Kimchi: Makanan Kebangsaan Korea

758

Sebut sahaja perkataan kimchi, sudah pasti anda terbayangkan imej Korea Selatan, dengan barisan bintang popularnya serta senarai drama popularnya yang anda gemari. Anda juga pastinya pernah merasai kimchi, malah ada antara kita yang mampu untuk membuat sendiri kimchi di rumah.

Artikel ini tidak akan mengulas lanjut berkaitan bahan-bahan untuk membuat kimchi atau cara penyediaan kimchi. Tetapi, artikel ini akan menceritakan serba sedikit kisah berkaitan sejarah di sebalik nama kimchi serta simbolik kimchi sehingga ia menjadi makanan kebangsaan untuk negara tersebut.

Apa itu kimchi?

Kimchi adalah makanan tradisional Korea yang telah wujud sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Kimchi adalah hasilan daripada sayur-sayuran yang difermentasi menggunakan bakteria asid laktik probiotik (LAB). Sayur-sayuran utama yang sering dijadikan kimchi ialah kobis baechu dan lobak putih, namun, kini semakin banyak sayur-sayuran lain turut dijadikan kimchi, iaitu timun, daun bawang, daun kucai dan beberapa sayur-sayuran yang lain.

Sedikit mengenai khasiat kimchi, makanan ini kaya dengan vitamin, mineral, fiber dan komponen-komponen yang lain seperti capsaicin, kompaun allyl, gingerol dan isothiocyanate. Malah, banyak kajian pemakanan yang dijalankan ke atas kimchi telah mengesahkan bahawa kimchi mampu untuk menjadi bahan antikanser, antioksidatif, antidiabetik dan antiobesiti.

Sejak dahulu lagi kimchi menjadi antara bahagian penting dalam hidangan tradisional Korea, yang mana ia merupakan lauk wajib yang mengiringi nasi, bersama lauk-pauk yang lain. Meskipun telah melalui pelbagai transformasi dari segi bahan mentah, bahan-bahan yang digunakan serta cara penyediaan, namun kimchi kekal dalam liganya yang tersendiri sebagai antara makanan popular di Korea.

Bagaimana kimchi mendapat namanya?

Berdasarkan penulisan rekod-rekod lama Korea, seperti Hunmojahoe, Sinjeung-yuhap dan Naehun, terdapat perkataan asal Korea yang telah dicatatkan di dalam rekod ini iaitu dimchae, timchae dan dihi yang memperincikan keadaan kimchi. Dan secara asasnya rekod-rekod ini menunjukkan bahawa kimchi pada waktu itu telah ditunjukkan berdasarkan perkataan asli Korea, iaitu dimchae, timchae dan dihi.

Namun, kebanyakan ahli sastera waktu itu terlalu terikat kepada istilah dalam tulisan hanja, dan telah menyatakan bahawa perkataan kimchi sebenarnya berasal daripada perkataan hanja, iaitu chimchae. Ini merupakan suatu pernyataan yang tidak tepat kerana rekod yang menunjukkan tulisan chimchae hadir lebih lewat berbanding rekod yang menyebut mengenai dimchae, timchae dan dihi.

Sekitar tahun 70-an, seorang ahli sastera bernama Choi telah menyatakan dalam hasil penulisannya bahawa kimchi Korea ini asalnya dipanggil sebagai jimchi (짐치) yang akhirnya disebut sebagai kimchi. Namun, beliau tidak menyatakan sebab kenapa asalnya ia dipanggil sebegitu kerana tiada sebarang rujukan yang dicatatkan. Apa yang pasti, Choi tidak pernah menyebut bahawa kimchi ini berasal daripada sebutan dan tulisan hanja.

Namun, setelah banyak kajian yang dijalankan, para ahli sejarah dan ahli sastera berpendapat serta bersetuju bahawa tulisan dan huruf pertama yang menunjukkan kimchi dalam rekod sejarah ialah jeo. Selepas tulisan hangeul diperkenalkan, ramai masyarakat Korea waktu itu telah mampu untuk menulis kimchi sebagai dimchae atau timchae.

Secara kesimpulannya, meskipun ramai yang beranggapan bahawa kimchi itu berasal daripada perkataan hanja, iaitu chimchae, namun hasil kajian semula oleh sejarawan dan ahli sastera Korea, didapati bahawa ia sebenarnya berasal daripada perkataan asli Korea iaitu dimchae dan timchae. Hasil pemendekan huruf vokal dan sebutan, ia akhirnya bertukar menjadi kimchi seperti yang disebut pada hari ini.

Simbolik kimchi sebagai makanan kebangsaan

Kimchi sebagai makanan kebangsaan masyarakat Korea boleh diterjemahkan dalam peranannya yang pelbagai bagi individu dan bagi negara Korea itu sendiri. Antara simbolik bagi kimchi ini adalah:

  • Simbol sejarah dan ekonomi

Apabila Sukan Olimpik Seoul dijadualkan berlangsung pada tahun 1988, para sejarawan dan profesor berpendapat bahawa ia adalah masa yang tepat bagi mengangkat kimchi sebagai makanan kebangsaan negara. Bagi sejarawan, ‘deklarasi kemerdekaan rasa’ yang disimbolkan oleh kimchi ini adalah suatu peluang bagi seluruh rakyat Korea mempamerkan kejayaan ekonomi mereka.

Oleh itu, Sukan Olimpik Seoul menjadi medan paling sesuai bagi menunjukkan kepada rakyat asing bagaimana Korea mampu untuk memelihara nilai-nilai tradisi mereka melalui pengisytiharan kimchi sebagai makanan kebangsaan yang menjadi kebanggaan mereka. Kenapa rakyat Korea begitu perlukan pengiktirafan daripada peringkat antarabangsa pada waktu itu?

Pengiktirafan bagi mengangkat kimchi sebagai makanan kebangsaan ini adalah berkait rapat dengan beberapa insiden yang berlaku dalam sejarah Korea sebelumnya. Pertamanya, tahun 1980-an itu merupakan tahun di mana Korea mencapai kemuncak dalam perkembangan ekonominya sejak tahun 1960-an, yang mengubahnya daripada sebuah negara berasaskan agrikultur kepada sebuah kuasa perindustrian. Rakyatnya begitu bangga dengan kejayaan ekonomi ini dan mengharapkan pihak antarabangsa dapat membuka mata melihat kuasa dan nilai tradisi mereka.

Keduanya, pergerakan serta persatuan pelajar yang berlangsung pada sekitar 1980-an ini adalah berasaskan kepada tiga perkara utama, iaitu minju (demokrasi), minjog (negara) dan minjung (rakyat). Ia adalah reaksi balas terhadap pemerintahan diktator selama lebih dua dekad dan penentangan terhadap masyarakat yang dikuasai oleh golongan elit.

Oleh itu, kimchi menjadi simbol ideal bagi menyatukan rakyat berasaskan tiga perkara tersebut, kerana ia bukan sahaja makanan tradisi Korea, malah ia turut menjadi wakil bagi seluruh lapisan masyarakatnya, sama ada pekerja biasa, rakyat miskin mahupun golongan elit yang sememangnya menjadikan kimchi sebagai antara makanan utama dalam kehidupan harian.

Tahun 1980-an juga sebenarnya menyaksikan pertumbuhan pesat industri makanan di Korea, terutamanya dalam pembuatan makanan tradisional seperti kimchi. Resepi kimchi yang asalnya hanya dibuat di rumah-rumah kini dibawa ke dalam industri yang lebih besar, dengan kemudahan yang lebih canggih serta penawaran peluang pekerjaan yang lebih banyak buat rakyatnya.

  • Simbol kekuatan dan kesihatan

Perletakan kimchi sebagai simbol penyatuan yang dijalankan bersempena Sukan Olimpik Seoul 1988 ini menjadi titik tolak dalam kempen kimchi sebagai makanan kebangsaan negara. Pada Sukan Olimpik Seoul 1988, kimchi telah dijadikan sebagai menu rasmi bagi para atlet dan para pengusaha makanan Korea menjadi pembekal utamanya.

Media massa menganggap proses mengantarabangsakan kimchi sebagai satu usaha yang berjaya menaikkan nilai budaya tradisi masyarakat Korea. Apa yang menariknya, media massa bukan menfokuskan kimchi sebagai menu utama bagi olimpik, tetapi populariti kimchi dalam kalangan atlet luar negara.

Sebagai contoh, media Segye Ilbo melaporkan bahawa kimchi bukan hanya popular dalam kalangan atlet Asia seperti atlet China dan Jepun, malah turut terkenal dalam kalangan atlet Eropah. Paparan tajuknya pula begitu jelas dalam mempromosikan kimchi sebagai makanan yang sihat dengan ayat seperti “Para atlet Eropah tahu bahawa ia (kimchi) sangat baik untuk badan mereka”.

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Malah, stesen televisyen utama Korea, iaitu Korea Broadcasting System (KBS) tidak teragak-agak untuk menyiarkan laporan dengan tajuk bersemangat, iaitu “Kimchi adalah kekuatan kami”. Pada tahun 1998, kimchi sekali memasuki senarai menu rasmi bagi Piala Dunia Perancis yang berlangsung pada tahun tersebut.

Empat tahun selepas itu, Piala Dunia 2002 telah berlangsung di Korea Selatan dan Jepun. Pada temasya ini, Korea telah memaparkan persembahan cemerlang yang mencuri perhatian seluruh dunia dan akhirnya menduduki tempat keempat. Media massa luar negara melaporkan bahawa rekod cemerlang pemain Korea ini banyak dipengaruhi oleh kekuatan fizikal pemainnya yang dipengaruhi oleh khasiat kimchi dan ginseng.

Simbol kimchi sebagai makanan kebangsaan ini adalah faktor kepada pelbagai laporan serta artikel positif daripada media antarabangsa yang akhirnya mengakui akan khasiat serta kelebihan yang dimiliki oleh kimchi.

  • Simbol kemunculan pakar kimchi

Pengisytiharan kimchi sebagai makanan kebangsaan diperkuatkan lagi dengan pelbagai kajian saintifik yang dijalankan oleh para sarjana dalam bidang pemakanan, perubatan, bioteknologi, sejarah dan sastera. Ia adalah suatu titik tolak dalam penyuburan bidang ilmu secara integrasi yang mana setiap kajian bukan hanya bertumpu kepada satu cabang sahaja, tetapi turut berkaitan dengan cabang ilmu yang lain.

Era 1980-an hingga 1990-an menyaksikan kajian-kajian yang lebih konsisten telah dijalankan terhadap kimchi. Kemunculan ramai saintis dan penyelidik kimchi ini telah membawa kepada pembukaan sebuah institusi khas penyelidikan kimchi pada tahun 1994, iaitu Kimchi Research Institute di Universiti Kebangsaan Busan. Seterusnya, pada tahun 2000, Jabatan Sains Makanan Kimchi telah ditubuhkan di Kolej Sains & Teknologi Kebangsaan Chungju bertujuan bagi melatih para penyelidik kimchi.

Kemunculan pelbagai institusi penyelidikan dan pusat latihan yang mengkhususkan terhadap kajian kimchi ini merupakan suatu perkembangan yang sihat dalam aspek akademik dan turut menyumbang dalam menaikkan rasa patriotik dalam kalangan rakyatnya.

Pembukaan Muzium Kimchi

Muzium Kimchi yang pertama telah membuka pintunya pada tahun 1996, yang diasaskan oleh sebuah syarikat perusahaan makanan kecil, iaitu Myeongga. Pada tahun berikutnya, sebuah lagi syarikat perusahaan makanan, iaitu Pulmuonewho telah membeli muzium ini dan menguruskannya sehingga tahun 2006.

Pada tahun 1988, iaitu setahun selepas peralihan pemilik dan tahun berlangsungnya Sukan Olimpik, muzium berkenaan telah dipindahkan daripada Seoul ke COEX, iaitu sebuah pusat dagangan antarabangsa yang baru siap dibina. Tujuannya adalah untuk memperkenalkan muzium tersebut kepada khalayak yang lebih ramai termasuklah pengunjung asing.

Pembukaan muzium ini menjadi penyumbang terbesar dalam menaikkan status kimchi dan menjadi sebuah tempat utama dalam mempromosi dan menguatkan prestij kimchi di mata dunia. Pada tahun 1992, Universiti Muzium Kimchi telah dilancarkan dan ia akhirnya didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah muzium di Kementerian Budaya dan Pelancongan pada tahun 1993.

Kesimpulan

Status kimchi sebagai makanan kebangsaaan secara tidak langsung telah mengubah identitinya daripada makanan tradisi Korea kepada suatu ikon budaya yang popular dalam kalangan masyarakat asing. Ia bukan lagi sekadar lauk iringan wajib bagi masyarakat Korea, malah kini menjadi antara hidangan kegemaran rakyat asing yang ingin turut sama merasai kebudayaan Korea.

 

Rujukan

Cho, H. S. (2006). Food and Nationalism : Kimchi and Korean National Identity. The Korean Journal of International Relations, 46(5), 1–23.

Hee, S., Sunny, M., Sook, M., Soon, Y., Jeong, H., Kang, S., Young, D. (2016). Korean diet : Characteristics and historical background. Journal of Ethnic Foods, 3(1), 26–31.

Patra, J. K., Das, G., Paramithiotis, S., & Shin, H. (2016). Kimchi and Other Widely Consumed Traditional Fermented Foods of Korea : A Review. Frontiers in Microbiology, 7(September), 1–15.

Yang, H., Jang, D., Rhan, K., Kim, K., & Young, D. (2015). Origin names of gochu , kimchi , and bibimbap. Journal of Ethnic Foods, 2(4), 162–172.

 

 

 

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.