Dr. Muhammad Kamal Ismail (1908-2008) muncul antara arkitek penting dalam projek pembesaran Tanah Suci era Raja Fahd. Pada 1982, beliau antara yang dilantik untuk menjayakan projek bersejarah ini, sehinggalah siap 13 tahun kemudian.

Beliaulah yang sanggup menolak bayaran jutaan Riyal bagi menyiapkan projek ini dengan satu ungkapan, “Aku mengambil upah untuk Dua Tanah Suci ini, lalu bagaimana aku mahu menghadapkan wajah ini di hadapan Tuhan nanti?”

Dalam satu kisah, beliau bercerita tentang idea pemasangan lantai di Masjidilharam dan Masjid Nabawi. Asasnya, beliau memilih untuk meletakkan marmar putih untuk para jemaah yang beribadat dan bertawaf di kawasan sekelilingnya kerana fungsinya yang melantunkan sinar matahari dan menyerap haba panas.

Oleh itu akan memudahkan para jemaah menunaikan haji, umrah, solat dan bertawaf dengan selesa kerana lantainya akan kekal sejuk sepanjang masa sekalipun bersuhu tinggi. Namun, marmar ini hanya terdapat di satu bukit kecil yang terletak di pulau Thassos, Greece. Beliau pergi melihat sendiri kawasan itu, lalu membuat perjanjian pembelian daripada syarikat pemiliknya.

Setelah perjanjian dibuat, beliau pulang ke Makkah dengan membawa marmar putih bernilai ini, sekaligus berjaya diletakkan di seluruh lantai al-Haram dengan sempurna. Setelah 15 tahun berlalu, kerajaan Arab Saudi kembali meminta khidmat beliau, kali ini agar meletakkan jenis batuan yang sama pada lantai Masjid Nabawi di Madinah.

Beliau bercerita lagi, semasa beliau dihubungi oleh pihak kerajaan tentang hal tersebut, beliau berasa amat takut. Memandangkan beliau telah membeli sebahagiannya untuk diletakkan al-Haram, tetapi selebihnya pula masih berada di Greece. Beliau khuatir jikalau ada orang lain yang telah membelinya, lalu memutuskan terbang ke sana dengan harapan masih ada yang berbaki.

Maka beliau pun ke syarikat tempat beliau membeli marmar ini dan berjumpa dengan pemiliknya bagi menyatakan hasrat untuk membeli bekalan baharu bagi pemasangan lantai Masjid Nabawi. Pemilik syarikat itu menjawab, selepas beliau membelinya 15 tahun lalu, telah ada orang lain pula yang datang – dan telah membeli pun keseluruhannya. Mendengar jawapan itu, beliau menjadi terlalu sedih – yang tidak pernah dirasakan sedalam itu sebelumnya kerana beliau tidak berjaya mendapat apa yang dimahukan.

Lalu beliau terus keluar daripada pejabat syarikat itu, lalu menempah tiket untuk penerbangan pulang ke Arab Saudi keesokan harinya. Entah mengapa, beliau terdetik untuk bertanya kepada kakitangan berhampiran di situ, sekadar mahu mengetahui siapakah gerangan pembelinya itu.

Tetapi tiada jawapan dapat diberikan, kerana 15 tahun yang berlalu menyebabkan agak sukar untuk mengesan rekodnya. Beliau meminta bantuan agar mencarikan maklumat itu. Lalu memberikan alamat hotel dan nombor telefonnya untuk berhubung dengannya memandangkan beliau masih berbaki sehari lagi di sana. Dalam tangisan penuh kesedihan, beliau pun meninggalkan pejabat syarikat itu.

Sepanjang waktu itu beliau masih tertanya lagi, mengapa tiba-tiba perlunya tahu siapa yang membelinya? Boleh jadi ada yang Allah SWT mahu tunjukkan apa yang tersirat di sebaliknya. Keesokan hari, beberapa jam sebelum bertolak pulang, beliau mendapat panggilan daripada syarikat itu, lalu memintanya hadir semula ke pejabat kerana maklumat yang diinginkan sudah ditemui. Mendengarkan itu, beliau bergegas kembali ke sana.

Dalam masa yang sama, beliau tertanya-tanya dirinya sendiri apa yang akan dibuat dengan maklumat itu. Maklumlah, apa sahaja yang boleh dibuat dengan kisah 15 tahun yang lampau sehingga sangggup bersusah payah semata² mendapatkannya? Sesampainya di pejabat syarikat itu, beliau mendapatkan alamat pembeli itu. Rupanya pembeli itu daripada sebuah syarikat yang beralamat di Arab Saudi juga.

Maka teruslah beliau menaiki penerbangan seraya pulang ke sana. Setelah tiba, beliau terus ke alamat sepertimana yang diberikan. Beliau bertemu dengan pemiliknya dan bertanya perihal batu marmar yang ditempahnya di Greece dahulu. Akan tetapi, pemilik ini seakan terlupa. Lalu menghubungi penjaga gudang miliknya bagi mendapatkan kepastian. Apa yang berlaku setelah itu? Ternyata rupa-rupanya batu itu masih ada di gudang – tidak terusik sedikit pun!

Menangislah beliau semahunya persis anak kecil setelah mendengar jawapan itu, membuatkan pemilik itu tertanya-tanya apa puncanya. Lalu beliau pun menceritakan apa yang berlaku sehingga beliau bersungguh-sungguh mendapatkan batu yang bernilai ini. Kemudian, beliau memberikan sekeping cek kepada pemilik syarikat ini untuk menulis sahaja berapa harganya, beliau akan menanggungnya asalkan batu marmar ini dapat diperoleh. Apa yang terjadi selanjutnya? Mengejutkan.

Setelah mengetahui beliau ingin mendapatkannya bagi pembinaan lantai Masjid Nabawi itu, pemilik itu memutuskan tidak mahu mengambil walau sedirham pun harga daripada beliau. Batu ini langsung dihadiahkan kepada beliau, ikhlas sebagai infaq pada jalan Allah SWT! Sebagaimana Dia melupakan beliau pada apa yang pernah dibelinya suatu masa dahulu, Dia jua yang mengaturnya & menemukan agar beliau memperolehnya kembali.

Akhirnya batu marmar ini diberikan kepada beliau untuk diuruskan sehinggalah sempurna proses meletakkan pada lantai di seluruh Masjid Nabawi sebagaimana yang dilihat pada hari ini. Insan yang merupakan anak watan Mesir ini juga turut menerima Anugerah Raja Fahd atas sumbangan & kebijaksanaan beliau dalam menjayakan projek pembesaran ini.

Semoga Allah SWT mencucurkan rahmat kepada beliau dah pada setiap tangan serta keringat mereka yang mengimarahkan rumah-Nya yang mulia lagi bersejarah buat umat ini.

RUJUKAN:

https://www.okaz.com.sa/articles/na/1729925

https://makkahnewspaper.com/article/79361

https://m.masralarabia.net
محمد كمال إسماعيل – العبقري المصري الذي صمم توسعة الحرمين ومجمع التحرير

Artikel kiriman Khayr AsSalanjuri untuk The Patriots


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.