Pada sekitar tahun 637-638 (15 Hijriah), orang-orang Islam telah membebaskan Baitulmaqdis (Jerusalem) dari cengkaman Empayar Rom, yang telah menindas kota itu dengan zalim sejak 500 tahun sebelumnya.

Ekspedisi panakl*kan oleh pasukan t*ntera Muslim dipimpin oleh Abū ‘Ubaydah bersama-sama Khālid ibn Walīd dan para sahabat yang lain (radhiallahuanhum), dengan penuh kesabaran mereka mengepung kota itu, berbanding melakukan ser*ngan yang menumpahkan dar*h, pihak Muslim lebih rela menunggu hingga pihak Byzantium menyerah kalah.

Setelah menyerah kalah, patriak Ortodoks Yunani bernama Sophronius menegaskan bahawa dia hanya akan menyerahkan kunci kota itu kepada Amir al-Mu’minin (Pemimpin yang Beriman), iaitu Khalifah Umar bin al-Khattāb r.a., yang berada di Madinah pada masa itu.

Oleh itu, setelah menerima khabar akan permintaan ini, Umar ber*ngkat ke Kota Suci dalam satu perjalanan panjang merentasi semenanjung Arab dan al-Syam, berbekalkan hanya seekor keldai (ada pendapat yang mengatakan unta) dan ditemani seorang hamba. Mereka menunggang secara bergilir-gilir sementara salah seorang berjalan kaki.

Ketika ketibaan mereka, Umar memasuki gerbang kota dengan berjalan kaki, (waktu itu sudah giliran hambanya untuk menunggang keldai) dengan rasa hormat dan rendah diri, dia masih mengenakan pakaian sederhana yang dipakai sepanjang perjalanannya dan hampir tak dapat dibezakan antara dia dengan hambanya.

Peristiwa ini sangat mengejutkan Sophronius yang telah bersedia untuk bersemuka dengan salah seorang pemerintah paling berkuasa di dunia itu.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu dan bertukar salam, sebelum patriak membawa Umar bersiar-siar melawat persekitaran kota, dan persiaran mereka berakhir di Holy Church of Sepulcher. (Gereja Makam Suci)

Ketika tibanya waktu solat, Sophronius menawarkan ruang di dalam gereja untuk orang-orang Islam menunaikan solat, tetapi Umar menolak kerana khuatir tindakan itu akan menjejaskan status gereja.

Umar bimbang jika orang-orang Islam mula melakukan solat di dalam gereja itu, ia dikhuatiri akan mempengaruhi generasi umat Islam pada masa akan datang untuk menjadikan tempat suci orang Kristian itu sebagai tempat orang Islam beribadat secara kekal.

Sebaliknya, menurut beberapa riwayat, umat Islam membersihkan ruang di luar gereja dan menunaikan solat di luar gereja itu. Riwayat lain menunjukkan bahawa orang-orang Islam bersolat di masjid al-Aqsā sebagai ganti yang jaraknya tidak berapa jauh daripada gereja itu.

Masjid Umar

Beberapa tahun kemudian, pada jarak sejauh hanya beberapa langkah sahaja dari gereja di mana dipercayai bahawa orang-orang Islam bersolat diluarnya itu, sebuah masjid telah dibina dan terus kekal berdiri sehingga hari ini yang dikenali sebagai Masjid Umar.

JAMINAN UMAR

Jaminan Umar atau “al-ʿUhda al-ʿUmariyya” adalah jaminan keselamatan yang diberikan oleh Khalifah Umar bin al-Khattab kepada orang-orang Aelia, nama Roman terakhir untuk Baitulmaqdis yang dirujuk oleh Empayar Rom.

Terdapat beberapa versi Jaminan, dengan pandangan yang berbeza mengenai keasliannya. Namun, berikut adalah salah satu versi yang signifikan dengan matlamat utama jaminan itu.

“Dengan nama Tuhan, Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Inilah jaminan keselamatan yang diberikan oleh hamba Allah, Umar, panglima orang yang beriman, kepada orang-orang Baitulmaqdis. Dia telah memberi mereka jaminan keselamatan bagi diri mereka sendiri, untuk harta benda mereka, gereja mereka, salib mereka, orang-orang yang sakit dan sihat di kota dan untuk semua amalan ibadat yang menjadi milik agama mereka.

Gereja-gereja mereka tidak akan dihuni oleh orang Islam dan tidak akan diduduki atau dihancurkan orang-orang Muslim. Sama ada mereka, tanah di mana mereka berdiri, atau salib mereka, atau harta benda mereka tidak akan dirosakkan. Mereka tidak dipaksa menukar agama. Tidak ada orang Yahudi yang akan tinggal bersama mereka di Baitulmaqdis.

Rakyat Baitulmaqdis mesti membayar cukai seperti rakyat di kota-kota lain dan mesti mengusir orang-orang Byzantin dan para perompak. Orang-orang Baitulmaqdis, yang ingin pergi bersama Byzantium, ambillah bersama harta benda mereka dan tinggalkan gereja dan salib mereka yang akan kekal selamat sehingga mereka sampai di tempat perlindungan mereka.

Penduduk kampung boleh tinggal di bandar jika mereka mahu tetapi mesti membayar cukai seperti warganegara. Mereka yang berhasrat mahu pergi boleh bersama dengan Byzantine dan mereka yang berhasrat untuk pulang boleh kembali ke pangkuan keluarga mereka. Tiada apa-apa yang akan diambil dari mereka sebelum hasil ladang mereka dituai.

Sekiranya mereka membayar cukai sesuai dengan kewajiban mereka, maka syarat-syarat yang dinyatakan di atas kertas ini berada di bawah perjanjian Tuhan, ia adalah tanggungjawab Nabi-Nya, para khalifah dan orang-orang yang beriman.”

PERJANJIAN PERSEFAHAMAN (STATUS QUO)

Gereja Makam Suci terletak di kuarter penduduk Kristian dalam Kota Kuno Baitulmaqdis. Difahamkan bahawa, gereja itu menempatkan dua tempat yang dianggap paling suci dalam kepercayaan orang-orang Kristian iaitu tempat yang didakwa berlakunya peristiwa Jesus disalib, yang dikenali sebagai Calvary atau Golgotha.

Manakala satu lagi ialah tempat yang dipercayai oleh orang Kristian sebagai ruang pemakaman Jesus yang telah kosong, di mana dia dikatakan telah disemadi dan dibangkitkan disitu.

Sebuah perjanjian persefahaman antara berbilang komuniti agama sejak 1757, yang disebut sebagai ‘Status Quo’, telah dilaksanakan terhadap tapak bersejarah ini.

Status Quo adalah perjanjian persefahaman di antara komuniti agama-agama yang berkenaan dengan sembilan tapak agama yang dikongsi bersama di Baitulmaqdis dan Bethlehem.

Tempat Suci yang lain di sekitar Israel dan Palestin tidak dianggap tertakl*k kepada Status Quo kerana pihak berkuasa sesebuah agama atau satu komuniti dalam agama tersebut di tempat-tempat lain telah diiktiraf atau diakui efektif.

Status quo dimulakan dari firman (ketetapan) pemerintah Turki Uthmaniyyah, Sultan Osman III pada tahun 1757 yang memulihara pembahagian hak pemilikan dan tanggungjawab untuk pelbagai tempat suci kepercayaan Kristian.

Firman-firman yang selanjutnya, dikeluarkan pada tahun 1852 dan 1853 menegaskan bahawa tidak ada sebarang perubahan yang boleh dilakukan tanpa persetujuan dari keenam-enam komuniti Kristian.

Firman-firman ini menerima pengiktirafan antarabangsa dalam Artikel 9 Perjanjian Paris (1856). Dan istilah “status quo” buat pertama kali nya telah digunakan bagi hal ehwal berkaitan dengan Tempat Suci dalam Perjanjian Berlin pada tahun 1878.

Ketika wabak virus COVID-19 tersebar di seluruh dunia dengan 1,363,365 kes yang disahkan (sehingga 7 April) di seluruh dunia sekarang ini, jelas bahawa kita semua menghadapi masa yang sangat kritikal.

Ketidakstabilan kewangan, masalah kesihatan mental dan perasaan takut kehilangan orang yang tersayang adalah beberapa masalah terbesar yang mungkin dialami selama beberapa bulan ini.  Itulah sebabnya penting untuk mencari sesuatu yang positif agar terus dipegang sebagai sumber kekuatan dan tidak kehilangan harapan sama sekali.

Gereja Makam Suci di Baitulmaqdis yang turut ditutup kerana wabak Coronavirus ini merakamkan satu lagi peristiwa bersejarah terpenting yang berlaku pada zaman kita semua hari ini.

Menurut rekod sejarah, kali terakhir ia ditutup adalah pada tahun 1349, semasa wabak Black De*th. Tetapi itu bukanlah isi terpenting dari artikel ini. Bahagian terpenting dalam kisah kali ini adalah siapa yang memiliki akses untuk membuka dan menutup pintu gereja paling suci penganut Kristian ini.

KELUARGA MUSLIM PENJAGA GEREJA

Dua keluarga Muslim di Baitulmaqdis telah berabad lamanya diberi kepercayaan dan diamanahkan untuk menjaga gereja Kristian yang dianggap suci itu hingga ke hari ini. Mereka memegang kunci gereja itu sejak berabad-abad lamanya.

Mereka hanya membuka gereja dan menutupnya bagi tujuan kegunaan ibadat khusus orang Kristian dan kerja-kerja pembersihan atau baikpulih dan tetap diurus dengan baik oleh orang Islam samada ketika dalam peper*ngan mahupun ketika aman damai sejak kedatangan Islam di Baitulmaqdis.

Amalan yang menjadi tradisi turun temurun sebegini bermula pada zaman khalifah Umar Ibn al-Khattab, dengan harapan pemerintah Muslim dapat mencegah sebarang pertembungan di antara mazhab Kristian yang bersaing untuk menguasai gereja itu.

Klan Nusaybah bersama-sama dengan keluarga Joudeh Al-Goudia merupakan pewaris amanah yang bertanggungjawab sebagai pemegang kunci gereja itu. Keluarga Muslim Sunni yang menjadi penjaga utama gereja adalah tradisi yang diamalkan secara turun temurun sejak abad ke-7:

Salah seorang nenek moyang besar keluarga Nusaybah adalah Ubada Ibn Al-Samet yang menetap di Baitulmaqdis pada abad ke-7 setelah penakl*kan Baitulmaqdis, kemudiannya dilantik sebagai gabenor oleh Khalifah Umar. Kunci Gereja Makam Suci diletakkan di bawah jagaan keluarga mereka dan tradisi itu masih diteruskan sehingga ke saat ini.

MENGAPA MESTI KELUARGA MUSLIM?

Gereja Makam Suci di Baitulmaqdis dianggap sebagai tempat paling suci dalam agama Kristian.  Menurut tradisi, inilah tempat di mana Yesus Kristus disalibkan, dikuburkan, dan dibangkitkan dari kem*tian.

Walaupun tapak suci ini terbahagi kepada beberapa denominasi mazhab-mazhab Kristian, keseluruhan hak penjagaan Gereja Makam Suci ini berada di tangan dua keluarga Muslim.

Gereja Makam Suci yang asal dibina pada abad ke-4 Masihi, semasa pemerintahan Kaisar Constantine. Struktur ini akhirnya dimusn*hkan pada abad ke-11 Masihi oleh ser*ngan Khilafah Syiah Fatimiyyah.

Walau bagaimana pun gereja itu dibina semula oleh pemerintah Byzantium tidak lama setelah kemusn*hannya. Beberapa pengubahsuaian dilakukan ke atas Gereja Makam Suci oleh t*ntera Salib setelah mereka menawan Baitulmaqdis pada tahun 1099.

Semenjak zaman Per*ng Salib hingga abad ke-19, Gereja Makam Suci mempunyai tiga penjaga berbeza – Ortodok Yunani, Apostolik Armenia, dan Gereja Roman Katolik.

Pada abad ke-19, hak penjagaan ini diperluaskan untuk tiga lagi sekte gereja, iaitu Ortodok Koptik, Ortodok Ethiopia, dan Gereja Ortodok Syria. Walaupun begitu, ketiga-tiga gereja ini mempunyai tanggungjawab yang lebih rendah berbanding dengan tiga penjaga asal.

Walaupun para penjaga ini pada zahirnya saling berdampingan secara damai antara satu sama lain, namun masih berpotensi mencetuskan sebarang konflik yang adakalanya membawa kepada konfrontasi yang gan*s, bahkan beberapa kes pertembungan mazhab di zaman moden pernah berlaku di antara mereka.

Tidaklah susah sangat hendak membayangkan bahawa pada abad pertengahan, penjaga tempat paling suci dalam kepercayaan Kristaniti ini seringkali mendapati diri mereka masing-masing gagal menemui titik persefahaman dan saling berselisih antara satu sama lain.

Mereka pada waktu itu mungkin juga pernah terlibat dalam konflik keganasan fizikal, memandangkan sebagaimana pada zaman moden, penganut fahaman-fahaman yang sama ini sudah ada pengalaman yang sama.

Isu kritikal ini dianggap sebagai punca paling utama untuk keseluruhan hak penjagaan dan akses untuk pintu masuk utama Gereja Makam Suci itu berada di tangan dua keluarga Muslim.

PENAKL*KAN BAITULMAQDIS

Menurut satu riwayat, hak orang Muslim sebagai pemegang kunci Gereja Makam Suci diamanahkan oleh Khalifah Umar r.a. ketika Baitulmaqdis ditawan oleh pasukan ekspedisi t*ntera Islam pada tahun 637.

Maka, seperti yang dinyatakan dalam perenggan mengenai penjaga Gereja Makam Suci di atas, keluarga Nusaybah yang berasal dari kota Madinah, dan mempunyai hubungan dengan Nabi Muhammad SAW melalui nenek moyang mereka, telah dipilih untuk menerima tugasan ini.

Setelah beberapa abad pemerintahan Islam, Baitulmaqdis kemudian jatuh ke tangan pihak t*ntera Salib. Namun, pada tahun 1187, Gereja Makam Suci dan Baitulmaqdis sekali lagi kembali ke tangan Muslim setelah ditawan oleh Salahuddin al-Ayubbi.

Klan Nusaybah dilantik semula oleh Sultan untuk menggalas tanggungjawab mereka yang asal sebagai pemegang kunci dan penjaga gereja. Salahuddin telah menutup sepenuhnya pintu gerbang gereja yang kedua, lalu menyerahkan kuncinya kepada keluarga ini.

PENJAGA BERSAMA GEREJA

Menurut keluarga Nusaybah, pada abad ke-16 ketika Baitulmaqdis berada di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah, keluarga Joudeh dilantik sebagai ‘penjaga bersama’ gereja tersebut. Namun, pihak Joudeh menyatakan bahawa mereka adalah penjaga gereja sejak zaman Salahuddin.

Lagi pula, dikatakan bahawa wakil dari keluarga Joudeh yang pertama diberikan kunci gereja itu dikatakan sebagai seorang syeikh, dan tidak boleh dijadikan sandaran untuk melakukan kerja-kerja fizikal. Oleh itu, keluarga Nusaybah telah dilantik untuk membuka dan menutup pintu gereja tersebut.

Adeeb Joudeh, penjaga bersama dengan kunci gereja. (Keluarga Joudeh)

Justeru, hingga ke hari ini, keluarga Joudeh meneruskan tanggung jawab melindungi dan menjaga kuncinya, sementara keluarga Nusaybah bertanggung jawab untuk membuka pintu gerbang gereja.

Sebagai fakta tambahan, sebenarnya ada dua kunci pada hari ini. Salah satunya didakwa berusia 850 tahun, namun oleh kerana ia telah rosak dan patah, maka ia tidak lagi digunakan.

Kunci yang selainnya, telah berusia kira-kira 500 tahun, adalah satu-satunya kunci yang masih berfungsi, dan disimpan didalam sebuah pejabat kecil yang ditempatkan di tepi gereja.

Sejak akhir abad ke-19, satu upacara khas diadakan pada setiap tahun oleh tiga denominasi utama Kristian untuk memperbaharui pengiktirafan mereka terhadap hak orang Muslim sebagai penjaga dan pemegang kunci Gereja Makam Suci.

Pihak penjaga dari tiga denominasi utama masing-masing akan diberikan kunci selama mana mereka perlu menunaikan ibadat mereka di dalam atau di sekitar gereja, dan kemudian dibenarkan untuk membuka pintu setelah liturgi pagi (upacara ibadat khusus seperti majlis doa kesyukuran), setelah itu ia perlu dikembalikan kepada penjaga Muslim.

Upacara-upacara tersebut dilakukan pada hari Thursday Maundy, Orthodox Good Friday dan Holy Saturday untuk Gereja Roman Katolik, Ortodoks Yunani, dan Gereja Apostolik Armenia.

TANGGA YANG TIDAK BERGERAK

Salah satu fakta menarik mengenai gereja ini – pada separuh pertama abad ke-18 oleh seseorang dari mazhab yang tidak dikenalpasti meletakkan sebuah tangga menghadap dinding gereja itu.

Tidak ada sesiapapun yang pernah mengalihkan tangga itu sejak (kecuali beberapa pelancong yang menyembunyikannya. Ia kemudian dijumpai dan dikembalikan ke tempat asalnya) kerana mereka tidak mahu memulakan sebarang konflik dan perkelahian. Ia digelar sebagai “tangga yang tidak bergerak”. (Immovable Ladder)

Tangga yang ditempatkan di bawah tingkap Gereja Makam Suci, yang dibuat dari kayu cedar Lubnan itu telah berada di situ sejak tahun 1728 dan terus kekal di sana setelau status quo tahun 1757 ditubuhkan, selain pernah dipindahkan untuk sementara waktu sebanyak dua kali.

Ia dirujuk sebagai tangga yang tidak bergerak memandangkan persetujuan bersama dalam Status Quo menegaskan tidak ada mana-mana pemimpin agama dari enam perintah ekumenis Kristian yang boleh mengalihkan, menyusun semula, atau mengubah kedudukan harta gereja tanpa persetujuan dari lima perintah yang lain.

Rekod paling awal mengenai tangga itu adalah pada sebuah ukiran tahun 1728 oleh Elzearius Horn. Pada tahun 1757, iaitu tahun yang sama Status Quo diperkenalkan, sultan Uthmaniyyah Abdul Hamid I menyebut tentang tangga itu di dalam firmannya.

Menurut beberapa sumber, tangga itu pernah menjadi milik tukang batu yang sedang melakukan kerja baik pulih di Gereja Makam Suci. Oleh kerana setiap perkakasan di gereja harus ditinggalkan sebagaimana adanya menurut perintah kerajaan, tangga itu juga harus dikekalkan juga di tempat ia ditinggalkan.

Melalui penjelasan yang nyata ini, terbukti bahawa Islam bukan sahaja sebuah agama yang paling bertoleransi terhadap kepercayaan lain, malahan umat Islam itu sendiri samada ketika memegang tampuk pemerintahan sehinggalah Gereja Makam Suci itu kini berada di dalam wilayah pendudukan Israel, tetap meletakkan kepentingan toleransi yang harmoni di antara pelbagai kepercayaan agama sebagai prioriti paling utama.

Jika difikirkan secara logik, boleh saja orang Islam tidak campur tangan dalam hal pertelingkahan diantara mazhab-mazhab Kristian, bahkan mungkin perpecahan orang Kristian lebih menguntungkan pemerintah Islam.

Tetapi atas dasar memenuhi tanggungjawab sebagai pemerintah yang adil, Islam secara tidak langsung telah dan masih memainkan peranan sebagai “pihak pendamai” bagi memuaskan hati semua pihak Kristianiti di Baitulmaqdis.

Bahkan toleransi ini masih lagi diteruskan hingga kini walaupun Islam bukan lagi salah satu elemen dominan yang menguasai kelas pemerintahan.

RUJUKAN:

The Tribune : Why Christianity’s holiest shrine is guarded by two Muslim families.

Tarikh Al Tabari : The Great Arab C0nquest


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.