Kisah Hak Bumiputera Kaum Maori Di New Zealand

0
1287
views

Di Malaysia, keistimewaan bagi golongan bumiputera telah diperuntukkan seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan Persekutuan (Malaysia). Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan sering menjadi perbahasan dalam kalangan rakyat tidak kira ahli politik atau orang biasa, di parlimen atau di meja makan.

Peruntukan di bawah perkara ini dianggap kontroversi bagi sesetengah pihak, baik bagi yang mendukung mahupun yang menentang kelangsungan polisi yang terbentuk berteraskannya.

Wajarkah warga peribumi dan bumiputera terus diberikan kelebihan tertentu dalam sektor seperti pendidikan, hartanah, ekonomi dan jawatan dalam kerajaan?

Tidakkah polisi berteraskan konsep bumiputera ini akan hanya memanjakan golongan bumiputera dan membuatkan golongan bukan bumiputera lebih merajuk? Adakah Malaysia sebenarnya ketinggalan dalam usaha menjadi sebuah negara yang maju disebabkan faktor ini?

Benarkah kandungan perlembagaan ini sudah lapuk dan bersifat primitif? Mampukah Malaysia mengejar Wawasan 2020 atau mencapai taraf negara maju bila-bila masa dari sekarang sekiranya konsep keistimewaan bagi golongan peribumi dan bumiputera dikekalkan? Wujudkah negara lain yang mengamalkan dasar sebegini?

Bagi membantu pembaca menjawab persoalan ini, penulis cuba melakukan satu perbandingan dengan New Zealand. Secara ringkas, New Zealand sehingga hari ini memberikan keistimewaan kepada bangsa peribumi dalam hal pendidikan, kuota biasiswa, polisi berkaitan tanah dan lain-lain.

Ini adalah berasaskan Perjanjian Waitangi yang melibatkan orang Maori dan British pada masa lalu. Meskipun diberi keistimewaan dan hak mereka dilindungi, mereka masih jauh ketinggalan di tanah air sendiri berbanding bangsa Eropah. Namun demikian, New Zealand kini boleh berbangga menjadi sebuah negara maju walaupun jurang pencapaian berdasarkan kaum adalah besar.

TREATY OF WAITANGI (Perjanjian Waitangi)

Treaty of Waitangi (TOW) adalah dokumen penubuhan New Zealand dan perjanjian yang melibatkan Monarki Britain dan orang peribumi New Zealand iaitu kaum Maori. Waitangi adalah nama tempat di mana perjanjian ini ditandatangani oleh wakil istana Britain dan wakil suku kaum Maori pada 6 Februari 1840. Tiriti o Waitangi (dalam bahasa Maori) merangkumi prinsip-prinsip yang telah dipersetujui oleh ketua suku Maori dan pegawai British bagi membentuk sebuah negara bangsa dan kerajaan di New Zealand.

Sekitar tahun tersebut, populasi orang Maori dianggarkan sekitar 100 000 orang manakala populasi pendatang adalah sekitar 2000 orang. Berdasarkan banjian pada tahun 2013, peratusan kaum di New Zealand dianggaran kira-kira hanya 15% Maori dan 65% orang kulit putih Eropah.

TOW dipersetujui oleh orang Maori atas beberapa faktor seperti keyakinan terhadap manfaat yang akan dibawa oleh pendatang luar, perlindungan terhadap tanah dan kedudukan kaum Maori, hubungan dengan Britain dan Queen Victoria serta perlindungan daripada ketegangan kaum dan kekacauan pedagang British. Pada tahun sebelum perjanjian ini, jenayah, kekerasan, keganasan dan pelanggaran undang-undang menjadi-jadi disebabkan kedatangan orang luar yang tidak terkawal.

Perjanjian ini pada asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris, dan atas faktor batasan bahasa, terdapat beberapa percanggahan antara versi Maori dan versi Bahasa Inggeris. Kebanyakan wakil Maori menandatangani perjanjian dalam versi Maori. Malah, sejak 1840, ada waktunya kerajaan mengabaikan dan tidak merujuk kepada TOW berkaitan perlindungan bagi orang Maori dalam dasar negara.

Namun begitu, kerajaan New Zealand yang terkemudian menyedari akan hakikat ini dan berusaha ke arah mengembalikan hubungan baik yang wujud ratusan tahun dahulu. Maka pada tahun 1975, Waitangi Tribunal ditubuhkan bagi mengambil kira tuntutan yang dibuat oleh orang Maori terhadap British Crown (BC) berhubung pencabulan prinsip perjanjian, selain daripada untuk menyarankan kerajaan supaya menghentikan prejudis terhadap orang Maori dan menggesa pemberian ganti rugi. Kini, lebih 2000 tuntutan telah dibuat terhadap Crown sejak 1840.

TOW terbahagi kepada tiga artikel. Di sini penulis sertakan ringkasan TOW dalam bahasa asal untuk mengelakkan salah faham dari segi maksud. Terjemahan yang penulis sediakan adalah sekadar memudahkan pemahaman.

1. For Britain: ‘sovereignty’ or ‘kawanatanga’ over New Zealand

In the English version, Māori cede to the British Crown what is called ‘sovereignty’ over New Zealand. In the Māori version, this is expressed as ‘kawanatanga’ – governorship.

The ‘preamble’ to the Treaty spells out the need for this power – to allow the Queen to establish a government in New Zealand, to maintain peace, and to protect Māori rights, as more and more settlers from Britain and Europe arrive.

(Bagi Britain: ‘kedaulatan’ atau ‘kawanatanga’ ke atas New Zealand.
Dalam versi Bahasa Inggeris, Maori menyerahkan kepada British apa yang disebut sebagai ‘kedaulatan’ ke atas New Zealand.

Di dalam versi Bahasa Maori, ianya disebut sebagai ‘kawanatanga’ iaitu sistem di mana wakil Monarki British (gabenor) ditempatkan di tanah jajahan, naungan dan negeri Komanwel yang mengiktiraf Monarki British selaku ketua negara atau seumpamanya.

Mukadimah kepada perjanjian ini membolehkan Queen menubuhkan suatu kerajaan di New Zealand, mengekalkan keamanan dan melindungi hak-hak orang Maori dengan kedatangan orang Britain dan Eropah untuk menduduki negara itu).

2. For Māori: ‘undisturbed possession’ of lands and property or ‘tino rangatiratanga’

The Māori version guarantees Māori ‘tino rangatiratanga’ (full chieftainship) over their lands and possessions. In the English version, they are guaranteed ‘undisturbed possession’ for as long as they want it.

However, should Māori wish to sell any of their land or property, they must offer it to the British Crown. This was to give Maori protection against unscrupulous land purchasers. But it also gave the Crown a great advantage – to buy land at a low price and sell it on to settlers at a profit. The income would fund the colony’s development.

(Bagi Maori: pemilikan tanah dan hak milik/ harta yang tidak diganggu gugat.

Versi Maori menjamin kekuasaan mutlak bagi tanah dan harta mereka sendiri. Di dalam versi Bahasa Inggeris, mereka dijanjikan tiada campur tangan daripada pihak lain ke atas pemilikan mereka selama mana yang mereka mahu. Namun demikian, sekiranya orang Maori ingin menjual mana-mana tanah atau hak milik, mereka wajib menawarkannya kepada British Crown (BC). Tindakan ini kononnya adalah bagi melindungi orang Maori daripada pembeli tanah yang tidak bertanggungjawab. Namun, ia turut memberikan kelebihan yang besar bagi BC iaitu kesempatan untuk membeli tanah pada harga yang rendah dan menjual kembali kepada pendatang bagi mengaut keuntungan. Hasil daripada proses ini digunakan untuk membiayai pembangunan).

3. For Māori: British rights

Māori have the British Crown’s protection and all the same rights as British subjects.

(Untuk orang Maori: Hak British.
Orang Maori mendapat perlindungan BC dan mempunyai semua hak seperti rakyat taklukan British yang lain).

Percanggahan yang terdapat di dalam kedua-dua versi ini adalah agak serius seperti orang Maori menganggap mereka memberikan kuasa kepada Gabenor hanyalah semata-mata untuk urusan mentadbir negara- sebagai pertukaran bagi mendapatkan perlindungan, tetapi TANPA menyerahkan kekuasaan yang dimiliki bagi menguruskan hal ehwal mereka sendiri.

Perdebatan antara orang Maori dan orang bukan Maori berlaku dengan tuduh menuduh sehingga hari ini. Kebanyakan orang Maori merasakan bahawa BC tidak memenuhi kewajipan yang digariskan di dalam TOW manakala sesetengah rakyat New Zealand yang bukan Maori berpendapat, orang Maori sengaja mempergunakan TOW bagi menuntut keistimewaan dan hak atas tiket peribumi.

Kekeliruan juga timbul apabila orang Maori menyangka ianya selamat untuk menjual tanah kepada pendatang melalui BC. Mereka berlumba-lumba menjual tanah atas kepercayaan bahawa proses jual beli melalui BC adalah menguntungkan kerana ‘niat asal’ TOW tadi adalah untuk mengelakkan orang peribumi daripada ditipu oleh pembeli tanah yang menawarkan harga rendah lagi merugikan.

Lama-kelamaan, keghairahan untuk menjual tanah dalam kalangan orang Maori surut dan menyebabkan BC berada dalam tekanan akibat permintaan yang tinggi dari pendatang untuk membeli tanah. Hal ini telah mengakibatkan rampasan tanah berlaku di beberapa negeri. Inilah salah satu daripada tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh orang Maori melalui Waitangi Tribunal iaitu bagi menuntut semula tanah atau pampasan atas rampasan tersebut.

Sekarang kita sudah tahu serba sedikit mengenai pembentukan negara New Zealand dan proses yang berlaku bemula sejak 1840. Di sini penulis ingin memberikan beberapa statistik yang terbuka untuk penilaian pembaca:

1) Orang Maori secara purata memiliki lebih sedikit (fewer) asset berbanding orang lain, mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk menghadapi masalah ekonomi dan sosial.

2) Walaupun orang Maori hanya membentuk 14% daripada jumlah penduduk, namun 50% daripada banduan penjara adalah orang Maori.

3) Orang Maori mempunyai kadar pengangguran lebih tinggi daripada orang dari budaya dan bangsa lain di New Zealand.

4) 4 kerusi perlimen khas untuk orang Maori diwartakan pada tahun 1867 bagi memberikan suara untuk mereka dalam parlimen. Sehingga 1967, orang Maori tidak dibenarkan menjadi calon bagi kerusi orang Eropah. Setelah 129 tahun berlalu, barulah kerusi yang 4 tadi bertambah menjadi 5 manakala pada tahun 2002, ia menjadi 7.

5) Walaupun 4 fakta di atas bukanlah berita gembira buat kaum peribuminya, laporan Indeks Perkembangan Insan (HDI) 2014 memberikan perkhabaran baik buat seluruh New Zealanders apabila New Zealand berada di tempat ke-7 dalam senarai negara paling maju di dunia berdasarkan kriteria seperti jangka hayat, sistem pendidikan, taraf kehidupan, kebajikan kanak-kanak, perkhidmatan kesihatan, kebajikan ekonomi dan kegembiraan penduduk.

(1 Norway, 2 Australia, 3 Switzerland, 4 Belanda, 5 USA, 6 Jerman, 7 New Zealand, 8 Kanada, 9 Singapura, 10 Denmark. Rujuk https://data.undp.org/dataset/HDI-Indicators-By-Country-2014/5tuc-d2a9untuk laporan lengkap).

Penulis di sini sekadar menghamparkan lipatan sejarah sebuah negara jajahan British dan nasib bangsa peribuminya kesan daripada perjanjian lampau. Banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada sejarah dan pengalaman orang lain.

Setelah membaca, mengkaji, dan melihat sendiri bumi tempat penulis menimba ilmu, semakin penulis berterima kasih kepada pejuang terdahulu yang merangka kontrak sosial, menyusun perlembagaan dan yang menentang penubuhan Malayan Union (mirip TOW).

Alangkah bijaknya pemimpin terdahulu, dapat membaca permainan penjajah. Berbekalkan warisan turun temurun tinggalan nenek moyang (yakni Perlembagaan Persekutuan), kita seharusnya lebih gagah memperkasakan pengaruh di dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, politik, agama, dan pekerjaan.

***
Wahai pemilik Aotearoa
Kamu menyusun bata membina negara bangsa
Datang pula si putih menyapa mesra
Ditanya si Maori mahunya apa
Pelindung dan pemimpin, itu sahaja
Perjanjian tersedia, saling bekerjasama
Kamu mengangkat mereka,
mereka lindungi kamu, katanya.
Esok lusa celik mata
Bata kamu runtuh binaannya
Diri kamu hilang harta
Anak kamu hilang kuasa
Cucu kamu hilang suara
Aku berdoa
Cicit kamu tidak hilang apa-apa
Apalah jua yang dia punya?

***

Saya ajukan kembali kepada anda beberapa persoalan di awal tadi dan tambahan beberapa persoalan lain.

1) Wajarkah warga peribumi dan bumiputera terus diberikan kelebihan tertentu dalam sektor seperti pendidikan, hartanah, ekonomi dan jawatan dalam kerajaan?

2) Tidakkah polisi berteraskan konsep bumiputera ini akan hanya memanjakan golongan bumiputera dan membuatkan golongan bukan bumiputera lebih merajuk?

3) Mampukah Malaysia mengejar Wawasan 2020 atau mencapai taraf negara maju bila-bila masa dari sekarang sekiranya konsep keistimewaan bagi golongan peribumi dan bumiputera dikekalkan?

4) Bersediakah golongan Bumiputera dan peribumi untuk melepaskan keistimewaan yang ada dan bermula dari bawah seperti bangsa lain?

5) Adakah berbaloi untuk mengorbankan keistimewaan dan hak demi kesamarataan, persaingan dan sebuah kemajuan?

Nota kaki: penulis sering terfikir dari mana datangnya pepatah ‘menang sorak, kampung tergadai’.