Kisah Cinta Putera Parsi Dan Puteri Korea Sehingga Hujung Nyawa

1,439

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Kisah ini dipetik dari sebuah epik purba Parsi, Kushnameh yang berusia hampir 1500 tahun. Epik ini berkisar mengenai penceritaaan sebuah makhluk jahat yang bergading gajah, yang telah lama menghantui keluarga-keluarga Parsi di segenap generasi. Makhluk ini digelar Kus oleh masyarakat Parsi.

Penceritaan dalam epik ini menjangkau ratusan tahun dan terisi ribuan baris dan bait puisi yang menjadikan epik ini antara epik purba yang tertebal di dunia. Menariknya, terdapat 1000 baris puisi yang khusus menerang dan mengisahkan suasana kehidupan di Korea semasa Dinasti Silla.

Kisah ini bermula dengan penceritaan seorang putera muda Parsi yang bernama Abtin, yang kebanyakan masa hidupnya hanyalah menyorok daripada Kus-masyarakat Parsi yang lain pun gerun juga dengan Kus. Untuk kekal selamat, beliau sering membawa sebuah buku magis bersamanya ke mana-mana sahaja. Buku ini beliau jadikan rujukan haluan hidupnya kerana buku tersebut sarat dengan informasi mengenai beliau di masa hadapan.

Di suatu ketika, beliau terbaca akan satu bab yang menyuruh beliau pergi ke sebuah Kerajaan Korea, iaitu Silla. Beliau sebenarnya agak keliru hendak ke mana dan telah membawa diri ke China. Namun begitu, dalam perjalanan pengembaraannya, beliau telah disambut sendiri oleh Maharaja Silla ke kerajaannya.

Pada bab seterusnya pula, banyak mengisahkan keindahan dan kekayaan kerajaan Korea tersebut. Kaya dan cantiknya Korea pada ketika itu, sehingga dikatakan tali leher anjing pun bersalut emas. Keterangan ini disahkan sendiri oleh para sejarawan moden dan mereka juga yakin bahawa penulis tersebut pernah melawat sendiri ke Korea.

Dalam keindahan kota Korea yang memukau, terjatuh pula hati putera ini akan si Puteri Silla bernama Frarang yang cantik jelata. Beliau telah merayu kepada maharaja untuk mengahwini puteri tersebut. Akhirnya, bersatulah mereka atas ikatan perkahwinan diraja yang sah sesama mereka.

Setelah sekian lamanya merantau di negeri orang, Abtin berhajat untuk pulang semula ke tanah airnya. Namun begitu, kepulangannya ini bukanlah suatu yang menggembirakan. Beliau telah dibunuh oleh orang-orang suruhan Kus. Berita kematian Abtin sampai kepada anak dan isterinya di Korea.

Maka, dipersiapkan anak-beranak ini sebuah angkatan ketent*raan untuk mem*rangi Kus. Tent*ra ini dipimpin sendiri oleh putera Abtin dan kejayaan memihak mereka. Kus telah dibunuh dan ketakutan orang-orang Parsi terhadap Kus pun terhapus sejak sekian lamanya menghantui mereka.

Tugu Dan Perdagangan

Menurut Ju Bo Don, bekas ahli Korean History Compilation Committee, perkahwinan ini berkemungkinan berlaku pada lewat abad ke-8. Bukti berlakunya pertukaran kebudayaan ini, boleh dilihat pada sebuah tugu laksamana di makam maharaja purba. Tugu ini terletak di Gyeong-ju, ibu kota kerajaan Silla dan bila diaamati, tugu ini ada iras-iras orang Parsi.

Pada pendapat Dr. Ahmed Mohammed pula, profesor di Hankuk University of Foreign Studies, telah berlakunya perdagangan antara pedagang Indo-Parsi dan China pada tahun 880 melalui Laluan Sutera. Justeru, ada kemungkinan besar berlakunya migrasi pedagang Parsi ke Silla di bawah perlindungan dan pengawasan Maharaja Silla, yang juga dipanggil Tayhur dalam kalangan warga Parsi.

Mitos Atau Sejarah Yang Benar?

Menyentuh status Kushnameh, ada satu kajian literasi dan sejarah Iran yang telah dilaksanakan oleh Daryoosh Akbarzadeh. Hasil dapatan beliau, sejarah dan literasi Iran itu terbahagi kepada tiga, iaitu:

1. Teks yang sepenuhnya mitos, seperti Avesta.

2. Teks sejarah mitologi.

3. Teks sejarah, seperti Shahrokh-nameh atau Shahnameh.

Diakhir kajian, beliau mempersoalkan, di manakah garis pemisah antara mitos dan sejarah di dalam Kushnameh? Boleh jadi Kushanameh hanyalah sebuah teks yang bersandarkan kepada kepercayaan mitos semata dan perkara ini merupakan sebuah kegagalan bagi menegakkan sejarah kerajaan Parsi yang benar.

RUJUKAN:

Oliver, M. (2018, May 08). The 1,500-Year-Old Love Story Between a Persian Prince and a Korean Princess that Could Rewrite History. Retrieved November 12, 2020, from https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/1500-year-old-love-story-between-persian-prince-and-korean-princess-could-rewrite-021896

Herald, K. (2013, February 03). Scholars reveal ancient Korean-Iranian diplomatic ties. Retrieved November 12, 2020, from http://m.koreaherald.com/view.php?ud=20130203000203

Korean-Persian connection. (n.d.). Retrieved November 12, 2020, from https://historum.com/threads/korean-persian-connection.63753/

Akbarzadeh, D. (n.d.). Some Notes on Kush-nameh. Retrieved November 12, 2020, from https://www.academia.edu/9913935/Some_Notes_on_Kush_nameh

페르시아의 대표 서사시 샤나메 구조에서 본 쿠쉬나메 등장인물 분석. (n.d.). Retrieved November 12, 2020, from https://www.krm.or.kr/krmts/search/detailview/researchPaperKci.html?m310_arti_id=ART001634524

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.