Kisah Banjir Besar Nabi Nuh Dalam Pelbagai Mitos Bangsa

2,055

Banjir besar dipercayai merupakan suatu fenomena yang pernah melanda seluruh dunia pada suatu ketika dahulu. Bencana ini meragut hampir seluruh hidupan, baik manusia, tumbuhan dan haiwan. Jika melihat dari pelbagai kebudayaan dan kepercayaan, ternyata kisah banjir besar ini tidak hanya melibatkan kisah Bahtera Nabi Nuh.

Sebahagian sejarawan berpendapat terdapat lebih dari 200 buah kisah berkaitan kejadian tersebut. Artikel ini menghidangkan kepada anda 10 buah kisah berkenaan banjir besar menurut pelbagai kepercayaan.

CINA – BANJIR BESAR PEMULA DINASTI XIA

Di dalam kepercayaan mereka, diceritakan bahawa banjir besar yang melanda pada kira-kira tahun 1920M tidaklah menggelamkan seluruh bumi. Sebaliknya, ia hanya melibatkan penduduk Laija, yang terletak di barat daya wilayah Qinghai.

Bencana ini dimulakan dengan berlakunya kejadian gempa bumi. Pada waktu itu, batu-batu runtuh dari gunung-ganang sekaligus menghalang aliran Sungai Kuning dan menghasilkan empangan semula jadi. Banyak nyawa yang diragut dalam kejadian tersebut.

Kebanyakan ahli arkeologi membandingkan tinggalan mayat mereka dengan mangsa-mangsa Pompeii memandangkan rangka mayat mereka semua masih terus berada di kampung halaman mereka itu dalam keadaan sempurna di bawah mendapan tanah.

Ketika empangan semula jadi yang terhasil akibat runtuhan batu-batuan itu mula mengumpulkan air hujan selama bertahun-tahun, ia pun pecah dan membunuh lebih ramai manusia apabila berlakunya banjir besar. Penduduk yang terselamat terpaksa melarikan diri ke daratan yang lebih tinggi. Sejauh mata memandang, seluruh kawasan telah pun digenangi air.

Penguasa Cina pada waktu itu yang bernama Maharaja Yu perlu meluangkan selama 22 tahun sebelum berjaya menyurutkan air bah itu. Apabila keadaan kembali pulih, Yu pun membina semula ketamadunan Cina. Merentas ribuan tahun, kisah banjir besar ini diwarisi dari generasi ke generasi dengan penokokan-tambah untuk menyedapkan cerita.

Hal ini membuatkan ramai masyarakat moden menganggap kisah ini hanya sekadar sebuah mitos. Namun, penemuan yang dilakukan oleh para saintis pada batu-batuan di sekitar Sungai Kuning telah membuktikan bahawa peristiwa banjir besar memang pernah berlaku.

INDIA – RAJA MANU DAN IKAN MATSYA

Dalam kepercayaan Hindu, Dewa Vishnu muncul dalam 10 avatar yang berbeza. Salah satunya berupa ikan yang bernama Matsya. Menurut mitologi mereka, seorang lelaki yang bernama Raja Manu menyeka air di tangannya dan menemukan seekor ikan kecil. Ikan tersebut merayu supaya dibiarkan hidup dan makanya, Raja Manu pun meletakkannya ke dalam bekas yang kecil.

Pada keesokan hari, saiz ikan tersebut bertambah dua kali ganda lebih besar. Makanya, Raja Manu pun menyimpannya ke dalam bekas yang lebih besar. Dari semasa ke semasa, saiznya bertambah besar sehingga beliau perlu melepaskannya ke lautan bebas.

Manu menyedari bahawa ikan tersebut adalah Dewa Vishnu dan ia sangat terhutang budi atas kebaikannya. Atas jasanya itu, ikan tersebut memberikan ganjaran berupa peringatan bahawa pada suatu masa akan datang, kemarau yang dahsyat akan melanda dan disusuli oleh hujan lebat dalam tempoh yang panjang, membawa kepada berlakunya banjir besar.

Dewa Vishnu memerintahkan Raja Manu agar menghimpunkan seluruh tumbuhan dan haiwan ke dalam sebuah kapal yang besar. Beliau turut membawa tujuh orang pendeta bersama ahli-ahli keluarga mereka. Kesemua pendeta ini merupakan bijakpandai yang mempunyai seluruh ilmu keduniaan. Mereka menetap di puncak sebuah gunung di mana mereka membina semula ketamadunan manusia.

MASYARAKAT ASLI AMERIKA – GERBANG MENUJU DUNIA KE-4

Menurut mitologi masyarakat Asli di Amerika, terdapat sejumlah peringkat kemanusiaan yang terbahagi kepada saga pertama, saga kedua, saga ketiga dan saga keemapt. Setiap puak asli Amerika berkongsi kisah banjir besar yang relatif sama. Kesemuanya bermula dengan kisah di mana dewa-dewa pencipta mereka murka dengan sikap manusia. Para dewa ingin agar kemanusiaan dimulakan semula. Oleh kerana itu, banjir besar pun dikirimkan untuk melenyapkan seluruh isi bumi.

Menurut Paul Goble, kisah-kisah ini sedikit-sebanyak dipengaruhi oleh elemen Kristiniati semasa disalin oleh koloni-koloni yang menganut agama Kristian. Beliau menemukan versi penceritaan yang sahih daripada puak Algonquin.

Dalam kisah tersebut, bumi dipercayai telah terbelah dan air dari perut bumi keluar dengan membuak-buak sekaligus memusnahkan seluruh hidupan kecuali burung, ikan dan makhluk lautan yang lain. Oleh kerana burung berasa letih untuk terbang sepanjang masa rentetan seluruh bumi digenangi air, mereka pun mengadu kepada dewa pencipta. Dewa tersebut memerintahkan mereka agar menyelam ke dasar laut dan mengumpulkan lumpur untuk dibuat daratan. Burung-burung itu pun bekerjasama untuk mencipta daratan.

YUNANI – DEUCALION DAN BANJIR BESAR

Dalam mitologi Yunani, Dewa Prometheus mencipta manusia dari tanah liat. Namun, tindakan tersebut dibantah oleh Zeus yang menganggap penciptaan tersebut bakal membawa malapetaka yang besar. Menurut Zeus, manusia adalah makhluk yang pentingkan diri dan mereka kelak pasti akan lupa untuk memuja para dewa.

Zeus merasakan beliau perlu menghapuskan seluruh manusia. Putera kepada Prometheus yang bernama Deucalion dan isteri kepada Deucalion, iaitu Pyrrha masing-masing menghuni bumi. Prometheus memberi amaran kepada Deucalion bahawa banjir besar akan berlaku. Makanya, beliau pun membina sebuah kapal untuk menyelamatkan diri.

Beberapa orang manusia berjaya terselamat daripada banjir besar untuk dengan melarikan diri ke gunung-ganang. Namun, air bah yang menggenangi hampir seluruh kawasan itu membunuh ramai manusia. Deucalion dan Pyrrha melabuhkan kapal mereka di puncak sebuah gunung. Deucalion ingin mengembalikan tamadun kemanusiaan, dan beliau diperintahkan supaya ‘mencampak tulang-belulang ibu’.

Beliau menyedari bahawa “ibu” bermaksud Bumi sementara tulang-belulang” itu pula adalah batu. Pyrrha dan Deucalion pun melontar batu-batuan yang dengan ajaibnya berubah menjadi bayi.

MAORI – MURKA WHAITIRI KERANA MENGGANGGU CUCUNYA

Maori merupakan puak asli dari New Zealand. Menurut legenda mereka, seorang dewi yang bernama Whaitiri tidak begitu menyenangi manusia. Beliau merupakan dewi kanibal yang bertanggungjawab menghantar ribut petir supaya manusia takut terhadapnya.

Kemudian, beliau turun ke bumi untuk mengahwini seorang manusia yang bernama Kaitangata semata-mata kerana lelaki itu mempunyai nama timangan ‘pemakan manusia’. Sebaik sahaja Whaitiri mengetahui bahawa gelaran tersebut hanya nama semata-mata dan Kaitangata sebenarnya tidaklah memakan daging manusia, dewi itu pun meninggalkannya.

Mereka berdua mempunyai seorang cucu yang sangat tampan, bernama Tawhaki. Tawhaki mengahwini seorang wanita bernama Hinepiripiri dan mereka menjalani kehidupan yang bahagia. Dua orang adik-beradik tiri Tawhaki berasa sangat cemburu kerana isteri masing-masing sering bercakap tentang ketampanan Tawhaki. Maka, kedua beradik itu pun cuba membunuh Tawhaki.

Kecederaan beliau dirawat oleh Hinepiripiri yang turut menyalakan api untuk menghangatkan tubuhnya. Sepulihnya beliau, Tawhaki berasa sangat mara kerana dikhinati. Beliau lantas memohon kepada para dewa agar membantunya membalas dendam ke atas adik-beradik tiri yang cuba membunuhnya.

Whaitiri mendengar doanya itu lantas mengirimkan sebuah bala yang sangat mengancam. Banjir membadai kawasan itu sehingga membunuh semua orang. Tawhaki dan Hinepiripiri kemudian memutuskan untuk membiakkan semula manusia di suatu tempat. Mereka menamakan anak mereka sebagai Wahieroa yang bermaksud “kayu api yang panjang”, merujuk kepada kayu balak yang dibakar sepanjang malam semasa mereka berdua bersama.

AUSTRALIA – BANJIR DARI ISI PERUT TIDDALICK SI KATAK

Penduduk asli Australia percaya bahawa tenaga bumi perlu seimbang supaya segalanya berjalan dengan lancar. Pada satu ketika, keseimbangan bumi menjadi condong dan hal tersebut membawa kepada berlakunya banjir.

Mereka mempunyai sebuah kisah berkenaan seekor katah mitos bernama Tiddalick. Oleh kerana berasa begitu haus, Tiddalick meminum kesemua air di bumi. Hal ini mengakibatkan berlakunya kemarau. Haiwan-haiwan yang lain mahu Tiddalick mengembalikan air yang diambilnya. Maka, seekor belut pun mempersembahkan tarian kelakar di hadapan Tiddalick supaya ia tertawa. Hal ini membuahkan hasil apabila air terkeluar semasa mulut Tiddalick terbuka akibat ketawa. Keadaan tersebut mengakibatkan berlakunya banjir besar yang meragut ramai nyawa. Pada hari ini, kisah Tiddalick masih terus diceritakan di dalam buku cerita kanak-kanak di Australia.

BABYLON – EPIK ATRAHASIS

Terdapat sebuah tablet tanah liat dari Babylon yang mengandungi tulisan berbahasa Akkadia, menceritakan tentang epik Atrahasis. Pada suatu masa dahulu, ketua dewa dalam panteon Babylon mencipta manusia daripada darah seorang dewi dan tanah liat.

Setelah seribu tahun berlalu, populasi manusia bertambah dengan begitu banyak sehingga Enlil mula naik gila mendengar keriuhan mereka. Beliau kemudiannya mengarahkan dewa penyakit untuk menyebarkan wabak. Seorang manusia bernama Atrahasis lantas memanjatkan doa kepada para dewa untuk memohon belas kasihan.

Enki si dewa laut, mencadangkan supaya Atrahasis berdoa secara khusus kepada Namtar si dewa wabak. Hal ini membuatkan Namtar dibendung oleh doa-doa daripada manusia yang mahu menghentikan wabak. Keadaan tersebut menjadikan Namtar naik gila lantas akur kepada permintaan manusia.

Enlil berasa sangat marah dan cuba membunuh manusia dengan kemarau pula. Setelah 6 tahun menghadapi kebuluran, manusia pun menjadi kanibal. Enki berasa kasihan terhadap nasib manusia hingga ia sendiri mengeluarkan ikan dari lautan dan menurunkan hujan makanan kepada manusia. Namun, Enlil menghalang perbuatan Enki dan mengarahkan supaya Enki menghapuskan manusia dengan banjir besar.

Enki sedar bahawa ia perlu akur kepada arahan ketuanya. Namun, beliau sempat memberi peringatan kepada Atrahasis bahawa beliau perlu membina sebuah bahtera dua tingkat untuk menyelamatkan diri. Atrahasis memutuskan untuk turut membawa bersama tumbuhan dan haiwan di samping sejumlah bijakpandai untuk menaiki kapalnya. Hujan turun mencurah selama tujuh hari tujuh malam sehingga menyebabkan berlakunya banjir.

Ibu segala dewi berasa sangat terkejut dengan apa yang dilakukan oleh Enlil. Oleh kerana mahu terus melangsungkan ketamadunan manusia, beliau mencadangkan kepada Enlil bahawa manusia generasi baru perlu dilengkapkan dengan kawalan pembiakan dan tidak hanya dibiarkan membiak seperti arnab.

Lantas, beliau pun menciptakan keguguran dan kematian semasa lahir. Begitu juga dengan bencana semula jadi yang berlaku secara berkala untuk mengurangkan populasi manusia secara rawak. Berkat usaha si ibu segala dewi, Enlil pun membenarkan Atrahasis untuk membina semula tamadun manusia.

MESOPOTAMIA – EPIK GILGAMESH

Dalam masyarakat Mesopotamia purba, terdapat sejumlah tablet kuneiform yang menceritakan kisah Epik Gilgamesh. Sebenarnya, kisah Atrahasis itu lebih awal berbanding Epik Gilgamesh. Ramai sejarahwan menyedari kemiripan antara kisah Gilgamesh dan Atrahasis. Antara perkara yang berbeza adalah Gilgamesh dijanjikan bahawa beliau akan hidup kekal, namun ia tidak menjadi kenyataan. Pun begitu, terdapat pengajaran di sebalik janji tersebut di mana beliau diingati selama-lamanya berkat impak yang diberikannya kepada tamadun manusia. Dalam erti kata lain, namanya tidak mati.

Versi penceritaan dalam masyarakat Sumeria berkenaan kisah ini pula melibatkan watak utama yang bernama Ziusudra. Perinciannya juga tidak banyak berbeza dengan Epik Gilgamesh dan Epik Atrahasis. Namun berlainan daripada keduanya, Ziusudra diberikan kehidupan yang benar-benar abadi oleh para dewa.

FILIPINA – BANJIR YANG MEMBENTUK RUPA BUMI

Dalam mitologi Filipina, Semangat Agung Lumawig mempunyai dua orang putera yang gemar berburu. Namun pada waktu itu, bumi ini berpermukaan rata – tidak memiliki sebarang bukit ataupun gunung sekaligus membuatkan aktiviti berburu itu mudah dan membosankan. Maka, mereka pun menggunakan kuasa magis untuk membanjirkan bumi dan mengubah rupa bumi.

Perbuatan ini disedari oleh Lumawig. Beliau kemudian memeriksa bumi dan memerika sebarang tanda hidupan. Lumawig menemukan sepasang adik-beradik yang hidup kesunyian di sebuah pulau kecil. Beliau mengirimkan api untuk menghangatkan mereka berdua; anjing untuk menjadi peneman mereka; dan rusa miliknya untuk dijadikan sebagai makanan.

Bumi kemudiannya dikeringkan dari air bah. Pun begitu, daratan tidak lagi sama seperti dahulu kerana badaian air banjir itu menghasilkan gunung-ganang. Akibat populasi manusia yang hampir pupus, kedua beradik itu pun perlu membangunkan semula tamadun manusia.

NORSE – BUMI DIGENANGI BANJIR DARAH

Menurut mitologi Norse, Ymir merupakan gergasi pertama dan dewa yang bertanggungjawab mencipta makhluk-makhluk mitos. Keturunannya juga merupakan para dewa dan gergasi. Ymir mempunyai lembu magis yang bernama Audhumla dan beliau meminum susunya untuk mendapatkan zat.

Cucu-cucu Ymir iaitu Ve, Vili dan Odin memutuskan untuk membunuhnya. Semasa Ymir mati, darahnya mengalir dan mengakibatkan berlakunya banjir besar sekaligus melemaskan ramai gergasi. Tubuhnya dikerat-kerat dan digunakan untuk menciptakan bumi. Lautan dan tasik diperbuat daripada darah biru milik Ymir sambil tulang-belulang dan dagingnya membentuk daratan.

Semasa kejadian banjir besar itu, seorang gergasi beku yang bernama Bergelmir sempat menemukan sebuah kapal lantas terselamat bersama isterinya. Sebaik sahaja para dewa selesai menciptakan daratan bumi, mereka berdua pun mendaki puncak gunung. Anak-anak mereka turut hidup di sana.

Dalam mitologi Norse, gergasi-gergasi beku hidup bersama manusia. Memandangkan mereka tidak berupaya membiakkan zuriat sendiri, maka Odin, Ve dan Veli pun mencipta makhluk baru dengan menggunakan daging Ymir. Kayu balak diambil dan diubah menjadi manusia lalu bermulalah ketamadunan manusia.

RUJUKAN:

Shannon Quinn. (15 Mac 2018). 10 Legends of the Great Flood. Listverse.
https://listverse.com/2018/03/15/10-legends-of-the-great-flood/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.