Kisah Ibu Tunggal Tiga Anak Menumpaskan Pembunuh!

58

Pada waktu malam, tarikh 5 November 2006, seorang ibu tunggal anak 3 yang dikenali sebagai Sue White, sedang berada di dapur mencuci pinggan sementara anak bongsu nya berumur 7 tahun, sedang menggunakan komputer di bilik bersebelahan.

Anak bongsunya itu sedang membuat rekaan dan tempahan patung beruang yang ingin dibeli secara dalam talian. Kemudian, anaknya itu memanggil dan meminta supaya ibunya datang serta melihat rekaan yang telah didapatkan.

Sejurus selepas Sue memasuki bilik tersebut, dia terdengar bunyi kaca dipecahkan dan bunyi itu datangnya dari dapur. Sue berlari ke dapur dan mendapati seorang lelaki bertopeng ski memasukkan tangan melalui tingkap yang telah dipecahkan, kemudian bertindak membuka pintu dapur.

Setelah berjaya memasuki ke dalam rumah, lelaki bertopeng itu terus mengacukan senapang ke arah kepala Sue. Namun apabila picu senapang ditarik, ia tersekat. Menyedari akan perkara itu, lelaki bertopeng telah memukul Sue menggunakan senapang tersebut.

Rebah ke lantai, lelaki bertopeng mengambil kesempatan tersebut untuk merogol Sue. Selepas wanita malang itu dirogol, dia ditikam pula menggunakan sebilah pisau berkali-kali. Jenayah dan kekejaman yang dilakukan ke atas Sue White hanya dapat disaksikan oleh anak bongsunya.

Kemudian, lelaki bertopeng itu memindahkan tubuh badan Sue White yang tidak bermaya itu ke bilik tidur, seterusnya mengarahkan anak Sue duduk di dalam almari yang tidak berpintu. Anak Sue kemudian berlari ke bilik air dan duduk di dalamnya.

Menyedari gadis cilik itu bertindak keluar dari almari, lelaki bertopeng yang sedang berbogel dan belumuran darah itu, memeriksa apa yang sedang dilakukan oleh anak Sue. Dia kemudian mengarahkan gadis cilik itu supaya duduk diam dan tidak kemana-mana.

Sekembalinya lelaki bertopeng ke bilik tidur, dia mengarahkan Sue untuk memanggil anaknya keluar dari bilik air. Ibu malang yang tidak sanggup untuk berbuat begitu telah berpura-pura mati. Setelah lelaki bertopeng itu fikir bahawa dia telah membunuh Sue White, dia bingkas bangun dan perhatian dia beralih pula kepada anak Sue.

Setelah lelaki tersebut bertindak bangun dan telah keluar dari bilik, Sue berusaha untuk bangun dan mendapatkan senjata, yakni sebilah pisau.

Penyerang itu kemudian terdengar akan tapak kaki Sue White dan kembali semula untuk ‘menghabiskan tugasnya’. Namun, tanpa disedari lelaki itu, Sue White sedang bersembunyi menunggu. Apabila munculnya batang tubuh lelaki bertopeng tersebut, Sue bertindak menikam dia di bahagian dada.

Seakan terkejut dan dalam kesakitan, lelaki bertopeng keluar dari kediaman itu melalui pintu dapur. Pada masa yang sama, Sue White mengarahkan anaknya untuk naik ke tingkat atas, masuk bilik, kunci pintu dan duduk di bawah katil serta jangan keluar dari bilik sehinggalah pihak berkuasa tiba.

Namun secara tiba-tiba, Sue White terdengar akan lelaki bertopeng itu datang dari arah hadapan rumah pula. Pergelutan mereka berdua bersambung serta berlanjutan untuk beberapa ketika, menyebabkan Sue kehilangan pisau yang digenggam kuat sebelum ini.

Oleh kerana tenaga lelaki lebih kuat, lelaki bertopeng berjaya mendapatkan kawalan ke atas tubuh badan Sue yang lemah akibat kehilangan darah setelah ditikam berkali-kali. Lelaki itu berada di atas tubuh badan Sue dan bertanyakan “Mana Tuhan kau sekarang?”

Sue secara tiba-tiba dapat merasakan hulu pisau berada di hujung jari dia dan berusaha untuk mendapatkannya. Setelah berhasil, Sue bertindak menikam dada lelaki itu sekali lagi, kali ini tepat di bahagian jantung lelaki bertopeng tersebut.

Lelaki itu bangun, keluar dari rumah tersebut sebelum rebah dan mati di laman kediaman Sue White. Menakjubkan apabila Sue White dan anak bongsunya terselamat di dalam peristiwa berdarah ini. Walaupun secara keseluruhan, Sue White telah ditikam sebanyak 25 kali tidak termasuk kecederaan lain akibat terkena hirisan pisau.

Berikutan kecederaan parah yang dialami serta kehilangan darah sangat banyak, Sue telah diterbangkan ke Hospital Grady Memorial menggunakan helikopter. Dia kemudian melalui pembedahan.

Sekiranya Sue White mengikut naluri untuk terus hidup yang dimiliki manusia dan terus berpura-pura mati, kemungkinan pengakhiran kisah ini adalah sebuah berita yang bertajuk “Mother and Daughter Found Dead After Home Invasion”.

Lelaki bertopeng tersebut kemudian dikenal pasti identitinya sebagai Gerald A. Lee. Rupa-rupanya dia adalah kenalan Sue White semasa sekolah 20 tahun dahulu. Pihak berkuasa percaya lelaki itu berada di bawah pengaruh dadah.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.