Kisah Rakyat UK Kena Tipu Dengan Kartel Daging Versi Mereka Tersendiri

1,528

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Kecoh! Kononnya, selama 40 tahun ditipu hidup-hidup dengan status daging sejuk beku import. Dan daging daging tersebut diimport dari negara negara yang tidak mengamalkan proses sembelihan halal.

Selama 40 tahun juga, industri makanan negara dikuasai oleh para kartel yang hidup bertuhankan wang ringgit membelakangi hukum syarak.

Tahukah anda, skandal yang sama juga pernah melanda negara United Kingdom? Tak lama dulu, tahun 2012 sedang aku sibuk-sibuk di Negara ratu, muncul skandal daging. Kartel daging telah menukar daging-daging import di UK kepada daging Kuda.

Kes ini mula dikesan di Republik Ireland sebenarnya yang mana DNA babi dan kuda dikesan dikebanyakan daging burger yang dirposes dan dijual. Lantas terus kecoh satu negara (UK), yang mana mereka telah ditipu hidup-hidup dengan daging import yang diproses. Antara yang hebat terkena adalah Tesco, dimana daging yang diimport dari Perancis kebanyakannya daging kuda.

Kalau diikutkan, ini bukanlah soal halal atau haram. Tapi, dalam konsep kemanusiaan mereka telah ditipu hidup-hidup. Dan pantang mereka, bila yang hitam dikata putih. Kuda tetap kuda dan takkan jadi lembu. Titik.

Kartel telah dikenal pasti, dan beberapa pengeluar daging yang mencampur daging daging tersebut telah tersenarai. Orang telah mula menjauhi produk daging. Sehinggakan peniaga restoran dan gerai terpaksa mengeluarkan papan tanda “Neigh (nay) horse in our burgers”.
Lantas produk-produk tesco mula di boikot supaya pihak Tesco ‘sedar’ selaku jenama tempatan, mereka tidak seharusnya menipu untuk untung lebih pantas.

Kempen tersebut berjalan hebat, hingga permohonan maaf dari Tesco berlangsung. Kerugian Tesco dalam kemelut itu didapati sehingga £300 juta.

Dalam kekalutan kemelut daging, kemudiannya sinar mula muncul. Para petani tempatan mula mengetengahkan produk daging tempatan yang 100% bebas campuran. Para pengguna mula beralih arah untuk menggunakan daging tempatan.

Tesco mula memilih daging daripada petani tempatan. Permintaan makin positif bila kempen ‘beli produk tani tempatan’ bermula. Dan kebanyakan pasaraya mula untuk memilih daging daripada petani tempatan.

Antara sistem mereka menolak orang tengah, pasaraya seperti tesco di kampung akan memilih ladang dan rumah sembelihan yang mengikut spesifikasi mereka dan produk diberi terus ke passaraya. Dari ladang, pasaraya terus ke pengguna.

Sistem ini digunapakai untuk kebanyakan produk tani lain juga pasaraya lain. Lantas, industri agrotani dan sistem makanan menjadi semakin kuat dan utuh dan kualiti semakin tinggi.

Daripada sebuah skandal, peralihan menggunakan produk tempatan menjadi kebanggaan, bagi mereka produk keluaran petani mereka juga hebat untuk berdaya saing. Mereka bangga dan mahu guna produk sendiri menjadikan ekonomi negara semakin naik.

Dalam hal lain, anggaplah skandal daging yang melanda industri halal Malaysia antara satu ‘panggilan bangkit’ untuk semua. Ayuh, kita pilih produk tempatan, daging tempatan dan kita pilih untuk bangunkan industri kita sendiri.

Berhenti tuding jari, dan sampai bila pun anda takkan dapat lari dari tidak menggunakan daging melainkan anda seorang vegan, vegetarian atau diahalang agama. Kita punya solusi untuk kemelut daging ini.

Kita pilih daging dari produk tempatan, dari petani peladang kita sendiri. Dengan tingginya permintaan, dan kawalan kualiti kita mampu untuk berdaya saing. Selama 40 tahun kita terlalu bergantung ini masanya untuk kita mulakan.

Kita boleh ambil inisiatif dari projek NFC yang gagal, wujudkan lembah daging dengan pusat pemprosesan, rumah sembelihan terus kepada pasaraya dan pasar. Kita buang kartel dan orang tengah.

Inilah masanya. Ambil iktibar dari UK

RUJUKAN:

1. “Horsemeat scandal: where did the 29% horse in your Tesco burger come from?” The Guardian, 2013

2. “Horse meat scandal wipes £300m off Tesco’s market value” The Guadian, 2013

3. “Horsemeat scandal: Tesco reveals 60% content in dish” BBC, 2013

Nota kaki: “Neigh” merupakan bunyian yang dikhususkan dalam bahasa inggeris untuk kuda. Manakala “Nay” adalah loghat utara UK yang bermaksud tiada. “Neigh” dan “Nay” mempunyai sebutan yang sama.

Artikel dinaikkan di The Patriots atas ehsan dan izin Khairul Aiman Hamdan. 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.