Kisah Mata Pena Merubah Dunia

0
296
views

Seringkali kita mendengar kata-kata pujangga “sesungguhnya mata pena itu lebih tajam dari sebatang padang”, tetapi jarang sekali kita berhenti untuk memeriksa sejauh manakah kebenaran kata pujangga itu. Dari segi logik pun kata-kata itu merupakan sesuatu yang tidak masuk akal. Bagaimana sebatang pen boleh jadi lebih kuat dari sebatang pedang yang menjadi senjata pahlawan dan tokoh-tokoh besar sejarah. Dengan sebatang pedanglah tokoh-tokoh seperti Genghis Khan, Julius Caesar dan Alexander The Great berjaya menakluk wilayah demi wilayah dan akhirnya membentuk empayar dan tamadun yang hebat.

Jadi amatlah pelik sekali jika hendak membandingkan sebatang pen dengan sebilah pedang. Lebih-lebih lagi di zaman ini apabila penulisan itu merupakan sesuatu yang dipandang remeh oleh masyarakat. Tengok sahajalah di media sosial, bila ada yang menulis panjang sedikit sahaja mulalah kita nampak komentar seperti “Tulis panjang-panjang pun apa kau dapat” dan “Panjang sangatlah, lukis boleh?”mengiringi hantaran tersebut.

Jadi amatlah sukar sekali untuk membayangkan keadaan di mana penulisan itu mampu membawa impak yang lebih hebat dari sebatang pedang. Tetapi, jika kita meneliti dari sudut sejarah, sebenarnya itulah perkara yang berlaku. Catatan sejarah menunjukkan yang sebatang pena mampu membangkitkan revolusi, mencetuskan perang berdarah dan membawa penulisnya ke pentas sejarah. Kerana penulisan yang baik itu mampu menggegarkan dunia, dan di sini saya senaraikan 3 risalah penulisan hebat sebagai bukti yang “pena itu lebih tajam dari mata pedang”.

95 Theses: Pencetus Reformasi Gereja
Gambar 2: Penjualan Indulgence oleh pihak gereja
Sumber: https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Jeorg_Breu_Elder_A_Question_to_a_Mintmaker_c1500.png

Sejak awal kurun ke-5 lagi, Gereja Katolik sudah mengamalkan apa yang dipanggil sebagai indulgence. Indulgence merupakan satu dokumen yang disahkan oleh pihak gereja bertujuan untuk memberi pengampunan kepada penerima dokumen tersebut dan merupakan satu bentuk penebusan dosa (mengikut ajaran Kristian). Penerima dokumen perlulah melakukan sesuatu untuk membolehkan mereka menerima indulgence antaranya dengan membaca Bible, berpuasa ataupun menderma kepada pihak gereja.

Pada mulanya, pemberian indulgence bolehlah diibaratkan sebagai satu bentuk perlepasan dan mengurangkan hukuman dari Gereja, tapi apabila menghampiri kurun ke-13, indulgence sudah mula dilihat sebagai pengurangan tempoh masa di neraka. Malah lebih dari itu, indulgence sudah mula digunakan untuk mengutip duit (ataupun perkataan yang lebih baik lagi, sedekah) dari individu yang inginkan pengampunan. Seringkali dengan cara ini, golongan bangsawan dan yang kaya selalunya akan memberi “sedekah” yang lebih banyak kepada pihak gereja bagi mendapat pengurangan tempoh masa yang lebih lama di neraka (ya,bertabahlah, saya tahu bunyinya mengarut).

Korupsi yang berlaku ini berlarutan sehinggalah ke kurun ke-16 apabila indulgence sudah mula diperdagangkan dan dijual oleh pihak gereja. Malah, Pope Leo X juga menggunakan indulgence bagi mengumpul dana untuk membiayai projek St Peter’s Basilica di Rom. Inilah sebenarnya penunggang agama yang wujud sejak Zaman Pertengahan lagi yang mempergunakan agama sebagai alat untuk mengaut keuntungan. Perdagangan dan penjualan indulgence secara meluas yang mendapat sokongan gereja akhirnya membuka mata Martin Luther, seorang pendita dan professor Theology di Jerman.

Martin Luther melihat penjualan indulgence yang semakin merebak (dan mengarut) menulis 95 Theses yang datang dengan 95 persoalan dan hujah mempersoalkan penjualan indulgence dan pengumpulan dana melaluinya. Penulisan Luther pada asalnya berniat baik dan hanyalah bertujuan sebagai satu ruang untuk penghujahan dan perdebatan akademik secara sihat tentang penjualan indulgence.

Pada mulanya Luther hanya menampal risalahnya itu (mulanya di tulis dalam Latin) di pintu gereja di Wittenberg yang berfungsi sebagai papan kenyataan dan beliau bercadang untuk membuat debat terbuka bagi membincangkan perkara itu dengan lebih jelas bersama dengan orang awam. Tetapi tanpa Luther sedari, hasil penulisannya itu dibaca dan disebarkan dengan rancaknya di seluruh Jerman. Dibantu oleh teknologi pencetakan yang baru wujud pada ketika itu, risalah Luther ditafsir ke Bahasa Jerman, dicetak dan disebarkan di serata Eropah sehingga dalam masa sebulan sahaja, hampir semua orang Kristian mengetahui tentang risalah yang ditulis oleh Luther.

Seperti tularnya sesetengah hantaran di media sosial, begitulah tularnya risalah dari Luther. 95 Theses yang ditulis oleh Martin Luther akhirnya membawa kepada tercetusnya Reformasi Gereja pada tahun 1517. Reformasi Gereja membawa kepada perpecahan gereja dan membentuk mazhab-mazhab Kristian yang baru seperti Protestan. Lutheran, Anglican dan banyak lagi. Ianya berakhir dengan perang berdarah, 30 Years War yang bermula dari tahun 1618. Perang berdarah itu merubah rupa bentuk dan keadaan sosio-politik Eropah dan merupakan antara perang yang paling berdarah dalam lipatan sejarah dengan korban mencecah 8 juta orang.

Apa yang terjadi pada Luther? Luther terus menerus menyebarkan ajarannya dan tentangannya terhadap penjualan indulgence, dan akhirnya beliau mati di rumah tanpa sebarang konflik. Luther tidak pernah mengangkat sebatang pedang pun sepanjang tempoh Reformasi namun begitu, hasil penulisannya memberi impak yang sangat besar kepada Eropah.

Areopagitica: Perintis Kebebasan Bersuara

Pada tahun 1642, sebuah Perang Saudara tercetus di England yang melibatkan pertempuran di antara penyokong monarki dan juga penyokong Parlimen. Raja Charles I mendapat tentangan kuat dari Parlimen pada ketika itu yang mempersoalkan pemerintahan Raja Charles I selepas 11 tahun memerintah sendiri secara zalim tanpa gangguan dan bantahan dari Parlimen.

Perang saudara yang melihatkan pertempuran berdarah sehingga mengorbankan 100,000 orang itu bukan sahaja berlaku di medan perang, malah ia turut berlaku di atas kertas. Pada ketika itu, teknologi percetakan yang berkembang pesat sewaktu zaman Reformasi Gereja membolehkan penyebaran risalah dan makalah berlaku di antara orang ramai. Melihatkan kepada impak yang boleh terjadi daripada risalah-risalah ini, pihak monarki cuba untuk menghadkan dan menapis kandungan risalah yang dicetak. Sebarang kandungan yang difikirkan sebagai menghasut ataupun mempunyai tujuan yang tidak baik, penulis dan pencetak akan dihukum berat sesuai dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Tapi langkah demi langkah yang diambil oleh pihak monarki menemui kegagalan kerana semakin ditekan semakin banyak risalah yang menetang monarki dicetak dan disebarkan kepada orang awam. Wujudnya persidangan parlimen yang panjang (Long Parliament) pada tahun 1640 membolehkan undang-undang yang mengawal selia risalah pencetakan dihapuskan dan akhirnya mewujudkan kebebasan bersuara.

Waqaf Saham

Ketika perang saudara tercetus, kedua-dua pihak (monarki dan juga parlimen) mempergunakan industri percetakan bagi menarik sokongan rakyat terhadap perjuangan mereka. Penyokong parlimen akan mencetak risalah bagi menceritakan keburukan yang dilakukan oleh Raja Charles I dan Raja Charles I akan membalas kembali tuduhan itu dengan risalahnya sendiri. Pertempuran yang berlaku di atas kertas ini juga bukanlah sekadar satu retorik semata-mata, tetapi ia juga mampu mempengaruhi pertempuran di medan perang.

Pada tahun 1643, apabila parlimen mengalami kekalahan demi kekalahan di medan perang, satu ordinan diluluskan bagi mengawal dan menyelia industri percetakan. Kebebasan bersuara yang menjadi antara asas kepada Perang Saudara yang tercetus itu akhirnya dikekang semula oleh pihak parlimen kerana takutkan sokongan rakyat yang semakin ramai terhadap monarki. John Milton, seorang penyair Britain merupakan antara orang yang dihukum di bawah ordinan tersebut.

Pada November 1644, Milton menulis Areopagitica: speech of Mr. John Milton for the Liberty of Unlicenc’d Printing, to the Parlament of England yang ditujukan kepada pihak parlimen bagi menyatakan hujah beliau yang menentang usaha perlesenan dan kawal selia industri percetakan. Milton berhujah bahawa walaupun risalah yang tidak dikawal mampu mencetus revolusi dan perang berdarah, namun begitu, tindakan mengawal selia kandungan percetakan merupakan sesuatu yang naif, kerana tiada siapapun yang mampu menentukan dengan bebas tanpa sebarang pengaruh politik, apa yang patut dicetak, dan apa yang tidak sepatutnya disebarkan. Milton menggalakkan agar risalah dicetak tanpa sebarang kekangan agar ia bebas didebatkan dan dikritik bagi mencari satu sintesis yang sejati.

Walaupun Areopagitica tidak menganggu gugat parlimen dalam meneruskan kawal seliaan mereka terhadap industri percetakan, tetapi ia menjadi asas kepada pembentukan gerakan kebebasan media di Eropah. Malah Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika yang berlaku pada kurun ke-18 mengambil banyak inspirasi dari Areopagitica hasil tulisan John Milton. Sehingga kini Areopagitica masih lagi disebut-sebut sebagai rujukan dan hujah-hujahnya digunakan bagi menyokong hak kebebasan bersuara.

Common Sense: Membangkitkan Semangat Kemedekaan
Gambar 3: Common Sense karya Thomas Paine
Sumber: YouTube

Thomas Paine merupakan orang Britain yang berhijrah ke koloni British Amerika pada tahun 1774 dengan bantuan Benjamin Franklin. Di Amerika beliau mendapat tempat bekerja sebagai seorang editor akhbar untuk Pennsylvania Magazine. Kebolehan dan bakat yang beliau ada dalam menulis risalah yang membuka mata membolehkan idea beliau tersebar luas dalam masyarakat setempat. Namun begitu, Paine sentiasa berhati-hati dalam menulis dan sentiasa menghantar rencana/penulisannya di bawah nama samaran bagi mengelak tindakan yang keras dari British.

Pada ketika itu, hubungan tegang sudah mula wujud antara Great Britain dan koloni British Amerika. Pun begitu, tiada tanda-tanda dari penduduk koloni yang mereka mahukan kemerdekaan dari British walaupun wujud kebencian dari penduduk terhadap Britain dan monarki secara khususnya. Idea untuk kemerdekaan pada ketika itu dilihat begitu asing pada penduduk Amerika dan boleh dianggap sebagai satu bentuk pemberontakan terhadap British.

Thomas Paine mula menulis sebuah rencana yang pada asalnya ingin diterbitkan di surat khabar serata Philadelphia. Tetapi disebabkan penulisannya yang terlalu panjang, Paine menerbitkannya dalam bentuk risalah dan dicetak untuk disebarkan di serata koloni. Paine pada mulanya ingin menamakan risalahnya itu sebagai Plain Truth, tetapi atas nasihat rakannya, beliau menamakan risalahnya sebagai Common Sense.

Common Sense menyusun dengan baik hujah-hujah mengapa Amerika perlu bebas merdeka dari pengaruh British dengan mengkritik pemerintahan monarki dari sudut sejarah,politik dan juga agama. Common Sense menerima sambutan yang luas di serata koloni Amerika apabila ia terjual lebih dari 120,000 keping dalam hanya 3 bulan sahaja selepas diterbitkan. Common Sense dibaca di pub-pub,restoran, tempat berkumpul orang awam malah ia turut dibacakan oleh jeneral perang kepada tentera-tentera American Patriots sewaktu Perang Revolusi Amerika.

Impak Common Sense terhadap Revolusi Amerika adalah sangat besar sehingga John Adams, Presiden ke-2 Amerika Syarikat pernah berkata “tanpa pena dari penulis Common Sense (Common Sense diterbitkan di bawah nama samaran Thomas Paine, Englishman), pedang yang diangkat oleh George Washington pasti tidak akan beroleh kemerdekaan”.

Rumusan

Nah, itu dia 3 risalah hebat yang berjaya mencorak dan menempa sejarah. Kita di Malaysia juga apa kurangnya. Hasil-hasil karya sasterawan seperti Pak Sako, Usman Awang, dan Rahim Kajai bukan sahaja membuka mata, malah menjadi perintis kepada gerakan nasionalis dan kemerdekaan di negara kita. Jadi, selepas ini jika anda nampak hantaran ataupun penulisan yang panjang di media sosial, janganlah lagi keluarkan komentar bodoh seperti “panjang sangat, lukis boleh tak?” Manalah tahu, penulisan dan rencana itu bakal merubah dunia.

Rujukan

Standage, T. (2013). “Writing on the wall: Social media — the first 2,000 years.” m/s 57-67, 107-112,148-155

Cross, F. L., ed. The Oxford Dictionary of the Christian Church. New York: Oxford University Press. 2005,

Ludwig von Pastor, The History of the Popes, from the Close of the Middle Ages, Ralph Francis Kerr, ed., 1908, B. Herder, St. Louis, Volume 7, m/s 347-348

History.com (2009), “MARTIN LUTHER AND THE 95 THESES” History.com

Larminie, Vivienne, “On this Day: 23 November 1644, the publication of Milton’s Areopagitica and regulation of the press” The History of Parliament Online

Lepore,Jill (Oktober, 2016), “The Sharpened Quill: Was Thomas Paine too much of a freethinker for the country he helped free?” The New Yorker

Ku Hussein,Ku Seman (September, 2017), ““Wartawan -sasterawan” dalam perjuangan kemerdekaan” Berita H