Kisah Hantu Yang Menguasai Rumah Putih

1,493

Pada satu malam 1946, Presiden Harry Truman mengambil keputusan untuk tidur pada pukul 9.00 malam selepas mengharungi satu lagi hari meletihkan sebagai Presiden Amerika Syarikat. Tetapi enam jam kemudian, lenanya terganggu oleh bunyi ketukan yang kuat. “Siapa pula yang mengetuk pintu malam-malam?” Getus hatinya. Anekdot pengalaman ini dinyatakan dalam suratnya kepada isterinya yang kini disimpan di muzium dan perpustakaan presidensinya itu.

“Saya bangun dari katil dan memakai jubah mandi, membuka pintu dan melihat tiada siapa di luar. Saya berjalan di sepanjang laluan termasuk memeriksa bilik awak dan anak kita, Margie (nama manja untuk Margaret Truman). Masih tiada siapa. Kembali semula ke katil selepas mengunci pintu dan kemudian kedengaran bunyi tapak kasut di bilik awak di mana pintunya saya biarkan terbuka.

Saya melompat dan melihat tiada siapa di dalamnya! Tempat ini (Rumah Putih) memang berhantu. Perkhidmatan Rahsia sendiri mengatakan mereka tidak meletak pengawal pada waktu yang dinyatakan. Awak dan Margie harus pulang dengan segera dan lindungi saya sebelum sesetengah hantu ini membawa saya pergi.”

Rumah Putih sentiasa dipenuhi dengan ‘hantu’ tetapi ‘hantu’ sebegini ialah skandal-skandal politik yang membelenggu penghuninya dari Watergate dan skandal Iran-Contra hinggalah skandal seks Monica Lewinsky. Tetapi sejak seabad sebelumnya, Rumah Putih yang terletak 1600 Pennsylvania Avenue ini merupakan antara tempat paling berhantu di Amerika Syarikat.

Bagi pengasas syarikat pelancongan hantu Nightly Spirits, Jared Broach, semasa memulakan syarikatnya pada tahun 2012, dia hanya menawarkan satu tempat berhantu yang harus dikunjungi pelancong iaitu Rumah Putih. Broach berkata, “Rumah Putih mempunyai cerita-cerita hantu yang terbaik dan saya anggap paling banyak disahkan. Jujurnya, kita boleh buat lawatan selama 10 jam jika kita mahukannya.”

Satu cerita yang dikongsikan beliau semasa membawa pelancong ke Rumah Putih ialah kisah seorang pemilik tanah bernama David Burnes. Apabila kerajaan hendak mendirikan Rumah Putih, tanahnya dibeli untuk tujuan berkenaan. Sejak itu, sesiapa saja yang menduduki Oval Office tidak sah jika tidak mendengar suaranya. Bila ditanya sama ada dia mempercayai hantu, jawapan Broach adalah ya.

Dan jika masih ada pihak yang meragui sama ada kisah Rumah Putih ini berhantu atau tidak, Broach menganggap kelompok skeptik ini menuduh lapan bekas presiden sebagai pembohong. Ini kerana lapan bekas presiden ini turut mengalami pengalaman menakutkan tersendiri.

Salah seorang daripadanya ialah arkitek penghapusan aktiviti perhambaan, Abraham Lincoln. Semasa hayatnya, beliau dilaporkan menerima kunjungan hantu anak lelakinya, Willie pada tahun 1862 semasa berusia 11 tahun akibat demam kepialu.

Isterinya, Mary Todd merasa sedih atas apa yang berlaku dan berada di biliknya selama berminggu-minggu selepas kematian anak kesayangannya itu. Beliau pernah melaporkan melihat Willie di hujung kepala katilnya. Wujud juga laporan Mary Todd turut melihat Thomas Jefferson bermain biola dan Andrew Jackson menyeranah.

Rajah 1: Hantu anak Lincoln, Willie menjadi pengunjung tetap Rumah Putih semasa hayat Presiden Abraham Lincoln.

Selepas dib***h pada tahun 1865 di tangan John Wilkes Booth, giliran Lincoln pula yang menjadi hantu yang menghantui penghuni Rumah Putih. Wanita Pertama Grace Coolidge pernah melihat kelibat beliau melihat dari luar tingkap di satu bahagian yang pernah menjadi pejabatnya dalam satu temubual majalah. Dan untuk dekad-dekad seterusnya, lebih banyak laporan yang diterima bukan saja membabitkan penghuni Rumah Putih tetapi juga tetamu asing yang pernah tinggal di situ.

Permaisuri Wilhelmina dari Belanda tidur di bilik Lincoln pada tahun 1942 apabila baginda mendengar bunyi ketukan perlahan di pintu biliknya. Sebaik melihat yang mengetuk ialah Lincoln, Wilhelmina terus jatuh pengsan.

Dalam satu laporan lain, Perdana Menteri Britain Winston Churchill pernah berkesempatan menjadi tetamu di Rumah Putih. Beliau baru saja selesai mandi dalam tab sambil menghisap cerut di bilik Lincoln. Sebaik beliau keluar dalam keadaan bogel dan masih menghisap cerut, alangkah terkejutnya Churchill apabila melihat kelibat Lincoln di pendiang api.

Tidak seperti Wilhelmina, beliau sempat bergurau, “Selamat petang, Tuan Presiden. Anda nampaknya melihat saya dalam keadaan kekurangan.” Lincoln hanya tersenyum mendengar kata-kata Churchill sebelum menghilangkan diri sementara Perdana Menteri Britain itu tersipu-sipu malu dengan situasi dihadapinya.

Rajah 2: Hantu Lincoln merupakan hantu yang paling banyak dilihat di Rumah Putih.

Menurut Broach, Lincoln merupakan hantu yang sentiasa dilihat di Rumah Putih dan selalu dianggap sebagai hantu yang membawa beban berat bernama negara. Dia berkata, “Mereka kata Lincoln selalu muncul apabila negara berada dalam bahaya atau situasi yang menguji. Mereka kata beliau sentiasa akan berulang alik antara laluan di tingkat dua, bermain pintu dan menjengah di tingkap.”

Dalam satu temubual bersama Washington Post pada tahun 1989, Presiden Ronald Reagan pernah memberitahu kurator Rumah Putih, Rex Scouten bahawa anjingnya akan memasuki semua bilik kecuali bilik Lincoln. Anjingnya itu akan berdiri di luar pintu dan menyalak.

Manakala Lyndon Johnson pula pernah terserempak dengan Lincoln selepas tertekan dengan situasi Perang Vietnam. Bila ditanya apakah nasihat yang harus diberi dalam menghadapi situasi ini, beliau dikatakan memberi nasihat, “Jangan pergi ke teater itu (Ford’s Teater ialah teater di mana Lincoln dibunuh oleh Booth).”

Jika tidak dihantui hantu presiden, kadangkala penghuni diganggu dengan hantu yang mengetuk pintu-pintu hadapan Rumah Putih dan meminta agar ibunya dilepaskan dari hukuman. Hantu yang mengetuk itu sebenarnya ialah Annie Surratt, anak perempuan kepada salah seorang rakan subahat Booth, Mary Surratt yang kemudiannya didakwa dan dihukum gantung bersama Lewis Powell, David Herold dan George Atzerodt atas pembabitan mereka dalam pembunuhan Lincoln dan beberapa cubaan bunuh ke atas Kabinet beliau.

Ada hantu mempunyai tempat tertentu untuk melakukan ‘hobi’ mereka. Abigail Adams merupakan Wanita Pertama yang menghuni Rumah Putih dan menggunakan Bilik Timur sebagai tempat untuk menjemur pakaian. Selepas kematiannya pada tahun 1818, wujud beberapa laporan melihatnya di Bilik Timur dengan membuat gerakan seperti menjemur kain.

Sementara era pentadbiran Woodrow Wilson melaporkan Rose Garden pernah menjadi tumpuan isteri kepada Presiden James Madison, Dolley yang suka berkebun ketika mereka merancang hendak memindahkan Rose Garden. Selepas laporan itu timbul, sebarang rancangan untuk memindahkan Rose Garden dibatalkan.

Kita maklum dengan perubahan masa, Rumah Putih harus ditambahbaik seiring dengan peranannya sebagai kediaman rasmi Presiden dan pusat pentadbiran negara Uncle Sam itu. Tetapi bagi sesetengah kakitangan, itu juga menyebabkan mereka ketiadaan teman terutama yang bekerja pada waktu malam. Ini kerana hantu-hantu inilah yang menemani mereka semasa bekerja dan kadang-kadang menjadi sumber hiburan. Tetapi bagi sesetengah hantu, pengubahsuaian tidak berupaya menghalau mereka pergi.

Tanyalah Mary Eben, pembantu kepada Eleanor Roosevelt. Pada satu ketika, Eben pernah melihat kelibat Lincoln berada di atas katil sambil bersiap sedia memakai kasut. Pembantu Wanita Pertama itu terkejut dan terus menjerit sambil berlari keluar sehingga mengakibatkan ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia lari lintang-pukang untuk melihat apa yang berlaku.

Sementara Eleanor pula menceritakan dalam satu program bual bicara di San Antonio pernah mendedahkan beliau merasa seram sejuk dan merasakan dirinya diperhatikan apabila bekerja di sebuah bilik yang pernah digunakan presiden-presiden sebelumnya semasa bekerja.

Bagi Truman pula, beliau tahu isteri dan anak perempuannya itu merasa skeptik dengan pengalaman spiritual yang dialaminya. Tetapi beliau membalas dalam surat balasnya, “Saya pasti mereka ada di sini dan saya tidaklah merasa terkejut jika bertemu dengan mereka.

Saya percaya Andrew Jackson boleh memberikan saya beberapa nasihat yang baik dan kata-kata sumpahan yang elok. Dan saya pasti Grover Cleveland akan memberitahu saya apakah kenyataan yang harus dipilih terhadap sesetengah pemimpin politik. Jadi, saya tidak akan mengunci pintu dan menghalang mereka sekiranya tokoh-tokoh pada lukisan ini keluar dari bingkai mereka untuk berbual mesra.”

RUJUKAN:

Vargas, Theresa. (2017). Is the White House haunted? A history of spooked presidents, prime ministers and pets. The Washington Post. https://www.washingtonpost.com/news/retropolis/wp/2017/10/30/is-the-white-house-haunted-a-history-of-spooked-presidents-prime-ministers-and-pets/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.