Kisah Myrtle Corbin: Gadis Berkaki-Empat Dari Texas

616
views

Myrtle Corbin atau nama penuh beliau Josephine Myrtle Corbin merupakan seorang wanita Amerika Syarikat. Beliau bekerja sebagai seorang ‘penghibur’ di dalam pertunjukan aneh seorang pengusaha pertunjukan @ (“showman”) bernama P.T Barnum.

Beliau dilahirkan pada 12hb Mei, tahun 1868 di Lincoln County, Tennessee. Amerika Syarikat. Walaupun fizikal beliau dimanifestasikan ‘sedikit’ aneh, dikhabarkan bahawa semasa kelahiran Josephine Myrtle Corbin, tiada apa-apa komplikasi telah terjadi, dan proses bersalin itu normal kata ibunya.

Doktor yang memeriksa Corbin selepas kelahiran beliau mengatakan bahawa Corbin sangat sihat dan membesar dengan baik. Secara keseluruhannya, beliau seorang bayi yang sihat dan aktif, walaupun mempunyai 2 set kaki.

*1 set kaki normal, dan 1 set kaki genit.

Walaubagaimanapun, doktor yang memeriksa tersebut berasa sangat aneh tentang mengapa Corbin dilahirkan sebegitu. Doktor itu kemudian menyenaraikan antara sebab @ faktor tentang mengapa perkara ini terjadi.

Pertama sekali, doktor itu mengesyaki kejadian ini terjadi oleh kerana faktor umur kedua ibu bapa Corbin yang berbeza 10 tahun diantara mereka.

Bapa Corbin, iaitu William H.Corbin berumur 25 tahun, manakala ibunya Nancy, berumur 34 tahun.

Kedua, doktor itu mengesyaki ini adalah angkara kerosakan genetik akibat pembiakan-dalaman.

Oleh kerana doktor tersebut memerhatikan ciri-ciri fizikal kedua ibu bapa Corbin yang mirip antara satu sama lain seperti, warna rambut merah yang sama, bermata biru serta memiliki tona kulit wajah yang sama.

Oleh kerana ciri-ciri fizikal mirip antara satu sama lain, doktor tersebut meminta supaya pasangan tersebut menyatakan dengan jelas di dalam laporan perubatan bahawa mereka bukanlah ‘saudara sedarah’.

Meskipun 2 faktor seperti yang disenaraikan doktor tersebut, nampaknya Josephine Myrtle Corbin sahaja yang mengalami kecacatan sebegini. Ini kerana ibu bapa Corbin mempunyai 7 orang anak yang lain dan mereka semuanya normal tanpa kecacatan.

Kemudian, barulah ia telah dikenalpasti bahawa Corbin mempunyai kondisi yang diberi nama dipygus.

Terdapat 3 faktor utama mengapa kondisi ini berlaku dan ia adalah seperti berikut; genetik, persekitaran (contoh: bahan kimia) dan teratogenik (kecacatan dalam perkembangan fisiologi) yang memberi kesan negatif terhadap pembentukan awal embrio.

Kecacatan dipygus adalah satu bentuk duplikasi caudal (*sebut kaudel) yang teruk dan ekstrem dimana paksi badan itu telah terduplikasi keseluruhannya pada bahagian caudal. *caudal merujuk kepada bahagian bawah badan.

Keadaan fizikal Corbin adalah hasil daripada paksi badan itu terpisah menjadi dua. Kesan daripada duplikasi ini, menjadikan Corbin mempunyai 2 struktur pelvis terletak sebelah-menyebelah antara satu sama lain.

Dengan setiap pelvis tersebut, Corbin mempunyai 1 set kaki menjadikan beliau memiliki 2 set kaki. 1 set kaki yang genit / kecil tersebut terletak bersebelahan, manakala 1 set kaki yang bersaiz normal mengapit kaki genit itu tadi.

Walaubagaimanapun, terdapat kecacatan pada salah satu daripada kaki bersaiz normal itu tadi. Keadaan yang diberi terma Congenital Talipes Equinovarus, atau lebih dikenali sebagai ‘clubfoot’. Suatu kondisi dimana kaki ‘berputar’ masuk ke dalam kerana terdapat ketegangan pada tendon Achilles.

Selain daripada mempunyai 2 pelvis dan 2 set kaki, Corbin juga mempunyai 2 sistem/organ peranakan (luaran dan dalaman) serta 2 sistem/organ perkumuhan. Ini menyebabkan Corbin juga turut mempunyai 2 faraj dan 2 rektum.

Menurut jurnal perubatan ditulis oleh seorang doktor yang mengkaji kondisi Corbin, merekodkan bahawa beliau mampu untuk menggerakkan kaki genitnya.

Populariti Myrtle Corbin

Kerjaya Corbin sebagai seorang ‘penghibur’ bermula pada tahun 1881, apabila beliau berumur 13 tahun. Corbin mengambil bahagian dalam pertunjukan sampingan dalam acara-acara besar serta menggunakan nama gelaran “The Four Legged Girl From Texas”.

Perkara ini dimulakan oleh bapanya terlebih dahulu dengan ‘memperagakan’ keanehan fizikal anaknya pada jiran-jiran tetangga yang ingin tahu dan melihat lebih dekat lagi keadaan Corbin. Bapanya menggunakan kesempatan ini dengan mengenakan caj bayaran pada individu-individu tersebut.

Menyedari bahawa ‘pertunjukan’ ini berpotensi menjadi publisiti serta sumber wang kepada keluarga, bapa Corbin mula mencetak dan mengedarkan lembaran promosi serta meletakkan iklan pada surat khabar untuk orang ramai melihat pertunjukan tersebut.

Dikhabarkan bahawa di pertunjukan ini lah Corbin menempa namanya dan menjadi semakin popular serta menjadi bahan bualan orang ramai. Ini membantu Corbin memperoleh pendapatan sebanyak 450 dollar seminggu (*mewah dan lumayan pada zaman ni).

Oleh kerana populariti Corbin yang meningkat naik, akhirnya Corbin menerima pelawaan P.T.Barnum untuk menjadi tarikan di dalam pertunjukan aneh beliau. Setelah 4 tahun bersama-sama dalam pertunjukan tersebut, Corbin akhirnya bersara dari industri.

Kehidupan Selepas Bersara

Setelah bersara, Corbin berumur 18 tahun pada ketika itu, telah jatuh cinta pada seorang doktor bernama Clinton Bicknell. Dan pada 19 tahun, Corbin telahpun berkahwin.

Setahun selepas itu, pada musim bunga 1887, Corbin mendapat tahu bahawa beliau mengandung. Corbin mengunjungi sebuah klinik di Blountsville, Alabama merungut sakit pada sebelah kiri badan, demam, sakit kepala, serta hilang selera makan.

Semasa 3 bulan pertama mengandung, Corbin jatuh sakit dan perkara ini menyebabkan doktor terpaksa menggugurkan kandungan beliau.

Meskipun begitu, tidak lama kemudian Corbin akhirnya telah melahirkan 4 orang cahaya mata sihat dan normal sepanjang kehidupan beliau. Corbin meneruskan hidup seperti normal bersama keluarga beliau dan menetap di Texas.

Pada tahun 1928, Corbin akhirnya meninggal dunia akibat jangkitan bakteria streptokokkus pada kulit. Beliau berumur 60 tahun pada ketika itu. Walaupun jangkitan dihidapi Corbin mudah diubati pada zaman moden ini, waktu itu tiada rawatan antibiotik yang tersedia.

Pada 6 Mei, 1928, keranda Corbin telah ditanam serta dituangkan konkrit keatasnya. Ahli keluarga menunggu sehingga konkrit tersebut kering sepenuhnya sebelum beredar dari tempat itu kerana khuatir kubur tersebut akan digali perompak kubur.

Ini kerana, terdapat beberapa individu seperti doktor dan pengusaha pertunjukan yang menunjukkan minat untuk memperoleh mayat Corbin. Malah ada diantara mereka yang sanggup menawarkan ganjaran wang untuk mendapatkan legasi peninggalan terakhir (*mayat) Josephine Myrtle Corbin, “Gadis Berkaki-Empat Dari Texas”.

Kredit:

The Story Of Myrtle Corbin, P.T. Barnum’s “Four-Legged Girl From Texas”. Retrieved from: https://allthatsinteresting.com/myrtle-corbin

An extremely rare case of classic complete caudal duplication: Dipygus. Retrieved from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4155636/

Sideshow World, Josephine Myrtle Corbin. Retrieved from: http://www.sideshowworld.com/76-Blow/Myrtle/Corbin-1.html

She had one husband, four children, and four legs. Retrieved from:http://www.appalachianhistory.net/…/she-had-one-husband-fou…