatkan nama wanita solehah yang telah mengahwini Julaybib. Perkara ini adalah amat menyedihkan kerana beliau merupakan contoh terbaik akan akhlak sebenar wanita solehah.

Kisah Julaybib memberi harapan kepada mereka yang sering rasa tersisih di dalam masyarakat, bahawa setiap individu mampu menjadi penting dan mampu membawa perubahan, selagi mereka bertaqwa kepada Allah SWT.

Oleh itu, wajarlah untuk kita semua mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW. Tunjukkanlah ihsan kepada mereka yang memerlukannya dan janganlah kita menghina manusia lain yang serba kekurangan berbanding diri kita sendiri. Salam selawat dan sejahtera buat baginda Rasulullah SAW.

RUJUKAN :

  1. AbdurRahman (2009, July 28). The Story of Julaybib (Radhi Allaahu Anhu).
  2. Amatullah Abdullah (2017, Jan 1). Julaybib: A Hope for Desperate Souls.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.