Sebelum dunia berp3rang menentang virus baru Covid-19 yang berasal dari Wuhan China, lebih kurang 20 tahun yang lalu negara kita pernah menghadapi satu wabak penyakit berpunca daripada sejenis virus yang baru.

Pada tahun 1999, Malaysia menjadi tempat munculnya sejenis virus baru yang tidak pernah ditemui sebelum ini yang diberi nama virus Nipah. Virus Nipah diambil nama bersempena tempat penularan wabak tersebut iaitu Kampung Sungai Nipah, Negeri Sembilan.

Virus ini pertama kali dikesan di dalam badan manusia di Malaysia sekitar Oktober 1997 sehingga Mei 1999. Jangkitan virus Nipah ini akan mengakibatkan seseorang yang dijangkiti mengalami encephalitis iaitu sakit radang otak yang boleh menyerang sistem saraf. Penyebaran virus ini di dalam tubuh seseorang adalah sangat pantas di mana otak mereka membengkak dan mereka tidak mampu untuk bercakap dan berjalan.

Pada awalnya kerajaan Malaysia menyangkakan bahawa virus tersebut merupakan Japanese Encephalitis Virus (JEV) yang disebarkan melalui nyamuk. Oleh sebab itu, semburan fogging telah dibuat hampir setiap hari di kawasan-kawasan merah untuk membunuh nyamuk namun usaha tersebut menemui jalan buntu.

Pada 27 Februari 1999, seorang peladang di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya(PPUM) setelah mengalami akut encephalitis untuk proses penyiasatan virus. Seorang pelajar pengajian doktor falsafah(PhD) dalam bidang virologi di Universiti Malaya iaitu Chua Kaw Bing terlibat secara rasmi dalam penyiasatan tersebut.

Setelah penyelidikan dilakukan melalui cecair pada pesakit iaitu tiga hari selepas pesakit itu dimasukkan, Chua percaya bahawa virus yang sedang menggila tersebut adalah bukannya Japanese Encephalitis Virus(JEV) tetapi merupakan sejenis virus yang baharu.

Chua terus menjalankan penyelidikan. Beliau meletakkan slaid yang mengandungi sampel virus tersebut di bawah kanta mikroskop elektron. Beliau menghidupkan lampu mikroskop dan melihat ke dalam. Chua berasa sangat terkejut kerana beliau melihat warna hijau yang sangat terang.

Ketika itu, beliau mendapat satu jawapan bahawa virus tersebut merupakan virus daripada keluarga paramyxovirus yang amat berbahaya dan mempunyai kadar penyebaran dan jangkitan yang tinggi kerana warna hijau membuktikan terdapat gabungan glikoprotein atau (F) glycoprotein manakala Japanese Encephalitis Virus(JEV) adalah daripada keluarga flavivirus yang mempunyai (E) protein.

Chua menghubungi Ketua Jabatannya untuk memberitahunya tentang penemuan tersebut namun Ketua Jabatannya memberitahunya bahawa keputusan tersebut kebanyakannya berkemungkinan adalah sejenis kontaminasi dan menyuruhnya untuk membuang sampel tersebut dan mengabaikannya. Chua berasa kecewa namun beliau tidak membuang sampel tersebut.

Hari demi hari, wabak tersebut semakin menjadi-jadi. Ramai pesakit telah dimasukkan ke Hospital Seremban (kini dinamai Hospital Tuanku Jaafar). Ada pesakit yang jatuh koma dan ada pesakit yang menjadi lumpuh dan tidak mampu bergerak.

Pesakit-pesakit di situ umpama m4yat hidup kerana mereka berada dalam keadaan yang sedar tetapi tidak mampu bergerak atau bercakap. Paten ujikaji daripada para pesakit tersebut menyamai pesakit di PPUM. Chua berusaha untuk meyakinkan Ketua Jabatannya akan penemuan tersebut tetapi ditolak.

Keadaan makin teruk. Tiada ubat yang mampu menyembuhkan para penyakit manakala wabak makin merebak. Malah lebih teruk lagi wabak tersebut mula memasuki Singapura. Namun begitu, ada satu perkara yang membuatkan Chua bingung.

Tiada seorang pun pesakit yang dijangkiti terdiri daripada kaum Melayu yang beragama Islam. Ini menguatkan lagi keyakinannya bahawa wabak ini bukan disebabkan nyamuk kerana nyamuk tidak mengenali bangsa.

Chua terpaksa memujuk profesornya untuk menghantarnya ke Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan(Centers for Disease Control and Prevention – CDC) di Fort Collins, Colorado, Amerika Syarikat. Mereka mempunyai mikroskop berteknologi tinggi yang mungkin dapat merungkai persoalan dan memberikan jawapan mengenai jenis virus tersebut.

Perkara tersebut dipanjangkan ke Kementerian Kesihatan dan Institut Penyelidikan Veterinar pada 9 Mac 1999. Chua dengan bantuan kementerian memperoleh visa dan terbang ke Amerika Syarikat. Chua menyerahkan sampel tersebut kepada saintis di sana. Apabila saintis di sana menjalankan penyelidikan mereka berasa sangat terkejut kerana virus tersebut sememangnya daripada keluarga paramyxo yang amat berbahaya seperti yang telah disimpulkan Chua.

Virus ini tersebar melalui haiwan ternakan atau secara khusus lagi adalah melalui babi dan bukannya nyamuk. Jangkitan boleh berlaku melalui udara yang tercemar melalui titisan pernafasan, sentuhan rembesan dari hidung dan mulut atau tisu dari babi yang terjangkit.

Virus ini merupakan sejenis virus dari genus Hepavirus daripada keluarga Paramyxovirus yang juga mempunyai persamaan dengan virus Hendra yang menyerang manusia dan kuda pada tahun 1994 di Australia.

Namun begitu, perumah semulajadi bagi virus ini adalah bukannya babi tetapi kelawar daripada spesies Pteporus manakala babi adalah perumah pengganda(amplifier). Babi dikatakan terjangkit apabila memakan buah atau meminum air yang tercemar dengan air liur atau kencing kelawar, atau memakan janin kelawar yang gugur.

Menyedari bahaya yang dihadapi Malaysia, Chua terus menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia dari CDC. Chua memberitahu segalanya tentang virus tersebut kepada kerajaan Malaysia. Melalui maklumat yang diperoleh daripada Chua, kerajaan Malaysia mengambil langkah drastik dengan mengerah angkatan tentera dan jabatan veterinar untuk menjalankan proses pelupusan babi.

Lubang-lubang besar dikorek dan kesemua babi di Sungai Nipah dan Bukit Pelandok dikumpulkan. Sebanyak satu juta babi dihumban ke dalam lubang dan ditembak sebelum dikambus dengan tanah. Ladang-ladang babi menjadi kosong. Ternyata langkah yang diambil kerajaan ini berkesan.

Jumlah pesakit kian menurun dan tiada lagi penyebaran virus dikesan. Virus ini tidak tersebar melalui kontak manusia dengan manusia tetapi melalui manusia dan titisan ataupun rembesan daripada babi. Walaupun begitu, ianya telah meragut 105 nyawa.

Virus ini dinamakan sebagai virus nipah atau NiV (Nipah Virus) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization-WHO). WHO melabelkan virus Nipah sebagai virus yang berbahaya dan berkemungkinan untuk tersebar dan menjadi pandemik di seluruh dunia namun malangnya sehingga ke hari ini tiada vaksin berjaya ditemui.

Malaysia telah diisytiharkan bebas daripada virus Nipah pada awal 2001. Namun begitu beberapa kes virus Nipah dicatatkan sekitar 2001, dan 2003 hingga 2005 di Bangladesh.

Chua Kaw Bing telah menerima Anugerah Merdeka dan Anugerah Sains Mahathir daripada pihak kerajaan atas usaha dan jasanya menemui virus Nipah. Kini Dr. Chua Kaw Bing merupakan Penyiasat Prinsipal Kanan di Temasek Lifesciences Laboratory di Singapura.

RUJUKAN

  1. Protokol Veterinar Malaysia : Virus Nipah. 2011. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia. Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia.
  2. A Taste For Pork Helped A Deadly Virus Jump To Humans. Jane Greenhalgh. NPR. Dicapai pada 26 Mac 2020.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Knowledge is not power. Knowledge is knowledge, power is power. But knowledge is the key to power. Without a proper fortune you shall perish. Pelajar Sarjana Muda Syariah & Undang-undang. Mengagungkan pelbagai cabang ilmu, tapi tak semua. Mempunyai visi tersendiri dalam menyubur masyarakat dengan ilmu. Seorang Potterhead.

Comments are closed.