Moving Forward As One

Kisah Pakistan Menjaga Patung Buddha Lapar Yang Menyeramkan Ini!

4,051

Di Muzium Lahore, Pakistan ada satu artifak patung Buddha yang dijaga rapi dan dipamerkan dengan baik.
Patung “Buddha Berlapar” ini diukir sekitar abad ke-2 hingga abad ke-4 oleh kerajaan Gandhara, sebuah kerajaan Greco-Buddha yang berpusat ketika itu di Lembangan Peshawar. Kerajaan yang pernah wujud seawal 2500 SM ini meliputi kawasan antara Banjaran Sulaiman dan Sungai Indus dalam wilayah Pakistan moden hari ini.

Dapat diteliti bahawa tinggalan artifak ini adalah patung Buddha yang memaparkan Buddha dalam keadaan berbeza dan amat jarang ditemukan di seluruh dunia.

Patung Buddha ukiran granit syis hitam ini memaparkan Buddha dalam pertapaan dan berlapar sebagai salah satu caranya bermeditasi sehingga menampakkan rangka, muka yang cengkung, mata tersembul siap dengan rambut yang disanggul siap berjambang.

Ini amat berbeza dengan imej Buddha yang biasa kita temukan; gemuk, cukup makan, sihat, pipi tembam dan botak licin tanpa seurat bulu di muka.

Inilah cara bagaimana Republik Islam Pakistan, sebuah negara Islam konservatif, menjaga rapi tinggalan artifak ketamadunan agama lain yang pernah muncul sebelum Islam tiba di Pakistan sendiri dan memanfaatkannya untuk tontonan generasi mendatang.

Ini ironi kerana negara yang sering dikaitkan dengan ekstemisme IS dan Taliban ini menitikberatkan tinggalan sejarah sebegini. Ia bahkan lebih ironi lagi memandangkan Lahore hanya terletak beberapa ratus kilometer sahaja dari tempat Buddha Bamiyan pernah diletupkan di seberang sempadan Afghanistan sekitar 2001 lalu.
Naratif sebeginilah yang sewajarnya ditonjolkan dan dijadikan contoh dalam melawan ekstremisme yang menunggang nama Islam. Tahniah Pakistan.

Untuk rekod, Muzium Lahore ini memang merupakan antara muzium yang banyak menyimpan artifak buddha dan tamadun-tamadun pra Islam dengan baik. Ia bahkan dikatakan menjaganya lebih baik berbanding muzium-muzium di negara jirannya, India.

Kerana inilah mengapa semua bentuk ekstremisme perlu dihapuskan dan tinggalan artifak, budaya dan warisan sejarah perlu lebih ‘kalis-politik’.

Tapi mesej macam ni tak semua pemimpin dan orang Islam setuju.

Ruangan komen telah ditutup.