Pedro Alvares Cabral merupakan seorang peneroka dari Portugal yang hidup pada kurun ke-15 dan ke-16 Masehi. Secara umum, beliau dikenang sebagai individu pertama dari Eropah yang menemui Brazil.

Penemuan Cabral ini memberikan kesan yang cukup signifikan buat sejarah kolonial Portugal, khususnya apabila kekayaan sumber alam tanah baru itu mengalir masuk ke kantung perbendaharaan negara. Namun apa yang menariknya, penemuan ini pada asalnya sama sekali tidak diniatkan dan malah, ia berbibit-mula daripada kesilapan Cabral sendiri.

LATAR BELAKANG KELUARGA

Pedro Alvares Cabral dilahirkan pada 1467/1468 di Belmonte, Portugal, sebagai anak kedua kepada Fernao Cabral dan Isabel de Gouveia. Keluarga Cabral menyandang kedudukan sebagai keluarga kehormat memandangkan sejak bergenerasi, mereka mencurahkan khidmat bakti kepada raja Portugal. Berikutan status kebangsawanannya, Cabral berpeluang mendapatkan pendidikan di istana diraja dan pada tahun 1497, beliau dilantik sebagai anggota majlis Raja Manuel I.

Pedro Alvares Cabral

Pada bulan Julai tahun sama, seorang peneroka Portugal yang bernama Vasco da Gama berangkat dari Lisbon dengan membawa empat buah kapal dan kira-kira 170 orang anak kapal. Misi perlayarannya itu adalah untuk memastikan sama ada wujud laluan laut yang menghubungkan antara Eropah dan Asia. Tugasan ini berjaya diselesaikan dengan jaya apabila beliau mengelilingi Tanjung Harapan dan tiba di Calicut, India, pada tahun 1498.

‘Vasco da Gama di hadapan Zamorin dari Calicut’, oleh Veloso Salgado

DIBERIKAN KEPIMPINAN

Pada tahun 1500, Raja Portugal berhasrat mahu melanjutkan lagi misi eksplorasi yang ditinggalkan oleh da Gama. Maka, sebuah konvoi yang terdiri daripada 13 buah kapal dan 1200 orang anak kapal dihimpunkan. Armada ini diletakkan di bawah kepimpinan Cabral, yang ketika itu dipercayai belum mempunyai sebarang pengalaman mengetuai perlayaran. Sejarahwan berpendapat pelantikan ini berfaktorkan hubungan rapat dan kesetiaannya kepada raja.

Apapun, armada tersebut memulakan keberangkatannya dari Lisbon pada tanggal 9 Mac 1500. Cabral turut dibekalkan dengan peta-peta maklumat yang dikumpulkan daripada perlayaran-perlayaran Christopher Columbus, Vasco da Gama, dan Bartolomeu Dias (yang kini mengetuai salah sebuah kapal Cabral) dan diperintahkan untuk mengikuti laluan yang diambil oleh da Gama sebelum ini. Walau bagaimanapun, armada Cabral menghala terlalu ke barat daya sehingga memasuki Lautan Atlantik.

Armada yang dipimpin oleh Pedro Alvares Cabral

PENEMUAN BRAZIL

Akibat kesilapan tersebut, Cabral tidak sampai ke India sebagaimana yang dirancang. Sebaliknya, beliau tiba di pantai Amerika Selatan yang ketika itu masih belum diketahui kewujudannya. Pada tanggal 22 April, setelah berlayar selama beberapa tempoh, Cabral menemukan daratan dan melabuhkan armadanya di Porto Seguro yang berlokasi di pantai Bahia, Brazil moden.

Memandangkan kawasan ini dipersetujui sebagai ‘hakmilik’ Portugal sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Tordesillas, maka Cabral dan anak-anak buahnya pun turun ke pantai dan mendirikan sebatang salib sebagai simbol kuasa Portugal ke atas tanah itu. Lantaran meyakini yang daratan yang ditemuinya itu adalah sebuah pulau, maka Cabral menamakannya sebagai Pulau Salib Hakiki (Island of True Cross). Nama ini kemudian diubah kepada Pulau Salib Suci oleh Raja Manuel, sebelum akhirnya, ia dikenali sebagai Brazil, yang merujuk kepada sejenis pokok tempatan.

‘Pedro Alvares Cabral berlabuh di Porto Seguro, tahun 1500’ (1922) oleh Oscar Pereira da Silva

Cabral menetap di Brazil selama 10 hari dan sepanjang tempoh tersebut, beliau bertembung dengan warga tempatan. Cabral juga sempat menghantar pulang sebuah kapal untuk memaklumkan kepada raja tentang penemuan baru itu. Kemudian, Cabral pun meneruskan perlayarannya ke India.

Perlayaran ini berlangsung lancar sehinggalah mereka tiba di Tanjung Harapan, di mana mereka dibadai ribut taufan sehingga mengakibatkan empat buah kapal karam, termasuklah kapal yang diketuai oleh Dias. Kapal-kapal yang selamat melanjutkan perlayaran ke timur, dan dalam kesempatan ini, kapal pimpinan Diogo Dias pula terpisah dari armada berikutan cuaca buruk melanda. Mujur, mereka tidak karam dan malah, berpeluang menemui Pulau Madagascar.


Kapal-kapal lain yang masih berbaki akhirnya sampai di India pada September 1500 dan di sana, mereka membeli sebanyak mungkin barangan rempah. Memasuki Januari tahun berikutnya, enam buah kapal pimpinan Cabral berangkat pulang ke Lisbon dan sampai di sana pada lewat Jun. Apapun, hanya empat buah kapal sahaja yang terselamat sambil dua yang lain karam dalam perjalanan.

Walaupun menanggung kerugian yang cukup besar, hasil penerokaan ini amat memuaskan hati Raja Portugal. Oleh kerana itu, satu lagi ekspedisi perlayaran ke India dirangka dan beliau berhasrat mahu melantik Cabral sebagai komander. Namun pada akhirnya, ekspedisi tersebut diketuai oleh da Gama sambil Cabral pulang ke Beira Baiza. Beliau meluangkan sisa hidupnya di sana dengan aman dan meninggal dunia pada tahun 1520.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (1 Jun 2018). Pedro Alvares Cabral: The Lucky Lost Navigator Who Made Brazil Portuguese. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/pedro-alvares-cabral-navigator-brazil-portuguese-0010143


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.