Kisah Elvis Presley Mempromosikan Vaksin Polio

365

Pada 28 Oktober 1956, selebriti terkenal Elvis Presley telah dirakam menerima suntikan vaksin Polio. Sehubungan dengan itu, lebih ramai individu terutamanya golongan remaja, bertindak mengikut jejak langkah beliau dalam mendapatkan suntikan imunisasi.

Sejarah

Pada 1947, penyelidik dan doktor perubatan dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Dr. Jonas Salk, memulakan kajian beliau terhadap virus polio di Fakulti Perubatan Universiti Pittsburgh.

Setelah beliau mendapati bahawa terdapat tiga jenis “strain” polio yang berbeza antara satu sama lain, Dr. Salk berusaha keras untuk menghasilkan vaksin yang akan berupaya menghasilkan antibodi (baca: pertahanan) terhadap setiap satu “strain” virus polio tersebut.

Hasil bertahun-tahun kajian itu dilaksanakan, Dr. Salk akhirnya mula menjalankan ujian kebersanan vaksin tersebut pada tahun 1952.

Dengan izin Tuhan, vaksin yang diberikan melalui suntikan itu didapati bahawa ia mempunyai keupayaan untuk mengekang penularan virus polio.

Akhirnya pada tanggal 12 April 1955, barulah vaksin tersebut dibenarkan untuk digunakan atau diterima secara meluas. Tahun berikut menyaksikan jutaan kanak-kanak telah menerima suntikan vaksin.

* Nampak tak berapa lama tempoh kajian yang diperlukan untuk menguji keberkesanan sesuatu ubatan?

Walau bagaimanapun, golongan remaja yang turut berisiko terdedah kepada serangan virus polio tidak menerima vaksin tersebut. Mungkin perkara ini disebabkan oleh kurangnya kesedaran masyrakat pada waktu itu terhadap kepentingan penerimaan suntikan vaksin.

Namun semua ini bakal berubah..

Pada waktu yang sama, nama Elvis Presley sebagai seorang penyanyi dan penghibur sedang meningkat naik dan menjadi bualan orang ramai di rumah, terutamanya bagi golongan remaja.

Oleh itu, sebuah yayasan yang dikenali sebagai National Foundation of Infantile Paralysis, telah bertindak merangka sebuah rencana yang terbukti berkesan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menerima suntikan vaksin.

Ia dilakukan dengan meminta Elvis Presley menerima suntikan vaksin polio di hadapan kamera. Dengan harapan supaya populariti yang dimiliki Elvis, dapat menjadi pencetus kepada peningkatan penerimaan suntikan vaksin polio oleh golongan remaja.

Elvis dengan rela bersedia untuk menjayakan acara dan turut bersama-sama membantu mewar-warkan perkara ini. Yayasan tersebut turut mendapatkan bantuan 600 individu dari kelab peminat Elvis bagi mempromosikan acara tersebut.

Kemudian pada tarikh 28 Oktober 1956, Elvis Presley dijadualkan untuk menjadi tetamu jemputan dalam rancangan bual bicara terkemuka di televisyen iaitu “The Ed Sullivan Show”. Sebelum rancangan tersebut bermula, Elvis telah dirakam dan diambil gambarnya ketika sedang menerima suntikan vaksin.

Video rakaman tersebut disiarkan secara meluas di rancangan televisyen nasional Amerika Syarikat, manakala gambar itu pula muncul di setiap akhbar seluruh negara.

Selain itu, Elvis turut dibawa berjumpa dengan gadis poster kempen March of Dimes (satu lagi kempen vaksinasi polio) iaitu Joanne Wilson. Untuk tahun-tahun berikutnya, Elvis terus-menerus mempromosikan penerimaan suntikan vaksinasi polio.

Sokongan padu golongan remaja.

Yayasan tersebut turut menjadi pencetus kepada gerakan “Teens Agains Polio”. Remaja-remaja ini membantu denhan pergi dari rumah ke rumah untuk meningkatkan kesedaran, menganjurkan program tarian bagi remaja yang telah menerima suntikan vaksin, dan banyak lagi.

Hasil daripada populariti dan bantuan Elvis serta sokongan padu dari setiap pihak yang membantu pada waktu itu, telah dibuktikan dengan statistik berikut:

– Peningkatan kadar imunisasi polio di Amerika Syarikat dari 0.6% ke 80%. Hanya dalam masa 6 bulan.

– Menjelang 1960-an, kes polio menurun sehingga 90%.

Mungkin selebriti, ulama, ahli politik dan “influencer” Malaysia dapat sama-sama berganding bahu membantu mempromosikan penerimaan suntikan vaksin di negara kita ni.

Ruangan komen telah ditutup.