“Kita kerja di KDN (Kementerian Dalam Negeri) ni orang tak nampak kita berjaya jaga keamanan. Tapi kalau gagal, (musuh buat kekacauan) orang nampak dan kata kita tak buat kerja.”

Masih terngiang kata-kata Tun Ghazali Shafie di telinga Tan Sri Sanusi Junid.
Ketika itu Tan Sri Sanusi berkhidmat sebagai Timbalan Menteri kepada King Ghaz.
Tun Muhammad Ghazali Bin Shafie dilahirkan pada 22 Mac 1922 di Kuala Lipis, Pahang. Ketika tercetusnya Perang Dunia Kedua, beliau sedang menuntut di Raffles College, Singapura.

Sebagai tanda protes terhadap pendudukan Jepun, beliau bergiat aktif dalam pertubuhan penentang seperti Malayan Volunteers Force sebagai prebet no. 17317, menyertai Force 136 dan juga askar Wataniah.

Selepas perang tamat, beliau dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Lipis. Antara tahun 1948 hingga 1951, King Ghaz melanjutkan pelajaran di University College of Wales dalam jurusan undang-undang.

Tun Ghazali diberi gelaran ‘King Ghaz’ kerana ketegasan dan keberanian dalam setiap tindak tanduk beliau. Pihak wartawan sebolehnya mahu membuat ‘pre-reading’ tentang sesuatu isu sebelum menemuramah King Ghaz. Ini bagi mengelakkan mereka terus di’laser’ oleh beliau jika tersilap bertanyakan soalan bodoh.

Menurut Tan Sri Sanusi Junid (yang merupakan keturunan Acheh), King Ghaz mengatakan beliau juga berketurunan Acheh. Di kesempatan yang lain, King Ghaz juga mengaku beliau berketurunan Orang Asli apabila menemui pemimpin Orang Asli. Tambah menghairankan Tan Sri Sanusi, King Ghaz juga mengaku beliau berketurunan Minang apabila berjumpa dengan orang Minang.

Setelah disoal oleh Tan Sri Sanusi, ini jawapan King Ghaz. “Serupalah tu, semuanya dari satu rumpun, Melayu. Yang penting mereka seronok dengar abang ni satu keturunan, asalkan abang tak kata abang ni orang putih atau Cina.”

Disini kita dapat lihat bahawa King Ghaz mewarisi salah satu ciri orang Nusantara iaitu seorang yang bijak berdiplomasi.

Diplomat Berkesan

Pada 4 Ogos 1975, sekumpulan pengganas dari Japanese Red Army(JRA) telah menawan bangunan AIA di Kuala Lumpur bersama-sama dengan 53 orang mangsa. Bangunan ini menempatkan pelbagai kedutaan seperti Amerika Syarikat, Jepun, Sweden, dan Perancis.

Ketika itu, Timbalan Perdana Menteri Jepun berada di Amerika Syarikat atas urusan lawatan kerja. Serangan dikatakan mempunyai kaitan dengan lawatan tersebut. Pihak JRA mendesak kerajaan Jepun supaya membebaskan rakan mereka yang ditahan di Jepun dan Sweden.

Jika permintaan ini tidak penuhi, seorang demi seorang tebusan akan dibunuh.
Demi menyelamatkan nyawa para tebusan, Kerajaan Malaysia menubuhkan pasukan perunding untuk menguruskan krisis tersebut. Pada mulanya, Menteri Komunikasi iaitu Tan Sri V. Manickavasagam dilantik untuk mengetuai rundingan antara JRA, kerajaan Jepun, Amerika, dan Sweden.

Tan Sri Zaman Khan yang ketika itu merupakan Timbalan Komander Operasi Unit Tindakan Khas (UTK) menceritakan dimana JRA kerap naik angin dan selalu menghempas telefon ketika rundingan dijalankan.

“Mereka mengugut untuk meletupkan bangunan dan beberapa kali menghempaskan telefon. Kami mendengar semuanya. Kami merasakan sudah tidak ada peluang lagi sehinggalah ketibaan Ghazali untuk mengambil alih. Nada suara pihak JRA mula berubah dan menjadi semakin tenang.”

Ketika itu King Ghaz baru tiba dari Jakarta, Indonesia. Berikut merupakan kronologi rundingan.

1. Hasil rundingan pertama, King Ghaz berjaya membebaskan semua tahanan wanita kecuali Setiausaha Kedutaan Sweden.

2. Pada asalnya, kerajaan Jepun tidak mahu melayan permintaan JRA, namun atas diplomasi King Ghaz, kerajaan Jepun akur dan menerbangkan tahanan JRA ke Lapangan Terbang Subang.

3. Di lapangan terbang, Malaysia cuba memujuk supaya semua tebusan dibebaskan. JRA bersetuju dengan syarat 2 wakil kerajaan Malaysia dan 2 wakil kerajaan Jepun turut serta dalam penerbangan mereka ke Libya. JRA memilih Libya untuk mencari perlindungan kerana polisi Gaddafi yang menyokong sebarang bentuk perjuangan kemerdekaan.

4. Namun, pesawat perlu singgah untuk isi minyak sebelum tiba ke Libya. Tiada negara yang membenarkan pesawat dikuasai pengganas untuk mendarat.

5. Sekali lagi watak King Ghaz ternyata amat penting apabila beliau berjaya mendapatkan kebenaran Sri Lanka untuk mengisi minyak di Colombo.

6. Akhirnya pada 8 Ogos 1975, pesawat berjaya tiba di Libya dengan kesemua tebusan dalam keadaan selamat.

King Ghaz pernah terlibat dalam nahas kapal terbang di Kampung Janda Baik pada 10 Januari 1982. Pengawal peribadi dan pembantu juruterbang beliau terkorban dalam nahas terbabit. Beliau terselamat kerana jatuh di atas rimbunan pokok buluh.

Selepas berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri, King Ghaz dilantik sebagai Menteri Luar. Beliau berjaya menganjurkan Persidangan Asia Pasifik PBB Mengenai Persoalan Palestin di Kuala Lumpur pada 1983. King Ghaz terkenal dengan sumbangan besarnya dalam menjayakan dasar luar bukan sahaja dalam bentuk kenyataan, malah dari segi pemikiran strategik.

Menurut pandangan sesetengah Menteri, beliau adalah umpama insan yang menjadikan Kementerian Luar dan pegawai seperti apa yang kita lihat pada hari ini. Dalam erti kata lain, beliau umpama guru kepada diplomat terawal negara.

King Ghaz meninggal dunia pada 24 Januari 2010 kerana sakit tua. Sejurus kematian beliau, ramai kenalan seakan kesal dengan kurangnya pengiktirafan ke atas jasa-jasa beliau. Menurut Tan Sri Sanusi, ketika beliau terserempak dengan Tan Sri Abang Ahmad Urai; seorang veteran politik dari Sarawak, beliau menuturkan kata-kata ini dengan nada pilu.

“Kalau tak ada dia, tak ada Malaysia ni.”

Ini merujuk ketika King Ghaz menjadi orang kanan Tunku dalam Suruhanjaya Cobbold mengenai rancangan pembentukan Malaysia. Kebolehan dan kecekapan rundingan King Ghaz berjaya memuaskan hati semua pihak yang terlibat sehingga pembentukan Malaysia dapat dicapai pada 16 September 1963.

Sesungguhnya jasa beliau kepada negara kita amatlah besar dan dicontohi oleh setiap rakyat dan pemimpin negara. Beliau juga antara Menteri yang pernah berkhidmat dibawah kepimpinan 4 Perdana Menteri yang berbeza, dari Tunku hinggalah kepada Tun Dr. Mahathir. Semoga nama King Ghaz terus masyur dalam lipatan sejarah!

Gambar: King Ghaz (kanan sekali) bersama ahli Suruhanjaya Cobbolt.

Rujukan/Bacaan lanjut:

1. Terima Kasih Tun Ghazali Shafie. (Sanusi Junid, 2010)
2. 1975: Kuala Lumpur Under Seige.
3. Portal Arkib


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Meminati bidang sejarah dan sains politik. Berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Berpegang teguh pada prinsip perkongsian dan penyebaran ilmu.

Comments are closed.