Dalam dunia filem seram, satu tema yang kerap muncul sebagai subjek filem ialah patung yang dirasuk hantu. Patung sebegini sentiasa menimbulkan gangguan kepada protagonis termasuk cubaan bu.n.uh atau mencederakan mereka seperti ditampilkan dalam francais filem Child’s Play dan Annabelle. Dan siapa sangka, patung sebegini wujud di sebuah kuil di Iwamizawa, Hokkaido, Jepun.

Mengikut cerita penduduk tempatan, seorang remaja lelaki bernama Eikichi Suzuki membeli sebuah patung di Sapporo sebagai hadiah kepada adik perempuannya yang berusia dua tahun, Okiku. Suzuki membuat pembelian ketika mengikut jelajah pameran maritim yang dibuat di setiap wilayah Jepun. Sebaik saja melihatnya di sebuah kedai, dia tahu itu merupakan hadiah terbaik untuk Okiku.

Di mata kasar, patung itu kelihatan cantik. Berukuran 40 cm tinggi dengan berpakaian kimono, ia sememangnya menarik perhatian sesiapa yang melihatnya. Rambut patung berkenaan berwarna hitam dan digayakan mengikut gaya tradisional okappa. Sementara matanya mampu menawan sesiapa yang melihatnya.

Selepas pameran tamat, Suzuki pulang ke rumah dan menghadiahkan patung itu kepada adiknya. Sebaik melihatnya, Okiku terus jatuh hati dan menjadikannya bukan sahaja sebagai permainan tetapi rakan baiknya. Okiku turut menamakan patung itu dengan namanya seolah-olah menunjukkan patung itu ialah versi kecil dirinya.

Tetapi setahun selepas itu, tragedi melanda seluruh keluarga Suzuki. Pada tahun 1919, Jepun dilanda epidemik demam kuning yang menyaksikan ramai warganya ma.ti akibat penyakit berkenaan termasuk Okiku. Lebih tragis, dia kembali menghadap Ilahi dalam keadaan memeluk patung kesayangannya itu.

Kebiasaannya, apa-apa objek kesayangan si ma.ti akan dikebumikan bersama tuannya. Tetapi berikutan situasi penularan penyakit yang berlaku pada ketika itu, hanya pengebumian ma.ya.t Okiku saja dibuat oleh pihak berkuasa. Patung Okiku kemudiannya diletakkan di altar keluarga Suzuki sebagai kebiasaan mengenang ahli-ahli keluarga yang telah pergi ke alam sana.

Dan sejak itu, bermulalah pelbagai insiden pelik yang membelenggu keluarga Suzuki. Pada satu hari, mereka mendapati rambut anak patung itu semakin panjang melepasi paras bahu. Sudahlah panjang, ia juga kelihatan tidak terurus dan mempunyai warna berbeza.

Pada waktu malam pula, mereka akan bermimpi tentang Okiku dan mendapati anak patung itu berada di sisi mereka pada waktu pagi. Keanehan yang melanda mereka bertambah parah apabila diganggu dengan bunyi bising, suara pelik, bunyi ketukan dalam rumah dan suis dimainkan tanpa diusik oleh sesiapa. Gangguan ini semakin kuat apabila ia menghampiri tarikh ulang tahun kelahiran Okiku dan ulang tahun hari kema.ti.annya.

Tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku, keluarga Suzuki menghubungi beberapa orang bomoh untuk mencari punca gangguan. Hasilnya, kesemua mereka berpandangan roh Okiku dikatakan terperangkap dalam badan anak patung itu.

Menjelang tahun 1938, keluarga Suzuki berhasrat untuk berpindah ke wilayah lain. Pada ketika itu, mereka sudah menyesuaikan diri dengan gangguan paranormal yang dicetuskan oleh patung Okiku. Bagi mereka, gangguan sebegini merupakan cara bagi si kecil yang telah tiada itu untuk berkomunikasi dengan mereka.

Begitupun, mereka memilih untuk tidak membawa patung Okiku bersama kerana percaya sumber magis patung itu ialah jaraknya dengan kubur anak kesayangan mereka itu. Lalu, keluarga Suzuki meminta bantuan Kuil Mannen-ji di Iwamizawa untuk menjaga patung ini dan menceritakan keanehan yang menyelubunginya.

Pengurusan kuil bersetuju dengan permintaan mereka dan sejak itu, patung Okiku diletakkan di bawah jagaan mereka sehingga hari ini. Dan menariknya, sesetengah dakwaan paranormal yang menimpa keluarga Suzuki turut disahkan oleh pengurusan Kuil Mannen-ji. Ini termasuk dakwaan bahawa rambut patung tersebut semakin panjang seperti rambut manusia.

Selang beberapa waktu, penjaga kuil akan memo.to.ng rambut patung Okiku bagi memastikan ia kelihatan kemas dan cantik. Begitupun, penjaga-penjaga kuil merasa tertanya-tanya sama ada rambut yang tumbuh pada patung itu ialah rambut manusia atau tidak. Bagi menghilangkan rasa ingin tahu mereka, satu sampel dihantar ke makmal untuk dianalisis secara saintifik. Dan hasilnya amat mengejutkan: ia memang RAMBUT MANUSIA!

Selama bertahun-tahun, patung ini semakin dikenali dan terus mencetuskan kekacauan kepada para penjaganya. Patung Okiku dikatakan muncul dalam mimpi penjaga-penjaga kuil dan sesiapa saja yang datang melihatnya. Dan mengikut satu cerita, seorang pelancong hampir jadi gila kerana terkejut melihat gigi persis bayi dalam mulut anak patung itu!

RUJUKAN:

Old City Ghosts. OKIKU, THE JAPANESE HAUNTED DOLL THAT PUTS CHUCKY TO SHAME.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.