Kisah Raja Sejong Mencipta Tulisan Hangul

951

Setiap tamadun mempunyai identiti bahasa yang tersendiri. Ini kerana ia melambangkan kebesaran dan kebanggaan mereka sebagai sebuah tamadun yang menjadi pencorak kemajuan manusiawi sepanjang zaman. Dalam kes abjad Hangul, ia menjadikan Bahasa Korea sebagai antara bahasa yang paling efisien dan mendapat pujian ramai berikutan rekaannya yang saintifik dan cemerlang. Dan semua ini tidak berlaku jika tidak kerana jasa pemerintah agung dalam sejarah Korea, Raja Sejong Yang Agung/Sejong the Great.

Raja Sejong yang juga merupakan pemerintah keempat Dinasti Joseon sentiasa diangkat sebagai pemerintah terhebat dalam sejarah Korea bukan saja kerana keperibadiannya yang mulia tetapi juga dikenali sebagai seorang cendekiawan yang arif dalam semua bidang sehingga mengejutkan ramai pakar pada zamannya.

Semasa era pemerintahan baginda dari 1418 hingga 1450, Raja Sejong nyata kurang senang dengan isu buta huruf yang melanda rakyatnya ketika itu. Salah satu faktor yang menyumbang kepada isu ini ialah tulisan dan perkataan Bahasa Cina yang rumit sehingga sukar difahami oleh rakyat biasa.

Bagi golongan berpendidikan, tulisan sebegini menjadi pilihan mereka tetapi disebabkan ia merupakan bahasa asing, ia gagal menangkap perkataan-perkataan dan terma-terma yang berkait dengan pemikiran dan budaya masyarakat Korea. Justeru, ini mengundang pelbagai masalah kepada rakyat dari mengadukan permasalahan mereka kepada pegawai yang dilantik hinggalah sukar menyampaikan ilmu pertanian yang diraih sejak bertahun-tahun lamanya kepada generasi terkemudian.

Kesukaran ini amat difahami Raja Sejong lalu baginda mencipta sistem abjad unik yang kita kenali sebagai Hangul. Sistem ini dilihat amat sesuai dengan wawasan baginda yang mahukan sistem abjad yang bersifat Korea tetapi mudah dipelajari oleh semua orang termasuk orang biasa. Justeru, terhasillah 28 abjad Hangul yang diperkenalkan kepada orang di mana empat lagi tidak lagi digunakan hari ini.

Setiap abjad konsonan berdasarkan diagram mudah corak organ pertuturan manusia iaitu mulut, lidah dan gigi bila menghasilkan bunyi yang hampir dengan abjad berkenaan. Manakala abjad vowel pula dibentuk kombinasi titik dan garisan-garisan seperti langit/syurga (titik bulatan), bumi (garisan mendatar) dan kemanusiaan (garisan melintang). Morfem pula dibina dengan menulis abjad-abjad ini pada blok-blok silabik dengan blok-blok ini disusun secara linear.

Projek abjad Hangul ini berjaya disiapkan pada tahun 1443 dan diterbitkan pada tahun 1446 bersama sebuah manual bahasa sebanyak 33 muka surat yang bertajuk Hunmin Jeong-eum. Buku panduan ini menerangkan jenis-jenis abjad, teori-teori falsafah yang menyelubungi abjad berkenaan dan motif di sebaliknya. Menerusi buku ini, Raja Sejong mensasarkan mana-mana individu yang mempelajari Hunmin Jeoung-eum dapat menguasai Hangul dalam tempoh beberapa hari.

Dalam prakata buku tersebut, baginda bertitah, “Memandangkan ia berasal dari tempat asing, perkataan-perkataan Cina gagal menangkap maksud-maksud terma Korea yang unik. Justeru, ramailah rakyat biasa yang tidak mempunyai cara meluahkan perasaan dan pemikiran mereka.

Terhasil daripada rasa simpati beta terhadap kesukaran yang dialami mereka, maka beta telah mencipta set 28 abjad. Huruf-hurufnya mudah dipelajari dan beta berharap ia dapat menambahbaik kualiti kehidupan semua orang.”

Bahasa Korea mempunyai kosa kata yang meluas dan sudah diterjemahkan sebaik-baiknya. Justeru, jika ia cuba diterjemahkan dalam bentuk bahasa asing, agak sukar untuk ia dinyatakan sepenuhnya. Berikutan ia mudah dan set abjadnya yang sedikit, ia mudah dipelajari semua orang dari kanak-kanak hinggalah pedagang dan duta-duta negara asing.

Jadi, usah merasa terkejut apabila anak-anak Korea berumur seawal dua hingga tiga tahun sudah mampu bertutur dalam bahasa berkenaan walaupun dalam bentuk yang paling asas. Dan bila mereka sudah sampai ke era persekolahan, kebanyakan mereka sudah menguasai Hangul dengan mantap.

Ini merupakan satu fenomena yang jarang disaksikan oleh dunia hari ini sekaligus mencerminkan betapa mudahnya ia boleh dipelajari dan dikuasai oleh sesiapa saja. Justeru, bagi orang asing, tiada masalah bagi mereka bertutur dalam Hangul jika mereka dapat mempelajarinya dalam tempoh satu hingga dua jam.

Selain itu, menerusi keupayaan pembelajaran yang mudah, ia juga sebenarnya merealisasikan impian Raja Sejong yang melihat rakyatnya celik huruf dan tidak dibelenggu lagi dengan masalah buta huruf. Buktinya selepas kemangkatan baginda pada 1450 akibat masalah diabetis sehingga hari ini, isu buta huruf dianggap jarang berlaku dalam masyarakat Korea hari ini.

Dan berikutan rekaannya yang bersifat saintifik, ia juga menjadi batu asas kepada proses pemodenan dan kemajuan Korea Selatan hari ini. Pada era teknologi maklumat sebegini, ramai orang tidak berhadapan sebarang masalah beralih arah kepada komputer berikutan kebanyakan program dan penerangannya ditulis dalam Hangul.

RUJUKAN:

ZKorean.com.  History of Hangul. https://zkorean.com/hangul/history_of_hangul

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.