Kisah Hamka Mempertahankan Tulisan Jawi

0
676
views

Keputusan Kongres Bahasa Melayu kedua pada 1 dan 2 January 1954 yang menetapkan huruf Rumi sebagai huruf rasmi dengan tidak meninggalkan huruf Jawi telah mendapat tentangan yang hebat pada waktu itu. Bahkan Buya Hamka juga pernah menyuarakan bantahannya seperti mana dipetik sebahagian dari majalah Qalam bilangan 19 (Februari 1952):

“Pengalaman di Indonesia selama 30 tahun dapatlah saya jadikan bukti bahawasanya huruf yang dipakai itu menunjukkan pula akan jalan berfikir bangsa yang memakainya. Huruf adalah lukisan daripada kalimat yang hendak dipakai dan kalimat adalah datang dari fikiran kita.

Dahulu seluruh bangsa Melayu dan juga disebut bangsa Jawi, memakai hanya satu tulisan huruf iaitu huruf Jawi. Huruf Jawi adalah huruf-huruf Arab yang telah dipilih oleh nenek moyang kita setelah agama Islam masuk ke tanahair kita, baik pulau-pulau Melayu yang sekarang bernama Indonesia atau Semenanjung Tanah Melayu. Mana-mana yang tidak lengkap telah dilengkapkan oleh beliau-beliau iaitu huruf ﭺ, ڠ, ﭪ, ݢ dan ڽ seumpama ini juga diperbuat oleh bangsa Parsi.”

“Masih adakah huruf Melayu-kata kami dan huruf Jawi-kata tuan, itu di Indonesia sekarang ini?”

“Masih dan belum hilang. Tetapi terletak di tempat yang gelap iaitu di dalam surau-surau dan pengajian pondok.”

“Janganlah dibenarkan huruf Jawi (Melayu) ini hilang. Kerana keadaan kita berbeza. Seluruh Melayu Semenanjung Islam semua. Kebangsaan tuan adalah bertulang belakang kepada Islam. Tidaklah menjadi suatu kehinaan jika tuan tetap memakai shi’ar kebangsaan dengan huruf itu.”

“Orang China bertahan dengan tulisan Kanji begitu juga Jepun. Russia begitu juga. Daulat Yahudi di Palestine yang hanya 700 ribu orang pun menghidupkan huruf Ibrani. India dan Pakistan telah terbelah, menghidupkan huruf masing-masing, India huruf Hindi, Pakistan huruf Arab yang dipinjam sebagai kita juga. Kurangkah kebangsaannya? Hinakah dia? Tidak! Sebab mereka tidak merasa rendah diri tetapi megah dengan kekayaannya!”

“Kami terpengaruh oleh fikiran Islam di Jawa ingin mencari kembali “huruf Melayu” kerana terasa bertambah kaburnya pengaruh Islam pada hal di sini sedang dicuba hendak menghilangkan pula “huruf Jawi”.

“Pulanglah kembali ke jalan raya yang tebal. Kami telah kembali dari sana! Kami telah tahu di sana ada lubang. Kalau tuan lanjutkan juga, tuan akan jatuh. Percayalah kepada kami.”

“Pengalaman-pengalaman yang telah diderita oleh 90% umat Islam di Indonesia yang dahulu hurufnya yang berkuasa sehingga segala bangsa menulis dengan huruf itu, sekarang hurufnya muram cahayanya dan nyaris padam kerana kesesiaan pada mulanya hendaklah jadi i’tibar bagi saudara-saudara di Semenanjung.”