Kisah Kegagalan Microsoft

0
1136
views

Windows. Ia sebuah nama yang sudah tidak asing lagi bagi pengguna PC di seantero dunia. Windows mendominasi platform OS sejak dari 1985 lagi dengan menguasai lebih dari 90% bahagian pasaran dan tidak tercabar kedudukannya sehingga sekarang. Namun begitu, di era digital dan mobile computing ini, dominasi Windows makin lama makin terhakis. PC bukanlah lagi satu keperluan yang perlu dimiliki oleh setiap individu. Kebanyakan orang merasa cukup dengan hanya memiliki telefon pintar. Kewujudan platform iOS dan Android walaupun berlainan medan pertarungannya memberi tamparan dan risiko yang hebat kepada Windows secara khususnya dan Microsoft secara amnya.

Melihatkan risiko tersebut, Microsoft mula mengatur strategi bagi memastikan yang platform Windows akan terus relevan di era mobile computing ini. Pada Oktober tahun 2010, Microsoft melancarkan Windows Phone, OS Microsoft yang direka khusus untuk telefon pintar. Windows Phone menawarkan reka bentuk dan antara muka yang unik dan sangat berbeza dari reka bentuk grid yang ditunjukkan Android mahupun iOS. Windows mempamerkan konsep live tile, di mana setiap app boleh memaparkan maklumat yang penting kepada pengguna umpama widget tetapi dalam rekabentuk dan antara muka yang lebih mesra pengguna. Microsoft kemudiannya menjalinkan kerjasama dua hala jangka masa panjang dengan Nokia bagi memastikan yang Nokia mengeluarkan telefon pintar yang eksklusif menggunakan OS Windows Phone.

Gambar 2: Konsep Live Tile yang diperkenalkan Microsoft melalui Windows Phone
Sumber: https://www.wired.com/2012/10/microsoft-live-tile-lawsuit/

Kerjasama dua hala ini akan memastikan yang telefon pintar Windows Phone yang dikeluarkan itu berkualiti tinggi dan diiringi oleh perkakasan yang canggih. Nokia pada ketika itu merupakan jenama yang disegani di seluruh dunia dengan barisan telefon-telefon bimbit yang bertakhta menguasai pasaran bertahun lamanya. Namun begitu, usai Apple melancarkan siri iPhone nya, kedudukan Nokia mula tergugat. Oleh kerana itu kedua-dua syarikat (Microsoft dan Nokia) yakin, yang kerjasama yang mereka jalinkan ini sudah cukup untuk menghalang dominasi Apple dan juga Android dalam pasaran telefon pintar.

Ketika Windows Phone pertama kali diperkenalkan kepada dunia, seluruh mata memandang dan memuji usaha Microsoft. Konsep live tile yang diperkenalkan Microsoft nampak terkedepan dan lebih moden berbanding Android mahupun iOS. Telefon Pintar Nokia Lumia 800 yang dilancarkan bersama juga merupakan telefon pintar yang unik dan nampak berbeza berbanding iPhone dan juga telefon pintar Android. Dengan buatan dan rekaan yang baik, Nokia Lumia 800 berjaya terjual sebanyak lebih dari sejuta unit di seluruh dunia, mengatasi apa yang para pemerhati dan para pelabur ramalkan.

Ini membolehkan Microsoft membolot 2.6% peratus bahagian pasaran telefon pintar dalam hanya 5 bulan sahaja selepas Windows Phone diperkenalkan. Usaha Microsoft tidak terhenti pada takat itu sahaja. Microsoft terus menerus membuat perubahan dan penambahbaikan pada Windows Phone 7.5 yang baru dilancarkannya itu. Pada tahun 2012, Microsoft melancarkan Windows 8 dengan beberapa ciri-ciri baru yang diinginkan oleh orang ramai. Meiringi pelancaran Windows 8, Nokia juga melancarkan siri Lumia-nya yang terbaharu. Antaranya adalah Nokia Lumia 920 yang merupakan flagship telefon pintar pertama Nokia yang datang dilengkapi dengan fungsi wireless charging dan juga Nokia Lumia 1020 yang merupakan telefon pintar yang dilengkapi dengan kamera yang sangat canggih dengan kemampuan 41 MP ( 5 tahun lebih awal dari Huawei P20).

Strategi Microsoft tampak berjaya. Penggunaan OS Windows Phone memberikan pengguna pengalaman yang selesa dalam menggunakan telefon pintar. OS Windows Phone sangat lancar apabila digunakan dan ianya dilengkapi sekuriti yang boleh melindungi telefon pintar dari sebarang virus dan anasir yang menceroboh. Dilengkapi juga dengan perkakasan yang canggih yang ditawarkan oleh Nokia, membolehkan Microsoft sedikit demi sedikit menguasai pasaran telefon bimbit sehingga ke 3.6% pada tahun 2013. Microsoft menawarkan alternatif yang terbaik kepada pengguna kerana pada ketika itu, Android selalu dibelenggui masalah lag dan juga sekuriti yang tidak mampan.

Gambar 3: Nokia Lumi9a 1020 yang disertakan dengan kamera 41 MP
Sumber: https://technave.com/gadget/Nokia-Lumia-1020-Price-Malaysia-Specs-1902.html

Namun begitu, di penghujung tahun 2013, peratusan bahagian yang dipegang oleh Windows Phone mula jatuh sedikit demi sedikit. Microsoft yang mula tampak risau akan penurunan jualan Windows Phone mula mengatur langkah. Pada tahun 2014, Microsoft mula mengambilalih Nokia bagi meneruskan legasi perkakasan berkualiti yang dibawa oleh Windows Phone. Pada tahun 2015 pula, Microsoft mula memperkenalkan Windows 10, satu konsep yang akan menyeragamkan pengalaman semua pengguna pada semua platform tidak kiralah PC, telefon pintar mahupun wearables (smart wartch, VR dan sebagainya). Microsoft berharap yang langkah tersebut mampu menarik pengguna PC yang sudah setia menggunakan Windows untuk menggunakan perkhidmatan yang sama pada telefon pintar dan juga gajet-gajet digital yang lain.

Berserta dengan langkah tersebut, Microsoft menjenamakan semula telefon pintar keluaran Nokia kepada jenama Microsoft bagi menawarkan kepada pengguna jenama yang memang sudah dikenali di seluruh dunia. Berserta dengan Windows 10, Microsoft mengeluarkan Microsoft Lumia 950, flagship terbaru telefon pintar Windows Phone yang disertai dengan ciri Continuum. Continuum membolehkan Lumia 950 disambungkan kepada mana-mana monitor menjadikan Lumia 950 benar-benar komputer kompak yang boleh dimuatkan di dalam poket. Ia konsep yang sama yang diperkenalkan oleh Samsung melalui Samsung Dex, 2 tahun selepas itu. Namun disebabkan Continuum berfungsi di atas Windows, ia benar-benar boleh berfungsi sebagai komputer mini berbanding Samsung Dex yang beroperasi menggunakan Android.

Namun begitu,hasil penjualan Windows Phone makin lama makin merudum. Windows Phone hanya memiliki 0.3% daripada keseluruhan pasaran telefon pintar pada penghujung tahun 2016. Walaupun berbagai langkah telah diambil untuk Microsoft bagi mengekalkan kehadiran mereka di dalam pasaran telefon pintar, namun pengguna tetap tidak berminat untuk memilih Windows Phone sebagai telefon pintar kegunaan mereka. Akhirnya pada Oktober 2017, Microsoft menaikkan bendera putih dan mengumumkan bahawa mereka tidak akan lagi menyokong platform Windows Phone menandakan pengakhiran usaha mereka bagi menembusi pasaran telefon pintar.

Di manakah silapnya? Langkah yang diambil Microsoft tampak strategik dan tiada cacat celanya. Pun begitu, setiap langkah yang diambil mereka tidak menjadi. Android dan iOS terus mendominasi pasaran telefon pintar sehinggalah mereka menguasai sehingga lebih daripada 90% bahagian pasaran pada tahun 2014. Ramai pemerhati bersetuju dan berpendapat bahawa wujud 3 sebab utama mengapa usaha Microsoft di dalam menembusi pasaran telefon pintar menemui kegagalan.

Telefon Pintar bukan Fokus Utama Microsoft

Ketika Steve Jobs melancarkan iPhone mereka pada tahun 2009, Apple pada ketika itu merupakan sebuah syarikat yang memberikan fokus sepenuhnya pada perkakasan (hardware). Beberapa tahun sebelum itu, Apple sudah pun melancarkan iPod yang merupakan antara produk mereka yang sangat popular dikalangan peminat. iPod memberi sumbangan keuntungan majoriti kepada Apple. Selepas pelancaran iPhone, produk itu pula dikenalpasti oleh Apple sebagai penyumbang utama kepada keuntungan syarikat. Disebabkan itulah, Apple memberi sepenuh fokus dan tumpuan mereka kepada iPhone yang merupakan sumber pendapatan utama syarikat.

Berbeza pula dengan Microsoft, perisian Windows dan juga Microsoft Office merupakan sumber utama keuntungan syarikat tersebut. Telefon pintar pula merupakan projek sampingan Microsoft yang kurang diberikan perhatian dan juga dana yang cukup bagi merealisasikan visi Microsoft. Projek telefon pintar Microsoft hanyalah dicanangkan dengan tujuan untuk menghalang pengaruh Apple dan Android yang semakin meluas. Namun, walaupun setelah melancarkan Windows Phone, Microsoft masih lagi memberikan lebih banyak fokus dan perhatian mereka pada perisian berbanding perkakasan telefon pintar. Dan ini menyukarkan usaha Microsoft bagi bersaing dengan Apple mahupun Android.

Waqaf Saham

OS yang terlalu eksklusif

Windows Phone mengambil inisiatif yang sama seperti yang dilakukan oleh Apple, iaitu menyeragamkan pengalaman semua pengguna Windows Phone melalui OS yang sama reka bentuknya. Namun begitu, Microsoft yang tidak mempunyai kemampuan untuk membangunkan perkakasan sendiri membuat kerjasama dengan pengeluar telefon pintar seperti Nokia, HTC. Samsung dan juga Huawei. Strategi ini membolehkan Microsoft melancarkan Windows Phone mereka pada pelbagai jenama telefon pintar bagi membolehkan mereka membolot lebih banyak bahagian dalam pasaran telefon pintar.

Namun begitu, tidak seperti Android, OS Windows Phone adalah bersifat eksklusif dan terlindung. Ianya tidak boleh diubahsuai mengikut cita rasa pengeluar telefon bimbit dan juga datang dengan kos perlesenan. Berbeza dengan Android yang menawarkan perisiannya secara percuma kepada pengeluar telefon bimbit, Windows Phone adalah OS tertutup dan terlindung dari sebarang bentuk pengubahsuaian. Ini sebenarnya menyebabkan para pengeluar telefon bimbit kurang menunjukkan minat untuk melancarkan telefon pintar Windows Phone kerana limitasi yang terdapat pada OS itu sendiri.

Ketiadaan App

Masalah utama yang platform Windows Phone alami adalah ketandusan app-app yang berkualiti. Ini disebabkan oleh kekangan yang diletakkan sendiri oleh pembina app tersebut keatas platform Windows. Sebagai contoh, Google yang memilki OS Android, juga merupakan syarikat yang sama yang memilki YouTube. Melihatkan ancaman yang dibawa oleh Windows Phone, Google sendiri tidak menyediakan app YouTube untuk platform Windows Phone.

Begitu juga dengan Facebook, Instagram, Whatsapp dan juga Snapchat yang merupakan app popular yang sangat diingini oleh pengguna kerana ianya sudah bagaikan satu keperluan kepada pengguna di era digital ini. Namun begitu, tiada pembina app yang sanggup menghabiskan masa dan tenaga bagi menghasilkan app untuk platform Windows Phone kerana kurangnya pengguna di platform ini. Dan ketiadaan app-app yang sangat diinginkan oleh pengguna ini menyebabkan ramai orang mula meninggalkan platform Windows Phone. Ia satu kitaran yang kejam dan realiti yang terpaksa dihadapi oleh Microsoft yang sudah terlalu lambat langkahnya dalam cuba untuk menembusi pasaran telefon pintar.

Rumusan

Jika dilihat secara keseluruhan, di era digital ini, apabila membicarakan tentang telefon pintar, yang menjadi pilihan dan penentu kepada dominasi pasaran telefon pintar adalah perisian dan ekosistem OS itu sendiri. iOS dan Android adalah merupakan satu ekosistem yang telah matang dan berintegrasi dengan banyak sistem yang dapat membantu pengguna dalam kehidupan seharian. Perkakasan sahaja bukan lagi satu fokus utama yang patut diberi perhatian sepenuhnya. Lihat sahajalah iPhone, walaupun perkakasannya tertinggal satu atau dua generasi dibelakang telefon pintar Android, namun ekosistem yang ditawarkan iPhone adalah yang terbaik pada hemat saya dan memberikan pengguna satu pengalaman yang berbeza.

Oleh kerana itulah, langkah yang diambil oleh Microsoft menemui kegagalan. Microsoft sepatutnya memberi lebih fokus kepada perisian yang ditawarkan dan memastikan ekosistem Windows Phone itu matang dan mengandungi perkhidmatan dan app yang diinginkan oleh pengguna. Dengan cara itu, pengguna akan lebih tertarik untuk menggunakan Windows Phone dan mungkin juga membolehkan Microsoft untuk mendominasi pasaran telefon pintar. Namun begitu, nasi sudahpun menjadi bubur. Kisah kegagalan Microsoft membuktikan yang syarikat gergasi juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan.

Rujukan:

2018, “Operating System Market Share” NetMarketShare.

2018, “Windows Phone OS market share of smartphone shipments worldwide from 1st quarter 2011 to 4th quarter 2016” Statista

Warren, Tom (April 2018), “I miss Windows Phone” The Verge.

Savov,Vlad (Oktober 2017), “Windows Phone was a glorious failure” The Verge.

Warren, Tom (Julai, 2017), “Windows Phone dies today” The Verge

Heisler,Yoni (Ogos, 2015), “Microsoft engineer exposes the inside story: Why Windows Phone was doomed from the start” BGR