Kisah Pengasas Amerika Syarikat Memiliki Al-Quran

0
890
views

Dua abad sebelumnya, Kongres dibenarkan oleh Presiden James Madison untuk membeli perpustakaan peribadi salah seorang pengasas Amerika Syarikat, Thomas Jefferson. Tindakan ini dibuat untuk mengisi semula Perpustakaan Kongres yang dibakar oleh Britain semasa Perang 1812. Antara 6,487 buku yang dibawa, satu buku menarik perhatian semua iaitu sebuah manuskrip Al-Quran tahun 1734. Ramai berpandangan Al-Quran tersebut dibeli oleh Jefferson pada masa mudanya untuk melihat pengaruh agama tersebut pada sistem perundangan ketika itu. Tetapi di sebalik ini, ia sebenarnya turut memberi petunjuk kepelbagaian agama terutama agama Islam pada era awal penubuhan Amerika Syarikat.

Berdasarkan statistik, 20% hamba-hamba yang dibawa ke Amerika Syarikat beragama Islam pada abad ke-18 dan 19. Namun agak sukar mengesan sejarah mereka ini. Ini kerana pada ketika itu, Amerika masih belum tahu berkenaan Islam. Dan bagi hamba-hamba ini, mereka mengamalkannya secara rahsia, dipaksa murtad dan memeluk agama Kristian atau mencampurkan ia dengan tradisi lain.

Satu contoh kisah hamba ini ialah seorang lelaki bernama Omar bin Said. Beliau dibawa dari negara kelahirannya, Senegal ke Charleston, Carolina Selatan pada tahun 1807. Said menggambarkan orang yang membelinya itu seorang kafir. Pada awalnya, beliau berusaha mempertahankan akidahnya dan kemudian mentransformasikan ia pada satu bentuk yang menyentap sesiapa yang mendengarnya. Tiga tahun selepas dijadikan hamba, beliau cuba lari tetapi berjaya ditangkap semula di Fayetteville, Carolina Utara. Semasa dalam tahanan, penawannya melihatnya sebagai seorang pendiam dan misteri. Misteri di sini menurut mereka ialah cara beliau beribadat dan menulis grafiti yang sukar difahami mereka. Grafiti ini berkemungkinan ayat-ayat Al-Quran kerana ia ditulis dalam bahasa Arab.

Figure 2: Omar bin Said

Selepas itu, Omar dijual kepada sebuah keluarga berpengaruh dan memujuknya memeluk agama Kristian serta menulis kisah hidupnya. Pada tahun 1825, sebuah akhbar Philadelphia menyiarkan sebuah artikel berkenaan kisah Omar semasa dalam tahanan dan bagaimana beliau memeluk agama Kristian. Pada tahun 1837, akhbar Boston Reporter menggelarnya ‘Murtad dari Mohammedanisme’ dan mengisi dua kolum dengan menceritakan keperibadiannya. Walaupun Omar sudah bergelar seorang Kristian, itu tidak menghalang beliau mengkritik masyarakat pada zaman tersebut. Dalam catatannya, beliau menulis, “Wahai penduduk Amerika, wahai penduduk Carolina Utara. Tidakkah kamu ada generasi yang takut pada Allah? Apakah kamu yakin bahawa Dia yang menguasai langit dan bumi tidak akan menyebabkan bumi runtuh ke atas kamu, di mana ia bergegar sehingga jadi serpihan dan menyebabkan kamu tak terdaya?”

Selain Omar, seorang lagi lelaki mencuri tumpuan masyarakat pada ketika itu. Lelaki tersebut bernama Job ben Solomon atau Ayuba Suleiman Diallo yang menjadi mangsa perhambaan di Maryland pada tahun 1730-an. Seperti Omar, beliau juga cuba lari dari cengkaman tuannya tetapi berjaya ditahan semula. Pertemuan seorang hakim tempatan dengan Job sangat menakjubkan sehingga ianya dicatat dalam sebuah buku. Menurut hakim tersebut, Job amat menjaga sebutan ayat-ayat terutama kalimah dengan nama Allah (basmalah). Dan keperibadiannya menunjukkan beliau seorang yang adil dan bertimbang rasa.

Figure 3: Potret Ayoba Suleiman Diallo yang dilukis oleh William Hoare.

Seorang lagi lelaki menarik perhatian media Amerika Syarikat pada era awal penubuhan Amerika. Lelaki tersebut ialah seorang putera Timbuktu bernama Abdul Rahman Ibrahim. Penderitaan baginda sebagai hamba mendapat perhatian meluas oleh media pada tahun 1820-an. Beberapa dekad selepas menjadi mangsa perhambaan, Abdul Rahman berjaya dibebaskan dan dapat kembali ke Liberia selepas mendapat sokongan orang berpengaruh seperti Presiden John Quincy Adams dan Setiausaha Negara, Henry Clay. Sebelum berangkat pulang ke Liberia pada tahun 1860-an, Abdul Rahman menyatakan amat mengagumi kitab Bible tetapi baginda juga merasa pelik mengapa orang Kristian enggan mengikut ajaran kitab mereka.

Bukan mudah bagi hamba-hamba yang beragama Islam ini mempertahankan akidah mereka. Buktinya, penulis buku The Religious Instructions of Negroes in the United States, Charlie Colcock Jones merungut penganut fahaman Mohammedanisme dari Afrika dapat mengasimilasikan agama mereka pada agama Kristian yang cuba diterapkan oleh tuan mereka. Jones menulis, “Tuhan, mereka panggil Allah dan Jesus Christ pula ialah Muhammad. Agamanya sama tetapi setiap negara mempunyai nama agama berbeza.” Omar bin Said menulis pada buku Psalm yang dimilikinya kalimah basmalah iaitu ‘Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.’ Bagi mubaligh seperti Jones, taktik sebegini dianggap menyesatkan tetapi bagi hamba-hamba seperti Abdul Rahman, Job dan Omar, agama merupakan tiang utama dalam kehidupan di mana ia perlu dijaga tanpa mengira masa atau tempat.

Mungkin atas sebab itulah, dalam biografinya, Jefferson merangka satu undang-undang di Virginia berkenaan kebebasan agama. Berdasarkan rancangan, undang-undang tersebut akan melindungi semua penganut agama iaitu Islam, Kristian, Yahudi, Hindu dan fahaman-fahaman lain. Namun itu masih belum menjelaskan mengapa beliau tidak menyebut kehadiran penganut agama tauhid ini sudah berada di negara yang beliau asaskan. Satu lagi soalan menarik ialah apakah beliau tertanya-tanya sekiranya 600 hamba yang dimilikinya mampu memahami Kalamullah lebih baik dari beliau sendiri.

SUMBER

Manseau, Peter. (2018). Smithsonian Magazine. Why Thomas Jefferson Owned A Koran. https://www.smithsonianmag.com/smithsonian-institution/why-thomas-jefferson-owned-qur-1-180967997/

 

 

Comments

comments

Previous articleDekad 60-an dan 70-an: Zaman Kegemilangan Novel Melayu
Next articleTeknik Membuat Dakwat Yang Genius Di Alam Melayu
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE