Moving Forward As One

Kisah Hidup Tragis Puteri Terakhir Korea

5,574

Setiap raja atau bangsawan di seluruh dunia mempunyai pelbagai kisah tersendiri. Ada yang dikenali kerana tirani, pemerintah hebat atau sebagai pembina empayar. Tetapi bagi raja atau bangsawan yang dibelenggu masalah mental, selalunya kisah sebegini berakhir dengan tragedi. Antara kerabat diraja yang berdepan masalah ini ialah Puteri Deokhye dari Dinasti Joseon.

Berminat nak dapatkan kad raya Patriots dan sampul raya? Beli di: t.ly/D0J9

Baginda merupakan puteri bongsu Maharaja Gojong dan seorang gundik bernama Yang Gui-in. Bagaimanapun, Deokhye tidak diiktiraf sebagai puteri sehingga 1917 kerana bondanya bukan berstatus permaisuri. Pengiktirafan ini terhasil selepas Gojong memujuk Gabenor Jeneral Jepun di Semenanjung Korea, Terauchi Masatake agar memasukkan namanya dalam senarai pendaftaran ahli kerabat diraja Korea bagi menjamin kehidupannya di kemudian hari.

Rajah 1: Maharaja Gojong

Malah, bagi melindungi kedudukan keluarga diraja Korea, baginda berusaha menjodohkan Deokhye dengan anak saudara seorang pembesar bernama Kim Jang-han pada 1919. Bagaimanapun, perkara tersebut diketahui oleh Jepun sekaligus menyaksikan pertunangan tersebut dibatalkan. Malah, Jepun turut memastikan Jang-han dari tidak menjejakkan kaki ke kediaman diraja ketika itu, Istana Deoksu di Seoul.

Dan usah terkejut sekiranya mereka ada kaitan dengan kemangkatan Gojong pada Januari tahun sama. Wujud khabar angin pada ketika itu baginda dira.c.un oleh pegawai-pegawai Jepun dan ini menjustifikasikan ramai rakyat Korea untuk terus menentang pendudukan Jepun di semenanjung berkenaan.

Kemangkatan Gojong turut dijadikan alasan oleh pihak Jepun menghantar Deokhye ke sana atas alasan menyambung pelajaran pada 1925. Perpindahan ke negara asing dan trauma kemangkatan ayahandanya dilihat menjadi pencetus masalah mental yang dialami baginda iaitu demensia pra-matang. Keadaan ini tidak dibantu apabila Deokhye mendapat berita pemergian bonda tercinta pada 1929.

Jepun membenarkan baginda berangkat pulang untuk menghadiri upacara pemakaman tetapi tidak membenarkannya memakai pakaian bersesuaian untuk upacara berkenaan. Situasi ini mengakibatkan baginda bergelut dengan penyakit mental selama setahun sebelum disahkan pulih pada 1930.

Pada masa itu juga, Maharani Teimei menjodohkan Deokhye dengan seorang bangsawan Jepun bernama So Takeyuki. Bagaimanapun, rancangan tersebut langsung tidak diketahui baginda. Malah, kekanda tirinya Putera Yi Eun menolak sekeras-kerasnya rancangan tersebut kerana merasakan ia seolah-olah memanipulasi kedudukan adinda tirinya itu dalam keadaan dirinya tidak waras.

Bagaimanapun, rancangan tersebut tetap diteruskan dengan kedua-duanya dikahwinkan pada tahun 1931. Perkahwinan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata bernama Masae/Jeong-hye pada Ogos 1932. Bagaimanapun, situasi kesihatan mental baginda semakin buruk sehingga memaksanya menghabiskan masa di hospital-hospital mental selama bertahun-tahun termasuk tempoh Pe.ra.ng Dunia Kedua (WWII).

Rajah 2: Deokhye bersama suaminya, So Takeyuki pada 1931.

Selepas tamat WWII, situasi sudah berubah dengan kedudukan bangsawan Jepun dimansuhkan dan Semenanjung Korea telah mencapai kemerdekaan. Perkahwinan tanpa cinta itu tidak mampu lagi bertahan dengan kedua-duanya bercerai pada tahun 1953. Situasi kesihatan mental Deokhye bertambah parah apabila satu-satunya puteri kesayangan baginda menghilangkan diri tanpa dikesan pada tahun 1956.

Ramai sejarawan percaya Masae/Jeong-hye mengambil nyawanya sendiri kerana sukar menerima hakikat perceraian kedua-dua ibu bapanya dan bapanya berkahwin semula. Selepas bercerai dengan Deokhye, Takeyuki berkahwin semula dengan Yoshie Katsumura pada tahun 1955.

Bagi ramai warga Korea, ramai bersimpati dengan nasib ma.la.ng yang menimpa baginda. Malah, ada yang menggesa Seoul untuk membawa baginda kembali ke tanah air tercinta. Tetapi bagi kerajaan yang baru dibentuk ketika itu, mereka sedar sekiranya Deokhye kembali, baginda akan dijadikan simbol untuk memulihkan kembali kedudukan sistem beraja Korea. Jika itu berlaku, itu sudah pasti akan mengan.c.am kedudukan mereka.

Lantas, ini menjelaskan mengapa presiden pertama Korea Selatan, Syngman Rhee enggan membawa pulang Deokhye. Tetapi selepas pendedahan kisahnya oleh seorang wartawan bernama Kim Eul-han diketahui rakyat ketika itu termasuk penggantinya Park Chung-hee, barulah Seoul bersetuju membenarkan baginda pulang ke tanah air.

Berminat nak dapatkan kad raya Patriots dan sampul raya? Beli di: t.ly/D0J9

Dan menariknya, walaupun lama di perantauan dan diganggu masalah mental, Deokhye masih ingat tentang protokol dan etika istana. Untuk baki hayatnya, baginda menetap di Dewan Nakseon, Istana Changdeok bersama kekanda tirinya, Putera Yi Eun dan isterinya Puteri Yi Bangja, puteranya Yi Gu dan isterinya Julia Mullock serta pembantu baginda Byeon Bok-dong. Deokhye mangkat pada 21 April 1989 di Dewan Sugang, Istana Changdeok dan dimakamkan di Hongryureung, Namyangju berhampiran Seoul.

Rajah 3: Poster filem The Last Princess

Deokhye turut menjadi subjek sebuah filem biografi bertajuk The Last Princess pada 2016. Filem yang menampilkan Son Ye-jin dan Park Hae-il itu menceritakan kisah hidup baginda termasuk kepulangannya ke Korea Selatan pada tahun 1962. Filem tersebut mendapat pujian ramai pengkritik kerana berjaya memaparkan sejarah Deokhye dengan tepat dan mencetuskan minat orang ramai untuk mengenali puteri terakhir Joseon itu.

RUJUKAN:

Choi, D. (2020). The Tragic Life of the Last Princess of Korea. History of Yesterday.

Moniek. (2019). Princess Deokhye – The tragic tale of Korea’s last Princess. History of Royal Women.

Ruangan komen telah ditutup.