Kisah Gadis Jepun Bernama Arisa Yang Memeluk Islam

1,730

Sebut saja Jepun, ramai boleh mengaitkan Negara Matahari Terbit itu dengan teknologi terkini, sikap penduduknya yang ramah dan keindahan negara itu. Tetapi Jepun dengan Islam? Ah, pasti ada yang menggaru kepala.

Islam di Jepun

Tidak ramai tahu, pada satu ketika Jepun mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Islam sejak dari dahulu lagi. Antara kerajaan yang mempunyai hubungan sejarah dengan negara berkenaan ialah Kesultanan Melayu Melaka (melalui Ryukyu) dan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Dan ia membawa kepada kemunculan komuniti Islam di negara berkenaan. Walaupun komuniti ini dianggap minoriti dalam negara di mana majoritinya merupakan penganut Shinto, itu tidak menghalang mereka menyemarakkan Islam di Negara Matahari Terbit itu.

Arisa

Salah seorang tokoh Muslim Jepun yang terkenal ialah seorang wanita bernama Nur Arisa Maryam. Seperti Ayana Jihye Moon (tokoh media sosial Muslim Korea), Arisa juga merupakan seorang tokoh media sosial Muslim Jepun yang terkemuka.

Ditanya tentang bagaimana beliau memeluk agama Allah itu, Arisa menceritakan pada satu ketika, dia merupakan seorang pelajar Pengajian Melayu di universitinya. Kebetulan, salah seorang pensyarahnya ialah seorang wanita berhijab yang berasal dari Indonesia.

Dia perasan cara kehidupan rakan-rakannya yang beragama Islam terutama dari cara mereka berfikir amat indah. Ini kerana menurutnya, walau apa saja yang berlaku, ingatan mereka terhadap Tuhan terus terpasak kukuh.

Minatnya mendorong Arisa mengambil kelas-kelas pengajian Islam untuk mendalami agama syumul itu. Dia juga perasan ramai rakannya yang berasal dari Malaysia dan Indonesia suka menggunakan perkataan Arab seperti Masya Allah (dengan kehendak-Nya) dan Insya Allah (dengan izin-Nya).

Dia mencuba mencari makna perkataan-perkataan itu dalam kamus Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia tetapi tidak menjumpainya. Pencariannya itu membawa kepada peristiwa dia memeluk Islam.

Reaksi keluarga

Bila ditanya reaksi keluarganya, pada awalnya ibunya merasa terkejut dan memutuskan hubungan dengannya selepas mendapat tahu dia memeluk Islam. Namun, Arisa tidak berputus asa dan sentiasa menjaga hubungan dengan keluarga terutama ibunya.

Usaha ini turut disokong oleh adik perempuannya. Adiknya memberitahu ibu mereka walaupun Arisa kini berpegang dengan agama lain, dia masih lagi orang yang sama dan tidak pernah berubah sama sekali. Ini membolehkan hubungan mereka berdua kembali pulih dan ibunya menerima keislaman Arisa.

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Arisa mendedahkan tidak semua orang di Jepun menerima dengan mudah apabila ahli keluarga mereka memeluk Islam. Ini berikutan stigma negatif dalam kalangan orang Jepun terhadap Islam masih wujud ditambah dengan sikap jahil masyarakat terhadap agama itu sendiri.

Atas sebab inilah, ramai memilih mengkaji agama dan memeluk Islam secara senyap-senyap kerana bimbang ditolak dan diejek orang. Tetapi dalam kes Arisa, dia bernasib baik kerana rakan-rakannya memandang keislamannya dari sudut positif.

Malah tambahnya lagi, pengislamannya turut menukar persepsinya terhadap kehidupan. Menurut Arisa, sebelum memeluk Islam, dia merasa terbeban dengan jangkaan tipikal masyarakat iaitu belajar, bekerja, berkahwin dan membina keluarga.

Dia melihat jangkaan masyarakat Jepun ini sebagai menyesakkan dan tidak memberinya harapan.

Tetapi sebaliknya selepas dia memeluk Islam, barulah dia tahu kehidupan pada akhirnya hanyalah ladang untuk negara akhirat. Malah, ia juga membuatkannya lebih bersabar apabila diuji.

Perkongsian pengalaman

Bila diminta mengulas reaksi masyarakat Jepun terhadap komuniti Muslim Jepun, dia mengakui tidak banyak tempat yang wujud bukan saja untuk beribadat tetapi untuk mendapatkan makanan halal.

Namun pada masa sama, Arisa merasa bersyukur kerana negaranya itu semakin menerima diversiti dalam kehidupan termasuk komuniti Muslim Jepun.

Ketika ini, Arisa sedang menyambung pengajiannya di UK untuk mendalami agama dan merealisasikan cita-citanya sebagai seorang ulama. Selain itu, dia turut menggunakan laman media sosial dan blog untuk berkongsi pengalamannya terhadap Islam.

Tanpa diketahui Arisa, hantaran-hantarannya menarik perhatian ramai orang termasuk individu yang pernah mengalami pengalaman sama sepertinya. Dan ada antara mereka yang kemudiannya memeluk Islam terima kasih kepada hantaran-hantarannya itu.

Kini, dia berkongsikan pengalaman hidupnya menerusi Instagram yang digabungkan dengan budaya Jepun. Akaun Instagram @japanesemuslimahinuk ialah komik pengalaman hidupnya memeluk Islam yang disampaikan dalam bentuk komik manga.

Manakala akaun @nurarisamaryam pula berkisar tentang perkongsian aktiviti hariannya.

Contoh komik yang ditampilkan Arisa dalam akaun @japanesemuslimahuk. Sumber: https://www.instagram.com/japanesemuslimah/

RUJUKAN:

Lubis, Adin. (2019). The Story of a Converted Japanese Muslim Woman: “Japan is Becoming More Accepting of Diversity”. Mvslim.com. https://mvslim.com/the-story-of-a-converted-japanese-muslim-woman-japan-is-becoming-more-accepting-of-diversity/

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.