Kisah Makcik Bawang Zaman Nabi Yusuf A.S

855

Akhir-akhir ini, istilah “Mak Cik Bawang” telah menjadi fenomena umpama simpulan bahasa moden. Istilah ini membawa maksud “Golongan yang suka bergosip”.

Dikatakan istilah ini muncul bersempena tindak-tanduk ahli anggota rewang (atau dalam adat orang Kedah, Kenduri Pakat) yang sering bergosip sambil menyempurnakan kerja-kerja dapur seperti mengupas bawang.

Sebenarnya, fenomena bergosip ketika kenduri ini bukan hanya dilakukan oleh makcik-makcik di negara kita sahaja. Sebaliknya, sejarah menunjukkan kejadian seumpama ini pernah berlaku jauh di zaman purba lagi iaitu di kerajaan Mesir Purba.

Yang bergosip dan yang digosip bukan calang-calang orang. Wanita-wanita dari kerabat bangsawan pada ketika itu “membawang” mengenai isu seorang isteri Pemimpin Mesir pada ketika itu. Isteri pemimpin Mesir itu dikatakan bernama Zulaikha sepertimana masyhur dalam kitab-kitab tafsir.

Mereka bergosip tentang peristiwa Zulaikha cuba menggoda Nabiyullah Yusuf Alaihisalam. Sudah menjadi lumrah, orang yang bergosip sudah pasti akan merendah-rendahkan orang lain dan acah-acah diri sempurna. Oleh itu, Zulaikha bertindak untuk menguji pula wanita-wanita itu semua. Adakah mereka itu semua “bagus sangat” atau “2X5 sahaja” ?

“Dan (sesudah itu) wanita-wanita di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.

Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu JAMUAN untuk mereka, serta memberi kepada – tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): “Keluarlah di hadapan mereka”. Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!”

(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.” (Surah Yusuf 12:30-32)

Membawang itu slanga orang sekarang. Gosip itu dari bahasa Inggeris. Jika bahasa Melayu baku, ia dikenali sebagai mengumpat. Jika dalam bahasa Arab, ia disebut sebagai Ghibah. Ghibah adalah membicarakan aib orang lain. Sedang manusia tidak suka, apabila bentuknya, perangainya, keturunannya dan ciri-cirinya dihina dan nama baiknya dinodai.

Rasulullah bersabda dalam hadis riwayat Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasa’i yang mafhumnya, “Tahukah kamu, apakah itu Ghibah?“

Sahabat berkata, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.

Lalu Nabi menjawab, “Iaitu kamu menceritakan tentang saudaramu mengenai hal-hal yang dibencinya”.

Maka sahabat bertanya lagi, “Bagaimana, jika yang dikatakan itu sebetulnya terdapat pada saudara tersebut?”

Nabi menjawab, “Jika yang kamu katakan itu ada padanya, bererti kamu telah mengumpatnya dan jika tidak seperti apa yang kamu katakan itu, sesungguhnya kamu telah berbuat fitnah tentang dirinya.

Dalam satu lagi hadis, dari Jabir dan Abu Said mereka berkata, “Rasulullah pernah bersabda, “Jauhilah olehmu sifat Ghibah karena Ghibah itu lebih besar dosanya daripada zina”.

Ditanyakan kepada Rasulullah, “Kenapa pula begitu?”

Rasulullah menjawab, “Seseorang itu berzina kemudian bertaubat, Allah akan mengampuni kepadanya manakala orang yang mempunyai sifat Ghibah, Allah tidak akan mengampuninya sehingga temannya mahu mengampuninya.”

Dalam al-Quran Surah al-Hujurat ayat 12, Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah dari bersangkaan, karena sebagian dari bersangkaan itu dosa. Dan janganlah mencari-cari atau mengintip keburukkan, kesalahan dan aib orang dan janganlah mengumpat antara satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”.

Jemput follow penulis : https://instagram.com/khairiasyraf_17

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.