Selalu sangat dengar pasal kisah ahli politik pergi bercuti semasa negara dalam masalah. Kisah Mark Sanford walau bagaimanapun menjadi iktibar kepada semua orang.

Pada usia 43 tahun, beliau sudah mempunyai segalanya. Ijazah sarjana dalam bidang perniagaan dari Universiti Virginia mewarnai profil politiknya. Secara peribadi pun, Sanford boleh dikatakan berjaya juga.

Perkahwinannya dengan Jenny Sullivan direzekikan empat cahaya mata dengan harta mungkin mencecah jutaan dolar pada tahun 2002.

Tidak cukup dengan itu, beliau mendapati dirinya jauh lebih layak untuk menjadi Gabenor South Carolina. Hasratnya tercapai pada 5 November 2002. Isu pendidikan dan belanjawan negeri memberikan Sanford kemenangan dalam dua pilihan raya.

Beliau pun pandai mentadbir negeri, kerana masih mendapat sokongan majoriti walaupun mewakili Parti Republikan.

Namun seperti semua, Sanford turut menghadapi masalah semasa krisis kewangan yang bermula pada tahun 2008. Cuma pengendaliannya jauh berlainan untuk dibandingkan dengan gabenor-gabenor lain.

Pada 18 Jun 2009, Sanford menghilangkan diri tanpa memberitahu sesiapa, kecuali stafnya. Satu-satunya lokasi disebut Sanford ialah Appalachian Trail, yang bersaiz 3,500 kilometer dari Gunung Springer, Georgia, ke Gunung Katahdin, Maine.

Orang pertama yang sedar beliau hilang ialah Jim Davenport, dari Associated Press (Byers, 2012). Tiada siapa kisah jika beliau bukan Gabenor South Carolina. Timbalannya begitu marah kerana kerajaan negeri tiada pemimpin “selama empat hari – dan tiada siapa tahu beliau di mana.”

Sanford meninggalkan South Carolina begitu saja. Telefon peribadinya juga ditutup, dengan 15 panggilan tidak terjawab. Ramai tidak berpuas hati, kerana Sanford hilang semasa Hari Bapa. Namun Jenny sebenarnya tidak bimbang pun.

Jenny Sullivan

Dan sangkaan Jenny memang tepat, kerana Sanford menghubungi stafnya pada 23 Jun mengatakan beliau pelik kenapa semua terkejut (AP, 2009).

Isterinya Tahu

Mark Sanford bertemu Jenny Sullivan di sebuah parti pantai di Long Island, New York (Davey, 2009). Bermula sebagai sahabat, hubungan mereka akhirnya diikatkan dengan perkahwinan.

Namun rumahtangga mereka berantakan selepas kedatangan María Belén Chapur, seorang wartawan dari Buenos Aires, Argentina.

Chapur merupakan seorang ibu tunggal yang berkemahiran dalam empat bahasa. Mereka bertemu di Uruguay pada tahun 2001, semasa Sanford hanya ahli Kongres.

Kedua-dua mereka bertemu sekali lagi di New York tiga tahun kemudian. Tidak lama kemudian, Sanford dan Chapur pun mengadakan hubungan sulit.

Jenny hanya mengetahui selepas membaca mesej-mesej berbaur cinta antara kedua-dua pihak. Beliau berasa sangat jijik, lebih-lebih lagi apabila Sanford meminta izin untuk bertemu dengan Chapur (Katz, 2010).

Sudahlah bermain kayu tiga, Sanford bersikap buruk siku pula. Hadiah rantai yang diberikan kepada Jenny pun diminta balik sehari kemudian.

Pengakuan Terbuka

Jadi apabila Mark Sanford hilang, Jenny Sullivan tahu lokasinya: bersama María Belén Chapur. Pada 24 Jun 2009, Sanford mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Atlanta pada jam 0543.

Seorang wartawan sudah diberitahu bahawa Sanford berada di Argentina. Jadi Gina Smith pun menunggu semua penerbangan dari Buenos Aires (Arango & Stelter, 2009).

Sanford perlu menjelaskan bagaimana Appalachian Trail boleh menjadi Buenos Aires. Alasannya hebat: beliau ingin ke Appalachian Trail, tetapi kemudian bertukar angina kerana mahu sesuatu yang “eksotik” (Davenport, 2009).

Itu pun beliau berkata, beliau terpaksa balik awal sebab media terlalu banyak bertanya. Orang Republikan sendiri berkata, Sanford banyak menipu.

Beberapa jam kemudian, Sanford membuat sidang akhbar mengatakan beliau memang curang. Selama dua hari, media kecoh melaporkan pengakuan bahawa Sanford menemui surihatinya (Chapur).

Semua perbelanjaan selama ini dibuat secara tunai, supaya tidak menimbulkan tanda tanya. Malah. beliau mengaku melampaui batasan dengan ramai wanita walaupun berkahwin dengan Jenny. Tetapi Chapur berbeza.

Kejatuhan Seorang Gabenor

Selepas mengaku curang, Mark Sanford meletakkan jawatan dalam Pertubuhan Gabenor Republikan. Beliau meluangkan masa dengan keluarga di rumah tepi pantai mereka. Tetapi keesokannya, Jenny Sullivan dan anak-anaknya keluar dari “Governor’s Mansion” meninggalkan Sanford.

Ramai orang mendesak peletakan jawatan Sanford. Sebulan kemudian, dua wakil Republikan iaitu Gary Simrill dan Nathan Ballentine memberikan amaran yang Sanford perlu berundur.

Pada 28 Ogos, wakil-wakil rakyat Republikan menyediakan rang undang-undang pemecatan tetapi prosedurnya disekat Parti Demokratik buat sementara waktu.

Kedudukan Sanford walau bagaimanapun semakin tercabar, apabila Jawatan Kuasa Etika masuk campur. Sanford dituduh melanggar undang-undang etika negeri sebanyak 37 kali (Hamby, 2009); antaranya:

  1. Membeli tiket penerbangan domestik dan antarabangsa dengan wang negeri.
  2. Menggunakan pesawat negeri untuk menghadiri majlis tidak rasmi.
  3. Menggunakan dana kempen atas tujuan peribadi (menghadiri majlis angkat sumpah Barack Obama).

Perkara ini dibincangkan tiga kali, tetapi jawatan kuasa akhirnya membuat keputusan untuk menghentikan siasatan. Sanford tidak dipecat daripada jawatan gabenor, kerana mandatnya akan tamat dalam masa setahun.

Beliau pun tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya seterusnya, kerana sudah menang dua kali.

Apabila mandatnya tamat, Sanford pun keluar dari Governor’s Mansion dan terus berlepas ke Uruguay untuk bertemu Mariá Chapur. Mereka bertunang pada Ogos 2012, tetapi putus dua tahun kemudian. Jenny Sullivan pula memulakan rumahtangga baharu bersama seorang pelabur bernama Andy McKay.

Mudah kata, Jenny lebih bahagia dan Sanford pula mendapati karier politiknya semakin hambar.

Rujukan:

Arango, T., & Stelter, B. (2009, Jun 24). For Press, Rumors but No Evidence of Straying. The New York Times. (2009, Jun 23). Spokesman: SC governor plans to return Wednesday.

Byers, D. (2012, Disember 31). AP’s Jim Davenport dead at 54. Politico.

Davenport, J. (2009, Jun 24). Report: S.C. governor was not in Argentina, not hiking trail. Associated Press.

Davey, M. (2009, Jun 26). In Political Storm, Governor’s Wife is Hurt but Unbowed. The New York Times.

Hamby, P. (2009, November 23). South Carolina Gov. Mark Sanford faces 37 ethics charges. CNN.

Katz, C. (2010, Januari 31). ‘It’s worse than Eliot Spritzer!’ Wife of Mark Sanford reveals son’s reaction in book on (ditapiskan) scandal. Daily News.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.