Kisah Keturunan Raja Melayu Singapura Terakhir Yang Menyedihkan

9,829

Sebut saja nama Sultan Hussein Shah, ramai membayangkan peranannya dalam pemeteraian perjanjian 1819 yang menyaksikan Singapura diserahkan kepada Stamford Raffles yang mewakili Britain. Sejak itu, namanya hilang dari lembaran sejarah dan tiada siapa menyangka nasib yang menimpa keturunan-keturunan baginda yang menetap di Singapura hari ini.

Tetapi sebelum itu, eloklah diketahui kisah baginda terlebih dahulu. Semua maklum selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah III pada tahun 1812, tiada siapa tahu siapa pengganti baginda. Ini kerana baginda tidak menamakan secara formal siapa penggantinya selepas baginda mangkat.

Bagi para pembesar Melayu dan kerabat diraja Johor-Riau terutama Engku Putri Hamidah, mereka cenderung memilih baginda (ketika itu bergelar Tengku Hussein) sebagai pengganti. Tetapi pihak Bugis yang berpangkalan di Riau mahukan Tengku Abdul Rahman menaiki takhta bagi menjamin kekuasaan mereka secara proksi dalam Kesultanan Johor-Riau. Selain pihak Bugis, Belanda juga menyokongnya sebagai sultan dengan harapan dengan mengekang pengaruh British.

Selepas mendapat tahu adindanya menaiki takhta pada tahun 1818, Tengku Hussein yang ketika itu berada di Pahang berlayar pulang dan disambut oleh Sultan Abdul Rahman. Pada awalnya, baginda bersedia turun takhta dan memberi ruang kepada kekandanya menaiki takhta sebagai sultan. Bagaimanapun, langkah tersebut dihalang oleh pihak Bugis sekaligus mengakibatkan Tengku Hussein duduk dalam buangan di Riau.

Kisah pertikaian ini diketahui oleh Raffles hasil persahabatannya dengan Temenggung Abdul Rahman selepas mendarat di Singapura pada Januari 1819. Melihat ini sebagai peluang membina pangkalan baru di Hindia Timur, beliau menyakinkan sahabatnya itu menyeludup keluar Tengku Hussein dari Riau dan membawanya ke Singapura.

Di sinilah, Raffles memberitahu bersedia menyokong tuntutan Tengku Hussein sebagai Sultan Johor-Riau yang sah sebagai tukaran kepada kebenaran menubuhkan pangkalan perdagangan di Singapura bagi pihak British. Malah, beliau juga bersetuju membayar sejumlah besar pampasan kepada baginda dan Temenggung Abdul Rahman jika mereka berbuat demikian.

Hasilnya, kedua-dua pihak bersetuju dengan pemeteraian perjanjian 1819. Singapura perlahan-lahan menjadi pusat perdagangan penting British di Timur Jauh terima kasih kepada usaha keras Residen Singapura yang pertama, William Farquhar sekaligus mengundang rasa tidak puas hati Belanda. Dengan kemunculan Singapura, ia bakal menyaingi kedudukan Betawi di Pulau Jawa sebagai pelabuhan utama Belanda di Timur Jauh.

Perkara ini turut mengundang persoalan tentang status Sultan Hussein sebagai Sultan Johor-Riau yang sah. Ini kerana menerusi perjanjian itu, gelaran sultan yang dikurniakan bersifat gelaran semata-mata dan tidak diiktiraf oleh Raja-Raja Melayu yang lain. Selain itu, perjanjian ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan Sultan Abdul Rahman kerana bebas daripada pengaruh Bugis menerusi Raja Jaafar.

Tetapi secara perlahan-lahan, ramai pembesar Melayu mula menyokong Sultan Hussein. Sementara Sultan Abdul Rahman pula lebih selesa berada di Lingga dengan kuasa pentadbiran terletak di tangan Raja Jaafar di bawah pengaruh Belanda. Tetapi satu peristiwa pada tahun 1824 mengubah segala-galanya.

Perjanjian Britain-Belanda yang dimeterai pada tahun 1824 di London mengakibatkan Kesultanan Johor-Riau berpecah dua dengan bahagian Tanah Melayu dan Singapura jatuh ke tangan British. Sementara Belanda pula mengekalkan pengaruh mereka di Riau.

Sultan Hussien.

Kesan daripada perjanjian itu amat signifikan. Sultan Hussein boleh saja meneruskan tuntutan ke negeri Johor terutama selepas pemergian Temenggung Abdul Rahman ke rahmatullah pada tahun 1825 dan penggantinya, Temenggung Ibrahim masih kecil lagi. Tetapi selepas menyedari penglibatannya dalam perjanjian 1819 memecahkan pengaruh Johor-Riau, baginda memilih untuk tidak berbuat demikian.

Sultan Hussein terus bersemayam di Istana Kampung Gelam sehingga tahun 1834 sebelum berpindah ke negeri Melaka. Baginda kemudiannya mangkat setahun kemudian dan dimakamkan di Masjid Tengkera, Melaka.

Sebahagian keturunan baginda terus menetap di Istana Kampung Gelam sehingga akhir abad ke-20 sebelum diarah keluar oleh kerajaan Singapura agar istana tersebut dibaikpulih dan dijadikan sebagai muzium. Pada tahun tersebut, kerajaan Singapura memberi pampasan kepada 79 keturunan Sultan Hussein, 14 daripadanya menetap di Istana Kampung Gelam dan bakinya menetap di luar negara bagi memudahkan usaha pengambilalihan kawasan istana.

Istana Kampung Gelam.

Selain itu, mereka turut memberi rumah baru kepada 14 individu yang menetap di istana ketika itu. Hampir kesemua keturunan Sultan Hussein menerima pampasan kecuali seorang individu. Begitupun, Singapura tidak pernah mendedahkan nama mereka kepada umum sekaligus menyukarkan usaha mengesahkan seseorang itu memang keturunan Sultan Hussein atau sebaliknya.

Gambar Tengku Faizal sedang menunggu teksi. Foto oleh Reuters. 

Bagi sesetengah daripada mereka, peristiwa tersebut memaksa mereka berdepan realiti kehidupan di luar istana seperti dialami Tengku Faizal, 43. Selepas meninggalkan istana pada tahun 1999, beliau kemudiannya bekerja sebagai pencuci bangunan dan kadang-kadang diusik dengan gelaran ‘anak raja pengendali sampah’. Kini, Tengku Faizal bekerja sebagai pemandu teksi tetapi bergelut mendapatkan wang secukupnya untuk menampung kehidupannya sekeluarga.

Berikutan statusnya sebagai penduduk berpendapatan rendah, beliau mendapat bantuan kewangan untuk meliputi kos penjagaan anak perempuannya. Bagi membolehkan mereka mempunyai lebih banyak wang, isterinya bekerja secara sambilan di sebuah restoran McDonald’s. Semasa ditemubual agensi berita Reuters, Tengku Faizal berkata, “Kami otak beku, kami tak kaya. Kami cuma ada gelaran sahaja.”

Isteri Tengku Faizal bekerja di McD. Foto oleh Reuters.

Bagi Tengku Indra, 67, beliau mengingatkan kerabat Sultan Hussein agar tidak hidup pada masa silam atau terlalu fokus kepada kesusahan yang dialami. Perunding yang pernah menetap di Istana Kampung Gelam semasa kecil itu berkata, “Kita bukan sebuah dinasti. Ia tidak penting sama ada anda seorang kerabat diraja atau tidak.

“Apa yang penting ialah anda harus bekerja keras melalui meritokrasi daripada menikmati status berdasarkan sejarah silam.” Anak beliau, Tengku Azan, 40, mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun sekaligus menjadi generasi terbaru kerabat diraja Sultan Hussein. Begitupun, Tengku Azan merasakan generasi muda Singapura tidak akan berminat dengan sejarah Sultan Hussein.

Tengku Shawal. Foto oleh Reuters.

“Masa silam sentiasa akan diketepikan dan tidak akan diraikan,” katanya. Bagi Tengku Shawal, 51, pula, walaupun berdepan dengan isu potongan gaji dan prospek pekerjaan tidak menentu akibat pandemik Covid-19, beliau sentiasa menziarahi Kampung Gelam dan menghadiri majlis-majlis keraian dengan memakai pakaian tradisional.

Tetapi seperti Tengku Azan, beliau juga kadang-kadang merasa kecewa bila memperkenalkan dirinya sebagai kerabat diraja, maklum balas orang ramai ialah, “Mereka masih wujud?” Mungkin kerana tidak mahu melihat anaknya menjadi bahan ejekan orang ramai kerana mempunyai gelaran Tengku, Tengku Shawal memilih tidak menamakan nama Tengku pada puterinya semasa hari kelahirannya.

Bagi seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Puteri, 27, beliau berdepan tugas sukar menerangkan latar belakang dirinya kepada orang ramai tentang satu babak sejarah Singapura yang dilupakan. “Satu bahagian dalam diri saya merasa sedih kerana perlu menerangkan siapa diri saya. Tetapi bila sebut nama Putera Harry, mereka tahu baginda seorang putera raja,” katanya.

RUJUKAN:

Reuters. (2020). Cabbies and office workers: Meet Singapore’s ordinary royals. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/world/2020/10/27/cabbies-and-office-workers-meet-singapores-ordinary-royals/

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.