Kisah Cinta Zhuge Liang

162

Zhuge Liang adalah satu nama yang tidak asing lagi dalam sejarah Cina. Beliau merupakan seorang pakar strategi ketenteraan yang berkhidmat kepada Liu Bei, salah seorang warlord dalam era Tiga Kerajaan yang berlangsung di penghujung zaman Dinasti Han. Berkat nasihat-nasihat genius yang diberikan oleh strategist yang digelar sebagai Naga Tidur ini, Liu Bei berjaya bersaing dengan kuasa-kuasa besar lain seperti Cao Cao dan Sun Quan malah menabalkan dirinya sebagai Maharaja Shu-Han pada tahun 221 Masihi.

Selain dikenali dengan kisah-kisah masyhur seperti ‘Ziarah Tiga Kali ke Teratak Jerami’ dan ‘Mendapatkan 100 000 Anak Panah dengan Perahu-Perahu Jerami’, Zhuge Liang turut mewariskan satu kisah fiksyen yang menarik tentang pertemuan jodohnya dengan Huang Yueying.

Semasa berusia 17 atau 18 tahun, Zhuge Liang mengembara ke Wolong Gang yang terletak di Kota Nanyang, Wilayah Henan dengan tujuan untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan. Memandangkan beliau mahu berada lama di tempat tersebut, Zhuge Liang mendirikan sebuah teratak untuk didiami dan turut bercucuk tanam sebagai punca rezeki. Keperibadiannya yang luhur dan akal fikirannya yang bijaksana menarik minat seorang lelaki yang bernama Huang Chengyan.

Huang Chengyan sering menziarahi teratak Zhuge Liang dan memandangkan beliau merupakan seorang yang sangat berpengetahuan, Zhuge Liang menghormatinya sebagai Guru. Liang sering bertanyakan Chengyan nasihat dan meminta beliau menyemak hasil-hasil tulisannya. Hubungan mereka berdua terjalin dengan akrab hingga pada satu ketika, Huang Chengyan sendiri menawarkan anak perempuannya kepada Zhuge Liang untuk dikahwini.

Namun memandangkan Liang pernah mendengar khabar angin yang mengatakan tentang rupa-paras Huang Yueying yang buruk, beliau menolak tawaran tersebut dengan sopan. Sejak itu, Chengyan tidak lagi menyebut tentang perkahwinan kepada Zhuge Liang sebaliknya mereka berdua hanya bertukar-tukar ilmu pengetahuan setiap kali berjumpa.

Pada suatu hari, Huang Chengyan berkata kepada Zhuge Liang, “Saya sering menziarahi kamu tetapi kamu tidak pernah pun menziarahiku.”

Maka, Zhuge Liang pun berkata, “Maafkan saya kerana bertingkah tidak sopan terhadap Guru. Selepas ini, saya yang akan menziarahi Guru.”

Beberapa hari kemudian, Zhuge Liang datang ke kediaman Huang Chengyan. Selepas memperkenalkan diri kepada pengawal gerbang rumah, Zhuge Liang pun diizinkan masuk. Sebaik sahaja melangkah masuk, pintu gerbang yang tadinya ternganga tiba-tiba tertutup dengan sendiri, membuatkan si genius itu kehairanan. Belum hilang rasa hairan, Liang kini ditakutkan pula dengan dua ekor anjing yang tiba-tiba sahaja menyalak dan menerpa ke arahnya. Aduh! Mahu melarikan diri tetapi pintu gerbang sudah pun tertutup. Bukan main panik Liang mahu selamatkan diri dari dua ekor anjing itu.

Ilustrasi Zhuge Liang dikejar oleh anjing (Sumber: Epoch Times)


Melihat keadaan itu, seorang pembantu rumah Huang Chengyan segera bergegas membantu Zhuge Liang dan mengusap kepala anjing-anjing tersebut. Lantas, dua ekor anjing itu pun; seekor hitam pekat dan seekor lagi putih bak salji, kembali tenang dan beredar ke celah-celah pokok bunga di kebun. Zhuge Liang sempat meneliti anjing itu dengan lebih dekat dan betapa terkejutnya beliau apabila mendapati dua ekor anjing itu adalah anjing mekanikal yang diperbuat daripada kayu.

Kemudian, Zhuge Liang menyambung perjalanannya. Sesampainya di pintu seterusnya, Liang disambut pula oleh dua ekor harimau yang juga menerpa ke arahnya. Belajar dari kejadian tadi, Zhuge Liang pun mengusap kepala dua ekor harimau itu. Tetapi sekali lagi Zhuge Liang dikejutkan apabila harimau tersebut terus menerkamnya dengan mulut terbuka. Habis tubuh Zhuge Liang terjatuh tidak dapat melepaskan diri. Sekali lagi, pembantu rumah Huang Chengyan bergegas membantu menenangkan dua ekor harimau yang juga diperbuat daripada kayu itu sambil berkata, “Bagaimana mungkin tuan lakukan hal yang sama terhadap harimau sama seperti apa yang dibuat pada anjing?”

Apabila bahagian belakang badannya diusap, dua ekor harimau itu pun kembali tenang dan Zhuge Liang pun meneruskan perjalanan. Selepas melewati beberapa buah sudut dan memasuki beberapa buah pintu, akhirnya Zhuge Liang sampai juga di bangunan yang menemukannya dengan Huang Chengyan. Chengyan kemudian menuntun Liang naik ke tingkat atas dan duduk berbual di sana. Ketika berada di ruang tersebut, Zhuge Liang sempat memberikan perhatian kepada lukisan-lukisan cantik yang tergantung di dinding. Beliau yang dipenuhi rasa ingin tahu tentang pencipta haiwan-haiwan mekanikal tadi dan juga pelukis gambar-gambar cantik itu langsung sahaja bertanya kepada Guru nya. Sambil ketawa kecil, Chengyan menjawab, “Anak perempuan saya yang hodoh itu memang selalu mencipta benda-benda seperti itu. Tak baik betul menakut-nakutkan tetamu seperti tadi.”

Sebaik mendengar jawaban daripada gurunya itu, Zhuge Liang pun tersipu malu dan mula meleteri dirinya sendiri, “Oh Zhuge Liang! Kau ni betul-betul bodoh! Guru telah menawarkan anak perempuannya kepada kau untuk dikahwini. Tapi kau pula membenci wajahnya yang hodoh. Di mana lagi boleh kau temukan orang yang sebegini berbakat? Dan dengan bakatnya yang sebegini hebat, datang mana pula kehodohannya?”

Maka, Zhuge Liang pun berkata, “Kebijaksanaan Cik Muda Huang memang luar biasa dan saya benar-benar mengaguminya.”

Huang Chengyan menyambut kata-kata itu, “Tapi, anak perempuan saya itu hodoh wajahnya. Saya telah beberapa kali melamarkannya kepada orang lain…”

“Saya datang ke mari semata-mata untuk menziarahi bapa-mertua saya!” pintas Zhuge Liang lalu melutut dan memberi sujud hormat kepada Huang.

Zhuge Liang menyedari bahawa Huang Yueying, anak Gurunya itu bukanlah wanita yang calang-calang. Walaupun rupa parasnya buruk, keperibadian yang dimilikinya sangat indah. Selain memiliki kebijaksanaan dan kekreatifan yang luar biasa, Huang Yueying juga merupakan seorang gadis yang lemah-lembut, bersopan-santun, peramah dan suka membantu orang lain. Beliau merupakan wanita yang sangat sesuai digambarkan dengan pepatah Inggeris; “Don’t judge a book by its cover.”

Antara ciptaan hebat Zhuge Liang adalah kerbau kayu yang digunakan untuk
mengangkut bekalan makanan (tangkap layar dari drama Three Kingdoms 2010)

Kemudian, Zhuge Liang dan Huang Yueying pun berkahwin. Selepas menjadi isteri Zhuge Liang, Yueying menguruskan segala kerja rumah termasuklah menggiling tepung dan bercucuk tanam dengan sendiri. Hasilnya, Zhuge Liang dapat menumpukan masanya kepada urusan-urusan Negara. Orang-orang ramai yang pada mulanya mempersoalkan citarasa Zhuge Liang dalam memilih isteri lama-kelamaan berasa senang dengan Yueying. Masing-masing dari mereka, termasuklah kita yang membaca kisah ini berasa kagum terhadap Zhuge Liang yang menemukan kecantikan di sebalik kehodohan Huang Yueying.

Terdapat juga kisah di mana ketika rakan-rakan Zhuge Liang datang menziarahinya, Huang Yueying hanya mengambil masa yang sangat singkat untuk menyediakan makanan. Hal ini membuatkan para tetamu itu kehairanan dan masing-masing pun datang menjenguk bahagian dapur. Betapa terkejutnya mereka apabila melihat seekor keldai yang diperbuat daripada kayu sedang mengisarkan tepung (untuk diadun menjadi mi).

Tambahan lagi, Zhuge Liang dan Huang Yueying sering berkongsi kebijaksanaan dan kekreatifan. Banyak buah fikiran Zhuge Liang lahir dari perbincangan dengan isterinya yang sangat berpengetahuan dalam astronomi, geografi, reka-cipta dan strategi ketenteraan. Antara ciptaan yang boleh dinotakan adalah kerbau kayu yang digunakan untuk membawa bekalan makanan angkatan tentera Shu semasa kempen menentang Wei di utara. Kerbau kayu ini dipercayai merupakan ciptaan awal yang membawa kepada bentuk kereta sorong pada hari ini.

Selain pepatah yang disebutkan tadi, kisah tentang kebijaksanaan Huang Yueying ini juga membuktikan bahawa di belakang seorang lelaki hebat pasti ada seorang wanita yang hebat.

Sumber:

David Jirard. (6 Jun 2018). The Beauty of Zhuge Liang’s Ugly Wife. Vision Times. http://www.visiontimes.com/t/zhuge-liang

Epoch Times. (3 Mei 2018). The Legend of Zhuge Liang Seeking A Wife. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends-zhuge-liang-seeking-wife-0010014

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.