Kisah Jepun Menjaga Kebudayaan Bangsa Mereka

4,788

Naruhito baru saja ditabalkan sebagai Maharaja Jepun ke-126 dalam istiadat pertabalan atau “Sokuirei” (即位礼) yang disaksikan oleh Ketua Negara dan wakil dari hampir semua negara di dunia termasuk YDPA Malaysia.

Eh, bukan 1 Mei lepas Naruhito dah ditabalkan sebagai maharaja ke? Yang tu ialah istiadat pemasyhuran, atau “Senso” (践祚). Ada beza antara pemasyhuran dan pertabalan, even kat Malaysia pun. Tapi selalu orang tak ambil kisah.

Kat Jepun pun ada yang kritik istiadat pertabalan, kata semua ni tak perlu lah, habiskan duit rakyat lah, terutamanya Parti Komunis Jepun (di Jepun komunis adalah legal dan boleh jadi ahli parlimen). Tapi majoriti masih menghargai istiadat sebegini sebagai peluang untuk mempamerkan unsur-unsur tradisi yang dibanggakan oleh orang Jepun.

Kat istiadat macam ni je boleh nampak Maharaja dan Maharani mengenakan pakaian adat yang paling formal dalam budaya tradisi Jepun iaitu “sokutai” (束帯 – untuk lelaki) dan “jūnihitoe” (十二単 – untuk perempuan). Orang luar lebih kenal kimono, tapi kimono yang kita nampak hari ini kira pakaian yang agak moden, hanya dipopularkan bermula era Edo (1603-1868). Sokutai dan jūnihitoe pula dipakai oleh golongan bangsawan pada era Nara (710-794) dan Heian (794-1185), dengan kata lain, ada lebih 1,300 tahun sejarah.

Walaupun sejarahnya lebih 1,300 tahun, tapi hari ini masih boleh nampak orang Jepun pakai. Cuma selalunya orang pakai untuk kahwin saja. Gila nak pakai hari-hari, yang perempuan punya jūnihitoe pun ada 12 lapis, berat 20 kg.

Yang menariknya, sokutai dan junihitoe sebenarnya berasal dari China. Nama lain bagi jūnihitoe ialah “karaginumo” (唐衣裳). “Kara” merujuk kepada “Karakuni” (唐国), nama lain kepada China, atau lebih spesifiknya China pada Dinasti Tang (唐).

China semasa Dinasti Tang (618-907) ialah superpower di rantau Asia Timur, macam UK pada abad ke-19 atau US pada abad ke-20. Jadi Jepun pun nak belajar budayanya untuk tujuan “modernization”, macam hari ini semua negara nak belajar UK/US untuk jadi “maju”. Jadi pada tahun 646, kerajaan Jepun melancarkan “Pembaharuan Taika” untuk belajar budaya China, dari sistem politik, undang-undang, tulisan, pakaian hingga ke seni bina.

Layout bandar Kyoto, ibu negara lama Jepun yang dibina pada era Heian pun ikut sebiji ibu negara Tang iaitu Chang’an (長安) dan Luoyang (洛陽). Sebab tu nama bahagian barat Kyoto dikenali sebagai Chōan (長安), bahagian timur dikenali sebagai Rakuyō (洛陽). Sampai orang kata, kalau nak lihat macam mana rupanya China pada era Tang, pergilah Kyoto.

Tapi tiru punya tiru orang Jepun pun masih humble. Pakaian adat bagi Maharaja dan bangsawan hanya ambil dari reka bentuk pakaian orang awam bernama “yuanlingpao” (圓領袍), bukan jubah yang bernaga tu. Terserlah sifat orang Jepun yang suka “simplicity” dan tak suka benda yang terlalu “grand”, walhal golongan diraja.

Selepas Tang terjebak dengan perang saudara dan jadi lemah, Jepun mula rasa tak perlu lagi nak meniru China. Selepas tahun 839, Jepun tidak lagi hantar duta ke China (遣唐使 / “Kentōshi”), maka pengaruh China ke atas Jepun pun terhenti pada era Tang.

Kemudian baru orang Jepun secara perlahan-perlahan “men-Jepun-kan” budaya China. Tulisan Cina (Kanji) diringkaskan untuk menghasilkan sistem tulisan Jepun (Kana). Pakaian asal China diubahsuai jadi kimono.

Selain Jepun, budaya Korea dan Vietnam juga menerima pengaruh China. Kalau Jepun lebih dipengaruhi oleh China pada Dinasti Tang, Vietnam lebih dipengaruhi oleh Dinasti Song (960-1279), Korea pada era Joseon (1392-1897) pula lebih dipengaruhi oleh Dinasti Ming (1368-1644).

Yang ironinya, kat China hari ini dah tak nampak apa-apa warisan Tang, Song atau Ming. Dinasti terakhir China ialah Qing (1644-1911) yang pemerintahnya berasal dari etnik Manchu (Tang, Song dan Ming ialah dinasti etnik Han). Samfu dan Cheongsam yang dianggap sebagai pakaian tradisional orang Cina sebenarnya ialah pakaian orang zaman Qing. Secara jujurnya, nilai estetikanya tak boleh lawan pakaian orang Han.

Lepas Qing tumbang, datang pula republikan dan komunis yang langsung tak minat dengan budaya tradisional. Maka wujudlah fenomena aneh di mana tradisi pupus di negara asal tapi terpelihara di luar. Nak tengok budaya Tang, pergi Jepun, nak tengok budaya Ming, pergi Korea. China? Hanya “China” atas nama tapi kosong dari segi jiwa dan budaya.

Bangsa yang hebat ialah bangsa yang mampu jaga tradisinya, apatah lagi untuk masa lebih 1,300 tahun. Itu yang sepatutnya kita belajar dari Jepun.

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.