Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan pada Mac lalu, siapa sangka produk paling bernilai di pasaran ketika itu ialah roti jenama Gardenia. Tetapi tidak ramai tahu tersembunyi kisah rahsia tentang jenama ini termasuk sejarah jenama itu sendiri.

Pada tahun 90-an, tak sah jika tidak melihat sorotan iklan komersial Gardenia yang sangat terkenal dengan slogan terkenalnya, “Gardenia, sungguh enak dimakan begitu saja!”. Ini berikutan rasa rotinya yang lebih lembut dan berbeza daripada rasa mana-mana jenama roti lain di pasaran.

Formula yang digunakan Gardenia dalam mencipta resepinya yang tersendiri itu dikenali sebagai “Resepi Uncle Slocumm” bersempena nama salah seorang pengasasnya yang bernama Horatio Sye Slocumm. Oh ya, selalu tengok wajah pakcik yang terpapar pada logo Gardenia tak? Ya, itulah Uncle Slocumm.

Slocumm berasal dari Amerika Utara, sebagai seorang pengasas jenama roti terkemuka, sudah tentulah latar belakangnya juga bukan calang-calang orangnya. Ketika beliau membuka salah satu rangkaian perniagaan kedai roti yang terkenal di Amerika, beliau sudah memiliki pengalaman sebagai pembuat roti selama 36 tahun.

Jadi, bagaimana jenama Gardenia itu muncul? Pada tahun 1969, pertubuhan sukarelawan International Executive Service Corps (IESC) menghantar Slocumm ke Sabah pada tahun 1969. Pertubuhan ini dihantar ke negara-negara dunia ketiga untuk membantu memajukan ekonomi negara-negara berkenaan. Semasa di Malaysia, Slocumm bertanggungjawab mengajar para pengusaha tempatan di Sabah tentang cara membuat roti berdasarkan resepinya sendiri.

Dari sinilah, jenama roti itu bermula. Memandangkan jasanya yang besar dalam membantu anak tempatan berjaya sebagai usahawan industri makanan, slogan “Resepi Asal Uncle Slocumm” kekal digunakan sehingga ke hari ini.

Terdapat dua versi siapa pengasas Gardenia. Satu versi mengatakan Slocumm yang bertanggungjawab membina syarikat di Malaysia pada tahun 1969. Manakala satu lagi versi menyatakan pembabitan seorang lagi tokoh terlibat iaitu Datuk Wong Tze Fatt. Gardenia dikatakan diasaskan oleh mereka dan seorang lagi pakar makanan bernama Jim Humphries pada tahun 1969 dengan bantuan dana khas IESC memandangkan perniagaan bakeri di Malaysia masih baru ketika itu.

Datuk Tze Fatt sudah berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak dari remaja lagi. Pada usia remajanya, beliau menjadi ketua keluarga dan mengambil alih pengurusan kedai kopi milik bapanya. Dari situ, ia diubah menjadi antara jenama pasar raya yang dikenali di Sabah iaitu Tong Hing Supermarket.

Dengan lebihan wang yang ada, beliau mula mengembangkan perniagaannya ke bidang-bidang lain termasuk bakeri. Hidangan sandwich ala Amerika Syarikat diperkenalkan bukan saja di pasar raya miliknya tetapi dijual sebagai makanan penerbangan untuk Royal Brunei Airlines dan Korean Air.

Tetapi dengan perniagaan yang semakin pesat membangun, Datuk Tze Fatt tahu beliau memerlukan bantuan untuk memenuhi permintaan pelanggan terhadap roti. Itu yang membawa kepada penubuhan Gardenia seperti yang dinyatakan di atas.

Begitupun, Datuk Tze Fatt tidak mahu berhenti di situ saja. Pada tahun 1981, beliau bekerjasama dengan Pepsi di mana perjanjian tersebut membenarkan Gardenia menjual minuman ringan di Malaysia Timur dan memperkenalkan aiskrim jenama berkenaan. Empayar Gardenia kemudiannya berkembang ke Semenanjung Malaysia, Singapura dan negara-negara Asia Tenggara lain.

Tiga tahun kemudian, Datuk Tze Fatt memutuskan untuk menjual beberapa operasi syarikat Gardenia kepada sebuah syarikat multinasional iaitu QAF Limited. QAF Limited bukan nama asing dalam industri makanan Asia Tenggara kerana merupakan pengimport makanan terbesar di Singapura dan Malaysia.

Sejak itulah, syarikat Gardenia yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia kini dikenali sebagai Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dan mempunyai operasi berbeza dengan Gardenia di Sabah. Dan itu juga menjelaskan mengapa harga dan rasa roti Gardenia berbeza di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Ini kerana syarikat tersebut telah menambahbaik resepi pembuatan roti Sloccum bagi menjadikan ia lebih lembut dan enak dimakan. Justeru, tidak hairanlah mengapa penduduk Sabah dan Sarawak memastikan sebelum kembali ke negeri masing-masing, roti Gardenia di Semenanjung Malaysia antara benda wajib yang perlu didapatkan.

Perbezaan dua syarikat Gardenia ini juga telah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna di Malaysia. Misalnya pada tahun 2015, Gardenia Food Industries di Sabah diarah menutup premis kilang mereka selama dua minggu akibat masalah kebersihan.

Ramai pengguna menyangka syarikat yang berpangkalan di Sabah itu merupakan Gardenia sama di Semenanjung Malaysia. Bimbang dengan impak pengumuman pihak berkuasa terhadap kualiti roti mereka, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd terpaksa mengeluarkan satu kenyataan ringkas yang mengatakan syarikat tersebut tiada kena-mengena dengan mereka dan amat menitikberatkan kualiti pembuatan roti mereka.

Nasib yang menimpa dua pengasas Gardenia amat berbeza sama sekali. Sloccum kembali ke negeri cacing pada 30 September 1982 di Alabama, AS. Sementara pengakhiran riwayat Datuk Tze Fatt pula begitu tragis sekali.

Pada tahun 2004, negara dikejutkan dengan pembvnvhan k3j4m beliau dan isterinya pada 4 Disember tahun tersebut. Mengikut siasatan polis, seorang pendatang tanpa izin (PATI) bernama Den memecah masuk ke kediaman beliau dengan harapan dapat mengambil barang-barang berharga miliknya.

Malangnya, dia tidak menyangka kediaman tersebut masih berpenghuni kerana terserempak dengan Datuk Tze Fatt yang hendak keluar rumah. Tidak mahu perbuatannya diketahui, Den segera meny3r4ng beliau di bahagian kepala sehingga m4t1 sebelum menj3rvt orang rumahnya. Dia juga cuba memb4k4r bilik tidur pasangan itu untuk memvsnahkan bukti tetapi itu juga menjadi punca kem4t1annya.

Berita sedih itu diketahui adik Datuk Tze Fatt, Wong Tze Kong dan anak lelakinya, John selepas mereka datang ke rumah untuk memeriksa keadaan pasangan tersebut. Ini berikutan kakitangan Hotel Jesselton yang dimilikinya memberitahu beliau dan isterinya terlepas menghadiri sarapan harian di hotel tersebut.

Apabila kedua-duanya tiba, mereka melihat penj3n4y4h itu memberi amaran kepada mereka untuk berundur sebelum memb4k4r bilik tersebut. Kes tersebut diklasifikasikan polis sebagai ditutup dan mereka menyimpulkan niat sebenar pelaku ialah pecah rumah sebelum menukar niat kepada membvnvh.

Sejak itu, syarikat-syarikat milik Datuk Tze Fatt ini diambil alih oleh sebuah syarikat lain bernama JWPK Holdings. Dan pada tahun 2020, sebuah syarikat bernama Kim Teck Cheong Consolidated Bhd (KTC) berjaya mendapat lesen daripada Gardenia untuk menjual produk tersebut di Sabah, Sarawak dan Indonesia. Legasi perniagaan Datuk Tze Fatt diteruskan oleh anak perempuannya, Sarah yang kini bergelar pengarah di Tong Hing Supermarket.

RUJUKAN:

Sidek, Namri. (2020). Sejarah Roti Gardenia: Siapa Sebenarnya ‘Uncle Slocum’ Pencipta Resepi Rahsia Ini?. Iluminasi. https://iluminasi.com/bm/siapa-uncle-slocum-yang-mencipta-resipi-roti-gardenia.html

Noor, Sabrina. (2020). THE WEIRD STORY OF TWO GARDENIAS, AND HOW ONE OF ITS FOUNDERS WAS MURD3R3D. Cilisos. https://cilisos.my/the-weird-story-of-two-gardenias-and-how-one-of-its-founders-was-murd3r3d/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.