Kisah Cinta Sebenar Titanic

0
586
views
Figure 1: Kredit http://time.com/4738291/titanic-salvaged-locket-backstory/

Sesiapa yang pernah menonton filem Titanic (1997) arahan James Cameron sudah arif dengan plot cinta antara dua darjat Jack Dawson (Leonardo DiCaprio) dengan Rose DeWitt Bukater (Kate Winslet) berlatarbelakangkan tragedi karamnya kapal Titanic. Walaupun ramai menganggap plot berkenaan bersifat fiksyen dan diwujudkan bagi menambah elemen tragedi untuk filem berkenaan, ia sebenarnya diambil dari kisah sebenar seorang wanita dari kapal berkenaan. Inilah kisah Roberta Elizabeth Mary Maioni yang diceritakan oleh cicit saudaranya, Joanna Wood.

Dikenali juga sebagai Cissy dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan, dia dilahirkan pada 21 Disember 1891 di Norwich, Norfolk, England. Bapanya seorang pelayan hotel berasal dari Itali sementara ibunya merupakan anak jati Acle, Norfolk. Dia merupakan anak kedua dari empat adik beradik. Selepas mencapai usia dewasa, Maioni mula bekerja sebagai pembantu domestik keluarga Komander Tentera Laut Diraja (Royal Navy), Edward Harvey di 50 Thurloe Square, Kensington, London. Bagaimanapun, tidak diketahui berapa lama tempoh perkhidmatannya bersama keluarga Harvey dan bila dia mula bekerja untuk keluarga bangsawan Leslie atau lebih tepat Countess of Rothes, Lucy Leslie. Yang pasti, Maioni menjadi antara pembantu yang mengiringi Countess Rothes semasa menaiki Titanic pada 10 April 1912.=

Jetpack Langkawi

Countess Rothes tidak keseorangan kerana beliau ditemani oleh ibu bapanya Thomas dan Clementina Dyer-Edwardes dan sepupu suaminya, Gladys Cherry. Dalam catatannya, Maioni menceritakan semasa Titanic hendak bertolak dari Southampton menuju ke New York, kapal berkenaan hampir berlanggar dengan sebuah kapal lain. Ramai menganggap ini satu petanda buruk dan dalam catatannya yang lain, dia menceritakan sekumpulan besar burung camar mengikut Titanic hingga ke laut. Bila ditanya berkenaan perkara itu, kemunculan kumpulan burung berkenaan dianggap satu lagi petanda buruk. Tetapi Maioni tiada masa melayan kepercayaan karut dan lebih senang menyibukkan diri menjaga majikannya, meneroka kapal dan berkenalan dengan ramai orang termasuk seorang lelaki yang menawan hatinya.

Menurut Wood, lelaki yang menawan hati moyang saudaranya itu merupakan seorang krew kapal tetapi tidak diketahui identitinya. Selepas Titanic berlanggar dengan aisberg pada tengah malam 15 April 1912, pada mulanya kekasih Maioni memberi jaminan tiada bahaya daripada perlanggaran berkenaan. Wanita itu cuba tidur semula tetapi dikejutkan oleh krew berkenaan dengan dia sendiri membantu Maioni masuk ke dalam bot penyelamat dan menyerahkan jaket keselamatannya kepada wanita yang dicintainya itu.

Dan sebagai tanda kenangan kepada moyang saudaranya itu, Wood turut menceritakan lelaki itu mengambil lencana rasmi uniform White Star Liner dan meletakkannya di tangan moyang saudaranya itu. Maioni bersama majikannya, Countess Rothes dan Cherry terselamat selepas menaiki bot penyelamat nombor lapan dan menjadi sebahagian daripada mangsa-mangsa Titanic yang diselamatkan oleh kapal RMS Carpathia. Wood berpandangan kisah cinta singkat moyang saudaranya itu mungkin memberi inspirasi kepada pengarah Terminator dan Avatar itu untuk memasukkan elemen berkenaan dalam filem Titanic (1997).

Berita tenggelamnya kapal yang dianggap tidak boleh tenggelam mula diketahui dari kedua-dua belah Atlantik dan ramai mengharapkan orang-orang tersayang mereka terselamat dari tragedi berkenaan. Bagi keluarga Maioni, ibunya Adelaide pengsan selepas mendengar cerita yang dibawa adik-adik perempuannya dari Surrey. Mereka menyangka anak kedua daripada empat adik-beradik itu sudah tiada dan selepas menanti selama tiga minggu untuk pengesahan, satu surat dari White Star Liner mengesahkan dia ada dalam senarai penumpang yang terselamat. Dan bila Maioni disatukan semula dengan keluarganya itu, rambutnya sudah buruk kerana ditarik dan rosak mengambil giliran mengayuh bot penyelamat jauh daripada kapal yang karam itu.

14 tahun selepas karamnya kapal Titanic, barulah Maioni bersedia berkongsi pengalaman pahitnya itu dengan khalayak umum. Pada tahun 1926, dia menulis pengalaman peribadinya semasa berada di Titanic sebagai sebahagian daripada penyertaan pertandingan cerpen yang dianjurkan oleh akhbar Daily Express. Selain itu, dia juga turut mencoret sebuah sajak sebagai gambaran kepada perasaannya dan mencatat semua pengalaman pahit semasa tragedi Titanic berlaku. Memandangkan dia merupakan sebahagian daripada pelbagai cerita berkenaan Titanic, tidak hairanlah mengapa sajak, coretannya, lencana dan gambar wanita itu sendiri berjaya meraih jumlah lelongan sebanyak 10,000 paun sterling yang diadakan pada tahun 1999.

Tujuh tahun selepas insiden Titanic, Maioni menemui cinta baru dan berkahwin dengan seorang lelaki bernama Cunliffe Lawrance Bolling di Brixton, London. Bolling merupakan seorang perunding perniagaan dan mempunyai pejabat di Nombor 7 Park Lane, London Barat. Perkahwinan pasangan ini bagaimanapun tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. Maioni menjadi balu apabila suaminya mati pada 23 April 1938 dan pada tahun-tahun berikutnya, menderita penyakit artritis yang teruk. Menurutnya, punca artritis itu datangnya daripada pendedahan kepada cuaca sejuk pada malam Titanic karam. Pada hari-hari terakhir kehidupannya, Maioni menghabiskan masa di Rumah Penjagaan The Limes di Ditchling, Sussex dan meninggal dunia pada tahun 1963 ketika berusia 71 tahun.

Siapa sangka di sebalik tragedi yang mengorbankan lebih 1,500 penumpang dan kru, ia juga sebenarnya menjadi saksi kisah cinta dua insan yang tidak kesampaian. Walaupun ia hanya satu pengalaman singkat bagi Maioni, ia dilihat memberi impak besar kepada kehidupannya. Maka tidak hairanlah mengapa kisah cinta agung ini diadaptasi dan menjadi sebahagian daripada plot penceritaan Titanic (1997).

SUMBER

  1. Encyclopedia-Titanica.org. Mrs Roberta Elizabeth Mary Maioni. https://www.encyclopedia-titanica.org/titanic-survivor/roberta-maioni.html
  2. McCafferty, Nicola. (2008). Daily Express. A real Titanic love story? https://www.express.co.uk/expressyourself/57705/A-real-Titanic-love-story
  3. Smith, Richard. (2012). Daily Mirror. Titanic lovers who inpired Kate Winslet and Leonardo Di Caprio movie. https://www.mirror.co.uk/3am/celebrity-news/titanic-lovers-who-inpired-kate-329453

Previous articleBahasa Melayu Di Satun, Thailand
Next articleApple: Dari Garaj Kereta ke Trillion Dollar
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE