Kisah Fenomena Alam Yang Membantu Tentera Uthmaniyyah Membebaskan Konstantinopel

1,569

Para cendekiawan Khilafah Uthmaniyyah khususnya ahli geografi dan ahli falak Sultan Muhammad al-Fateh telah mengkaji dengan mendalam dan terperinci siri percubaan menawan Konstantinopel oleh umat Islam terdahulu. Mereka faham bahawa aspek cuaca dan hukum alam sepanjang April dan Mei 1453 perlu dititikberatkan dan diberi perhatian.

Kitab tulisan Ziyad Abu Ghanimah bertajuk As-Sultan al-Mujahid Muhammad al-Fateh menunjukkan Sheikh Khairuddin, Sheikh Sirajuddin al-Halbi dan beberapa guru terbaik dalam ilmu matematik, geografi, sejarah, dan linguistik dipilih bapa Sultan Muhammad al-Fateh, iaitu Sultan Murad bagi mendidik anaknya sejak kecil lagi. Disebabkan itulah Sultan Muhammad al-Fateh mengambil masa selama tiga tahun merencana strategi yang berhasil menumbangkan Byzantine di Konstantinopel pada 29 Mei 1453.

Gerhana Bulan 22 Mei 1453

Setelah berjaya menembusi Tanduk Emas dengan ‘melayarkan’ 70 buah kapal melalui jalan darat, tentera Uthmaniyyah terus-menerus meny3rang kubu Konstantinopel. Dalam masa kesibukan pep3rangan yang berlangsung, telah berlaku satu fenomena alam iaitu gerhana bulan.

Hakikat yang perlu diketahui ialah, rakyat dan pemerintah Byzantine mempunyai satu kepercayaan karut. Mereka percaya bahawa kejadian gerhana bulan adalah satu petanda buruk yang akan mendatangkan malapetaka. Maharaja Constantine XI Palaiologos mengatakan Konstantinopel tidak akan jatuh selagi matahari dan bulan wujud.

“Pada 22 Mei 1453, berlaku gerhana bulan di langit Konstantinopel, pada masa kota diserang tentera Turki. Dilaporkan bahawa fenomena ini menyebabkan jatuhnya moral tentera Konstantinopel beberapa hari sebelum kekalahan sebenar, membawa kepada kejatuhan Empayar Roman selepas 1130 tahun.”- (European Space Agency)

Gerhana bulan yang berlaku ini sudah tentu melemahkan moral penduduk dan pemerintah Konstantinopel. Tentera Uthmaniyyah bijak memanfaatkan peluang ini dengan meningkatkan lagi serangan mereka.

Hasilnya, selepas seminggu kejadian gerhana tersebut, pada 29 Mei 1453, Konstantinopel berjaya dibebaskan setelah 800 tahun penantian. Kem Sultan Muhammad al-Fateh mempamerkan kebijaksanaannya dengan menguasai ilmu falak serta arif dengan kepercayaan dan agama Kristian Ortodoks di Konstantinopel.

“Beberapa jam pertama malam itu, muncul satu petanda yang indah di langit. Petanda itu ingin mengatakan kepada Maharaja Konstantinopel bahawa empayar yang dibangga-banggakannya itu akan berakhir.”– Nicolò Barbaro, The Siege of Constantinople (1453)

Letusan Gunung Berapi Kuwae

Berdasarkan rekod sejarah, sekurang-kurangnya dua kali cubaan serangan umat Islam ke atas Konstantinopel gagal disebabkan faktor cuaca. Yang pertama, percubaan Sulaiman bin Abdul Malik dari Kerajaan Umaiyah pada tahun 719; cuaca yang dingin menggagalkan serangan tersebut. Seterusnya pada 1393, Sultan Yildirim Beyazit dari Kerajaan Uthmaniyyah cuba menawan kota ini namun terbatas akibat cuaca yang sangat panas.

Satu kajian telah dilakukan enam pakar dari Tree-Ring Lab, Lamont-Doherty Earth Observatory, Laboratory of Tree-Ring Research, University of Arizona, Malcolm and Carolyn Wiener Laboratory for Aegean and Near Eastern Dendrochronology, Cornell University. Kajian bertajuk Climate, Kuwae and the Fall of Constantinople in 1453: What do Tree Rings Tell Us ini telah dibentangkan pada September 2008 dan mendedahkan bahawa berlakunya letusan gunung berapi Kuwae yang menjejaskan cuaca di Konstantinopel ketika itu.

Dr. Kevin Pang, dari National Aeronautics and Space Administration’s Jet Propulsion Laboratory di Pasadena, California, mengatakan gunung berapi Kuwae telah meletus di New Hebrides, kira-kira 1900km timur Australia. Walaupun tarikh letupan tidak dapat ditemui dengan tepat, banyak bukti menunjukkan tahun 1453.

Ketika meletus, Kuwae memuntahkan enam kali lebih banyak magma dan abu daripada Gunung Pinatubo, Filipina pada tahun 1991. Ketika letusan itu berakhir, Kuwae yang awalnya adalah sebuah pulau, telah menjadi ‘submarine crater’.

“Empat hari kemudian, seluruh kota diliputi kabus tebal. Ini keadaan yang tidak pernah berlaku di kawasan itu dalam bulan Mei. Apabila kabus mulai hilang pada waktu petang itu, nyalaan ‘api’ menyelubungi kubah Hagia Sophia. Sinaran cahaya dapat dilihat dari balik dinding-dindingnya, bergemerlapan dari kejauhan, di luar bandar dan jauh ke barat dari kem Turki. Penduduk kota beranggapan bahawa ‘api’ itu adalah pantulan cahaya dari api nyalaan tentera Turki. Akan tetapi, ‘api’ tersebut adalah ilusi optik yang terhasil daripada pantulan cahaya merah yang sangat terang oleh awan abu gunung berapi yang tinggi di atmosfera. Saya simpulkan bahawa Kuwae meletus pada awal 1453.” – Dr. Kevin Pang

Peranan Kuwae dalam peristiwa pembebasan Konstantinopel pada 1453 adalah masih belum dibuktikan kebenarannya dengan tepat. Akan tetapi, jika ia dapat dibuktikan pada satu hari nanti, ini menunjukkan martabat sistem pendidikan Uthmaniyyah yang sangat tinggi. Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menukarkan apa yang dahulunya menjadi ancaman kepada percubaan terdahulu, kepada sebuah peluang yang membolehkannya membuka kota Konstantinopel dan menjadi salah satu peristiwa terpenting dalam lipatan sejarah.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.