Kisah Hidup Anne Jasmin

7398
views

Pasti ramai di antara kita yang tertawa apabila melihat gelagat Annie Jasmin di dalam filem-filem arahan P. Ramlee. Siapa yang tidak ingat babak tiga Bujang Lapok yang tidak tahu membaca meminta tolong orang gaji Pendekar Mustar untuk membacakan surat dan mempunyai kekasih, Abang Brahim yang boleh bergerak di dalam bingkai gambar di dalam Pendekar Bujang Lapok.

Aini binti Jasmin dilahirkan di Jakarta, Indonesia pada tahun 1927. Sejak umur belasan tahun lagi beliau terlibat dengan pentas bangsawan di Indonesia sebagai penari, penyanyi dan pelakon. Pada penghujung tahun 1947, Shaw Brothers telah membuka studio di Singapura dan peluang pekerjaan terbukalah kepada semua tenaga seni. Maka ramailah yang cuba mengambil kesempatan ini, termasuk penggiat seni dari seberang. Annie Jasmin salah seorang daripada mereka.
Beliau memulakan karier lakonannya sebagai pelakon tambahan dan penari.

Nama Annie Jasmin memang tidak asing lagi kepada penggemar filem-filem Melayu. Sebut sahaja namanya, pasti terbayang akan susuk tubuhnya yang gempal dan comel itu. Oleh kerana badannya begitu gempal dan wajahnya lucu, Annie Jasmin lebih sesuai diberi peranan sebagai orang gaji dan dayang istana.

Watak lawak bersahaja yang dibawa oleh Annie Jasmin akhirnya menjadikan beliau sebagai salah seorang pelakon lawak yang terkenal di hujung tahun 1950-an dan 1960-an.
Annie Jasmin boleh dianggap salah sebuah pelakon paling produktif pada era itu. Beliau merupakan seorang pelakon bebas yang tidak terikat dengan mana-mana studio. Maka peluangnya untuk berlakon semakin luas. Berikut adalah filem-filem lakonan Annie Jasmin:

Aksi Kuching (1966), Aladdin (1952), Aloha (1950), Anak Dara (1966), Anjoran Nasib (1952), Antara Dua Darjat (1960), Ayer Mata Duyong (1964), Badang (1962), Bapa Saya (1951), Batu Belah Batu Bertangkup (1959), Bawang Puteh Bawang Merah (1959), Berdosa (1951), Chelorong Cheloreng (1962), Che Mamat Parang Tumpol (1960), Chinta Kaseh Sayang (1965), Dahaga (1966), Dang Anom (1962), Dewi Murni (1950), Dosa Wanita (1967), Gado-Gado (1961), Gerhana (1962), Gila Talak (1963), Hantu Rimau (1960), Ibu (1953), Ikan Emas (1965), Jalak Lenteng (1961), Jiran Sekampong (1965), Jiwa Lara (1952), Juwita (1951), Kacha Permata (1966), Kaki Kuda (1958), Kaseh Ibu (1965), Kembar (1950), Korban Kaseh (1962), Mabok Kepayang (1962), Masok Angin Keluar Asap (1963), Mat Lanon (1968), Mata Dan Hati (1965), Mata Shaitan (1962), Megat Terawis (1960), Miskin (1952), Muda Mudi (1965), Pak Pandir Modern (1960), Panglima Besi (1964), Pembalasan (1950), Penarek Becha (1955), Pendekar Bujang Lapok (1959), Penghidopan (1951), Permata Di-Perlimbahan (1952), Pileh Menantu (1963), Pontianak (1957), Putus Harapan (1953), Raja Laksamana Bintan (1959), Ribut (1954), Roh Membela (1955), Rumah Itu Dunia Aku (1963), Satu Titek Di Garisan (1972), Saudagar Minyak Urat (1959), Sedarah (1952), Sejoli (1951), Seniman Bujang Lapok (1961), Sergeant Hassan (1958), Sial Wanita (1969), Siapa Besar! (1964), Singapura Di Langgar Todak (1962), Siti Muslihat (1962), Sumpah Wanita (1960), Tas Tangan Wanita (1952), Terang Bulan Di Malaya (1954), Wan Perkasa (1964), Yatim Piatu (1952).

Menurut satu laporan akhbar, Annie Jasmin tidak tahu bahawa dirinya mempunyai bakat sebagai pelawak. Beliau hanya mengikut apa sahaja yang diarahkan oleh pengarah filem yang dilakonkannya. Ada kalanya beliau mengolah sendiri cara lakonannya dan pengarah suka akan hal itu.

Setelah perusahaan filem Melayu di Singapura terhenti pada tahun 1973, Annie Jasmin menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupannya. Dengan usianya yang semakin lanjut, peluang pekerjaan untuk dirinya agak terhad. Pernah suatu ketika, beliau dikhabarkan bekerja di sebuah kilang membuat sabun.

Annie Jasmin tinggal di sebuah bilik yang terletak di Aljunied Crescent bersama seorang anaknya yang bernama Suriati Bakar. Kesihatan beliau semakin menurun apabila disahkan menghidap penyakit kencing manis. Annie Jasmin menghabiskan sisa-sisa hidup beliau dalam kesempitan. Beliau hanya bergantung kepada wang bantuan jabatan kebajikan masyarakat yang berjumlah $80 sebulan. Dengan wang itulah beliau gunakan untuk membayar sewa bilik dan perbelanjaan sekolah anaknya.

Untuk menambahkan pendapatan, Annie Jasmin bersama anaknya mengambil upah mencuci pakaian di rumah-rumah orang. Pernah satu ketika beliau perlu ke hospital setiap hari untuk mendapatkan rawatan. Annie Jasmin terpaksa merayu kepada doktor yang merawatnya untuk mengurangkan bayaran yang dikenakan.

Annie Jasmin meninggal dunia pada 29 Jun 1988, kira-kira 7:40 pagi di Blok 109, Aljunied Crescent. Menurut anaknya, beliau dibawa pulang sehari sebelumnya setelah sebulan dirawat di Hospital Besar Singapura akibat tercedera kerana terkena air panas. Beliau kemudiannya dikebumikan di Pusara Aman, Singapura.

Sumber

  • Dato’ Ahmad Fauzee Samad
  • Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
  • Berita Minggu, 11 September 1983
  • Berita Harian, 20 September 1983
  • Berita Harian, 30 Jun 1988
  • Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah oleh Jamil Sulong
  • Singapore Cinema by Raphaël Millet
  • Layar Perak dan Sejarahnya oleh M. Amin dan WAHBA