Sesiapa yang pernah membaca karya Sulalat u’s Salatin atau Sejarah Melayu akan mendapati bahawasanya naskhah agong orang Melayu ini sarat dengan kisah-kisah berunsur kedewaan kepada raja. Satu hakikat yang harus kita terima ialah walaupun Sejarah Melayu itu dikarang pada zaman Islam telah bertapak kukuh di Nusantara, iaitu sekitar abad ke-15 dan ke-16 Masihi.

Namun, unsur Hindu-Budhha, khususnya tentang konsep raja bersifat dewa dapat dilihat dengan begitu ketara. Ini sangat signifikan kepada asas kultus devaraja yang membawa makna seseorang raja dianggap sama hebat atau sama penting dengan peranan tuhan (M.Rajentheran, 1999: 211). Termasuklah kisah raja Cina minum air kaki raja Melaka yang menjadi perhatian ramai peminat dan pengkaji karya Sejarah Melayu. Berikut merupakan kisah yang boleh kita dapati dalam semua versi Sejarah Melayu;

“Hatta ada selang dua hari maka raja Cina pun sakit; gatal semua tubuhnya, lalu menjadi kedal. Maka raja Cina pun menyuruh memanggil tabib, minta ubat. Maka diubati oleh tabib itu, tiada sembuh. Maka beberapa ratus tabib disuruh raja Cina mengubat baginda tiada juga sembuh. Maka ada seorang tabib tuha berdatang sembah pada raja Cina, demikian sembahnya: ‘Tuanku seri kopia, adapun penyakit kenohong ini tiada terubat oleh patik karana penyakit ini bersyebab datangnya’. Maka titah raja Cina, ‘Apa sebabnya penyakitku ini’. Maka sembah tabib itu, “Tuanku ini tulah oleh raja Melaka berkirim sembah itu; dan jikalau tiada air basuh kaki raja Melaka tuanku santap dan dibasuhkan muka ~ tiada akan sembuh penyakit tuanku ini’.”

“Setelah raja Cina menengar sembah tabib itu maka raja Cina pun menitahkan; utusan itu pun pergilah ke Melaka. Maka dipersembahkan oranglah pada Sultan Mansur Syah, mengatakan ‘Utusan raja Cina datang hendak meminta air basuh kaki duli yang dipertuan’. Maka Sultan Mansur Syah pun keluar dari balairung, diadap orang. Maka surat dari Cina itu pun diarak orang ke balairung. Maka disuruh baca pada khatib. Setelah diketahui baginda akan ertinya, maka Sultan Mansur Syah pun diberi baginda air basuh kaki. Maka surat pun dibalas; maka utusan raja Cina pun dipersalini. Maka surat dan air basuh kaki baginda pun diarak oranglah ke perau. Maka utusan raja Cina itupun kembalilah”

“Setelah berapa lama di jalan, sampailah ke benua Cina. Maka surat dan air basuh kaki baginda itu pun diarak oranglah ke dalam. Maka raja Cina air basuh kaki baginda itu pun disantap dan dimandikan. Maka dengan sesaat itu juga penyakit kedal dari tubuh raja Cina itu pun hilanglah. Maka baginda pun sembuhlah. Maka raja Cina bersumpah tiada mau disembah raja Melaka datang kepada anak cucunya dan anak cucu raja Melaka, tetapi kadar muafakat berkasih kasihan juga.”

(Sulalat u’s Salatin, 2016: 176-177)

Melalui kisah diatas, maka dapatlah kita membuat beberapa kesimpulan berikut:

Pengaruh amalan tirtha dan prasada

Tirtha bermaksud air yang digunakan untuk menyiram arca (yang menyentuh kaki arca dewa) yang dianggap suci ditakung lalu dicurahkan pada tapak tangan penganut Hindu pada akhir upacara sembahyang. Selalunya di kuil-kuil Hindu, arca suci dewa disiram sekurang-kurangnya dua kali, iaitu pada waktu pagi dan petang. Air untuk tujuan ini dijaga kebersihannya dan dibawa dari sungai atau kolam yang dianggap suci. Manakala, prasada dianggap sebagai sesuatu yang suci dipersembahkan kepada tuhan untuk membawa berkat. Ini termasuklah air basuh kaki yang bukan sahaja diambil dari arca dewa tetapi juga diambil dari air basuh kaki orang kudus serta guru kerohanian.

Jika air basuh kaki guru kerohanian dan orang kudus sudah dianggap sebagai suci dan membawa berkat. Apatah lagi buat seseorang raja yang menguasai sesebuah kerajaan. Apa-apa sahaja sisa yang diambil dari seorang raja membawa kepada keberkatan, bahkan ubat untuk menyembuhkan segala penyakit. Pengaruh hindu ini menyebabkan air basuh kaki raja Melaka merupakan tirtha kerana raja itu sendiri dipercayai memiliki sifat-sifat kedewaan dan ketuhanan. Pengaruh konsep devaraja ini mempunyai tradisi yang panjang dalam kepercayaan agama Hindu di India. Raja digambarkan mengambil peranan tuhan mencipta dan memelihara seluruh kosmos dan makhluknya. Namun dalam konteks nusantara hal itu bukanlah sesuatu yang perlu untuk dihairankan, kerana pengaruh konsep ini jelas turut sama berlaku dalam kerajaan melayu purba yang lain, seperti Chih tu, dan Tan-Tan.

Keistimewaan Gelang Kaki disisi raja Melaka

Walaupun kaki pada orang moden tidak dianggap sebagai satu bahagian tubuh yang dimuliakan. Akan tetapi, pada sisi raja Melaka dahulu kakinya dianggap sebagai suci dan membawa keberkatan. Untuk mengukuhkan hujah ini, orang biasa pada zaman itu tanpa mengira apa jua kedudukannya tidak dibenarkan memakai gelang kaki emas. Walaupun gelang itu mempunyai bahagian yang diperbuat daripada perak, gelang emas hanya dipakai pada raja. Sesiapa yang melanggar undang-undang ini akan menerima hukuman mati. Tidak seorang pun yang memiliki emas dibenarkan memakai gelang kaki melainkan benda emas itu merupakan hadiah daripada raja.

Pengarang Sejarah Melayu menunjukkan kaki raja sebagai simbol kuasa raja. Gelang kaki penting bagi menonjolkan kedudukan raja yang memiliki tahap kedewaan. Unsur gelang kaki ini jelas merupakan hubungan erat dengan tradisi India yang mementingkan gelang kaki malahan menjadi simbol keperwiraan. Walaupun gelang kaki bukan salah satu daripada alat kebesaran raja tetapi tetap dianggap istimewa kerana mempunyai unsur kuasa magis. Gelang kaki dipakai seperti juga kasut, berada pada bahagian badan raja yang istimewa, iaitu di kaki. Ia dianggap sebagai satu simbol kedaulatan raja yang menjadi tradisi  yang diamalkan di negeri Melaka(Wolters, 1990: 23-28).

Unsur kaki in bukan sahaja dimuliakan di Melaka, bahkan kita akan dapati hal yang sama di sekitar kerajaan di Nusantara. Di Kemboja dan Campa misalnya, kaki Dewa Siva diberi penghormatan sebagai tanda berakhirnya satu rancangan pembinaan parit di Kemboja. Manakala di Jawa lebih jelas tatkala tapak kaki seorang penaung dari Jawa bernama Purnavarman disamakan dengan tapak kaki Dewa Vishnu. Maka, unsur kaki merupakan perlambangan kepada kedewaan raja yang sebenarnya mempunyai pengaruh sebuah cerita mitos dalam karya Vamana Purana yang menunjukkan tiga langkah kaki Dewa Vishnu merangkumi seluruh alam semesta.

Perlambangan kekuatan empayar Melaka

Sudah menjadi kebiasaan setiap empayar pasti akan mempunyai persuratan yang mengangkat kebesaran dan kehebatan empayarnya. Dalam bahasa yang mudah, pengarang Sejarah Melayu ingin memberitahu bahawa raja Melaka lebih agong dari raja Cina. Atau empayar Melaka lagi hebat berbanding empayar Cina. Ini tidak lain bertujuan memusing 180 darjah fakta sejarah bahawa Melaka itu sendiri mendapat perlindungan China daripada ancaman luar seperti Siam dan Majapahit. Pengkisahan seperti ini menguatkan lagi pendapat sebahagian besar sarjana yang memberi status sastera sejarah pada karya ini. Ini kerana karya ini mempersembahkan satu gambaran zaman yang memberi tumpuan pada raja dan adat istiadatnya tetapi tidak terlepas dari tokok tambah pengarangnya. Maka kebijaksanaan pengarang Sejarah Melayu dalam membina naratif cerita seperti ini menjadikan karya ini kekal unggul dan mempunyai nilai estetika sastera yang tinggi dan indah yang pernah dihasilkan oleh orang Melayu.

RUJUKAN

Ahmat Adam, 2016. Sulalat u’s-Salatin yakni pertuturan segala raja-raja. Dialih aksara dan  disunting dengan kritis serta diberi anotasi dan pengenalan. Kuala Lumpur:Yayasan Karyawan

M.Rajantheran, 1999. Sejarah Melayu. Kesan Hubungan Kebudayaan Melayu dan India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Wolters, O.W., 1990. Kejatuhan Srivijaya dalam Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ahmad Faizal Bin Basir. Anak muda kelahiran Tanjong Malim Perak ini merupakan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah), Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Leave A Reply